"Hari ini hari mengambil Buku Rekod Kemajuan di sekolah, boleh abang seorang yang pergi?Dan kalau boleh abang amati apa yang diperkatakan oleh guru, balik cerita semula pada saya, especially komen tentang our boy."
Suami mengangkat kening, "Ishah tidak teringin ke pergi sekali?"
Bukan apa , sentiasanya suami tidak mendapat kesempatan bersama-sama saya mengambil buku kemajuan anak-anak atas tuntutan yang berbagai selalunya kerana berada di luar daerah. Dan saya sentiasa menerima komen yang sama, pun saya cuba berlapang dada. Dan hari itu saya ingin sekali membuktikan telahan saya adalah seperti yang dijangkakan.
Balik sahaja suami dari sekolah, saya mengadapnya, "Boleh tuan berikan lapuran lengkap dari sekolah?"
Dalam gurau, saya sabar menanti.
"Kak long dan kak ngah juga Abang pelajarannya baik-baik aje. Kak long dan Kak ngah pelajar yang bertanggungjawab, cuma Kak long tidak banyak bercakap . Kata gurunya macam ada emas dalam mulutnya.
Cuma..."
"Ha ha yang cuma itulah yang saya nantikan.Saya sedang bereksperimen ni, jika abang hendak tahu."
"Tiba pada Abang, guru-gurunya bertanya, 'Anak Encik yang ketiga ini rupanya adik kepada Nadia dan Nabila ya'. Lain lah, tidak seperti kakak-kakaknya. Nakal betul dia dalam bilik darjah. Tidak juga macam sepupunya yang sekelas, sepupunya baik, tiap tiap tahun naik ke pentas mendapat anugerah akhlak mulia"
"Eksperimen saya berjaya, telahan saya tepat, komennya sama setiap kali saya mengadap gurunya. sebab itu saya suruh abang sahaja yang pergi , manalah tahu pada ayah mungkin ada kelainan di mana -mana sudut. Rupanya anak kita Abang tetap menjadi mangsa perbandingan. Saya redha.Dan saya bersangka baik komen itu menunjukkan keprihatinan guru-gurunya yang mengharapkan dia juga mewarisi ciri-ciri kakak-kakaknya" Ada sesalan di dalam hati. Tetapi mungkin ianya mengandung kebaikan dalam proses mengenal kekuatan seorang anak. Asalkan ibu mahupun bapa teguh mempertahankan proses yang terhijab.
"Sah-sah Abang tu lelaki, mana nak sama dengan perempuan", tingkah pula suami.
"Benar, cuma ada sesuatu yang membuat saya tercari-cari, apakah pegangan atau prinsip yang seharusnya saya berpaut perihal anak-anak, bukan anak kita tetapi melibatkan anak, tidak kira milik siapa anak itu.. Saya masih belum menemukan jawapan."
MANGSA PERBANDINGAN ITU BIASA
"Semalam Oji mengambil report card anak-anak di sekolah. Geram betul Oji dengan guru kelas Hanif."Jiran saya mengadu hal.
Hanif anaknya belajar di tahun 4 dan adiknya Ikmal di tahun 3. Ikmal dilantik pengawas, pelajar pintar kelas A. Hanif abangnya masuk ke kelas paling corot, kerja rumah selalu tidak disiapkan.Dia merupakan pelajar lembam di sekolah.Namun ibunya redha dengan ketentuan Ilahi.
"Depan-depan Oji cikgu dia banding-bandingkan dua beradik ni"
"Hanif ,kenapa baju kamu kotor sangat, cuba tengok adik kamu Ikmal, dia boleh kemas saja datang sekolah, kenapa kamu tidak jadi macam dia"
"Berdesing telinga Oji, Oji sound cukup-cukup cikgu tu tapi dengan cara baik lah"
"Cikgu,terima kasih, saya appreciate cikgu tegur Hanif, menunjukkan yang cikgu prihatin kepada anak saya. Tetapi boleh tidak cikgu jangan bandingkan dia dengan Ikmal. Sebagai ibu, sayapun tidak mahu anak saya terasa."
Oh hebat adikku mempertahankan maruah si anak walau mungkin anak itu sendiri belum memahami jati dirinya dicalar secara halus. Kakak tidak seberani kamu, dik.
DI SEBUAH MADRASAH TAHFIZ
"Anak kakak yang besar tu memang tidak boleh menghafal, tidak seperti adiknya boleh. Memang dia tak boleh kami tengok.Kami fikir sampai hujung bulan ini sajalah kami terima dia di madrasah ini, lepas itu kami terpaksa keluarkan dia. Adiknya boleh terus di sini", beritahu seorang ustazah tahfiz kepada seorang sahabat saya sambil berdiri. Tanpa ada kata maaf berlapik beralas,atau mohon si ibu duduk bersama laludiajak berbincang.
Apakah semasa menuturkan bait-bait kata itu tidak hadir bersama perasaan? Atau bila memperkatakan tentang anak orang lain ,main tangkap muat sahaja. Fikirkan tidak perasaan ibu bapa yang menerima , hikmahnya di mana.Berilah harapan atau barangkali pujukan. Quran di dada seharusnya mengalirkan perkataan yang lebih mulus atau memang bukan itu jaminan dunia.
Anak-anak, kamu wajar mendapat pembelaan dan sangkaan yang selayaknya.
BERTAHUN MENCARI JAWAPAN
Saya berkelana, berhijrah ke beberapa negeri dan daerah.
"Puan, dah tahu result anak puan? Teruk tau keputusan dia, saya tidak tahu lah macamana bila peperiksaan betul nanti. Dia seperti tidak ada masa belajar",kata seorang guru apabila terserempak dengan saya.
"Anak puan tu geram saya mengajarnya. Namanya membawa maksud 'Yang faham' tapi menjawap peperiksaan macam budak tidak faham. Entah apa-apa yang di jawabnya.Kalau di soal tidak akan dapat mendengar suaranya, orang berkawan dianya tidak."
Di tengah khalayak,bukan dalam sebuah bilik yang privacy ,seorang ayah menerima info-info tentang anaknya dari seorang mualimah.
"Anak tuan keputusannya yang paling teruk, ranking dia yang paling last. Dia seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Dengar juga ada masalah -masalah disiplin yang lain. Kami tidak tahu hendak dibuat macamana lagi dengan dia."
Andai saya yang terpaksa menerima itu semua,saya tetap redha dan berterima kasih. Tanpa guru anak saya tidak juga akan ke mana.Anak -anak siapa saja bakal tidak maju ke mana, berkembang terkehadapan Keberkatan guru membawa bersama kejayaan.Tetapi apa ya , ada sesuatu yang lompong tanpa kelihatan puncanya.Sesuatu yang hadir ibarat tanpa suara.
Saya adalah ibu yang merakam, setiap patah bilah kata yang dituturkan,akan saya terjemahkan lalu membentuk emosi, maka saya harus terus mencari jawapan.
Sesungguhnya hati orang yang khilaf itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya
AKHIRNYA SAYA MENEMUKAN SESUATU YANG PASTI
Apabila berdepan dengan komen -komen daripada sesiapa sahaja, mahupun individu tentang anak saya mahupun anak mereka saya akan penuh yakin menuturkan,
"Saya yakin Allah sedang menyusun sesuatu yang baik untuk dia "
"Dia sedang diacu dalam pentarbiahan Allah, maka pasti sesuatu yang amat baik sedang menanti dia"
Kerana saya seorang ibu, siapa lagi yang akan bersangka baik terhadap perancangan Allah untuk anak sendiri. Maka seharusnya kata kata penuh hikmah itu dituturkan oleh saya kerana saya juga pendidik, walaupun bukan khusus di sekolah, Jika tidak ada sifat semulajadi yang sebegitu, maka belajarlah, belajarlah menuturkan dengan.penuh hikmah.
Belajarlah bersangka baik dengan anak-anak didik kita , anak jiran kita ,anak-anak sahabat kita.
Berbual dengan dua orang individu ini, saya semakin yakin sudah hampir menemukan jawapan pasti , apa yang saya cari selama ini.
Ustazah Kartini dan Ustaz Adnan, dua jiwa yang berjaya menerobos meneropong jauh ke dalam sukma anak-anak. Ramai lagi guru-guru SMIH yang seperti mereka,warden asrama sekolah,Ustaz Iswan yang selalu menuturkan "Acap, Acap anak Ustazkan..." dan ustazah Zuraidah adalah di antara PERMATA SMIH. Dengan mereka saya sentiasa berkongsi rasa, dan di antara kesempatan yang Allah beri juga adalah ketika bermuamalah dengan insan- insan ini.
"Enti, Ana yakin anak-anak enti adalah anak-anak yang diserap tarbiah.Walaupun keputusann peperiksaannya tidak memberangsangkan sekarang tetapi ana yakin anak-anak yang membantu agama Allah walau di sekolah , akan dipermudahkan kehidupan mereka oleh Allah.Ana nampak dia bersungguh-sungguh belajar dan cuba mengatasi keputusan yang lepas. Mereka anak-anak yang membanggakan Ana. Enti , ibunya sangat-sangat bertuah dan beruntung, bersyukur di kurniakan anak sebegitu.".Sambil menggenggam tangan saya , ustazah seolah memeluk erat hati saya. Saya yang rasa.
Masyallah, dari mana Ustazah memetik kata-kata tersebut, adakah dari ranting-ranting pohon di syurga. Saya bukan mahu dipuji jauh sekali untuk disanjung, cukuplah sekadar meraikan jiwa lelah seorang ibu mahupun jerih seorang ayah. Ianya bagai pesona mata air dingin yang menghilangkan dahaga resah.
Jazakillahu khairan Ustazah
Dan saya belajar dari situ
Keagungan peribadi anda terletak pada kesedian anda untuk memberi bila beruntung, untuk memimpin bila berilmu dan untuk membela bila kuat
"Sayang pada Ustaz Adnan ,ummi. Kata -kata dia membuatkan kita percaya kita istimewa. Kita memang boleh berjaya, jika kita betul-betul berusaha", beritahu seorang anak.
Alhamdullillah
"Ustaz , saya meletakkan anak saya di sekolah ini bukan untuk berlepas tangan. Saya percaya dia sedang mencari dirinya dan allah sedang menyusun sesuatu untuk mentarbiah jiwanya. Dia melakukan sesuatu yang berbeza dari apa yang kakak-kakaknya pernah lakukan,dia dibandingkan pun saya bersangka baik pada Allah."
"Insyallah Puan, kita akan mencari di mana kekuatan anak ini, dari situ kita bimbing dia"
"Anak saya menganggotai kumpulan nasyid sekolah, Allah kurnia dia ada suara dan boleh melantunkan nasyid. Cuma dari dulu saya hanya mendengar anak-anak yang menganggotai kumpulan ini adalah anak-anak yang akhirnya akan membawa masalah kepada diri mereka dan pihak sekolah .
Ini kerana glamour yang menyerang dunia mereka. Mereka tenggelam dalam kemasyuran barangkali. Tergelincir, tersungkur mungkin tidak ada yang menghulur tangan, membimbing nasihat Sedangkan saya amat yakin anak-ank ini adalah anak-anak yang banyak menggunakan otak kanan mereka.
Kekuatan mereka adalah pada bakat yang ada. Saya amat -amat berharap perhatian yang sewajarnya diberikan pada kumpulan ini. Suntikkanlah ruh Islam pada mereka supaya mereka faham ada amanah yang mereka bawa walaupun pada sekadar menyanyi dan menyampaikan nasyid. Ada ibadah yang menanti."
Ustaz Adnan mengangguk-angguk, dan melalui anakanda yang dikasihi saya merisik khabar menghargai perhatian dan prihatinnya beliau. Beliau benar-benar menyelusuri liku ,mentarbiah ,menghargai dan memberi ruh dan kasih kepada anak-anak yang pernah dianggap pelajar bermasalah.
Jazakallahu khairan Ustaz
Dan, saya semakin bertambah belajar dari situ
Rupanya kita hanya perlu percaya setiap anak punya jiwa,jika bersalah boleh menghukum itu memang wajar. Tetapi andaikata kita menunjukkan kepada mereka bahawa mereka selayaknya dihargai, mereka mempunyai kekuatan tersendiri...dengan sendiri kita telah melahirkan kembali ramai rijal sejati!
Jangan biarkan saya berjuang sendiri!
0 comments: