"Sama ke mengajar dengan mendidik, Kak Midah," terluncur saja pertanyaan itu kepada seorang sahabat, sejiran malah seusrah. Rasanya jawapannya sudah diketahui , namun sahaja ingin memanjangkan perbualan dengannya.
Baru sebentar sebelumnya beliau berkongsi kisah-kisah sekitar dunia pendidikan yang amat dicintainya.
"Kak Midah memang salute habis wanita yang boleh menjadi surirumah sepenuh masa ni. Kak Midah memang tidak ada kemampuan menjadi seperti mereka, macam Chah. Kak Midah tak bolehlah duk kat rumah saja, boleh beku otak Kak Midah. Respect sungguhlah kat hangpa, duk ghumah cek tidoq ja la..hahaha".
Beliau berasal dari utara maka dengan spontan nama saya yang biasa dipanggil Shah menjadi timangan Chah .Saya merasa seperti dimanjakan. Ermm
"Beza...mengajar tidak sama dengan mendidik. Kalau Kak Midah mengajar murid, ianya hanya melibatkan kefahaman terhadap apa yang kita ajar tetapi mendidik ini skopnya meluas...melibatkan perubahan sikap ,kefahaman dan semestinya identiti anak murid kita.Mendidik kepada kebaikan bakal merubah fizikal, mental dan spiritual murid kearah yang baik dan positif maka mendidik kearah keburukan boleh Chah bayangkanlah bagaimanakan?".
Patut benarlah beliau menumpahkan seluruh kudrat, jiwa raganya dalam dunia pendidikan. Dan beliau benar-benar menghayati dunianya,
Beliau menceritakan pengalamannya dihantar untuk menjadi pensyarah penilai ke sebuah sekolah yang terletak di sebuah pulau.
"Sebuah sekolah rendah, dengan tiga orang guru dan lima orang pelajar. Sedihnya ialah 3 dari 5 orang pelajar tu tidak tahu membaca."
Memang diperkampungan nelayan tersebut ibu-bapa tidak ada hati menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan telah teracuan fikiran bahawa ke sekolahpun anak -anak itu akan tetap turun ke laut menjadi nelayan suatu hari kelak,malah yang perempuan bakal duduk di rumah mewarisi dapur bunda . Yang lelaki asal boleh mengemudi bot, memeluk pukat dan jala sudah wajar saja mewarisi karier si ayah. Bukan untuk merendahkan status seorang nelayan tetapi minda biarlah menjadi nelayan berilmu, ada pelajaran dan bakal nanti menguasai teknologi perikananan.Pasti pendapatan akan lebih menjamin dan memberangsangkan.
"Hang tau Chah , Kak Midah kesian dengan murid-murid yang tak boleh membaca ,ada yang sudah di tahap dua. Kak Midah cempung depa , letak atas peha Kak Midah, Kak Midah pangku ,sambil peluk depa Kak Midah ajar membaca.Seminggu semua depa dah boleh membaca, alhamdullillah!"
Aduhai...ramai manalah hendak dicari guru yang mendidik bukan sekadar mengajar. Yang boleh memeluk, mencempung,dan meriba semata-mata untuk menyalurkan ilmu agar belaian luar biasa itu berhasil memahat ilmu.Untuk berkongsi rasa dunia pendidikan ,,dialah orangnya.
AJARKAN CHAH, KAK MIDAH
Saya memang agak fobia dengan komputer. Di antara sebab saya lambat memulakan penulisan saya adalah kerana tidak mesra komputer. Semasa memegang jawatan sebagai ahli PIBG sekolah, saya selalu diamanahkan mengelolakan program-program maka perlulah membuat flyers dan brosure program. Pecah tempayan rahsia saya bilamana AJK yang lain mendapat tahu semuanya berjaya dihasilkan dengan cara mengupah insan lain, memberi job kepada yang mahir.
Untuk membuat perkara sesenang FOLDER dan mengklik di sana sini untuk menghasilkan File juga saya jauh dari celik, mengaku sungguh saya memang buta IT. Kak Midah lah yang menawarkan diri mengajar saya.
"Chah, hang pegang mouse ni gini, ha klik di butang kanan...tengok kak midah buat"
Satu persatu langkah diajarkan pada saya ,rasanya anak-anak kecil pun boleh ketawakan saya.
"Sekarang Kak Midah patah balik ,Chah cuba buat sendiri dari step mula tadi"
"Oh sesenang ini je Kak Midah? malunya tak reti-reti"
"Takpa-takpa, lama-lama nanti akan pandai"
Untuk perkara sesenang itu Kak Midah sudi mengajar saya tanpa meremehkan saya, penuh sabar ,terang dan jelas. Siap di ulang ulang, saya menjadi kagum dengan keperibadian sahabat saya itu. Patut dia bergelar seorang pendidik.
Dari sebuah hadith ,Rasullullah bersabda
Apabila anak Adam (manusia) mati maka terputuslah amalnya kecuali 3 hal; bersedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak sholeh yang selalu mendoakan kedua orang tuanya. (HR. Muslim)
TAKUT DAN MALAS KE SEKOLAH
Pernah saya berurusan di sebuah tadika dan tersentap jantung apabila gurunya menjerkah murid seawal umur 5 dan 6 tahun dengan pic suara yang paling tinggi dan garang. Menggetarkan gegendang telinga, mahu saja saya berikan upah penampar untuk guru lagak singa betina sebegitu. Dan pernah terjadi ada di kalangan anak-anak yang tidak mahu ke tadika, malas atau lebih kepada takutkan lagak guru yang mengaum ini .Bila diselidiki rupanya anak-anak tadika yang tidak menghabiskan kerja yang sepatutnya disiapkan itu dihukum keluar dari kelas.Bayangkan. Hukuman sebegitu untuk anak-anak yang baru belajar mencintai sekolah dan ilmu.
Saya memang panas dengan isu sebegini.
Tentulah jalan pilihan keesokannya ialah protes tidak mahu ke sekolah.Begitulah apabila tugas mendidik dan mengajar dipikulkan kepada orang yang jiwanya kosong zero dengan dunia pendidikan.Hancur jiwa anak-anak!
MENGAMBIL TELADAN
'Anak-anak yang ibu guru kasihi, jangan rebut-rebutan, Ibu guru mohon ya walau kita ditimpa musibah,tetapi kita jangan sampai merendahkan akhlak kita. Malu nanti dilihat ibu-ibu ini dari Malaysia kita rebut-rebutan . Ibu guru percaya anak-anak bisa tenang menanti giliran nanti dikasi ,pasti setiap orang akan menerima. Boleh ngak janjinya sama ibu guru?"
Kata-kata yang dituturkan oleh beberapa orang guru di sebuah tadika Islam di Acheh, menyayat hati saya, Betapa beliau memuliakan martabat anak-anak yang masih kecil dengan meletakkan unsur kedewasaan dalam memberi didikan.Malah saya melihat anak-anak ini sangat matang dibanding usia mereka.
Bersabda RasulullahSAW
العلم خازائن، ومفتا حها السؤال، فاسألوا يرحمكما الله، فانه يؤجر فيه اربعة – السا ئل، والمستمع، والمحب لهم (رواه ابو نعيم عن على
Ilmu adalah gudang dan kunci pembuka gudang tersebut adalah pertanyaan/ permintaan. Maka kalian bertanyalah (pada guru / ulama) maka kalian akan di rahmat Allah, sesungguhnya ada empat orang yang akan diberi pahala iaitu, orang yang bertanya, yang mengajarkan, yang mendengarkan, dan yang mencintai pada orang-orang tersebut. (H.R. Abu Nua’im dari Ali)
Benar bukan jika saya menyatakan kuasa mendidik itu melangkaui sempadan ilmu. Kuasanya infiniti.
Kenapa jarang benar saya menemuinya di tempat saya, di negara saya sendiri.....Namun ada..
0 comments: