Author: -Ainul Yaqin-
•01:55
       


   

    Kereta kami parkir biar betul-betul dihadapan madrasah dan masjid. Jika pun kawan-kawan nya yang nampak kami akan cepat sampaikan berita.

Betul juga, belumpun lama sudah ternampak kelibatnya berjalan laju ke kereta.


"Handsomenya anak ummi ayah.....wah!!"

Dengan berjubah putih bersih, siap berkupiah, Faheem saya lihat sangat berseri-seri. Rambutnya kelihatan sudah selamat di 'korban'kan Ustaz Jalal. 

Tapi wajahnya.
Wajahnya seperti mahu menanagis. Pujian kami tidakpun mengundang sebarispun senyum. Ada kecamuk perang atau mungkin ribut resah tergambar pada wajah mulus si bongsu yang satu ini.

"Jom lah ummi kita bincang....Faheem nak berhenti belajar kat sini"

Aduh, ada masalah ni. Sangkakan bayu berjujur sepoi, rupanya ada badai menghempas pantai. Memang saya mahupun suami telah bersedia dengan dua kemungkinan ini. Maklumlah, pengalaman sebelum ini mencatat sejarah dan nostalgia.


"Jomlah ummi.....kita bincang.." Gelihati pula apa yang ditangkap oleh telinga. Saya iyakan sahaja.

"Boleh...tapi biar selepas Faheem ikut ayah sembahyang Jumaaat kat masjid ya. Ni dah nak masuk waktu".

Sepanjang waktu solat itu saya berdoa, Ya Allah berikan lah petunjukMu

Saya mencongak-congak apa-apa saja perkara yang boleh terjadi. Tiba tiba teringat seseorang. 

"Ina....apa khabar....rindunya, harap dah terima jeruk Penang dan ikan pekasam ya"

Saya ke rumahnya di Indahpura ,Kulai sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Malangnya Dia sudah  tidur keletihan dan saya titipkan pada bibik tanpa minta dikejutkan sahabat tersebut.
Waktu itupun sudah agak lewat, dan seminggu saya tidak menziarahinya kerana faham kekalutan berdepan hari hari awal tadika diuruskannya membawa kepada langsung tiada kesempatan langsung untuk berjumpa.

"Alang kat mana ni...."

"Kat madrasah anak-anak kita , Asyraaf dan Hidayat dulu"

"Ok Faheem?"

"Dia nak ajak bincang berhenti madrasah hari ni juga.Alang minta dia solat dulu"

Hahaha ,melekek lekek suara sahabat saya di hujung talian.

"Takde kes lari ya Alang"

"Tak cukup korum..Mc Gyver nya, pendua Hidayat tak de kat sini". Pecah lagi ketawa kami.

"Alang, alang kena kuatkan semangat tau, lagipun baru seminggukan ...kawan -kawan pun belum kenal lagi.

                                 Memang itupun yang saya fikirkan, Elok juga saya perkentalkan tugu pertahanan jiwa. Bila selepas solat Jumaat nanti, Faheem bakal mengalun-alun kan senandungnya, saya akan bersedia menadah telinga biar dia meluah habis -habisan. Kemudianya baru memikirkan tindakan seterusnya. 

"Ya Allah Ilhamkan aku dengan sesuatu yang menenangkan, dan sesuatu yang menjadi penyelesai"


                  "cukuplah Allah bagiku. Tidak ada tuhan selainNya. Hanya kepadaNya
                    aku bertawakal"

"                          surah At Taubah : 129                     



     Selepas selesai solat, kami meminta izin membawa Faheem keluar dari ustaz.

"Kita makan nasi arab..jom!!" memang itu kegemarannya

"Tak nak!! Faheem tak selera...faheem nak balik, ummi"

"Ok ok..cuba cerita kat ummi ayah apa yang Faheem tak suka kat sini.
"
 Suami saya biarlah memandu ke kedai D'Arab Cafe di seksyen 7 . Sempat saya isyaratkan pada suami belikan saja 2 bungkus. Mood untuk makan -makan sambil bersantai dengannya hilang.

Ayahnya menghilang ke kedai, saya pun bertubi menyoal.

"Faheem takut ya . Cuba cerita"

"Faheem gatal-gatal...tak tahan."


Saya terus menyingkapkan baju, mencari kesan gatal tersebut. Aish terjangkit scabbies sepupu- sepupu waktu cuti hari tu ke.

"Tak de..tanda merah memang takde...tapi gatal"

Oh itu modalnya kot. Merasakan alasannya kurang menyengat simpati saya dia mula menangis teresak-esak.

Dia beralih pindah duduk di kerusi paling belakang Unser. Mengongoi-ngongoi.

"Faheem sayang sekolah Itqan, mualim mualimah Itqan baik-baik, kat sini ustaz guna rotan. Faheem rindu Ummi, Ayah,Kak Yin, rindu Yaya. Suruh la abang datang sini jaga Faheem"

Aik tadi katanya nak balik rumah,tiba-tiba ada pula disebutnya minta abangnya untuk menemankan dia di situ. Sah semua perasaan bercampur mana satu yang hendak diluahkan dahulu.

Suaranya berselang  tangis yang bersungguh-sungguh. Mana tidak sayunya.

'Di Itqan Faheem kata Faheem tak suka pergi sekolah, ada muqayyam ,ada qiam. Mualim Azlan pujuk Faheem pergi muqayyam(perkhemahan), Fahem tak pergi juga sudahnya. Ummi malu lah nak jawab apa, anak ummi bukannya malaspun.

Jadi di madrasah Faheem akan lebih seronok, ramai kawan. Dekat dengan Quran, bukan TV atau PS2"


"Faheem nak menghafal dengan Ummi...bolehlah ummi...Faheem nak balik..Faheem sayang Ummi."

Eh...ayat ini benar benar sama dengan ayat yang dituturkan seseorang ketika peristiwa Disember 2006



Suami saya sampai dan bayangkan bau nasi arab yang menyelerakan memenuhi segenap ruang. Sambil saya membuka tudung bekas pek tersebut, Faheem mula berganjak ke kerusi sebelah saya.

Saya tidak bertanya samada dia mahu tapi saya suruh dia bercerita lagi.

Sambil itu saya menyuap ke mulutnya ...lapar nya kelihatan tak berkata apa. Bertalu-talu suapan. Berselera, agaknya beban yang menggunung sudah terpongkah satu persatu.


Saya mulalah mengayat.

"Abang faham sebab apa ummi dan ayah masukkan dia ke madrasah, tengok abang sekarang baca quran sedap....."

"Abang dulu nangis tak macam Faheem, dia ada nak balik tak?" Dia bertanya.

"Ada....samalah apa yang Faheem rasa tapi abang faham ummi ayah bukan tak sayang dia letak jauh jauh dari rumah. tapi sebab ayah dah solat minta Allah beri petunjuk apa yang paling baik untuk anak-anak Ayah.
Barulah Ummi sedar betapa hebatnya Abang sebab kuat semangat dan hafal banyak surah. Jadi biasanya yang bongsu mesti sama hebat macam abang. Abang kata ustaz rotan budak budak yang tak dengar kata dan tidak menghafal.Faheem baik kenapa pula kena rotan, Faheem kena ke rotan?"

Dia menggeleng.

"Sesiapa yang baik ,rajin ustaz suka, sayang. Ada pelajar yang lebih kecil dari Faheem, tapi mereka ok. Tentu mereka rindu jugak tapi mereka cari kawan, kongsi sama-sama, menghafal sama-sama"





KERANA DIA BEGITU


Faheem di sekolah tidak akan bercampur, bermain dengan pelajar lain. Di kelas agak sukar mendengar suaranya, di soal tidak pernah melontar jelas suaranya menjawap. Katanya sekolah amat bising dan dia tidak boleh faham apa yang diajarkan guru. Jika ada pendidikan jasmani giliran bolasepak dia mula malas,malah pernah menangis enggan ke sekolah. Katanya kawan-kawan mengejeknya tidak pandai bermain bola dan dia tidak gemar ejekan tersebut.

Ketika bersama kami cenderung mengikut Yaya dan Kak Yin ke surau perempuan, ke tandas juga tandas perempuan. Saya kira dia tidak  membesar bersama abangnya dan berjauhan dengan suami yang ketika dulu berkhidmat jauh .


MACAM AYAT ABANG.....

Muhamad ada menelefon bertanyakan keadaan adiknya. Panjang lebar saya bercerita, bila tiba bab hendak menghafal dengan ummi,

"Tu macam ayat abang je , ummi...hehe"

"Tak apa ummi , nanti ok je tu...adik manja lah katakan".

Muhamad dulu ketika pulang bercuti memancing manja yang terlompong dimana-mana. 

"Ummi mandikan abang ummi"

"Ummi...suapkan abang". Wah dengan rela hati saya mandi dan suapkan.

Sampai sekarang sudah di tingkatan empat masih sudi makan dari suapan jari -jemari umminya ini. 

Abang, kasihnya Ummi pada abang sebagaimana sama kasih ummi pada yang lain.


KISAH ABANG

4 Disember 2006, Muhamad Asyraaf memulakan kehidupan berjauhan di madrasah di sebuah daerah di negeri Johor

Masih tersemat diingatan,tiga hari selepasnya 6 Disember 2006 saya menerima panggilan dari sahabat saya Helena ,yang anaknya Hidayat juga bersama Muhamad pada hari yang sama mendaftar diri sebagai pelajar madrasah tersebut.

"Alang...alang ada sakit jantung tak"

Lain macam sahaja soalan cepumas Helena
Tergagap-gagap saya menjawapnya.

"Kenapa ina?"

"Anak-anak kita lari dari madrasah pukul 3 pagi tadi! Dah selamat dihantar balik ke madrasah.Nasib baik tak kena cekup dengan pencolek pagi-pagi buta tu"

Impak berita itu bergegar juga jantung dibuatnya. 

Laporan yang saya terima selepas kami sama-sama berkejar ke sana ialah dua orang anak yang terlebih hebat ini menunggu pukul 2.30 pagi menyelinap keluar melalui pintu belakang. Sebelum tu beberapa keping papan lapis lama direntang dijadikan titi untuk merentas anak parit, becak-becah. Melalui jalan kampung yang gelap gulita menghala jalanraya besar. Mereka ditemui oleh petugas-petugas Rela yang bersiap ke tempat kerja jam 3 pagi, berselimpang kain serban. Di kiri dan kanan menggenggam beg pakaian dan baldi!

Pendek kata kesemua barangan yang menjadi milik peribadi hatta sekalipun baldi tidak ditinggalkan, semua dibawa lari bersama!

Menggeletek juga hati mengenangkannya.

Bila ditanya kenapa ada di tepi jalan gelap-gelap begitu, jawapnya hendak menunggu bas untuk bertamu ke rumah nenek Hidayat di Sungai Udang. Juga takutkan rotan yang singgah dikaki pelajar lama yang membuat salah. Sebelum rotan menyinggah ke diri mereka ,lari adalah jalan yang paling boleh difikirkan.

Maka ketika saya bertemu wajah dengan Muhamad banyak ayat yang dituturkan sama seperti apa yang Faheem tuturkan
Cuma Muhamad terus berbaring di riba saya . jika Faheem buat begitu kebas-kebaslah saya. Rupa -rupanya Muhamad ada membawa bersamanya  jubah saya yang diambil tanpa pengetahuan saya. Bila rindu dia akan mencium jubah tersebut. Begitulah anak




PENYUDAHNYA

 Nasi Arab hampir habis.

"Minggu depan kalau ummi datang jangan lambat ya"


Petanda jiwa tenang.

"Mari sini peluk ummi...sedih Faheem tak pelukpun ummi tadi"

"Kalau Faheem menghafal habis satu tahun boleh balik?"

"Boleh....tapi kenalah jadi baik ,berkawan, berbual, bacaan kenalah betul, ok. Dengar cakap ustaz. Dengar cakap abang Imran. Kalau Faheem tak berkawan nanti rugi, abang Imran nanti susah"

Kepalanya melentok ke dada saya seperti selalu.

Dan kami pulang ke Pulau Pinang hari itu juga. Bersama lambaian Faheem dan ketenangan yang baru sedikit dibekalkan untuk kami.


Esoknya, hari Sabtu dia menelefon

"Ummi......"

"Suara Faheem happy ummi dengar."

"Ha a.....Faheem dah ada kawan. Nanti jangan lupa datang ambil Faheem 26 Januari tau. Ustaz kata cuti balik kampung, Faheem nak balik Penang, Faheem rindu rumah"

Saya seakan melayang kegembiraan!




                                         "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesudah      
                                           kesulitan itu ada kesenangan"
                                          
                                                                                                  surah Al Insyirah: 5-6



              "

                                          
|
This entry was posted on 01:55 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: