•09:16
"Faheem, boleh tidak duduk baik di belakang tu, ummi sedang bawa kereta ni. Lompat sana, lompat sini boleh terhantuk, sakit".
Cuba menenangkan bujang yang seorang ni. Dia melompat dari kerusi tengah kereta unser dan menggulungkan badannya ke kerusi belakang . Dan perbuatannya betul-betul menggangu konsentrasi saya memandu.
"Sorry Ummi! Faheem tak kacau Ummi, Faheem buat sendiri-sendiri, yeaahh sayalah spiderman beraksi!"
Tu tidak lain tidak bukan tempias aksi di televisyen yang ditirunya hingga hendak pecah rasanya suasana di dalam kereta. Hujan di luar maka jalan agak licin, saya terpaksa memperlahankan pemanduan,dan aksi Faheem sebentar tadi benar-benar menggegarkan seluruh kereta.
Tiba di satu persimpangan lampu isyarat, memperlahankan kereta dan berhenti menunggu isyarat lampu hijau menyala semula. 3 minit dirasakan lama. Saya tiba-tiba terpandangkan sepasang suami -isteri yang menunggang motosikal di sebelah kiri kami, juga sedang berhenti. Cuma apa yang meruntun hati adalah di antara ruang mereka berdua ada dua orang anak mereka yang masih kecil.
Dalam kehujanan yang semakin melebat itu, anak-anak itu kelihatan mendakap dikepit kesejukan, bahagian kepala hanya ditutup dengan sehelai plastik mengganti payung melindung hujan oleh ibunya.
Ketika itu, terlintas di hati, besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami , wahai Allah.
Saya yang ketika itu berada di dalam kereta, diatas kerusi yang empuk tanpa ditimpa walau setitispun air hujan di luar sana bersama Faheem yang selesa untuk duduk, baring mahupun melompat riang seolah rasa bersalah untuk berada di situ melihat ibu ayah juga dua anak mereka kesejukan diatas motosikal.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".
[Ar Rahman: ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali]
Di luar, hujan terus membasahi Unser kami, di dalam, hati saya yang basah disapa kesayuan.
"Faheem cuba tengok di sebelah kiri, budak-budak yang di atas motor tu"
"Kesian mereka basah, Faheem"
Terhenti aksi lagak superheronya, diam melekapkan mukanya ke cermin kereta.
"Kenapa ayah dia tak beli kereta, bila hujan kesian anak dia basah."
"Ayah dia tak ada duit, eh bukan, ayah dia mungkin belum cukup duit. Motor saja yang ayah dia mampu beli. Nampak tak Faheem, budak-budak tu basah, tapi Faheem tidak. Faheem harus banyak-banyak bersyukur pada Allah. Faheem boleh naik kereta besar, boleh lompat sana-sini walaupun ummi suruh duduk baik-baik. Budak -budak tadi, sempit, kena kepit tentu sejuk kena timpa hujan."
"Faheem nampak, Ummi", matanya tidak lepas meleret ke pandangan kirinya.
"Apa yang patut Faheem rasa?"
"Bersyukur pada Allah...." Suaranya antara dengar dan tidak kerana fokus pandangannya masih di situ sehinggalah 180 saat berlalu apabila kami dan motosikal tersebut bergerak menghala laluan berbeza.
Itu hanya sebuah kisah sketsa biasa yang adakalanya kerana sudah terlalu biasa tidak mampu mengetuk jiwa untuk mengambil ibrah darinya..
Kami Allah berikan nikmat tinggal di rumah selesa, ada insan yang mungkin rumahnya berbumbung tetapi lantainya bumi retak seribu. Kami Allah kurniakan cukup makan pakai, ada insan andai tidak dikais pagi maka petang nya belum tentu perut dapat diisi. Kami yang segala barang yang tidak berguna malah bersisa maka ditempat pembuangan sampah segalanya dicampakkan, ada insan tempat seperti itu dituju barangkali disitu ada punca yang boleh mendatangkan rezeki buatnya hari itu. Kami yang Allah kurniakan sihat seluruh tubuh badan, ada insan sakitnya ubatpun tidak mampu dibeli. Kami yang Allah kurniakan nikmat berkenderaan, ada insan yang sekadar mampu memandang, kenderaannya adalah sepasang kaki dipinjamkan dari Maha Pencipta. Kami yang Allah limpahkan untuk mengecap segenap kasih sayang, berkeluarga, ada insan kasih untuknya tandus, sayang darinya gersang. Kami yang Allah kurniakan nikmat melihat, mendengar dan berkata-kata, ada insan dipilih untuk menjadi buta, tuli dan bisu. Namun tidak akan pernah dari pemberian Allah itu ada yang sia-sia. Andainya syukur adalah mutiara yang kita genggam.
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[Ibrahim:34]
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".
"Akak saksikan sahabat kita itu longlai menghadapi musibah, suaminya pergi menghadap Ilahi kemalangan. Suaminya terjatuh dilanggar mat rempit, bas Rapid Penang itu tidak sempat mengelak, suaminya menjadi mangsa sedangkan anak-anaknya masih kecil dan bersekolah. Dia kehilangan suami, dengan cara yang amat tragis, namun akak masih ada suami yang boleh menanggung kami. Suami akak bukanlah manusia yang sempurna,tetapi akak harus bersyukur untuk menerima segala kekurangan dan juga kelebihan dirinya."
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
[Ibrahim:7]
Saya tekun mendengar ceritanya.
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
[Al Baqarah: 152]
"Dari situ terdetik di dalam hati akak seharusnya kita patut belajar menghimpun syukur. Agaknya kita digerakkan Allah untuk melihat sesuatu, baru terbit rasa untuk bersyukur. Adakala kita membanding dan mengharap akan sesuatu yang lebih, sedangkan apa yang sedang Allah beri itu sudah cukup untuk kita rasa bersyukur, tetapi seperti ada jurang untuk kita bersyukur. Dan alang, apabila akak lahirkan sahaja rasa syukur tu, banyak nikmat-nikmat yang selama ini tidak kita sedari rupanya memang sudah lama terbentang di hadapan kita. Malah apa yang selama ini tidak kita rasai, Allah tambahkan secara spontan lagi dan lagi, Alang. "
Diriwayatkan daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA bahawa nabi SAW bersabda:
Menakjubkan bagi urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua perkara baginya adalah baik. Ia tidak berlaku kepada seseorang selain mukmin. Jika seorang mukmin menerima kegembiraan dia akan bersyukur, perkara itu baik baginya. Jika ditimpakan dengan kemudharatan dia akan bersabar, perkara itu baik baginya. (Riwayat Muslim)
Mata saya berkaca, matanya juga begitu. Ziarahnya dibilik 134 pagi hari itu meninggalkan kesan yang amat mendalam .Saya bawa bersama luahannya sebagai bekal azimat ke dewan pembedahan.
Terima kasih kanda.
0 comments: