Author: -Ainul Yaqin-
•00:09




          Pagi Jumaat itu , 9 November 2012, seperti biasa Alya dan Faheem sibuk menyiapkan diri untuk ke sekolah. Secara rasminya hari itu bakal menjadi hari terakhir Alya berada di sekolah rendah, Sekolah Al Itqan ,Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Alya bakal menduduki tingkatan satu pada tahun hadapan, dan impiannya juga impian Kak Nurin agar Alya akan sama-sama dengannya dan Abang bersekolah di Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru.

"Ummi pakcik van dah tiba!"

"Hari ni ummi yang hantar."

"Aik...kenapa ummi?

"Cepat siap....lambat kita nanti, sambung cerita dalam kereta ok.."



SENAI, JOHOR

Anak -anak seawal 6.45 pagi akan memanjat tangga bas sekolah kuning pinang masak milik Pak Maskan. Lambaian dan ciuman saya dan suami menghantar mereka Nadia, Nabila, Muhamad dan Nurin ke sekolah yang terletak sejauh 30 minit perjalanan. Kami menghantar mereka hanya di hadapan rumah. Di buaian besi peninggalan Tok Ayah kita sama sama 'bersarapan' sambil menunggu Pak Maskan sampai. Pelik juga saya, boleh aje minum di dalam, dimeja makan, tetapi di buaian itu seleranya luar biasa.Angin lepas subuh sejuk dan nyaman. Nasi dan telur kicap juga enak disuap laju ke empat mulut. Macam menyuap anak -anak burung. Muhamad yang paling berselera.

Apa saja juadah yang sempat disiapkan di pagi pagi itu , nasi goreng, roti, mee goreng, cokodok cicah sos cili, di buaian itu lah tempatnya kami nikmati bersama. Adakala terlebih masa ,selalu juga tidak kesempatan.

Kiara, Simba, Black Fe kucing-kucing kesayangan pun ikut tumpang sama 'berkelah'.

Pukul 7.15 pagi, Alya dan Faheem akan dihantar suami ke Tadika Darul Ilmu di Indahpura berdekatan pejabat suami di Kulai.



MANJUNG, PERAK

Sekolah Rendah Islam At Taalim hanya mengambil masa 5 minit perjalanan dari rumah. Nadia dan Nabila duduk di asrama SMI Hidayah JB, Muhamad kami amanahkan di bawah seliaan Madrasah Quran Al Islahi, Shah Alam untuk menghafal Al Quran.

Maka hanya Nurin, Alya dan Faheem yang akan memenuhkan kerusi Unser ke sekolah. Ummi yang hantar. Betapa bahagianya mereka...

"Yaya suka ummi hantar dan ambil ke sekolah macam ni"

"Suka...suka ada makna tu..."

"Ha a best tau, bila balik boleh singgah kedai", sokong Faheem pula. Kan dah terbukti tu,

"Nurin tak tau kenapa..tapi rasa bahagia...selamat..tenang pergi dan balik dengan ummi. Tak rasa serabut , bising dalam van".

Sebenarnya mereka tidak sedar saya juga terlebih suka menghantar dan menjemput kepulangan mereka setiap hari.Saja tak beritahu pun.

Sebabnya, ada sesuatu yang menjadi terapi buat jiwa dan perasaan setiap pagi sebelum memulakan urusan di rumah.

Saya akan usahakan untuk mendapat parkir betul betul di hadapan pagar kecil masuk ke sekolah yang merupakan bangunan rumah kedai 2 tingkat  satu blok yang panjang itu. Jika tidak ada kekosongan saya akan kembali membuat pusingan di hadapan. Selesai menyalami , mencium,melambai anak anak, saya tidak akan terus pulang. Faheem akan melambai sepanjang langkah  membawanya ke kelas, sehingga dia hilang dari pandangan. Itu memang perangainya, si bongsu. Lenguh juga tangan saya, tapi kan saya kata ,bahagia melakukannya.

Ada ibu dan ayah dengan kereta mewah menurunkan anak masing-masing.. Yang berkereta sederhana , van, lori kecil,motosikal, dan lorong itu benar -benar sesak di pagi hari. Senario itu amat saya gemari, memerhatikan pelbagai gelagat dan reaksi dari tepi lorong di hadapan sekolah itu. Menjadi santapan rohani di pagi pagi hari.
Entah kenapa, saya juga tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan.

Cuma ada sesekali bila anak anak saya berperangai, bergaduh di dalam kereta dan saya meninggikan suara maka yang akan selalu sentap Alya dan Faheem.Mereka tetap menyalam dan mencium saya tetapi pagi itu pasti tidak akan ada lambaian panjang dari Faheem. Saya sajalah yang melambai seorang, Faheem tidak menoleh menyimpan rajuk....haihhh

Satu hari itu bagai tidak kena rasanya.....
Tengahari waktu balik, dia sudah melupakan.


Dan saya menunggu satu pemandangan.

Seorang ayah , bermotosikal roda tiga. Pakaiannya agak lusuh, bukan kemeja ke pejabat, kerapkalinya berbaju melayu dan berkopiah. Peniaga lah agaknya.Berdasarkan motosikal roda tiganya.

Yang membasahkan hati saya, beliau menyambut topi keledar dari anaknya dan diletakkan ke dalam kenderaannya. Anaknya menyalaminya mencium pipinya. Kemudian si ayah mencium anak perempuan kecil itu kiri , kanan dan di ubun-ubunnya. Kemudian sekali lagi kiri dan kanan lalu mengusap kepala si anak. Menghadiahkan pelukan untuk si anak. Bersungguh-sungguh.

Aduh, tanpa sedar pipi saya basah. Jiwa saya sendu. Kerap saya lihat ayah-ayah yang lain menghulurkan tangan untuk disalam si anak lalu terus jalan. Tetapi ayah yang satu ini...masyallah.

Atau kerana teringatkan ayah sendiri. Keluar ke kedaipun saya akan mengucup dahinya dahulu. Bila ayah pergi dijemput Ilahi saya kehilangan semua itu,turut pergi bersama ayah.  Memerhatikan seorang ayah membelai anaknya setiap bagi menjadi pengganti, terapi hati. Terapi rindu.


RAPAT SETIA BARU, IPOH,PERAK, 2011

     Hari-hari akan memandu ke sekolah yang sejauh lima minit berkereta. Memasuki perkarangan Sekolah Rendah Al Hidayah , Ipoh yang berlatar belakangkan jajaran bukit bukit batu kapur dan hamparan sebuah bekas lombong melahirkan satu lanskap pemandangan yang sungguh indah. Pemandangan damai yang tidak akan boleh didapati di tempat yang pernah kami tinggal sebelum ini dan sekarang.

     Hanya tinggal dua orang ketika itu, Alya dan Faheem ke sekolah. Nurin menyertai grup kakak dan abang di Hidayah JB. Ketika kami hampir meninggalkan Ipoh, berpindah ke pulau Pinang, Al Hidayah telah di turap tar membentuk dataran yang luas di hadapan perkarangan sekolah.

     Terapi pagi masih diteruskan. Faheem dan Alya akan beriringan menuju bilik darjah melalui bangunan kantin. Faheem akan tertoleh -toleh melambai dan melambai saya sehinggalah hilang dari pandangan melalui bangunan depan pejabat menuju kelas. Alya akan membelok ke kiri menuju ke kelas 5 Ilyasa'

     Kemudian baru memerhati sekeliling....suasana ibu ayah menghantar anak ank ke sekolah. Namun tidak akan ada lagi pemandangan seorang ayah berbaju lusuh menghantar anak perempuan kecilnya, ciumannya pelukannya dan belaiannya tidak lagi saya temui di situ.Tidak ada yang sama cuma saya yang teruja meniru caranya. Alhamdulillah. Kenangan yang tertinggal di Manjung.

Kurang 4 orang anak sendiri yang merantau jauh dari sisi, Allah ganti dengan 11 pelajar STAM banat dan beberapa pelajar banin. Semuanya kawan kawan yang pernah sekelas dengan Nadia sehingga Mac 2011. Memerhatikan mereka pulang dan berdedai  pergi ke sekolah, menumpang dan menjemput mereka sekali sekala benar benar mengisi jiwa saya yang merindui Nadia yang ketika itu sudah kejauhan di bumi Jordan. Merekalah menggantikan tempat anak anak saya.


SUNGAI ARA, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG

Biasanya saya memandu mereka ke padang parkir  di sebelah Sekolah Rendah Sungai Ara berhampiran bangunan kuarters Tenanga Nasional. Dan Pak Syukri akan menunggu pelajar pelajar Al Itqan ini berhimpun di situ. Kesesakan pergi dan balik di kawasan Teluk Kumbar merelakan kami mengamanah kan Pak Syukri menghantar dan menjemput mereka.

"Ummi , Pakcik Syukri minta bayar duit feri sekolah"

Esoknya

"Maaf ya Pak Syukri anak saya kata Pak Syukri ada minta duit feri....feri sekolah...feri ke mana ya"

"Oh....kami orang Penang dok sebut feri sekolah tu duit tambang van...ha ha ha. Yang kak dok bayaq semalam tu. Saya mintak hat tak bayaq lagi. "

Terima kasih Pak Syukri , jasa Pak Syukri memudahkan urusan kami, menjemput dan menghantar anak -anak kami dengan selamat tidak terbalas dengan wang ringgit.Juga terima kasih tidak terhingga kepada Pakcik Aziz dan Pakcik Maskan pemandu-pemandu 'feri sekolah' anak-anak. Tidak mungkin juga dilupakan  Pak Din pemandu pertama yang meminjamkan keringat dan tenaga . Beliau orang yang mula-mula  menghantar ambil Kak Long dari tadika .Juga Pakcik Ibrahim dan Ustaz Puaad yang lebih senang dipanggil abi oleh anak anak, seolah olah menambah bilangan adik adik Kak Ikmal.


     Depan sekolah, Alya kelihatan meniti anak-anak tangga ke bilik darjah Tahun 6 Ibnu Sina. Saya menghayati tiap langkahnya . Kelihatan kawan kawan nya bersuara riuh, Alya akan merindui kawan-kawannya kelak.
     Itqan,sebuah sekolah yang berdindingkan papan. Kelihatan lebih seperti madrasah di tepi jalan Teluk Kumbar. Tidak ada padang , Pindidikan Jasmani pun dijalankan di celahan ruang parkir kereta sempit di hadapan sekolah. Tapi sinar tarbiah yang Alya terima menghilangkan segala kekurangan yang ada, dan saya tidak pernah merasa kekurangan kekurangan itu menjejaskan proses pembelajaran dan tarbiah di situ. Ada ramai pendidik berjiwa emas di situ.



     "Tahun depan Yaya dah ikut Kak Yin masuk Hidayah JB. Faheem akan masuk Madrasah Islahi macam abang", saya membuka suara dalam kereta.

"Jadi, tahun depan tak ada lagi anak anak ummi yang bersekolah di sini. Hari ini kiranya hari yang terakhir ummi akan menghantar anak ank ke sekolah"

Ketika menuturkannya kerongkong saya seperti tersumbat. Lagu Maher Zain dari CD mengalih perhatian Yaya untuk tidak menyedari hiba yang saya rasa.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)


Andai kata ianya dikira sebagai pengorbanan, Ummi dan Ayah tidak minta dibayar ganti.


     Untuk segala perkara yang menggembirakan anak anak.....Ummi dan Ayah sanggup memohon agar diberikan kecukupan oleh Allah SWT. Segalanya demi kelangsungan sebuah tarbiah untuk kalian, juga berpaksikan petunjuk yang kami mohon dariNya

Ummi dan Ayah tidak akan berhenti berharap.
Hidup suburlah keimanan dijiwa kalian ,,,anak-anakku.



|
This entry was posted on 00:09 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: