Author: -Ainul Yaqin-
•00:14

"Pak Usu nak pesan  pada Ishah dan adik-beradik, sekiranyalah Allah  bentangkan nikmat dan kelebihan di depan mata bagi orang yang menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua, maka Pak Usu percaya kau orang adik-beradik akan 'bergaduh' sesama sendiri."

"Bergaduh?"

"Bergaduhlah, kerana berebutkan nikmat yang melimpah ruah di depan mata."

"Oh faham...faham"

"Namun Allah menghijabkan semuanya di dunia, maka apabila masing-masing faham, rebutkanlah peluang menjaga orang tua , mak ayah yang semakin uzur."

Begitulah Pak Usu, bicaranya selalu berbuahkan isi. Jika ingin lagi mutiara hidup maka rapatlah padanya. Ajaklah berbual, pasti banyak lagi yang bakal dikutip. Dan kata -kata Pak Usu petang itu menjadi azimat untuk menjadi anak yang meletakkan pengharapan untuk bertenang dan berlapang dada meneladani ayah mak yang semakin uzur.

"Memang orang tua adakalanya sudah bersikap kembali seperti budak. Dan selalunya sikap kita semasa tua mencerminkan amalan kita semasa muda.". Saya tekun mendengar.

"Sebab itu, jika orang tua kau berperangai, anggap saja mereka sudah tidak ada daya. Hati hendak berbuat macam-macam tapi kudrat mereka sudah tidak termampu." Saya semakin merasa bertuah dapat berkongsi dengan Pak Usu saat itu.

"Ayah berdoa pada Allah, jangan sampai Allah berikan ayah sakit terbaring, terlantar, nyanyuk dan lupa. Nanti akan memberi susah anak-anak sahaja."

"Ayah jangan sebut macam tu, jika benar memang wajar anak-anak bersusah pun masa itulah anak-anak sepatutnya berkorban. Istilah menyusahkan anak-anak tidak patut wujud."

"Minta dijauhkan Allah, kalaulah boleh itulah doa ayah.."

Perbualan dengan ayah saya pada suatu hari, kembali terbayang. Agaknya memang semua orang tua berimpian begitu. Tidak mahu menyusahkan anak-anak. Tambahan anak-anak yang telah membina keluarga. Maka mereka akan bersikap susah menanggunglah sendiri yang ada ketikanya mengundang geram si anak juga. Kononnya sikap orang tua mereka begitu, adakalanya menambah sukarnya mereka.

Sebenarnya anak-anak lah yang terkurang peka, lebihkanlah perhatian tunjukkan anak-anak sanggup bersusah asal orang tua mereka selesa, asalkan kebajikan orang tua mereka dipedulikan. Perlu sangat menunjukkan yang kita memang beriya-iya sanggup bersusah lepas tu zip mulut jangan diungkit-ungkit kesusahan yang telah kita tempuhi maka barulah ayah dan ibu tua itu nanti akan beralah menerima bantuan si anak.

"Tak apa, ayah rasa ayah kuat memandu bawa mak balik Johor Bahru, rumah kakak. Ayah akan bawa pelan-pelan."

Saya tidak setuju kerana saya tahu ayah memang tidak sihat tambah emak sudah memang sakit. Adik-adik bekerja dan tinggal jauh. Hendak menjenguk mereka selalu akan menyusahkan, jadi keputusan membawa keduanya pulang semula ke Johor Bahru. Itupun dengan alasan tidak mahu menyusahkan anak, ayah ingin gagahkan diri yang tidak segagah dulu membawa emak yang sakit dengan keretanya sendiri.

"Macam mana kakak hendak memandu dengan baby dan Yaya yang tidak duduk diam nanti. Bahaya. Ayah dah sihat, boleh dah pandu sendiri." Sewaktu itu, suami saya menunaikan umrah menemankan ibunya. Maka kata hati saya,  saya boleh melakukannya maka saya akan tetap melakukannya selainnya saya berserah kepada Allah.

"Oh itu ada seninya ayah, Faheem perlu disusukan sepanjang jalan. Alya ada macam-macam kaedah hendak minta dia duduk diam selama 5 jam perjalanan nanti. Senang sahaja tu."

Ya ke senang? Tidak senang sebenarnya, namun saya sengaja membayangkan ianya akan menjadi sangat senang. Intonasi terpaksa meyakinkan supaya ego orang tua ayah yang tidak mahu menyusahkan anak itu rebah sendiri.

Ayah masih berkeras dengan plan awalnya, akhirnya cair bila saya ajukan satu persoalan. Dan saya sangat merasakan bahawa soalan itu Allah ilhamkan secara spontan untuk mematahkan hasrat ayah. Akhirnya saya menang.

"Ayah, perjalanan 5 jam ke JB lama. Jika mak hendak ke tandas sepanjang highway, mak perlu dipimpin. Ayah hendak bawa mak ke tandas lelaki atau ke tandas perempuan. Dua-dua tidak kenakan?"

Dan ayah benar-benar terdiam. Memikirkan agaknya. Saya tersenyum sendiri. Dan bila terdengar suara esakan kecil ayah di hujung talian, saya menelan liur sendiri.

"Tok Ayah esok Yaya, Faheem dan Ummi ambil tok ayah dan mak tok di Gombak. Esok juga kita balik JB, Tok Ayah rehat dan jangan sedih, asalamualaikum ."

Nurin, Muhamad minta kak long dan Kak ngah menengokkan sehingga malam. Makan tengahari anak-anak minta tolong jiran yang belikan.

Talian saya matikan. Selepas itu saya mengongoi sayu dalam kemenangan sambil memeluk Yaya dan Faheem yang kehairanan! Kasihannya ayah emak.


SAAT-SAAT AKHIR AYAH

Kami yang menjaga mak yang sakit berulang ke Hospital Kulai saban waktu. Apabila saya menunggu menjaga emak di hospital, ayah membantu suami mengasuh anak-anak di rumah. Pernah suatu hari menu telur dadar cencaluk, menu yang Tok Ayah ambil dari majalah saji menjadi bahan bualan. Sedapnya Tok Ayah masak, nasi panas 3 pot beras habis licin dimakan berkongsi dalam talam! Jimat tidak payah mencuci pinggan banyak kata  Tok Ayah.

Suratan Allah, emak yang sakit tetapi Allah menjemput ayah pergi dahulu. Dalam tempoh seminggu ayah jatuh sakit, apabila dilakukan scan, didapati ada ketumbuhan yang besar di salur utama ke jantung. Usia ayah yang sudah lanjut menjadikan pembedahan berisiko tinggi.

Adik ipar saya seorang doktor pakar menuturkan, "Kak Lang layan dia baik-baik, apa yang dia teringin nak makan berikan saja, apa sahaja yang dia berhajat tunaikanlah. Pembedahan tidak boleh, berserah dan berdoalah."

Saya tidak sangka ayat -ayat tersebut menandakan ayah  menghidapi diagnosis sudah tidak ada harapan untuk sembuh. Keajaiban hanya dari Allah.

Hari yang ke lima ayah jatuh di bilik air dan saya terpaksa menghenyak pintu bilik air sehingga terbuka dan terpaksa memanggil bantuan jiran-jiran berhati mulia untuk mendudukkan ayah di kerusi roda kemudian disorongkan ke bilik. Hari ke 6 dan ke 7 ayah terpaksa dipakaikan lampin dan sudah mula tidak boleh bertutur, hanya tidur. Menyalin lampin kami terpaksa mengguna kudrat tiga beradik untuk mengalihkan ayah.

"Abang ,adik, macam mana kakak nak buat semua ni sorang-sorang. Mak sakit, anak-anak kakak kecil-kecil, abang Apis kerja," Mak teresak-esak. Oh mak sudah memikirkan sampai ke situ. Malah saya fikir, dengan izin Allah ayah akan sembuh jika tidak pun saya percaya tenaga yang kuat akan hadir dari dalam. Cuma Ya Allah, jangan sakitkan aku buat masa ini.

Ayah pergi menghadap Ilahi tanpa pesan, tanpa sebarang kata-kata pada hari yang ke 8. Rupanya Allah makbulkan impian dan doa ayah agar dia tidak terlantar dan hanya tiga hari penuh kami meladeni dirinya.
Allah mengabulkan pintanya agar dia tidak sampai menyusahkan anak-anak. Tempoh seminggu yang mengejutkan. Sepanjang sakitnya ketika mana ayah masih boleh bersuara, saya kagum dengan akhlaknya. Sememangnya ayah bukan orang tua yang mengherdik, baran dan merengus ketika sakit. He was a very polite old man during his sickness.

"Kakak, kakak free ke lepas ni."

"Free, boleh di free kan, kenapa ayah, suri rumah kerjanya mana pernah habis."

"Kalau boleh, nanti kakak tolong urut ayah  kat belakang ya, bisa sikit, kesian kat mak tangan mak dah tak kuat."

"Ayah pesan pada mak jangan beritahu kakak jika dia ada sebut teringin hendak makan apa jika waktu tu sudah malam. Sebab kakak  nanti terjah keluar cari apa yang ayah nak makan masa tu juga, malam bahaya kakak keluar bawa kereta." Emak saya mengadu. Sampai begitu sekali mulianya ayah memuliakan saya.

Nurin adalah cucu yang paling hiba dan merana dengan pemergian ayah kerana Nurin hobinya memicit jerawat di hidung Tok Ayah dan rajin memicit badan dan kaki tok Ayah yang lenguh. Suatu pagi Nurin menangis meraung  terjaga dari tidurnya turun dari tingkat atas, kami syak dia diusik Muhamad. Dalam esak tangisnya yang hiba dia bersuara.

"Tok Ayah datang pimpin Nurin malam tadi, belikan Nurin jajan banyak, lepas ni Nurin dah tak ada Tok Ayah nak belikan jajan."

Ayah pergi dia berumur 7 tahun, saya memeluknya yang kehilangan.


SAYA DOKTOR PERIBADI MAK

Selepas pemergian ayah, saya kira tentu sekali emak dibaluti kesunyian. Kami bergilir menemankan emak tidur di bilik bawah.

"Tekak ni terasa pahit, makanan ni semua rasa pahit, makan lauk ini pahit, makan nasi rasa pahit, tak tahu lah nak makan apa."

"Mak, ubat yang mak telan  pagi tadi tu beri kesan. Mak sabar ya, kalau Rasulullah masih ada nanti tentu Rasullullah tak suka mak merungut pasal makan macam tadi. Tak elok ya mak ."

Dan mak mudah akur sebagaimana dia sangat akur dengan jadual pengambilan ubatnya saban hari. Tepat waktu dan disiplinnya. Matanya sentiasa menjeling jam di dinding. Saya hanya megambil bacaan gula darahnya mengambil tekanan darah mak lalu dicatitkan di buku catitan. Setiap bulan laporan itu perlu dipersembahkan  kepada doktor di hospital yang merawatnya.  Sehingga sekarang bekas plastik yang asalnya bekas gula-gula anak-anak yang bertanda hari dari Monday sehingga Sunday pada setiap petak bekas tersebut menjadi kenangan mengatur jadual ubat emak. Ada dua bekas ,satu merah untuk pagi dan satu lagi biru untuk malam.

"Jagalah mak Ishah baik-baik sementara dia masih hidup." Pesan mak mertua saya. "Mak redha anak mak, Apis jaga mak Ishah. Belai dia, mak ni rasa menyesal sangat sebab mak ni tak membelai atuk Siah semasa dia sakit."

"Kan mak selalu turun ke Segamat menjaga Atuk Siah."

"Mak jaga sahaja tapi mak tak sempat membelai dia. Menjaga dan membelai ni beza Ishah. Belai ni kita urutkan, picit yang mana badannya lenguh, sapukan krim ke, minyak angin ke. Mandikan, sikatkan rambutnya, bedakkan.Jadi di situ mak kurang. Semuanya bibik yang buat, mak tak boleh angkat berat-berat, makpun dah tua, ada masalah jantung pulak. Allah ampunkanlah mak."

Terpana juga saya mendengar tips dari mak mertua. Sangat terasa mulianya mak mertua untuk menuturkan semua perkataan itu. Ketika itu mak saya masih sihat. Waktu itu mak saya hanya tidak kuat berjalan dan berdiri lama. Maka dengan kerusi roda yang diwakafkan oleh Pak Itam, saya membawa mak membeli-belah di Plaza Angsana mahupun ke Jakel membeli kain.

"Sekarang , atuk Siah dah tak ada mak rasa kalau boleh dipusingkan waktu mak hendak buat apa yang tidak sempat dulu." Azimatnya pesanan mak mertua.

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]

Dan terasa kita adalah hamba yang kerdil, anak yang dikasihani semasa kecil bilamana sampai ke satu peringkat kita pula berbakti memandikan, menyabunkan seluruh badan orang tua kita malah mencuci najis mereka. Menyisir rambut, menggunting kemas rambut, membedakkan dan menyarungkan baju dan pakaian malah memakaikan lampin untuk mereka. Sebesar nikmat untuk merasakan apa yang pernah mereka lakukan ke atas kita semasa kita kecil dahulu.

Allahu... kesempatan itu Engkau anugerahkan juga kepada hambaMu ini.

Rupanya nikmat sihat ini membolehkan kita menjalani rutin kehidupan yang pantas dan penuh semangat ini membuatkan manusia tidak akan mampu menyedari setiap pergerakan dan perbuatan itu adalah nikmat yang besar semasa sakit kita.

Bayangkan untuk membawa mak yang sakit ke bilik air rentetan yang berlaku adalah, mencempung mak bangun dan memindahkan ke kerusi roda. Menolak kerusi roda ke dalam tandas, memapahnya ke mangkuk tandas. Selesai membersihkannya memapah kembali ke kerusi roda lalu ditolak masuk ke dalam bilik. Memapahnya semula ke katil. Ianya seolah pergerakan yang di slow motion kan walhal ketika sihat pergerakan itu seperti dilakukan tanpa kita sedari. Masyaallah.

Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat baik (santun) kepada kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sesekali engkau berkata 'ah' terhadap mereka, dan janganlah engkau menengking mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan-santun dan lemah lembut." 
(Surah Al-Isra', 24).

Nikmat yang menanti itu sesungguhnya banyak, bukanlah tujuan merebutnya untuk ganjaran yang banyak, tetapi andai kata hidup ini bagaikan roda, what you give you get, maka saya berlindung di bawah lembayung rahmat Allah agar anak -anak saya tidak melupakan saya dan ayah mereka di saat andai kudrat tidak mengalir di dalam tubuh lagi.

Mak meninggalkan kami 29 April 2007 di hening sebelum menjengah subuh. Kuburan mak bersanding sebelah ayah di perkuburan Saleng, Kulai.

"Pakcik Jamal kenapa selepas ayah meninggal dua tahun selama ini pakcik tidak menggali dan tiada dikebumikan sesiapa pun selepas itu di sebelah kubur ayah saya."

"Sebelah kubur ayah puan, tiga langhah ke pokok mangga yang besar ini, selalunya banyak sangat akar yang menyukarkan kubur digali. Maka saya menggali di kawasan yang lapang. Tapi bila ada permintaan untuk dikebumikan disebelah kubur itu saya mengagak mesti ini suami isteri. Di kawasan perkuburan Saleng ini ada tiga pasangan yang bersanding kuburnya suami isteri. Salah satunya ibu bapa saya dan ayah dan emak puan. Saya bertawakkal kepada Allah dan  saya memang terkejut , mudah urusan saya apabila tidak ada satupun akar yang menggangu saya  semasa menggali. Tanah ini clear, memang rezeki allahyarhamah untuk bersemadi di sebelah suaminya."

Mak dan  Ayah kami tinggalkan bersemadi  di Saleng manakala anak-anak di Sekolah Menengah Islam Hidayah di Seelong untuk memulakan kehidupan baru berpindah dari Johor yang mengungkap seribu kisah dan cerita kita bersama . AL FATEHAH.

Berbaktilah kepada dua orang tua. Fahamilah kehendak mereka, bukan kehendak kita..



















Author: -Ainul Yaqin-
•08:14


"Ummi Ustaz Jalal accident terjatuh dari motor, ada di wad B2  Hospital Ampuan Rahimah, Kelang",    anak saya Faheem menghantar mesej.

Saya sudah dimaklumkan terdahulu oleh sahabat saya dari Johor Bahru. Anaknya sama-sama berada di madrasah yang sama dengan Faheem. Ustaz Jalal amat berjasa dalam memahatkan pengajian ilmu al Quran kepada Muhamad dan kini diturunkan pula kepada Faheem. 

Ceritanya Ustaz terjatuh dan akibat luka di lengannya yang agak teruk dia dimasukkan ke hospital. Dari situ pemeriksaan ke atasnya mengesahkan luka itu bertambah teruk disebabkan ustaz mengalami diabetes.


Kami bergegas menziarahi beliau hujung minggu tersebut. Rasa simpati tidak dapat dibendung. Lebih-lebih lagi mengenangkan anak-anaknya yang masih kecil. Tambahan lagi dengan 25 orang anak didiknya di madrasah Al Quran termasuk Faheem pastinya akan terganggu sedikit pengajian mereka. 


Namun sunatullah, orang agama, ujiannya bak ombak menyinggah pantai, sering tidak terduga. Sedikit melegakan adalah ustaz diberitakan semakin stabil dan bukan lagi di wad ICU tetapi telah dipindahkan ke wad biasa lelaki, B2

Waktu lawatan, hospital sedikit meriah, parkir hanya kosong jauh di hujung kawasan. Tidak susah mencari wad, pelawat berpusu -pusu pulang dan pergi. Melangkahkan kaki sahaja ke dalam wad tersebut, hati saya turut sama sesak seperti mana sesaknya pelawat yang datang menziarahi kenalan dan saudara. Bau ubat-ubatan kuat menyinggah hidung, masih boleh ditahankan sahaja.

Perasaan dihimpit pilu dan sayu, katil-katil pesakit disusun teramat rapat untuk menampung pesakit yang teramat ramai. Sungguh keadaan itu benar-benar tidak selesa tetapi apakan daya, ruang yang sempit itulah peluang mereka untuk mendapatkan  rawatan secara teratur berbanding jika duduk di rumah. Sebaris yang sepatutnya hanya diisi dengan dua buah katil, bersesak sehingga empat katil disusun rapat-rapat.

Betullah, kata seorang sahabat yang selalu mengikuti program Hospital Visit, selain menziarahi kuburan melawat ke hospital-hospital besar milik kerajaan, meninjau kepayahan dan ketidakselesaan yang terpaksa dilalui pesakit mampu melahirkan rasa keinsafan yang luar biasa. Ada peluang untuk turut serta program seperti itu maka pergilah. Nescaya hati yang keras bakal disapa keinsafan ,melihat nikmat yang tidak terhitung kurniaan Allah terhadap diri. 

Kita berdiri di sisi mereka, sihat dan walafiat. Mereka terlantar, terbaring kesakitan. Sebentar nanti kita akan pulang ke rumah selesa dan tidak menyesakkan, mereka di situ bersesak-sesakkan,  keselesaan sudah jatuh ke nombor entah ke berapa. Memang tabik diberikan kepada jururawat dan doktor yang menghadapi tugasan seharian dalam suasana sebegitu.

Dari jauh sudah kelihatan Ustaz Jalal. Kami berselisih dengan pelawat yang pulang dari menziarahinya. Pasti tadinya, mereka yang ramai berjubah putih berserban adalah sahabat-sahabatnya. Tersentuh hati melihat dia sedang terkial-kial menyorong troli makan dengan tangan kanannya yang merah membengkak agar tray yang berisi bubur untuk makan petang dapat berada betul di hadapannya. Kerana sempitnya ruang, roda troli tersebut tersekat untuk digerakkan.

Beliau yang sangat kami muliakan kerana ilmu AlQurannya terpaksa berhimpit di wad  kelas 3 ,kerana beliau bukanlah seorang yang berjawatan di dalam jabatan kerajaan. Hanya seorang ustaz di sebuah madrasah tahfiz biasa. Kemuliaan ilmunya sangat wajar untuk mendapat peluang dirawat di wad kelas pertama tetapi apa boleh buat sudah peraturannya begitu. Mudahan kesempitannya di wad B2 tersebut menjadi tamsil kafarahnya untuk menikmati keluasan dan kenikmatan syurga di akhirat nanti.

Sebelum turun melalui lif, kami melencong terus ke hadapan tertulis WAD KELAS 1. Suasananya tenang, tidak hingar bingar seperti di ruang sana . Ada bilik untuk seorang, dua orang, empat  orang dalam bilik-bilik tertentu.

"Abang ,wad untuk orang berpangkat dalam jabatan kerajaan."

Ketika menuju ke kawasan letak kereta suami berbisik, "Ishah, jauhnya berbeza dengan hospital yang Ishah duduk".

Saya tersenyum pahit, memang benar, terasa kerdil diri untuk mengecapi segenap kemudahan penuh selesa di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Pekerja dan keluarga Tenaga Nasional berada di bawah naungan PM Care maka sebarang rawatan adalah dibiayai oleh syarikat. Perbezaannya sungguh ketara.

Baru sebulan yang lalu saya terpaksa melalui pembedahan sinus, setelah batuk dan sesak nafas selama sebulan lebih.

"Wah! Alang ini bilik hospital atau bilik hotel?"

"Dua-dua pun boleh kak". Sahabat yag datang melawat teruja. Saya segan sendiri dibaluti kemewahan dalam kesakitan yang ditenggelami keselesaan.

Bilik untuk seorang siap dengan katil 'declining bed' boleh ubah turun naik katil bahagian kepala dan kaki hanya menekan tombol remote di tepi katil. Bilik air juga khas di dalam bilik .Kemasan dinding dan perabut berwarna oak memang cantik. Disediakan sofa selesa dan meja kopi. Sebuah meja tulis dengan lampu meja berada di bawah televisyen skrin leper. Setiap pagi ada petugas dewan makan akan datang mengambil pesanan menu sarapan ,tengahari dan malam.Namun hospital tetap hospital, takkan hendak memesan menu nasi kandar atau char kue teaw kerang!

Makanan untuk diet hospital sekadar untuk mengisi perut, procedure sebelum mengambil ubat. Jururawat penuh kelembutan melayan, menatang pesakit bagai minyak yang penuh. Apa sahaja keperluan yang diingini tidak perlu bergerak atau menjerit, tekan sahaja tombol kedua,sebentar nanti muncullah jururawat dengan senyuman manis. .

Pasti mottonya 'at your service,maam'.

Malamnya jika ingin mengangkut satu keluarga untuk meneman juga boleh.

Insan yang seperti Ustaz Jalal sewajarnya ditempatkan di wad sebegini. Barulah rehatnya berbaloi mengatasi lelahnya yang panjang selama ini. Tetapi keadaan tidak terjadi begitu.Maka dua keadaan yang ketara itu meletakkan saya diruang berfikir yang mendalam.

Beruntungnya diri,terfikir layakkah saya yang mendapat segala kemudahan rawatan kelas pertama untuk menerima layanan begitu dari Allah di akhirat kelak.

Biarlah pasrah.


Author: -Ainul Yaqin-
•21:46

Menjelang peperiksaan, semua yang terlibat bagaikan diserang wabak. Murid, sah mereka yang akan mendudukinya, guru kesibukan bermula sebelumnya bagi menyiapkan soalan, membawa ke minggu peperiksaan dan menerus ke minggu selepasnya untuk menyemak.

Ibu bapa juga tidak betah mengurus jadual harian menyiapkan diri menjadi supir. Keluar dan masuk rumah menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Itu ibu bapa sekarang, ibu bapa dulu tenang dan 'rileks'. Tuntutan dan peredaran masa benar-benar merubah suasana kehidupan. Tetapi dulu pandai pula anak-anak mengurus hal dan diri sendiri. Apakah kesusahan yang dilalui menjadikan mereka berdiri diatas kaki sendiri.  Semua seperti di serang simptom yang boleh diistilahkan demam peperiksaan, demam 'exam'.  Jika yang belajar di timur tengah boleh disebut demam imtihan.

Bagusnya demam ini antibiotiknya adalah rajin melebihi paras biasa untuk bersolat cukup lima waktu, diawalkan waktunya dan diserikan dengan bunga-bunga sunat terutama sunat hajat. Sangat positif impaknya.Di sekolah digantung sepanduk-sepanduk menyulam kata-kata semangat, direntang bendera -bendera kecil bertulis impian dan target. Strive 5As UPSR,   PMR the best batch,   Go!Go!SPM.

Kem-kem gerak gempur peperiksaan, tidak usah disebut. Bagi pelajar tahun-tahun peperiksaan ini, bermula dari seawal tahun telah diprogramkan minda mereka, 'tahun ini kamu periksa besar'. Sekolah juga turut mengadakan kelas tambahan percuma,kem motivasi, guru berkorban lebih masa, anak murid wajar memberikan pengorbanan demi sebuah kecemerlangan akademik untuk diri sendiri juga untuk kecemerlangan sekolah.

Suasana berlumba dengan masa yang agak sihat, jika tidak remaja nanti fokusnya ke facebook, twitter,PSP,PS2 dan banyak lagi.Selama seminggu hanya hari jumaat sahaja pelajar dapat menjengah pintu rumah sewaktu tengahari, hari lain tunggu petang sahaja. Ibu ayah yang terlebih rajin akan menghantar bekal ke sekolah kerana anak-anak tidak sempat makan di rumah, kelas tambahan bermula setengah jam selepas jadual sekolah tamat. Jika tidak, dengan duit belanja yag dibekal mereka berkejar ke restoran berdekatan untuk mengisi perut. Petang rehat sebentar, dengan sisa-sisa tenaga yang berbaki malam nanti ada tuisyen khas di kawasan perumahan . Tenaga pengajarnya yang menyusun soalan peperiksaan atau pemeriksa peperiksaan,spot questions guru tersebut pasti tidak menghampakan. Soalan soalan percubaan dari sekolah-sekolah negeri yang lain difotostat, diadakan sesi drilling dan perbincangan jawapan. Dulu, kami tidak berpeluang melalui semua ini.

Demam berterusan , suhu kepanasannya meningkat dari sehari ke sehari. Saya teringat dengan kata-kata Cikgu Mohd Amin, guru tuisyen saya di Ming Institution, Jalan Tuanku Abdul Rahman semasa di tingkatan tiga.

"Kamu berhempas pulas dari awal tahun, dua atau tiga hari lagi hendak periksa ,ajak mak ayah kamu pergi tengok wayang". Jenakanya disambut gelak kami satu kelas .

"Beritahu mak ayah kamu, mak, ayah, saya tidak mahu tekanan, maka izinkan saya tekan suis televisyen." bergegar lagi ketawa kami.

Sehari menjelang peperiksaan kami sudah diajar pasrah. Segala yang perlu telah dipindahkan maka guru-guru hanya menuturkan penembak semangat dan ucap selamat. Jika pelajar fokus segala yang dicurahkan pasti takungan mindanya penuh, cukup menjadi bekal untuk ditumpahkan kembali di dewan peperiksaan. Itu dulu. Zaman untuk mendapat straight A's bagaikan satu anugerah !


"Boleh jawap periksa tadi Kak Yin?" Melihat wajah murungnya ,hati sendiri yang tidak sedap rasa.

Dia senyap.

"Insyallah boleh tu, Kak Yin dah tuisyun di sekolah dari bulan Februari, usaha dah banyak selepas ini tawakkal saja ya", saya sendiri yang menjawab untuk memujuk.


SOALAN BOCOR

"Bukan, pagi tadi sebelum periksa, cikgu-cikgu kuarantinkan kami. Cikgu tuliskan dipapan hitam dari no 1 sehinggga 40 dan setiap nombor jawapannya A ,B, C atau D. Kami kena hafal semuanya. Cikgu kata wajib hafal betul -betul, karangkan cerita daripada susunan huruf jawapan  kalau nak dapat A subjek itu. Contoh 1. A, 2.A, 3.D, 4.C 5.B, 6.B, 7. A maka susunlah cerita contohnya Abang Ali Datang Cuci Buah Buah Apple dan seterusnya. Sampai 40 soalan. Masa tu lagi setengah jam nak mula periksa. Kak Yin tidak ingat semua ,serabut sangat berdebar-debar sebab rasa macam tak mampu hafal." Dia mengadu.

Terkejut saya mendengarnya. Kuarantin pelajar untuk mengagih jawapan dan bukan lagi soalan bocor! Saat  dan ketika itu saya rasa seperti hendak meletup! Niat agar pelajar score, kecemerlangan sekolah mencanak tinggi, tapi caranya sudah mengganggu ketenangan pelajar. Hampir setahun berhempas pulas, bersengkang masa, wang dan tenaga memberi kemahiran dan input kepada pelajar ,namun di hari peperiksaan, pelajar tidak berpeluang memberikan output sebenar yang mereka terima malah dihidang jawapan bocor. Mungkin bukan semua pelajar tetapi mangsanya anak saya sangat terganggu! Kak Yin berhak untuk masuk dewan peperiksaan dengan tenang tetapi ketenangannya tercalar.Di calar oleh guru-guru yang obses untuk mencapai status cemerlang dan gemilang . Itu hak mereka saya berlepas tangan.

"Sabar Kak Yin. Apapun keputusan Kak Yin nanti itu adalah di atas usaha Kak Yin yang sebenar ". Bergenang airmata saya, menahan geram dan kecewa.

"Semalam kawan Yaya kata ada guru yang telefon ke rumahnya memberitahu soalan-soalan yang mungkin keluar."

"Bila tu?Kenapa Yaya tidak mendapat panggilan?"

"Malam tadi. Yaya tak dapat, yang dapat pelajar-pelajar yang sekolah target bakal dapat 5 A"

"Oh bagus la tu , ummi bersyukur yaya tidak dapat, alhamdullillah jadi keputusan yaya nanti adalah seratus peratus usaha yaya dan kerja keras guru selama ni, pertolongan Allah dan bukan dari soalan yang bocor, Yaya faham tidak tu?"

MENGIMBAS KENANGAN

Terbayang ketika  Kak ngah dulu semasa beratur di luar kelas yang dijadikan dewan peperiksaan untuk  menduduki UPSR.Di tahun kak long saya sibuk mengurus sanak saudara yang ramai di rumah kerana almarhum ayahanda tercinta meninggalkan kami dan kak long cucu pertama serta cucu-cucu yang lain yang dikasihinya serta seisi dunia ini sehari sebelum  Kak long menduduki UPSR, 4 September 2005.

Di hadapan kelas SRIH. Betapa hening damai dan tawaduknya suasana ketika itu. Ustaz dan ustazah berhimpun ramai menghadap barisan pelajar. Pengetua ketika itu Ustaz Jelani memberikan kata kata semangat dan tazkirah, pesan-pesanan agar menjaga adab dan nama baik SRIH supaya latihan masuk dan keluar dewan penuh tertib yang telah diajar sehari sebelumnya dipegang kemas dalam ingatan. Mengucapkan terima kasih kepada penjaga peperiksaan, guru-guru dari sekolah lain kebanyakan nya sekolah kebangsaan. Bangun jangan menyeret kerusi malah dengan perlahan kerusi diangkat maka riuh bunyi seretan yang menggaggu tidak ada langsung. Akhlak menjadi keutamaan.

Doa dibacakan mengiringi perjuangan pelajar sebentar nanti, dan kami semua mengaminkan. Kebetulan hanya saya ibu yang turut  berada di situ, merai dan meminjam semangat ustaz ustazah menghantar anak ke dewan peperiksaan dan saya suka suasana itu. Arahan agar pelajar bergerak ke dewan bermula, pelajar lelaki mengambil laluan, pelajar perempuan begitu juga. Ustaz beratur sebaris dan pelajar lelaki mencium tangan guru mohon restu. Ustazah sebaris juga menghulur tangan dicium anak-anak perempuan .

"Doakan kami ustaz, Doakan kami ustaz"
"Doakan Kami Ustazah, doakan kami ustazah, "
"Doakan kami makcik, doakan kami makcik" terasa dihargai.
''Doakan angah,ummi"

Anak saya dan kawan-kawan anak saya sedang melangkah ke dewan. Keharuan mengasak rasa. Selesai dan memohon diri ,sepanjang kaki mengatur langkah ke kereta, berjujus-jujus  airmata. Anak-anak ini menduduki peperiksaan penuh dengan restu! Siapapun akan terharu....

RESULT KELUAR

Selepas kelas mengaji di surau taman, beberapa orang teman kelihatan berpelukan melonjak-lonjak riang.
 "Wah seronok sangat  ni boleh kongsi,"

"Alhamdullillah anak-anak kami dapat 5A !"

" Oh tahniah!, emak-emak terlebih suka mesti pagi tadi emak-emak yang terlebih kecut perut," Saya bergurau.

"Sha, anak Sha ambil keputusankan, dapat berapa"

"Alhamdullillah , kakak nya dulu 3A yang memberangsangkan, adiknya tahun ini 4A"

"Baguslah...tapi kesian anak si anu tu,sekolah target anak dia 5A, tetapi anak tu hanya mendapat 4A dah kira bagus tetapi maknya sampai hati tidak mahu melihatpun slip keputusan anaknya."

Malang saya rasakan keadaan itu. Patutlah ada pelajar sanggup lari dari rumah kerana tidak mencapai target, malah ada yang sanggup mengambil nyawanya sendiri. Gara-gara tekanan dari sekolah dan ibu bapa yang terlebih menekan. Itu cara kalian tetapi bukan cara saya!

Panjang hikayat, 1001 malam tidak habis berkisah perihal demam terima keputusan ini.

"Nurin.....kenapa kamu tidak ada satupun A. Ish, ish..kenapa Nurin, 5B ?"

Jikalau saya ada kuasa menghilangkan manusia nescaya satu persatu guru tersebut saya sembunyikan atau hilangkan. Tidak langsung ada kata semangat memujuk malah mempertikaikan keputusan Nurin.Apakah kecemerlangan hanya pada A, saya puas memikirkannya.

Seperti biasa, "Oh alhamdullillah UPSR baru satu permulaan, 5B juga keputusan yang baik untuk dia, terima kasih ustazah." Terbalik, saya patut duduk di tempat mereka.

Seorang pelajar kelihatan mengejar-ngejar anak berlari mendapatkan gurunya penuh gembira Guru tersebut mengajar subjek matematik tambahan, dan sepanjang tempoh dua tahun pelajar tersebut tidak penah lulus subjek tersebut. Dua bulan sebelum peperiksaan dia bertungkus-lumus pelbagai cara memahami subjek tersebut dan akhirnya dia berjaya.

"Cikgu akhirnya saya lulus, Saya berjaya mendapat B subjek cikgu". Tahu apa komen gurunya, "Cikgu tidak mahu B cikgu hendak A!"

Seramai 36 orang pelajar mendapat 5A, Kak Ngah tidak termasuk di dalam senarai tersebut.  Sedangkan ketika itu dia memegang amanah ketua pelajar banat. Dan minggu berikutnya semasa perhimpunan dia dan ketua pelajar banin perlu menyampaikan kata-kata motivasi kepada adik-adik .

"Ummi pernah tidak doakan angah, along dan adik -adik  mendapat straight A's dalam pepriksaan."

"Never, Ummi doa pada Allah apa yang paling terbaik di sisiNya, itu lah keputusan anak ummi".

"Apalah yang patut angah cakapkan dalam perhimpunan nanti, 4A orang bukan pandangpun. Tidak dapat 5A tetapi hendak nasihat orang..."

"Eh ummi pandang, Allah lagi pandang. Jangan banding dengan sesuatu yang di atas, fikirkan dan bandingkan dengan orang yang di bawah kita akan rasa kita jauh beruntung"

"Angah redha tidak dan bersyukur dengan keputusan?"

"Mula-mula sedih juga tapi sekarang ok dah". Diapun seorang anak 12 tahun yang pasti punya impian, untuk sebaris bersama 36 pelajar lain yang sangat cemerlang. Tetapi takdirnya bukan begitu.

"Ibubapa mana yang tidak gembira anak mendapat 5A, tetapi ummi ayah akan lagi sedih jika solat anak ummi bukan 5A, lima waktunya bukan A. Kak Longpun ummi sebut macam tu." Ada sebab saya bicara begitu, membuka jalan sebenarnya.

"Love you, love you, love you", bertubi-tubi pipi saya diciumnya.

"Itu ceramah pendek angah dalam perhimpunan pagi Isnin minggu depan, jazakillahu khairan ummi", Dia kelihatan bersemangat semula.


LEPAS RESULT KITA ADALAH SAMِA

Selepas menerima keputusan peperiksaan, kita kembali ke sekolah maka kita adalah sama seperti para pelajar yang lain. Selepas PMR, keputusan bagaimana sekalipun, tinggalkan di pagar sekolah, melangkah lah kita masuk sebagai pelajar baru tingkatan empat, maka kita berhak belajar , menerima ilmu , berusaha dan mencapai kecerlangan yang sama dengan mereka yang lain.Itu pesan saya kepada Kak Long, Kak Ngah dan Muhammad.

30 tahun dahulu, saya menerima sepucuk surat dari adik yang amat saya kasihi Qairel Akma bin Zainol Rashid. Surat beralamat Politeknik Kok Lanas, Kelantan.

"Arel berasa sangat rendah diri, dalam kesemua pelajar di tahun satu di sini, Arel seorang sahaja gred 3 SPM, yang lainnya hebat gred 1 atau gred 2".

Bagaimana dia berjaya di dalam permohonannya mendapat tempat di politeknik itu berbekalkan gred 3 nya memang itu suatu di luar jagkaan. Namun itu kehendak Ilahi.

Dalam balasan  surat saya padanya, "Setelah melangkah sahaja memasuki pagar Politeknik Kok Lanas ini Arel dan semua pelajar di situ  adalah pelajar baru dan kalian akan mendapat peluang yang sama. SPM adalah suatu sejarah dan tinggalkan sejarah itu di pagarnya . Bukan untuk dibuang tetapi ianya untuk direnung buat dijadikan pedoman, siapakah kita dahulu. Kini kita adalah pelajar yang penuh semangat dan Arel buktikan kelak menjelang tamatnya pengajian di bumi Kelantan ini Arel adalah di kalangan yang terbaik di antara mereka!"

Dia membaca surat saya di dalam kelambu sebelum tidur sebab ceritanya, hanya kelambunya seorang jenis kelambu kain kapas, maka tidak tranparent. Kawan kawannya berkata kelambunya kelambu pengantin , cannot see trough. "Jika menangis semasa membaca surat kakak tidak ada siapa yang tahu". Alahai adikku.

Dia berjaya membuktikannya! Sebelum keputusan akhir keluar dia adalah diantara pelajar yang paling banyak ditawarkan menghadiri temuduga pekerjaan dan akhirnya terpaksa memilih di antara beberapa tawaran yang diterima . Rezekinya berlabuh di INFINEON Melaka.

Sekarang kakak kongsikan kisah pamannya kepada anak-anak kakak. Mabruk paman.Kakak mahu anak-anak kakak juga mewarisi semangat kental seperti paman mereka.




Author: -Ainul Yaqin-
•03:30

Persiapan perkahwinan adik ipar paling bongsu meriah, maklumlah penutup tirai sketsa mengahwinkan anak-anak. Selepas ini tidak akan ada lagi kerja kahwin di kalangan adik -beradik. Tunggu sahaja giliran cucu, lamalah lagi hendak dinantikan waktu itu.

"Ucu hendak tema bilik pengantin ni berkonsepkan warna putih , skalop langsir putih, bunga-bunga juga biar putih atau warna pastel baru sesuai dengan katil klasik bertiang empat ini.Ucu tak mahu warna caca marba, terang benderang seperti wedding yang lepas-lepas."
 Si bongsu memang ada taste,dan secara diam saya memang mengiktiraf citarasanya . Kami dulu apa sahaja yang dipilih emak, kami terima , boleh tahan cantiknya yalah tapi tidaklah ada konsep kontemperari moden dan sebagainya.Konsep dulu-dulu, warnanya meriah maklumlah juruhiasnya pun veteran seangkatan dengan mak.Dan kerana kebongsuannya , dia berani bersuara dan sebolehnya kami yang bakal lama lagi untuk bertemu dengan sebarang persiapan majlis perkahwinan seperti hendak memenuhkan keinginannya.

"Ucu dah bersetuju dengan perunding perkahwinan ni.Kawan kepada kawan Ucu "

"Eh lepas itu apa cerita dengan juruhias kawan mak ni. Dari Along sampai abang Adli 6 kali majlis mak memang ambil khidmat dia. Inipun mak dah tempah dia awal-awal.Dia pun dah setuju. Kalau batal malulah mak nak ngadap muka dia ,jangan main -main ucu."

"Aduh tolonglah mak, Ucu dah setuju dan berkenan dengan juruhias cadangan kawan Ucu ni. Depositpun dah bayar."

"Macamana dengan janji mak pada makcik tu, Ucu lambat, mak bimbang lambat nanti orang dah tempah dia."Ibu mertua yang keletihan bersuara. Saya memasang telinga.


Wah . Isu hias menghias bilik pengantin dan pelaminan. Semasa majlis perkahwinan saya ditahun 1992 dulu, ditukar cadar satin baru  pilihan emak. Bukan citarasa saya tetapi biarlah emak yang terlebih bahagia menyadurkan impian merah jambu memenuhi ruang bilik tersebut.Langsir kerawang putih berenda jersey merah jambu. Murah memang murah, Di kepala katil tidak ada tirai dan birai tetapi hanya sebingkai lukisan yang saya hasilkan sendiri semasa kelas catan USM1987. Lukisan abstrak tanpa makna , warnanya bagi saya cantik kerana jiwa saya menggemari pastel.Dinding bilik memang cantik,wall paper baru pilihan ayah. Pelamin....dinding kayu kerat sejengkal di ruang tamu ,dibarnes berkilat. Hiasannya juga lukisan besar pemandangan. Kesian anak mak, koboi betul majlis saya,itu impian saya, mak redha saya pun bersyukur dan lega.

Ucu kelihatan mengesat airmata, saya yang mengasihinya seperti adik kandung sendiri tidak sampai hati. Saya kenal Ucu sejak dia di bangku tadika, dia membesar bersama kehadiran saya di dalam keluarga suami. Saya  tidak mahu ucu bersedih di hari bahagia yang bakal menjelang hujung minggu tersebut.

"Hendak dibatalkan boleh namun takkan hendak suruh mak yang pergi batalkan. Muar ni kecil, pusing-pusing situ juga esok lusa terserempak juga makcik tu dengan emak. Mak juga yang malu. Begini mak, esok saya usaha  pergi dengan Awa untuk batalkan tempahan. Biar saya kata ini silap saya memandai-mandai ambil juruhias baru tanpa sedar mak dah berjanji dengan dia. Ok ke awa?"

Awa, sahabat saya merangkap adik ipar mengangguk bersetuju.
Emak memandang sayu, bimbang mengundang sengketa. Sebolehnya tidak mahu ada sebarang hati yang dihiris terluka. Saya nekad dan saya percaya menjelang petang esoknya segala keserabutan akan terlerai.

BERDEBAR
Keesokannya menghadap beliau, dia menyambut kehadiran kami berdua. Agaknya beginilah rasanya, lebih parah perasaan wakil keluarga dihantar untuk memutuskan pertunangan atau  membatalkan pernikahan. Jika Allah hendak jadikan ini sebagai latihan saya pun tidak ingin. Seperti menatang tempayan berat dipundak dan kepala. Debaran jantung usah disebut.Suaminya yang uzur duduk di birai katil menghadap televisyen di satu sudut ruang tamu tersebut. Memandang sahaja.

"Makcik baru balik dari pekan ni cari kain warna merah hati, mak awak kata kali ni nak tema merah hati, tu hah dapat dah kain tu dalam plastik, tunggu jahit saja."

Satu permulaan yang salah saya rasakan. Mahu sahaja berpatah semula pulang ke rumah tapi mengenangkan janji saya pada ucu, hati kecut diberanikan juga.

"Saya datang ni hendak minta maaf banyak-banyak dengan makcik, selalu saya tidaklah pernah campur tangan dalam urusan  majlis-majlis kahwin adik-beradik, tetapi kali ni pula entah kenapa saya tidak berbincang dengan mak ,saya setujukan mak andam kawan saya. Betul makcik, saya tidak tahu mak sudah berjanji dengan makcik. Asalnya adik bungsu saya ni hendakkan konsep bunga-bunga putih, semua putih jadi saya rasa juruhias ni boleh dan adik kami berkenan dan hendak sangat kawan ini yang hiaskan. "

Susahnya mengatur cakap ,jangan ada unsur menipu, bermuslihat yang susah, memang ketika itu saya sedang memandai-mandai. Kawan adik ipar saya kawan saya juga.

"Kenapalah awak tidak berbincang dengan mak awak, dia awal-awal lagi dah tempah saya. Selalunya tak macam ni", suaranya berubah, wajahnya bertukar rona. Inikah saatnya ,saya bersedia.

"Mak tak salah makcik saya yang salah, tidak pernah saya memandai macam ni ,saya pohon banyak-banyak maaf,janganlah makcik salahkan mak,harap makcik tidak berjauh hati dengan mak. Mak risau tadi takut makcik terasa. Kerana bertanggungjawab saya datang nak mohon maaf."

"Cantik sangat ke andam kawan awak tu sampai batalkan dengan saya." suara nya masih bersahaja tapi ada nada mencabar,terasa kreativitinya dipinggir barangkali.

"Saya memang tidak pandai hendak menilai tapi adik kami yang bongsu ini citarasanya macam tu jadi susah juga kami dibuatnya."  Ucu tidak mengapa  ya kak lang tenyeh ucu , kita sama -sama hendak selamatkan emak.

"La hai...tidak sangka pulak boleh jadi macam ni, kain dah beli tu hah", suaranya kecewa.

"Makcik kami akan ganti berapa yang makcik dah belanja, cuma saya harap makcik boleh maafkan saya dan kami semua. Kami tidak ada masalah dengan hiasan makcik, tiba pada yang bongsu ini kami mati akal."
Pedih tidak usu kena lenyek. Kak lang dan kak awa di situ tidak keruan tahu.Entah kali ke berapa saya menuturkan maaf.

"Tak payah lah ganti-ganti, anggap tidak ada rezeki saya di sana, tak banyak manapun tak sampai seratus ringgitpun belanja tadi"
Saya yang tidak percaya kepada 'tidak apa' orang melayu ini terus mengeluarkan tiga keping not lima puluh ringgit dan menyerahkan ke dalam genggaman tangannya

."Jangan macam tu makcik , nanti kami rasa lagi bersalah, kain ini kami hadiahkan untuk makcik, boleh guna waktu yang lain insyaallah"

Dia tidak menolak. Alhamdullillah. "Kain ni awak ambillah, cantik warna ni,merah hati "
Dia mengeluarkan kain yang baru dibelinya di pekan Muar dari plastik dan mengunjukkan kepada saya.

PAHITNYA SERANAH

"Eh! Dia dah kata tak mahu,bererti tak mahulah. Awak tak malu ke orang dah tak mahu kan kerja awak, hasil awak tak payah lah awak nak tujuk-tunjukkan kain tu lagi. Orang tak mahu sebab hiasan awak tak cantik, ada orang lain punya yang lebih cantik, tak payah awak berbasa-basi. Dah tutup cerita!"

Di luar jangkaan suaminya yang uzur dan sedari tadi berdiam diri, lantang mengherdik isterinya. Sinis sekali.
"Awak babahnya , jangan la macam tu, maaf ya, pakcik tu tak sihat jadi dia emosi sikit"

"Apa ada kena mengena dengan sakit saya pulak".
"Bukan macam tu pakcik, kami  tidak pernah anggap kerja makcik tidak cantik".

"Eh awak inikan saya perhatikan awak dari tadi, berjubah,bertudung labuh, tapi harap mulut aje yang manis tapi hati awak betul-betul busuk!"

DUSH!!
Menyimbah darah terkejut ke muka . Gegendang saya masih normal dan perkataan tadi tu memang menerjah ke telinga saya. Saya pasti,bukannya saya yang tersilap dengar. Pertama kalinya di dalam sejarah hidup saya momen itu benar benar berharga kerana kata nista itu amat asing buat saya. Rasa ingin menangis tapi jiwa 'degil' saya melawan.

"Maaf ya Pakcik, saya tidak ada niat macam tu, saya minta maaf ya pakcik"
 Rasa menang kerana suara saya berjaya juga menerobos kerongkongan yang amat kelat dan sempit.

"Hish, biarkan aje awak, pakcik tu sakit, minta maaf ya awak" isterinya canggung bila suami terlafaz bicara. Suasana songsang sungguh. Saya rasa teruja, sedih,pasrah, apakah sebenarnya yang saya rasa. Oh saya rasa bahagia , mak tidak dipersalahkan, adik beradik juga selamat. Makcik itu nampak redha.Saya dihina,pahit terasa tetapi kepahitan itu menenangkan.

"Awak orang pakai macam ni, orang dakwah ,patut awak tahu apa hukum mungkir janji, senang-senang tabur janji bila dah tak hendak campak saja. Tu sebab saya kata hati awak tidak macam pakaian awak, hati awak kotor, hitam"

Selepas itu saya tersenyum dan mengangguk-angguk kan kepala. Dalam hati bertasbih, bertahmid,dan berselawat. Jangan ya Allah engkau biarkan aku. Engkau pelihara mulutku, sejarah kecilku aku pernah menyeranah orang dewasa yang bisa celupar mulutnya sehingga dia terduduk meraung , biarlah kali ini aku bertahan, menerima dengan pasrah.Saya ingin rasa kemenangan yang total.

"Babah, kenapa babah ni."isterinya menyanggah. Makcik mula menangis melihat saya ditembak, dibom bertubi-tubi. Kerana tangisan makciklah airmata saya pecah empangannya.Air mata saya turut mungkir janji untuk tidak merembes keluar. Saya usap tangan makcik saya peluk dia .


JADAM YANG MENYEMBUHKAN

"Tak mengapa makcik , saya faham pakcik tak sihat,saya tidak ambil hati, sekurang-kurangnya saya nak makcik berjanji dengan saya makcik akan datang juga ke majlis kami, dan pada mak, makcik janji jangan simpan rasa terkilan atau berkecil hati ya"

Dia membalas pelukan saya dan berjanji akan datang  menghadiri jemputan kami.Awa membisu seribu bahasa tapi alang rasa kuat bila awa temankan alang.


PASRAH
Mak , kami pulang .Terangkat sudah satu bebanan.

Hari perkahwinan Ucu ,makcik benar-benar hadir memenuhi janji dan merangkul emak penuh mesra. Alhamdullilah.Terimalah  taubat penyerahan ku Ya Allah.
Author: -Ainul Yaqin-
•09:16


"Faheem, boleh tidak duduk baik di belakang tu, ummi sedang bawa kereta ni. Lompat sana, lompat sini boleh terhantuk, sakit".
 Cuba menenangkan bujang yang seorang ni. Dia melompat dari kerusi tengah kereta unser dan menggulungkan badannya ke kerusi belakang . Dan perbuatannya betul-betul menggangu konsentrasi saya memandu.

"Sorry Ummi! Faheem tak kacau Ummi, Faheem buat sendiri-sendiri, yeaahh sayalah spiderman beraksi!"

Tu tidak lain tidak bukan tempias aksi di televisyen yang ditirunya hingga hendak pecah rasanya suasana di dalam kereta. Hujan di luar maka jalan agak licin, saya terpaksa memperlahankan pemanduan,dan aksi Faheem sebentar tadi benar-benar menggegarkan seluruh kereta.

Tiba di satu persimpangan lampu isyarat, memperlahankan kereta dan berhenti menunggu isyarat lampu hijau menyala semula. 3 minit dirasakan lama. Saya tiba-tiba terpandangkan sepasang suami -isteri yang menunggang motosikal di sebelah kiri kami, juga sedang berhenti. Cuma apa yang meruntun hati adalah di antara ruang mereka berdua ada dua orang anak mereka yang masih kecil.
Dalam kehujanan yang semakin melebat itu, anak-anak itu kelihatan mendakap dikepit kesejukan, bahagian kepala hanya ditutup dengan sehelai plastik mengganti payung melindung hujan oleh ibunya.

Ketika itu, terlintas di hati, besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami , wahai Allah.

Saya yang ketika itu berada di dalam kereta, diatas kerusi yang empuk tanpa ditimpa walau setitispun air hujan di luar sana bersama Faheem yang selesa untuk duduk, baring mahupun melompat riang seolah  rasa bersalah untuk berada di situ melihat ibu ayah juga dua anak mereka kesejukan diatas motosikal.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".
[Ar Rahman: ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali]

Di luar, hujan terus membasahi Unser kami, di dalam, hati saya yang basah disapa kesayuan.

"Faheem cuba tengok di sebelah kiri, budak-budak yang di atas motor tu"

"Kesian mereka basah, Faheem"

Terhenti aksi lagak superheronya, diam melekapkan mukanya ke cermin kereta.

"Kenapa ayah dia tak beli kereta, bila hujan kesian anak dia basah."

"Ayah dia tak ada duit, eh bukan, ayah dia mungkin belum cukup duit. Motor saja yang ayah dia mampu beli. Nampak tak Faheem, budak-budak tu basah, tapi Faheem tidak. Faheem harus banyak-banyak bersyukur pada Allah. Faheem boleh naik kereta besar, boleh lompat sana-sini walaupun ummi suruh duduk baik-baik. Budak -budak tadi, sempit, kena kepit tentu sejuk kena timpa hujan."

"Faheem nampak, Ummi", matanya tidak lepas meleret ke pandangan kirinya.
"Apa yang patut Faheem rasa?"
"Bersyukur pada Allah...." Suaranya antara dengar dan tidak kerana fokus pandangannya masih di situ sehinggalah 180 saat berlalu apabila kami dan motosikal tersebut bergerak menghala laluan berbeza.

Itu hanya sebuah kisah sketsa biasa yang adakalanya kerana sudah terlalu biasa tidak mampu mengetuk jiwa untuk mengambil ibrah darinya..
Kami Allah berikan nikmat tinggal di rumah selesa, ada insan yang mungkin rumahnya berbumbung tetapi lantainya bumi retak seribu. Kami Allah kurniakan cukup makan pakai, ada insan andai tidak dikais pagi maka petang nya belum tentu perut dapat diisi. Kami yang segala barang yang tidak berguna malah bersisa maka ditempat pembuangan sampah segalanya dicampakkan, ada insan tempat seperti itu dituju barangkali disitu ada punca yang boleh mendatangkan rezeki buatnya hari itu. Kami yang Allah kurniakan sihat seluruh tubuh badan, ada insan sakitnya ubatpun tidak mampu dibeli. Kami yang Allah kurniakan nikmat berkenderaan, ada insan yang sekadar mampu memandang, kenderaannya adalah sepasang kaki dipinjamkan dari Maha Pencipta. Kami yang Allah limpahkan untuk mengecap segenap kasih sayang, berkeluarga, ada insan kasih untuknya tandus, sayang darinya gersang. Kami yang Allah kurniakan nikmat melihat, mendengar dan berkata-kata, ada insan dipilih untuk menjadi buta, tuli dan bisu. Namun tidak akan pernah dari pemberian Allah itu ada yang sia-sia. Andainya syukur adalah mutiara yang kita genggam.

Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[Ibrahim:34]


"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".


"Akak saksikan sahabat kita itu longlai menghadapi musibah, suaminya pergi menghadap Ilahi kemalangan. Suaminya terjatuh dilanggar mat rempit, bas Rapid Penang itu tidak sempat mengelak, suaminya menjadi mangsa sedangkan anak-anaknya masih kecil dan bersekolah. Dia kehilangan suami, dengan cara yang amat tragis, namun akak masih ada suami yang boleh menanggung kami. Suami akak bukanlah manusia yang sempurna,tetapi akak harus bersyukur untuk menerima segala kekurangan dan juga kelebihan dirinya."

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
[Ibrahim:7]

Saya tekun mendengar ceritanya.

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

[Al Baqarah: 152]

"Dari situ terdetik di dalam hati akak seharusnya kita patut belajar menghimpun syukur. Agaknya kita digerakkan Allah untuk melihat sesuatu, baru terbit rasa untuk bersyukur. Adakala kita membanding dan mengharap akan sesuatu yang lebih, sedangkan apa yang sedang Allah beri itu sudah cukup untuk kita rasa bersyukur, tetapi seperti ada jurang untuk kita bersyukur. Dan alang, apabila akak lahirkan sahaja rasa syukur tu, banyak nikmat-nikmat yang selama ini tidak kita sedari rupanya memang sudah lama terbentang di hadapan kita. Malah apa yang selama ini tidak kita rasai, Allah tambahkan secara spontan lagi dan lagi, Alang. "


Diriwayatkan daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA bahawa nabi SAW bersabda:
Menakjubkan bagi urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua perkara baginya adalah baik. Ia tidak berlaku kepada seseorang selain mukmin. Jika seorang mukmin  menerima kegembiraan dia akan bersyukur, perkara itu baik baginya. Jika ditimpakan dengan kemudharatan dia akan bersabar, perkara itu baik baginya. (Riwayat Muslim)


Mata saya berkaca, matanya juga begitu. Ziarahnya dibilik 134  pagi hari itu meninggalkan kesan yang amat mendalam .Saya bawa bersama luahannya sebagai bekal azimat  ke dewan pembedahan.
Terima kasih kanda.
Author: -Ainul Yaqin-
•17:00

"Boleh tidak Yaya tahu Ummi sayangkan siapa lebih dalam semua anak-anak Ummi?" Suatu hari 'puteri bongsu' saya cuba mengorek rahsia hati.
"Macamana Ummi hendak jawab sebab jawapannya, semua Ummi sayang lebih, tidak ada yang sayangnya kurang".

"Takkan tak ada, Yaya tahu Ummi lebih sayang siapa". Wah! belum puas hatinya ,isi hati kita selagi mungkin ingin digali.
"Ha cuba sebut, siapa kalau ada", saya main tembak-tembak.
"Kak ngah kan?"
"Aik , kenapa pula kak ngah,"
"Sebab Kak ngah banyak cerita, ummi selalu ketawa-ketawa bila kak ngah cerita". Dia meluahkan spekulasinya.
"Yaya  tak pernah ke buat Ummi ketawa-ketawa? "

"Alang, ada tidak alang rasa alang lebihkan anak-anak yang tertentu, rasa kasihkan dia lebih sikit dari yang lain?", soalan spontan seorang sahabat pada suatu hari.

"Kenapa, Mas ada ke rasa begitu?"
"Mas kahwin 8 tahun baru dapat yang sulung, jadi perasaan Mas pada dia memang lebih dibanding anak yang lain. Tambah lagi dia pandai ambil hati Mas, taat waktu disuruh."

Oh, begitu ceritanya.Seorang ibu itu berhak sahaja menetapkan tumpah kasihnya lebih kepada anak yang mana.  Saya dikurniakan 6+ 1 , 6 orang cahaya mata kandung dan seorang anak susuan, tunggu sebentar beri saya masa untuk memerah otak dan mengumpul ingatan agar dapat memberikan jawapan siapa di kalangan anak-anak ini yang paling saya kasihi.


KAK LONG NADIA , 24 OGOS 1993

Kelahirannya tentu saja menggembirakan kerana apabila dia lahir kami berpeluang menyandang gelaran Ummi dan Ayah. Cucu sulung tumpah kasih pertama  Tok Ayah dan maktok.  Mula berjalan pada 30 Ogos 1994 sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 47, 16 hari selepas mendapat seorang adik malah 6 hari setelah menyambut hari lahirnya yang pertama. Panggilannya berubah bermula dengan Nadia, kakak selepas adik lahir dan apabila anak yang ketiga lahir kami mula memanggilnya Along atau Kak Long.

Kak Long tidak pernah jatuh dari katil jika saya tidak sempat menidurkannya di dalam kod bayi. Kerana apabila terjaga ,merangkak dan menghampiri tubir katil, dia akan menjenguk ke bawah, mengundur semula dan mendiamkan diri di situ sehinggalah saya datang,barulah akan merengek minta didukung. Biasalah kerja mengintainya di celah pintu , maka sempat menyudahkan masakan di dapur, insyallah dia tidak akan berganjak ke mana-mana.
Saya tidak akan boleh lupa pada peristiwa terkunci di dalam bilik air di rumah kuarters di Stulang Laut, Johor gara-gara Kak Long bermain dengan selak pintu yang terdapat di bahagian luar pintu bilik air yang mampu dicapai tangannya semasa sudah mula berjalan. Semudah membuka selak pintupun dia belum reti, alamat beberapa jam saya terkurung. Yang menyelamatkan keadaan ialah sebilah gunting besi lama yang besar dan berus dawai pemegangnya kayu keras Dengan dua alat itulah saya mengetuk memahat lubang di pintu plywood . Dua lubang terpaksa dipahat bagi memboloskan jari membuka selak.Bunyi ketukan bertalu-talu menyebabkan adiknya menjerit menangis, tetapi apakan daya saya terkurung di dalam.
 Urut dada saya dibuatnya. Saya terdengar suara dia memujuk adiknya, "adik...adik pa..pa".
"Kakak buka pintu ya.." mengharapkan keajaiban jarinya boleh memulas engsel dan membuka pintu.
"Haa..pa pa ..pa" Dia bersuara sambil mengetuk kembali pintu. Aduhai anak.
Kemudian senyap,adiknya yang kaku menangis juga tersenyap. Cemas, saya memahat lebih laju.Selamatkan Ya Allah .

 Bebas dari bilik air rupanya dia sudah tersembam menidurkan diri sendiri di atas katil besar,siap memeluk bantal, begitu juga adiknya seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun bunyi ketukan memahat lubang riuh menjangkau ke rumah jiran.

Di sekolah Kak Long banyak berdiam tetapi segala apa yang dipelajarinya di tadika semua diajarkan pada adik. Kesannya adik boleh membaca di umur 4 tahun. Uztaz Anuar Musyaddad guru kelas nya di sekolah rendah sentiasa risaukan sikapnya yang teramat pendiam dan mencadang namanya sebagai calon pengawas.

"Ustaz, tak mengapa cuba melantik Nadia menjadi pengawas, namun emas di mulutnya tetap akan  tersimpan , disuruh membuat kerja ,tangan kakinya sahaja lah yang bergerak"

"Ya tak ya lah kak, saya kesan sifat kepimpinannya , cuma tidak tahu cara hendak diserlahkan bagaimana. Saya percaya suatu hari nanti dia akan memimpin juga"

Terima kasih Ustaz, ustaz tidak sempat melihatnya di sekolah rendah,namun doa ustaz itu moga diperpanjangkan Allah. Berhijrah sekolah di As Saidiah Senawang, menumpang sebentar ilmu hafazan di sebuah madrasah Turki di Pasir Gudang . Kepalanya pernah dihentak dengan Al Quran semata-mata mudir di situ mengetahui bicaranya untuk pulang semula ke Sekolah Menengah Islam Hidayah(SMIH) kepada seorang pelajar di situ. Dan dia benar-benar pulang ke SMIH bersama rasa 'cinta' yang mendalam terhadap sekolah itu.
Semasa mendukungnya ketika bayi kami pernah mengejar seorang ustaz yang baru habis berceramah untuk mendapatkan surah dan ayat berapa yang minta diamalkan oleh ibubapa agar anak-anak taat mendirikan solat.


SURAH IBRAHIM (14) AYAT 40
رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآء

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Dan ketika Kaklong terpaksa kami tinggalkan di asrama SMIH bermula di tingkatan 3 untuk berpindah dari Johor, saya dan ayahnya  amat merindui suara lembutnya mengejutkan kami bangun adakalanya seawal 4.30 pagi.

KAK NGAH, NABILA 14 OGOS 1994

Kak Ngah memang kuat menangis  Nyaring  sungguh tangisannya semasa bayi, dan tangisannya akan berselang dengan batuk -batuk kecil..Paling kerap terjatuh dari katil kerana sikap selambanya yang akan merangkak meredah birai katil bila sahaja terjaga dari tidur. Mula berjalan seawal 8 bulan lebih umurnya.

Maaf angah tak adil betul ummi kerana terlupa tarikh angah mula berjalan.Kerana terlalu kecil ummi selalu tersepak angah semasa mendukung kak long. Ketika mengandungkannya 4 bulan saya sempat mengerjakan umrah Ramadhan bersama suami.

"Ustazah semasa ana 4 bulan dalam perut, mak ana pergi Mekah, agaknya roh ana masuk ke jasad masa di Mekah kot, tu sebab ana minat bahasa arab"

Dan mendengarkan itu,  entah di mana mencuit lucunya, Ustazah Zuraidah  yang mengajarnya subjek bahasa arab ketawa sehingga terjatuh dari kerusi.
Kak Ngah boleh membaca seawal 4 tahun berkat rajin menyelongkar beg sekolah Kak Long setiap hari. Juga berkat hubungan yang akrab dengan Kak Long. Mereka ibarat satu jiwa dua rasa. Eheh.

Semasa tadika apabila pulang saja dari sekolah, bermula dia meletak beg sekolahnya di hadapan pintu membuka kasut dia akan bercerita, rasa saya semua insiden atau peristiwa  di tadika ibarat di rewind kembali tanpa ada satupun yang tercicir. Sikap itu kekal hingga kini namun pelik juga telianga saya tidak pernah jemu menadah ceritanya.Masalah besarnya ketika kecil adalah tidak boleh menulis huruf S, aduh...ubatnya menangis, apa lagi.

Selalunya Kak Ngah tertidur awal melangkau waktu Isyak, maka malam nanti adalah orang yang meleleh di tepi katil kami,minta temankan berwudhu dan solat Isyak. "Angah takut gelap".
Rupanya Allah menyusun begitu sebagai persiapan dirinya untuk melangkah ke alam dewasa penuh tanggungjawap di usia seawal 10 tahun lebih!

Angah semarakkan lagi pertautan tarbiah dan kehidupannya bersama SMIH. Singgah setahun menyulam ilmu di Hira' Jeram Selangor, berpatah semula ke SMIH kerana Kak Long mahu tetap kekal di sana.Katanya dan kata anak-anak saya yang lain ," balik ke asrama  SMIH macam balik ke rumah kedua".
Hingga terlahir menifestonya 'SMIH Menjulang Taqwa, Sinergi Iman dan Ukhuwwah'.

Kini, Kak Long dan Kak Ngah nafar jauh ke bumi Syam, menyelusuri ruang dan jalan di Irbid mudahan dapat mengutip sedaya yang termampu ilmu pengajian Fiqh Usuluh buat bekal untuk  amanah kehidupan.


MUHAMAD AYRAAF, 16 Mei 1997

Putera yang pertama. Dia putera di tengah diantara 4 orang anak perempuan kami. Lahirnya tidak terus menangis, mata putihnya semua telah bertukar merah kesan lemas dibelit tali pusat. Lahirnya berkalung kata Pak Yanto sahabat berketurunan Jawa kepada Tok Ayah. Lahirnya bersama lahirnya album pertama kumpulan nasyid RAIHAN. Tidurnya perlu dibuai, sambil dibuai didendangkan nasyid. Tok Ayah , Mak tok malah saya perlu menghenjut buai sambil bernasyid untuk menidurkannya.Nasyid dulu-dulu, nasyid baru janji nasyid. Jika berhenti kakinya di dalam buaian akan digoyang-goyangkan hingga terjulur. Henjut dan tepuk lagi.

  Kami lebih risau jika dia akan berkarekter lembut atau feminin kesan persekitaran adik beradik perempuan. Oh tidak rupanya , dominannya dia apabila kelasakan dan kenakalannya sebagai anak lelaki turut diwariskan kebawah terhadap dua adik perempuannya.
Muhamamad panjat pagar , adik -adik pun  ikut sama . Muhamad buat aksi tae kwando, pengikutnya lebih galak lagi. Muhamad cari  belalang di belakang rumah, ada pembantu yang menyediakan botol menghimpun belalang.

Jika saya mengacah untuk merotannya setelah berbuat salah , agak payah untuk ditangkap kerana dia laju berlari menyelamatkan diri ,saya pasti tidak terkejar malah dia cekap menggelicik sekeliling meja! Saya terngiang-ngiang perkataan   'ampun ummi'. Dan saban hari perkataan yang selalu keluar dari bibirnya     'ummi doakan abang'.

Gigi susunya sangat cantik tanpa ada sebarang karis hitam, putih  tersusun rapi.Jika ditanya mungkin dia tak mampu mengingat , dia suka menyelongkar dapur mencari kuali dan sudip. Menjadi kesukaannya mendengar bunyi sudip bergesel kuali seoah -olah gaya ingin memasak ketika berumur setahun lebih. Gajah sangat dekat dihatinya tempias aksi Mowgli di dalam animasi The Jungle Book.Saya menjadi mangsa melukis gambar gajah untuknya berpuluh-puluh kali dalam sehari!

 Dan dia berkelana seawal usia 9 tahun lebih, berpisah dari kami untuk dihantar ke madrasah madrasah di Muar, Maahad Al Quran Al Islahi di Shah Alam, hingga di kejauhan Al Mannar daerah Selising, Cik Siti Wan Kembang. Kembali menyambung tradisi menghuni asrama SMIH bermula di tingkatan dua. Bermulalah proses pembentukan warna-warna tarbiah agar dia  turut terbina. Bukan senang , satu proses yang sangat menduga. Namun Allah menghantar orang yang layak untuk mendampinginya selain kami ,Ummi dan Ayah.

" Pemuda Islam wajib ditarbiyyah dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kepada waqi’ untuk membolehkan mereka melaksanakan perubahan Islam yang dicita-citakan. "-FATHI YAKAN

( Petikan Buku Syabab Wa Taghyir)

"Ummi ,doakan abang"


NURIN ASYURA, 7 Mei 1998

Nulinna Asyulalo, panggilan manja dari Tok Ayah.Anak dengan dua kali azan, sekali oleh seorang doktor dan kali kedua oleh suami. Kerap merengek dan satu-satunya anak kami yang akan mengguling-gulingkan diri di khalayak ramai apabila keinginannya tidak dipenuhi. Diceritakan kepadanya dia pasti mengeleng kepala, "Ee teruknya,kesian ummi ayah  mengadap dan bersabar dengan perangai Nurin". Seringkali terjadi di kaunter-kaunter pasaraya, saya menggaru kepala yang tidak gatal apabila semua mata tertumpu kepada kami.
Apabila malam, selalu merengek meminta roti cicah susu pekat, adakalanya dikeheningan pukul dua atau tiga pagi. Dapat merasa sekerat dua jadilah lalu minta didukung kembali tidur. Boleh dikatakan setiap malam begitu. 
Sangat mencintai kucing malah pernah bercita-cita menjadi doktor haiwan. Saya pun tidak pasti masihkah cita-citanya sama separti satu ketika itu. Pernah menjadi bidan membantu Kiara kucing peliharaan dan kesayangan maktok melahirkan 6 ekor anaknya. Maka dia tahu dikalangan enam ekor anak-anak kucing tersebut yang mana satu lahir dahulu serta turutannya sehingga yang ke enam.

Nurin membesar bersama suasana kami yang kerap berpindah randah. dari SRIH ke At Taalim di Manjung tumpang menduduki UPSR di SRAH Ipoh dan sekarang penghuni damai SMIH. Banyak kisah kenangan yang saya lalui bersamanya, dan tag line Nurin ialah "Hati-hati ummi...hati-hati ayah...jaga diri baik-baik tau,  luv you...saranghae".

Saranghae Nurin, luv you too!

NUR ALYA , 27 Jun 2000.

Anak milineum, lahir bersama sahut -sahutan azan subuh. Tidak banyak kerenahnya asalkan dapat melekap di dada dipeluk boleh diam berjam-jam. Kami memanggilnya Yaya. Dan semasa kecil dimana saja dia duduk di situ akan bersepah dan berkelecah orang Melaka kata. Semasa kecilnya paling sabar untuk berada di dalam kod bayi tanpa merengek. 

"Air masak, air masak" memang dia penggemar air putih malah semua makanan disebutnya sebagai ayam.Yaya juga mendewasa bersama berbagai suasana persekolahan. SRIH ke At Taalim,menghuni SRAH di Ipoh dan menamatkan persekolahan rendah di Al Itqan,Pulau Pinang. Kini juga bersama Abang
 dan Kak Yin di SMIH. Kelihatannya seperti murung sebulan dua di awal perpindahan tetapi setelah mengenali kawan-kawannya tidak cukup mulut dibuatnya.

Penggemar cokelat dan sangat attached dengan gajet-gajet seperti komputer dan handphone. Bila yaya dan kak yin masuk asrama ummi kehilangan mc Gyver.Ummi boleh skype dengan Kak long dan Kak ngah   tetapi mereka tidak boleh nampak ummi dan mendengar suara ummi hanya membaca apa yang ummi taipkan." Macam orang tak betul cakap sorang-sorang" kata Kak Ngah. Apa boleh buat tunggu Mc Gyver  ummi balik bercuti.

Wajah Yaya yang mirip kak Long mengembalikan nostalgia senior-seniornya terhadap Kak Long.
"Ummi, Yaya rindu nak balik". Masih ingin tidur memeluk saya seperti masa bayi. 

Yaya.....


MUHAMMAD FAHEEM, 15 Ogos 2002

 Lahirnya sebagai si bongsu apa lagi gelaran yang disandangnya selain manja dan memanjakan diri sendiri.Suaranya yang lembut boleh mencairkan hati terutama apabila minta dibelikan sesuatu. Hobinya adalah membuat origami, melukis dan menghimpun alat permainan.

Faheem pernah meminta agar saya sahaja yang mengajarnya supaya dia tidak perlu pergi ke sekolah dan dia tidak suka  ke sekolah kerana katanya sekolah sangat bising .

Kerana suka bermain dan melayan budak  maka Faheem disenangi oleh sepupu-sepupunya yang kecil. Nampaklah karekter abang pada dirinya walaupun dia tidak mempunyai adik.

Teramat sukakan lazania macam karekter 'Gaffield' oleh itu saya mengingatkankan dia selalu ,"Faheem tidak boleh malas macam si Gaffield tau"


Dan kami menghantarnya ke madrasah untuk melalui proses yag pernah dilalui oleh Muhamad. Agar Quran sebati dengannya sedari kecil.(baca : Suatu Hari Dia akan Memahami). Dengan sedikit kepayahan yang bakal dilaluinya nanti bakal membentuk jati dirinya agar lebih memahami erti dunia kehidupan. Dan yang paling utama dia belajar muamalah dengan teman -teman seusianya sambil menggenggam Al Quran.

Ummi, Faheeem rindu....
                     
MUHAMAD EMIR ALIF, 29 OKTOBER 1995

Dia menjadi anak susuan dan semestinya kasih sayang kami terhadapnya juga melimpah ruah. Anak sulong kepada adik perempuan suami saya , merupakan anak saudara kami juga dan kelahirannya setahun selepas Kak Ngah menjadikannya sangat rapat, segala kemusykilan akan dikongsi bersama Kak Long juga Kak Ngah.Dari masalah kecil sehinggalah menyentuh masalah perasaan juga pentarbiahan setelah dia menginjak remaja. Kami memanggilnya Abang Alif.
Seorang anak yang bijak kerana menelaah ensaiklopedia adalah kegemarannya sejak di sekolah rendah.

"Ummi cuba ummi sebut daerah-daerah di negeri Johor"

"Muar, Batu Pahat, Kluang , Johor Bahru, er..err..apa lagi ya abang alif"

Dan dia mampu menyebut kesemuanya tanpa teragak-agak. "Wah! Terror lah abang alif...mana abang baca, ensaiklopedia Malaysia ke?"
"Ada dalam buku georafi ibu"

"Ummi ,ummi kata anak ummi ada 7 orangkan macam anak-anak nabi, abang rasa abanglah anak yang ke 7 tu"
"3 laki-laki 4 perempuan, memang dah lama ummi anggap Abang alif macam anak ummi juga".

Selepas menduduki SPM akhir 2012 yang lalu.
"Abang,jomlah belajar kat Irbid nanti boleh menjadi muroqib kami setiap masa", uja Kak Ngah

"Ey, takkan semua nak berkumpul kat situ, ummi cadang Abang teroka lah benua lain pula, memasang tapak di sana ."
"Kalau bagus sains, tak semestinya medic abang tak minat. Abang nak teroka bidang sains yang lain", Semangat orang muda , baguslah ada cita-cita.

"Alahai ,Abang alif tak minat jadi doktorlah angah, pesakit tengok muka hensem abang belum rawat lagi dah sembuh separuh. " Saya galak menyakatnya.
Dan Abang Aliff terus mentel dengan Kak long dan Kak Ngah.

Memang Abang Alif pun anak ummi juga.
            _____________________________________________________________
                                     
Setelah memerah ingatan dan memaksa perasaan, saya tidak juga mampu menemukan jawapan kepada siapakah kasih saya terlebih sedikit tumpahnya. Tumpahnya kepada semua mereka tidak mampu diukur namun sama tara sama limpahannya.Moga kesemuanya dikasihi  penuh rahmat oleh Allah SWT.
 Maaf ya Yaya, Ummi tiada jawapan, kalau tak percaya Yaya boleh teropong hati Ummi.......ke Yaya nak Ummi jawap jawapannya ialah Yaya.! Mana aci