Author: -Ainul Yaqin-
•21:35

     Dari lebuhraya arah ke selatan, isyarat kiri dinyalakan memasuki persimpangan Changkat Jering dan Taiping.  Sebelumnya kami terlepas persimpangan Taiping Utara dan Kamunting. Suami selesa dengan laluan tersebut kerana terbiasa dengan exit itu sejak kami tinggal di Manjung dan di Ipoh dahulu.

Taping....daerah kegemaran arwah emak.
"Banyak-banyak tempat tinggal, mak paling seronok tinggal di Taiping."

Banyak agaknya emak mengumpul nostalgia di daerah setenang Taiping. Hanya emak yang menyimpannya. Sesuatu yang saya suka tentang Taiping adalah terdapat banyak kawasannya yang berumput. Dan warna rumputnya saya perhatikan luarbiasa cantik serta hijau.Mungkin dari segi geografi, Taiping kawasan paling banyak mengumpul hujan. Rumputnya subur, susah hendak mencari rumput segar tanpa bercampur lalang dan pokok renik dalam kawasan yang luas. Di Taiping rumputnya sahaja sudah menggamit rindu, melambai rasa. Entah ya, jiwa saya sangat dekat dengan rumput dan daun-daun. Daun hijau malah daun kering yang sering gugur juga adalah sebahagian dari kegembiraan saya.

Ayah dahulu selalu berpesan.
 " Andai memandang langit yang biru, rumput di bumi jangan kakak lupa."

Pesan ayah mudah tapi di dalamnya membawa seribu makna.
Kerana itu saya kira apabila merindui ayah mahupun emak semasa menuntut jauh di USM, kerinduan itu saya hilangkan dengan melangut ke langit. Saya tunggang Che Su (panggilan untuk motor kesayangan saya Suzuki PAQ 4068 biru) menuju  tempat yang paling saya suka.

"Jom Che Su, kita pergi airport."
Dan di tepi pagar Lapangan Terbang Pulau Pinang itu, yang tidak eksklusif seperti sekarang saya melangut ke langit memerhatikan apa saja yang melintas di atas. Pasti sekali kapal terbang yang berlepas laju dan yang turun mendarat. Ada juga camar dan bangau yang mungkin terbang membawa aura menuai dari sawah bendang di Seberang Perai. Impian saya  juga setinggi itu.

"Che Su, tadi kakak dah tuang minyak, jangan meragam lagi ya." Mustahil Che Su mampu bersuara tetapi Che Su sering memahami dan tidak mengecewakan. Pernah terhenti betul-betul di tengah Jambatan Pulau Pinang antara debaran dari ragam Che Su.

"Ya Allah Che Su....takkan nak sorong Che Su sampai Seberang Perai.Tolong Che Su bangun..."
Dengan izin Allah enjinnya boleh dihidupkan semula.

"Jangankan bawa motor kalau kakak nak bawa kapalterbang pun ayah lepaskan...tapi harus tanya mem(mak) dulu." Ayah selalu bergurau, menutur sebegitu.

Taiping tidak banyak berubah walaupun sudah 40 tahun buminya saya tinggalkan. Berhadapan  sebuah padang bola, berhampiran Penjara Taiping, dan bangunan mahkamah ada sebuah kawasan kem angkatan tentera. Di situ saya membesar selama 2 tahun. Di rumah yang kini sudah dijadikan mes tentera, bangunan itu tetap tidak berubah, masih kekal dengan pondok pengawalnya di hadapan pagar.

Saya meminta suami memberhentikan kereta betul-betul di pagar berhadapan dengan 'rumah' saya dahulu.

"Kayuh! Kayuh pantas- pantas Zari! Tengok depan ! Tengok depan!"

Riuh mulut Pak Itam, adik mak yang muda belia mengajar saya mengayuh basikal selepas di tanggalkan roda tepi. Ketika itu saya berumur 5 tahun. Di situlah saya belajar untuk berkayuh.
Berapa kali saya terjatuh, bangun dan berkayuh lagi. Namun tidak adapun sebarang luka dengan kehadiran tebalnya rumput hijau di sekeliling rumah itu. Jatuh, bangun , tersembam, hidung tercium bau rumput, aromanya harum apabila baru disabit oleh tukang sabit India yang diupah  pihak pengurusan tentera. Saya yang menghantar segelas air sejuk dan sepiring cokodok untuknya selepas melihat dia berehat mengelap peluhnya. Mak mengisi ke dalam dulang kecil, saya yang menatangnya. Ketika itu ayah menjadi jurulatih kawad bagi angkatan Batalion 4 Melayu. Saya anak seorang perajurit, anak tentera.

Apabila kayuhan saya semakin mantap, Pak Andak, adik mak juga mula membawa saya berkayuh disekitar Taman TasikTaiping yang berhampiran dengan rumah , sesekali berkayuh jauh sedikit ke kawasan kaki Bukit Maxwell. Rupanya nama bukit ini telah ditukarkan ke Bukit Larut. Pak Andak adalah rakan berkayuh saya yang terbaik. Apabila kami berdua melintas, saya perasan ramai anak-anak gadis yang tertoleh-toleh. Saya tidak memahami keadaan itu dan bertanya.

"Apa pasal diorang tengok-tengok kita lepas tu bisik-bisik eh, Pak Andak."
Rupanya Pak Andak adik beradik mak yang sama ibu itu mewarisi darah kacukan Sri Lanka arwah Atuk Ibrahim. Wajah Pak Andak dan Pak Itam kacak mirip pelakon Shashi Kapoor. Ehem.

Kini, saya kembali semula ke Taiping tetapi tanpa ayah mahu pun mak bersama. Saya cuba merakam lanskap serta rumah yang pernah menjadi sebahagian hidup kami itu dengan kamera. Sekali shot. kali kedua, tiba-tiba.

"Minta maaf tidak dibenarkan mengambil gambar ,ini kawasan tentera." seorang pengawal tentera siap bersenjata disandang melaung ,wajahnya dimaniskan.

"Ini rumah saya dahulu, Encik!"
Dia melambai-lambaikan tangannya tanda tidak membenarkan tindakan mengambil gambar diteruskan.

"Ini rumah saya, di sini saya membesar, saya belajar mengayuh basikal di sini, sekolah tadika saya dibelakang kem ini di tingkat bawah berek polis. Jika pemandu trak tentera yang mengambil anak-anak tentera pulang sekolah lambat saja, saya yang tidak sabar menunggu akan menapak pulang sendiri ke rumah. Harap pakcik pemandu itu sudah lama memaafkan saya seorang anak kecil yang banyak kerenah. Di belakang rumah, ada berek di tingkat dua saya mengaji dan belajar fardhu ain bersama anak tentera yang lain.      
Encik! ditepi pagar kiri ini saya selalu bergayut menunggu mamak roti berkain sarung putih disingkap ke depan menjadi seluar  dengan bakul bulat besar berpenutup zink dan hon trompetnya yang melonta-lontakan hati saya setiap petang. Saya tidak berminat dengan rotinya, orang dewasa sahaja yang mahukan rotinya. Kaya sapuan rotinya kata mak yang terbaik di pekan Taiping.Yang saya sukakan ialah kek marble potong segitiganya serta popcorn mahupun keropok durian yang diisi sekali dengan tiub berisi likatan yang ditiup dengan straw halus menjadi belon. Jajan-jajan bergayutan penuh mengelilingi bakul.
 Dan di ruang luas kanan kem ini saya menyaksikan dari verandah rumah anggota tentera  membuat latihan kawad, sama seiring, bersemangat sekali. Saya masih terdengar terngiang bunyi derapan kasut but mereka melangkah juga bunyi tangan mereka menyentuh senapang mengikut aturan kawad. Selang selinya suara ayah yang terpekik memberi arahan kawad, dengan jam pekak di tangan serta tongkat di bawah ketiaknya. Dan ayah saya adalah  Pegawai Waran 1 di sini , RSM Zainol Rashid bin Lebai Ishak."

Kata-kata itu mampu saya tuturkan di dalam hati sahaja, jika saya luahkanpun Encik pasti tidak memahami malah tidak mengenali. Tidak mengapa saya faham Encik menjalankan tugas. Saya sempat merakam gambar rumah kenangan ini sekali, selebihnya semua yang lain sudah sebati terakam kemas di dalam ingatan saya.

Taiping saya kembali..dan akan kembali lagi



|
This entry was posted on 21:35 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

3 comments:

On 13 April 2013 at 06:11 , nafmri said...

Ummi... :'(
Tok ayah pegawai waran 1 rupanya...
Baru along tahu.
*rindulah tok ayah dgn maktok... T.T

 
On 15 April 2013 at 21:48 , -Ainul Yaqin- said...

pangkat tok ayah sama dgn saterawan negara allahyarham usman awang yang guna nama pena tongkat waran. tongkt tok ayah selalu di bawah ketiaknya, ubat rindu dengan mendoakan mereka. sentiasa setiap hari.masa along lahir tok ayah mak tok insan teramat gembira. jika masih hidup merekan tentu berlipat ganda mereka . hargai mereka dengan doa dan mengepos pahala yang kita raih ya

 
On 19 September 2018 at 02:06 , Unknown said...

Is dat u ishah dear?