Author: -Ainul Yaqin-
•05:47



     "Tentu Kak Lang fikir mesti Ikin ada something lah tu yang nak dikongsikan, sebab tu menelefon Kak lang ni"
. Lama saya tidak mendengar suaranya dan hari itu dia menelefon mengubat juga rasa kerinduan terhadapnya sejak saya berpindah ke Ipoh.

"Alhamdullillah, apa salahnya kalau ingin berkongsi, lama juga tidak mendengar suara Ikin. Kiranya rezeki orang ingat kan kita, Kak Lang kenalah bersyukur", saya membalas gembira.

"Mana tahu jika Allah izin boleh bantu atau entah-entah Ikin nak beri Kak Lang tazkirah ke". Saya menembak.

"Ikin teringatkan Kak lang ni sudah beberapa hari, baru ini ada kesempatan menelefon. Sebenarnya memang ada sesuatu yang terbuku dalam hati, 2 bulan Ikin simpan. Ini dah tidak boleh tahan, tapi minta maaf bila ada masalah baru telefon Kak lang. Tidak patut betul". Dia terus membuka ruang memulakan cerita.

"Terima kasih masih sudi ingat pada Kak Lang, semuanya Allah yang susun,hati manusia Allah juga yang pegang, ceritalah mungkin Kak lang boleh membantu, mana tahu."

"Sebenarnya, dua bulan sudah suami Ikin pergi umrah, Kak Lang. MUla-mula dia merayu pada Ikin supaya Ikin dapat pergi bersama. Katanya dia terlalu rindukan Mekah dan Madinah. Tidak boleh menepis bayangan  kerinduan tu. Tetapi Ikin berat hati, Ikin berikan alasan kami sedang mengumpul belanja untuk menunaikan haji biarlah bersabar. Elok jika kami menunaikan haji dulu sebab umrah kami pernah pergi sudah beberapa tahun yang lalu. "

"Akhirnya Ikin ikutlah juga ya?" saya mencelah sambil mencari punca keterbukuan hati adinda yang seoraqng ini.

"Inilah yang berperang dalam jiwa Ikin . Kak lang tahu yang membuatkan Ikin sangat-sangat terkilan bila dia tidak berjaya memujuk Ikin agar ikut sekali, tanpa pengetahuan Ikin suami Ikin mengajak emak dia menggantikan tempat Ikin. Dah dua bulan suami pulang. Masyaallah Ikin nampak mabrurnya umrah suami . Ketara dia sekarang tidak tinggal berjemaah di masjid,subuhpun ke masjid"

"Subhanallah , Ikin kecil hati ke dia tidak berjemaah di rumah"

"Eh ,Ikin gembira dengan perubahan suami. Masalahnya Kak Lang, Ikin masih tak redha dia ajak mak mertua Ikin, maknya dan tak sanggup korban tidak pergi umrah walaupun Ikin tidak ikut sama. Sampai sekarang Ikin pujuk hati ini tapi rasa marahkan suami bila mengingatkan perkara ini masih ada. Ikin tidak tahu lah Kak Lang macamana hendak menghilangkan perasaan yang tidak tentu rasa ini. Ikin tahu tidak sepatutnya Ikin rasa begini tapi Ikin gagal untuk tenteramkan ."

"Selepas menunaikan haji bersama suami,mak dan bapa mertua pada tahun 1996, bapa mertua Kak lang sakit dan manghadap ilahi pada tahun1997. Suami Kak Lang menunaikan umrah sebanyak tiga kali dengan membawa emaknya,sekali menemankan emaknya menunaikan haji, bererti membawa emaknya sebanyak empat kali.." saya cuba mengumpul ingatan.

"Oh suami Kak lang pun bawa maknya, empat kali?"
"Masa tu anak-anak siapa hendak menjaga jika Kak Lang pergi, tambahan mak dan ayah Kak Lang sudah semakin uzur. Mak mertua Kak Lang sampai bercerita "

Kawan-kawan ibu mertua saya berkali-kali bertanya, "Cikgu pergi dengan anak, menantu tidak ikut, tidak jealous ke menantu Cikgu . Hish kalau saya jadi menantu cikgu mahu cemburu saya dibuatnya"

"Dari situ Kak Lang tahu biasalah perasaan itu menyerang pada manusia kita-kita ini. Kak Lang terfikir ha a ya kenapa aku tidak mengambil hati saja, bukan sekali dua suami pergi membawa emaknya,tetapi empat kali. Wajar sangat kak lang merajuk dan mengambil hati. Dan Kak Lang bersyukur perasaan itu tidak hadir, sesekali ia terlintas, hanya satu yang Kak lang sebut di dalam hati. "

"Apa yang kak Lang sebut dalam hati?" Ikin terus ingin merungkai resah.

"Sebelum itu, boleh tidak Kak lang hendak bertanya Ikin. Anak lelaki Ikin dua orang, Shahir dan Shamirkan. Ditakdirkan anak-anak ini suatu waktu nanti dewasa dan mengajak Ikin menemankan mereka menunaikan umrah ,lalu Ikin mendapat tahu isteri-isteri mereka tidak redha mereka membawa Ikin, rasa-rasanya apa perasaan Ikin?" saya menghujah

Terima kasih Allah, entah dari mana ilham itu saya perolehi, pasti dariMu ya Allah

Diam seketika di hujung talian, kemudian terdengar perlahan esak tangisnya.

"Ya Allah patutlah Allah ingatkan Ikin pada Kak Lang, ada sesuatu yang menunggu Ikin rupanya. Kenapalah Ikin tidak meletakkan situasi tu pada diri sendiri . Sombongnya Ikin Kak lang...kenapalah Ikin tak terfikirkan seperti itu," Tangisnya lirih.

"Tidak mengapa dik, kita biasa khilaf dan kekhilafan itu pasti tidak juga sia-sia. Supaya Ikin lebih bersyukur lebih mengerti agar nanti akan Allah tambahkan lagi nikmat, melimpah ruah. Alhamdullillah. dan satu perkara yang Kak Lang sebut di dalam hati ialah biarlah suami kita melebihkan ibunya, sebelum dia menjadi suami kita, dia adalah bayi yang lemah. Suami kita bukan sesiapa jika tanpa ibunya. Kita mendapatkan suami kita setelah dia tegap berjawatan, berkemampuan,namun yang berkorban segalanya adalah ibunya. Hari ini dia membawa ibunya ,esok lusa anak-ank kak lang malah menantu-menantu Kak Lang pula akan meraikan Kak lang. Berfikir begitu hati akan menjadi tenang lantas mengundang bahagia."

"Sudah sampai masanya Ikin lepaskan perasaan yang terbuku, redhakan tindakan suami dan bersyukur atas kehendak Allah ini"

"Ikin insaf Kak Lang.."
"Terima kasih atas perkongsian ini.Kak Lang tidak mencari malah tidak mahu melihatnya sebagai kelemahan Ikin malah Kak Lang yakin Allah sedang merencanakan sesuatu untuk menaikkan darjat kita."


MERTUA MENANTU

Kesempatan mengenali seorang ibu tua yang tidak dimuliakan kehadirannya oleh si menantu turut meruntun hati saya. Entah kenapa terlancar sahaja ceritanya meluahkan rasa terkilan di hati.

"Jika makcik rindukan anak makcik, makcik datang ke rumahnya tanpa memberitahu terlebih dulu, alamat menantu makcik akan tidak bertegur sapa dengan anak makcik. Dia tidak boleh orang datang ke rumahnya tanpa ada perancangan."

"Subhanallah..tapi makcikkan ibu suami dia, bukan pendatang asing yang datang menceroboh rumah tangga dia atau bibik yang lari dikutip di tepi jalan", saya beremosi mendengar cerita sedihnya.

"Entahlah nak, pernah dia tidak keluar-keluar berjumpa makcik kerana marah makcik datang secara terpa -terpa begitu. Makcik panjatlah tangga mencari bilik mana makcik hendak tidur. Anak makcikpun tidak mampu berbuat apa. Tambah masa kejadian tu anak makcik bekerja syif malam, sampai keesokannya dia tidak keluar berjumpa makcik. Konfrontasi pula dengan anak makcik"

"Susah saya hendak menerima  dek akal biasa cerita makcik ni .Masakan manusia cerdik pandai boleh bertindak tidak memuliakan makcik. Saya insaf makcik."
 Namun saya akur kebenaran ujian yang menimpa makcik itu kerana perkara yang sama berlaku berkali-kali. Dan saya pernah meminta kepastian dari anak makcik itu sendiri akan perangai luarbiasa isterinya kerana anak makcik itu adalah kenalan rapat saya juga.

Dan kemuliaan seorang ibu yang tidak dimuliakan menantu ketara pada bicara yang dituturkan.

"Sudah makcik ampunkan menantu dan anak makcik. Makcik tak mahu anak makcik tersangkut semata-mata hati makcik terluka. Makcik dah redha, sudah nasib anak makcik diuji dengan isteri. "

Dan yang mengilukan perasaan saya.

"Hidup ini kan macam roda , masing-masing ada anak, suatu hari tidak mustahil anak akan melakukan apa yang kita pernah buat pada ibubapa kita. Tidak anak, menantu. Jangan dia lupa itu."

Itu bukan doa, bukan juga suatu sumpahan hanya luahan hati ibu yang terluka. Namun kata-kata ibu bukan kah suatu doa.

Maka muliakanlah insan , mudah-mudahan kamu bakal dimuliakan ,semoga kamu dimuliakan.
|
This entry was posted on 05:47 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: