Author: -Ainul Yaqin-
•03:35


spectacular photos of clouds26 Gambar Awan yang Sangat Cantik dan Menakjubkan                                                   


"Cuba kamu tengok pada langit...kamu nampak apa?" ,bersuara seorang guru kelas fardhu ain di Kem Tentera  4 Melayu, Taiping. Salah sebuah berek lama dua tingkat dijadikan kelas fardhu ain untuk anak anak petugas tentera di kem tersebut.Dalam tahun 1972

"Awan....", ramai -ramai anak -anak tersebut bersuara. Saya ada bersama, berumur 5 tahun ketika itu.

'Nampak burung, ustazah",jawab seorang lagi pelajar perempuan , malu-malu atau bimbang samada pandangannya boleh diterima atau tidak

"Baik, lagi nampak apa?"

Dia mengurut-ngurut dadanya tanda lega jawapan nya betul.

"Ustazah ,kapalterbang jet dengan ekor asap, viuinggg!", menyembur liur dengan aksi seolah-olah jet terbang.

"Ya..betul! Semua jawapan tadi betul. Sekarang ustazah nak bertanya. Siapa yang mencipta langit? Siapa cipta burung, awan dan izinkan kapalterbang terbang laju dan tinggi!"

'Allah....", kami menjawap ramai -ramai.

     Sebelum kami disoal, ustazah ada menerangkan tentang ilmu tauhid. Bahawa setiap kejadian langit dan bumi Allah yang cipta. Dan kami kanak-kanak suci bersih menerimanya dengan senang hati.Sebab itu bila disoal ianya seperti diprogramkan,bagai diacuan fitrah, boleh terus menjawab tanpa sebarang dakwa dakwi.

 Ianya bagaikan irama yang tidak mampu dipisahkan dengan lagu dan tidak ada seorangpun dari kami yang bertanya seperti anak-anak zaman milinium. Anak-anak generasi Y dan Z.

Allah itu macamana.Kata allah bukan kecil bukan besar dan tidak ada yang menyamai Allah, jadi macamana nak tahu Allah ada.
Allah itu jika ada ,rumah dia di mana.

Maka saya teruja dengan suatu rancangan pendidikan kanak-kanak yang berorientasikan konsep bercerita baru-baru ini. Hosnya ialah Al Fadhil Ustaz Hassan Din Al Hafiz sebagai Atok. Di dalam salah satu slot tersebut Atok memberitahu,

 "Allah itu ada ,kita beriman Allah itu ada, tetapi kita tidak nampak Nya"

Maka Atok mengambil selembar kertas dan mengipasnya ke arah anak-anak rancangan tersebut.

"Ada rasa angin tak? Nampak tak angin tadi yang atok kipas"

Jawapnya tentu ada namun bentuk angin itu tidak kelihatan.
Atok menambah lagi ,"Air yang cucu-cucu minum terasa manis, masam, tapi nampak tak di mana manis dan di mana masam?"
Cantik sekali analogi yang diterang oleh Atok, saya juga terpukau dengan penerangan penuh bijak berilmiah itu

"Begitulah perumpamaan bahawa Allah itu wujud namun kita yang tidak boleh melihat Allah harus beriman bahawasanya Allah itu sentiasa mengawasi kita. Allah mentadbir alam maya dari sekecil -kecil perkara sehinggakan kepada sebesar-besar penciptaan.  Maka dijanjikan atas iman yang kita sempurnakan di dunia ini,penghormatan dan kurniaan yang paling tinggi yang bakal kita kecapi adalah dapat melihat wajah Allah di Akhirat nanti." Atok menerangkan penuh yakin diterima juga oleh kanak-kanak slot rancangan tersebut penuh bahagia kelihatannya.

Flashback di kelas fardhu ain tahun 1972

"Jadi jika kamu buat perkara baik Allah pasti melihat. Buat jahat , mencuri duit ayah emak, menipu Allah pasti tahu juga kerana.....kerana Allah melihat kita dan tahu segala apapun yang sedang kita lakukan. Kita ,manusia memang tidak  boleh nampak Allah, Allah saja yang nampak kita.

Di sofa depan televisyen petang itu, saya menonton sebuah drama hitam putih ketika itu. Para pelakonnya dengan berbagai aksi lakonan berbuat itu dan ini, seolah -olah tidak nampak saya. Saya yang terpaku memerhatikan lakonan mereka boleh menyaksikan dan memerhatikan segala tindak tanduk mereka.Budak di dalam drama mencuri duit tabungnya saya nampak.DIa menipu ibunya juga saya tahu,dan dia sama sekali tidak nampak saya. Saya faham sudah!

"Mak, kakak dah faham!"

"Baru kakak faham...rupanya kita ini Allah!" Puas sungguh kerana sudah menemukan jawapan siapa itu Allah. 
"Hish, apa kakak mengarut ni ."
Marahnya mak masa tu.

"Ustazah beritahu Allah itu boleh melihat dan manusia tidak boleh melihat Allah. Samakan orang dalam tv tu tak boleh nampak kita tapi kita boleh nampak apa yang mereka buat. Jadi betullah kakak kata kita ni lah Allah"

Masyallah, ke situ pula fahaman si anak usia 5 tahun . Saya tidak ingat apa yang mak jelaskan selepas itu tetapi alhamdullillah ianya sekadar memori silam. Alhamdullillah saya tidak terus dihinggapi kefahaman yang berbentuk jump into conclusion seperti itu selepas-selepasnya.

Anak kecil fitrahnya bersih, tetapi adakala mampu memberikan kejutan demi kejutan atas lontaran buah fikiran mereka yang tidak tercapai oleh akal.

"Adik Ain selalu fikir, kreatifnya Allah ya ibu," kata anak seorang sahabat saya.

"Kenapa Adik Ain cakap macam tu. Ibu tak faham"

"Cuba ibu fikir , macamana adik ain tak kata Allah tu kreatif, macam-macam penyakit yang Allah cipta. Wan tu Allah beri sakit lutut , maktok sakit pinggang, ha ibu sakit lahirkan baby. Mestilah Allah tu kreatifkan"

Masyallah anak. Bersangka baiknya engkau terhadap Allah,

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).

Terharu dengan kasih sayang Allah .

Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Betapa jiwa ini mengakui bahawasanya Engkau Ya Allah, tuhan yang Maha Pencipta. Maha kreatif 
itu sifat yang selayaknya bagiMu. Dan kami berserah diri.
Author: -Ainul Yaqin-
•19:33




     Saya merenung jauh ke kolam renang yang menghias Hotel Primula Bay ,Kuala Trengganu yang agak luas. Kelihatannya kolam dewasa diasingkan dari kolam kanak-kanak.
Sambil mendukung Nabila ketika itu berusia beberapa bulan dan memimpin Nadia yang baru mengatur langkah menuju ke kolam kanak-kanak.

Ada pandangan menarik dari jauh. Kelihatan dua beradik perempuan comel sedang gembira melempiaskan air sesama sendiri. Saya amat -amat berkenan dengan pakaian yang dipakai mereka. Ya lah zaman itu  manalah ada muslimah swimsuit atau pakaian yang agak sempurna walau untuk riadah kolam renang. Kreatif baju anak anak itu dijahit seperti 'overall', dizip depan. Siap bersambung dengan tudung dari kain kapas berbunga. Manisnya

"Raihan, Hawa siapa jahit ni?"
"Ummi",jawab mereka serentak

Kreatifnya sahabat saya,ibu anak-anak itu ,dalam suasana sebegitu sudah memikirkan pakaian anak-anak sempurna menutup aurat, tanpa adanya kain jenis lycra dan spandex lycra

.Kami mengikut suami masing -masing yang kebetulan dalam jabatan yang sama, berkhidmat luar daerah. Hawa dan Raihan saya kira baru berumur 7 dan 8 tahun jika tidak silap. Hubungan yang agak rapat dengan ummi anak-anak itu bermula apabila dalam masa yang sama saya dijemput menghadiri usrah yang dibawa oleh ummi Hawa dan Raihan.

     Meninggalkan mereka sebentar untuk mendaftar nama bilik bagi mendapatkan tuala, saya terpandang petugas kolam renang itu melambai-lambai Hawa dan Raihan. Apabila saya mendekati kolam, kelihatan Hawa mencapai tangan adiknya Raihan setelah petugas itu berkata-kata kepada mereka . Mereka berlari-lari anak meninggalkan kolam tersebut tiba-tiba.

"Hawa! Raihan! pergi mana tu"

Mereka menoleh tapi terus berlari ke bilik.

Apa agaknya yang telah diperkatakan petugas tadi. Agak kesal kerana kegembiraan mereka tadinya memercikkan air menguja Nadia dan Nabila sama.

     Setelah puas anak anak bermain air, sesampai di  bilik saya mendail 'room to room'. Menelefon ummi mereka

"Kak Ida , Raihan dan Hawa elok tadi mandi kat kolam, tiba-tiba lari ke bilik kenapa? Macam nak menangis Hawa tarik tangan adiknya"

"Ha sampai bilik memang nangispun. Petugas tu ugut dia. Apalah cakapnya kalau setakat beritahu takpe, ini diugutnya budak-budak tu.Dia kata mana boleh mandi pakai pakaian macam tu, sini kena pakai pakaian renang. Kalau terus mandi dia akan buat repot dan no bilikpun dimintanya, Takutlah budak-budak ni."

"Oh patut la..kesian Hawa Raihan..."

"Yang akak geram tu dengan kita pandai potpet potpet, bila depan orang tu tadi tak pulak dia bersuara" .

Saya ketawa.

"Kak Ida dah ajar mereka siap-siap tadi. Jika ada yang kata pakaian macam ni tak mengikut peraturan, akak suruh diorang jawab,abang ke pakcik ke, itu peraturan manusia, kami ikut peraturan Allah kena pakai menutup aurat.  Bukan main dia bercakap kat bilik, depan orang tu lari menangis"

"Kak ni, budak la ..lagipun diugutnya nak repot nombor bilik.Main psiko pula.Tunggu la bila besar nanti berani lah mereka bersuara"

"Harap-harapnya lah"

Saya kagum dengan Ummi mereka, mendidik anak berani bersuara demi kebenaran.Sekecil itu, Hawa dan Raihan sudah ditarbiah.Suatu hari nanti tidak perlu lagi menangis, berlari ketakutan demi mempertahankan peraturan Yang Maha Esa.
Untuk sebuah negara yang bergelar negara Islam entah lah dimana nilai yang sepatutnya. Cuma ketika itu tidak ada alternatif yang boleh diambil pakai dan dijadikan sendal pilihan. Yang dikatakan mengikut peraturan adalah pakaian yang mendedahkan yang tidak sepatutnya.
 Pandangan indah di kolam boleh menjadi tercemar lantas mengundang geram.Dilema dibuatnya. Antara pilihan ingin beriadah dan mengawasi pandangan dari  pencemaran budaya luar mat-minah saleh bebas berpakaian terdedah dikolam  hotel  sebuah negara Islam.
Pandangan biasa, tidak ada sensitiviti langsung mahupun suara atau penguatkuasaan dari pihak yang sewajarnya. Semuanya boleh atas nama industri pelancongan. Orang tempatan akhirnya seolah-olah kena pancung, men'halal'kan mata asyik terpandang perbuatan manusia yang mancung-mancung yang bernama pelancong.

"Eh ummi, dia tak malu", anak saya pernah menegur begitu.

Masuk ke bilik hotel suatu hal yang lain, terpaksa melonggokkan segala arak dan minuman alkohol dari dalam bar ke pintu di antara dua bilik.Berlonggok lah arak-arak tersebut disitu sebelum diminta olehNadia dan Nabila yang belum mengerti apa-apa. Jenuh saya.



LEKUK BATU DITITISKAN AIR

     Belasan  tahun terus berlalu Hawa dan Raihan semakin meningkat dewasa. Siraman tarbiah umminya berterusan ditambah ciri-ciri kepimpinan terapan Sekolah Menengah Islam Hidayah JB,mengangkat jati diri anak anak ini menjadi cukup membanggakan.

Sebagai alumni dan menjadi penuntut IPT di Kuala Lumpur , mereka perlu berulang -alik dengan pengangkutan awam.Kisah ini dikongsikan oleh ummi mereka dalam bulatan gembira kami di Senai suatu ketika dulu.

Dalam satu perjalanan mereka ke Kuala Lumpur,waktu subuh sudah masuk dan  pemandu bas masih belum menunjukkan tanda -tanda ingin berhenti. Penumpang lain lena dibuai mimpi, tidak ada seorang pun yang bersuara.Samada Hawa atau Raihan yang mula gelisah berjalan ke depan bercakap dengan pemandu.

"Bang, waktu subuh dah masuk, Abang tak berhenti ke?"

"Oh adik nak berhenti ya"

"Eh selama ni memang abang tak berhenti ke?"

"Kalau ada yang minta, kami berhenti la ,jika tak kami terus.."

""Eh tak boleh macam tu bang. Abang bawa bas penuh, kalau abang tak berhenti, satu bas orang tak solat abang yang kena tanggung dosa mereka tak solat . Jadi abang kenalah berhenti juga", bersahaja dan berani dia bersuara.

Kami yang di dalam bulatan gembira, memang terjerit kekaguman. Saya ketawa sambil  mengalir airmata.
Bukannya apa. Selebihnya saya terbayang anak-anak kecil ini berlari ketakutan berpegangan tangan.
Kagum kerana masa dan suasana mampu merubah dan membentuk seseorang.

"Kak ida ingat peristiwa kolam renang belasan tahun dulu. Akak espect mereka bersuara. Nah, sekarang?"

"Akak dah hampir terlupa kisah tu". Tetapi saya masih mengingatinya hingga sekarang. Itulah antara modal saya  dalam membesarkan anak-anak, juga dalam memberikan contoh dan juga tauladan. Eksklusif dari tangan-tangan yang mendidik diatas dua unsur, rohani dan jasmani

Benarlah jika diamati firman Allah ini

"Sekiranya Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hati kamu, Allah akan menggantikan apa yang telah diambilnya dari kamu dengan sesuatu yang lebih baik"
(Al Anfal:70)

Saya melihat Hawa dan Raihan bagaikan melihat Nadia dan Nabila. Sudah pasti saya ingin melihat keberanian yang sama tumpah kepada dua sri kandi Irbid saya. Berani kerana Allah. Dalam menegur, berpandangan, ambillah jalan paling bersederhana, kerana Allah.
 Rasulullah selalu berpesan malah menunjukkan sekali keadahnya yang penuh berhikmah. Mengapa kita tidak mahu mengambil iktibar. Kebaikannya, kemanisannya pasti kembali kepada kita.

Mabruk anak-anakku Hawa dan Raihan. Makcik sentiasa mengambil hikmah.

Author: -Ainul Yaqin-
•23:09
                  


                                                                               


     Astaghfirullah.
Masakan sampai tidak mengaku anak. Mesti serius punca kemarahannya. Sehinggakan memercikkan lahar yang membakar beberapa hati dan meninggalkan keadaan tandus hitam dalam perhubungan.

"Betul kak, Roha (bukan nama sebenar) hanya sampaikan apa yang benar. Mak dan Abah tak boleh terima . Kami dianggap derhaka,tak mengaku anak dah. Ilmu tak sampai sejengkal sudah mahu mengajar mereka"

     Bukannya saya asing dengan ibunya Roha, dia mesra,sangat peramah, kelihatannya penyayang dengan anak-anak terutama Roha, anaknya yang ke dua. Saya mengenali Roha yang periang, peramah tidak tumpah ibunya. Mereka berasal dari Utara, pekat dengan loghat utara , suka bergurau. Orang utara kata 'candi'

     Petang itu saya terpempan dengan apa yang Roha sampaikan. Lama saya merenung dia mencari makna benar pada berita yang saya dengar dan saya cukup pasti  bakal ibu itu tidak berbohong.

''Orang tua marahnya sekejap, beberapa hari sejuk la, Roha yang ambil hati sangat ni.."

"Kakak tak kenal mak Roha macam-mana, jika ada yang cuba menasihatkan dia, alamat malang lah. Nampak aje dia lembut tapi hati mak Roha keras macam batu".

 Setiap kali dia cuba mendapatkan emak dan ayahnya ,emaknya akan mengarahkan adik -adik lelakinya yang bujang untuk mengunci pintu pagar, setapakpun tidak diizinkan anaknya memijak laman rumah.

Waduh, berat ni.

"Begini, jika tak bersalahan boleh tak ceritakan sedikit sebanyak"

 Saya mencelah ,jika tidak nanti panjang lagi keburukan ibunya yang saya terpaksa dengar nanti, sedangkan menceritakan buruk sesuatu tidak akan  menjernihkan masalah agar jelas jalan selesainya.

     Petang itu Roha menziarahi saya mengkhabarkan berita,  Dua berita katanya.

"Satu berita buruk dan satu lagi tentu berita baik, akak nak dengar yang mana dulu"

  HAMIL

     Berita baiknya dia hamil setelah hampir 3 tahun berkahwin dengan seorang 'revert' cina muslim dan berusaha bermacam ikhtiar untuk mendapatkan zuriat. Saya bersyukur untuknya dan teruja dengan keadaannya itu. Dan kerana kehamilannya itu dia amat-amat merindui belaian seorang ibu.Dia mahu ibunya tahu yang dia bakal menghadiahkan emaknya seorang cucu kerana itu memang idaman ibunya. Barang kali boleh menjadi penyejuk suasana dan mengendur malah menghilangkan segala ketegangan yang timbul

Jika ibunya berkehendakkan dia mencium  kaki sanggup saja Roha lakukan asalkan boleh diterima menjadi sebahagian keluarga itu kembali. Dia tidak rela mengandungkan bayinya selama 9 bulan dengan keadaan di mandatori sebagai pesalah derhaka.

Sedu bicaranya, kelihatan terseksa jiwa dan raganya. 
Tentu sekali berita buruknya ialah tentang dirinya sudah tidak dianggap anak lagi.

"Roha rindu sangat-sangat mak Roha. Roha yang paling manja dengan mak, mak sanggup buang Roha. Roha pergi rumah mak nak minta ampun,paut kaki mak, mak tendang Roha. Halau keluar laman dengan penyapu".

"Kak long pun mak buang juga , dah 5 tahun kak long bawa haluan sendiri, macam Roha, bukan tak pernah cuba balik ,kami kena halau"


Haa..2 orang anak dibuang begitu saja...bukan lagi cerita Ibu mertuaku, menghalau Kassim Selamat si ahli musik yang mencuri hati 'intan payung'nya Sabariah. Bukan lakonan Mak Dara tetapi secebis kisah ibu terluka.
Yang hujungnya menyulusuri pangkal dalam mencari nilai untuk meletakkan makna pada  pandangan ,sebagai pasak buat tapak menongkah berdiri.


PUNCA MUSIBAH

   Saya tekun mendengar, mencari makna disebalik apa yang terjadi. Rupa rupanya adik perempuan Roha dikatakan terkena sihir dan buatan orang. Telah dibawa oleh ibu dan ayah Roha untuk berubat kepada seorang bomoh kononnya yang hebat menangkis musibah.

Pengerasnya sesuatu yang tidak masuk dek akal, untuk penyakit sembuh seratus peratus perlu dinikahkan dengan bomoh tersebut agar rawatan menjadi lancar.Sekarang mengikut ceritanya, bomoh tersebut sudah meninggalkan adiknya. Habis madu sepah disepahkan.

    Di situ Roha dan suaminya keras menentang, dan suaminya dituduh mualaf bajingan, Baru kenal Alif, Ba, Ta urusan syirik yang dipertegaskan dianggap bangkangan.

Baru saya jelas.



JALAN PENYELESAIAN

"Roha bawa hajat besar pada akak, Roha tak nampak orang lain , Roha yakin akak orang paling tepat "

Apa maksud dia.
Saya yang paling tepat

"Boleh tak akak pujuk mak. Mak selalu sebut akak dulu, akak boleh masuk dalam keluarga Roha. Dah tak nampak orang lain kak". 

Hibanya. Saya menelan liur di kerongkongan yang kering. 
Menggunungnya sebuah hajat, bagaimana hendak diukur kemampuan sendiri. Tidakkah nanti dihukum mencampuri rumah tangga orang lain. Sangkaan bergelut dengan rasional. Akhirnya keputusan diambil.

"Rasa- rasa mak halau akak tak dengan penyapu?"

Saya benar-benar bertanya tetapi kelihatannya seperti cuba bergurau. Mampukah..



HARI ITU

"Assalamualaikum, assalamualaikum makcik"

Berdebarnya ,telinga ini seperti mendengar bunyi paluan jantung saya sendiri yang tidak keruan.
Betullah saya sudahpun berada di depan pagar rumah orang tuanya. Satu misi yang tidak pasti. Semalam sebelum pulang Roha ada minta saya bertanyakan beberapa perkara begitu dan begini pada ibunya.

"Roha kalau percayakan akak, biar akak gunakan cara akak sendiri ya. Soalan-soalan provokasi itu takkan boleh membantu. Sabar dan berdoa . Insyaallah akak bantu yang termampu".

Saya ikut naluri sendiri, saya tidak boleh mengadap ibunya seperti membawa belantan, menghempok lagi kesalahan  kepada ibunya. Walaupun dari cerita terang- terang orang tua Roha silap mengambil langkah.

"Eh Ishah ya. Masuk-masuk nak"

Saya kira Allah merestui tindakan saya, halangan pertama berjaya!

Saya peluk erat wanita tua itu seolah- olah mewakilkan pelukan anaknya dan memindahkan seluruh aura kerinduan anaknya, Roha. 
Kami berbual, berbahasa-bahasi, banyak saya tanyakan tentang dia, kesihatannya, memuji pokok-pokok segar yang memenuhi lamannya, masakan-masakan utara. Dan dia bercerita, bergelak ketawa ,berkongsi resepi dan dia benar-benar meraikan saya. Bagaimana saya harus menguak pintu kepada hajat yang sebenar!
Tolonglah Allah anugerahkan hikmat kesaktian pada lidah yang kelu ini.


AKHIRNYA

"Makcik, Roha dah mengandung" memancing ehsan pada kenyataan tersebut.

Dia diam bila nama Roha disebut.

"Roha minta Ishah sampaikan dia minta ampun, dan dia rindu sangat pada makcik"

Tidak ada riakkah. Saya tahu dia berperang dengan naluri keibuan dan egonya tidak mengaku silap yang lepas.

"Roha dan suaminya mengaku mereka banyak melukakan hati makcik dan pakcik. Mereka sedar sekarang memang tak sepatutnya mereka membantah makcik"

Harapan saya untuk memecahkan tembok kemarahannya . Itu saya karang sendiri jika Roha tahu pasti dia juga tidak bersetuju kesalahan diletakkan di pihaknya. Nasiblah Roha, janji mak boleh terima semula

"Dia memang derhaka! Sanggup membelakangkan mak ayah sendiri ikut kata suami mualaf dia tu"

Saya bersedia dengan pemadam 'api'.

"Ishah tahu tak makcik memang sedih sungguh Roha boleh sampai buat macam tu pada kami. Sekarang ni memang makcik tak boleh terima dia ,makcik tak mahu lagi mengaku anak. Mak cik tak sudi dah tengok muka dia lagi.Biarlah apa orang nak kata,makcik dah tekad"

Ngilunya saya. Makcik andaikata makcik tahu tindakan makcik mengikut panas penunu, jangan sampai anak hendak dibuang begitu. Cepat Ya Allah datangkan segera ilham untuk berkata-kata,mengayat.
Rupanya nilai yang berbeza dan prasangka telah menjayakan syaitan laknatunullah.Siap kau syaitan!

'Biar depa tahu langit tinggi rendah hilang orang tua, makcik takkan terima Roha, makcik tak mahu pisang berbuah dua kali"

"Makcik tak rindu Roha ke. Rohakan yang selalu manja dengan makcik"

Disitu tangisnya pecah. Dan tahulah saya separuh tembok egonya  roboh.Dan dia masih ada sekeping hati bagaikan ibu-ibu yang lain. Kasihkan anak.

"Ibu, Ishah..kita yang lahirkan dia, tapi dia pilih juga jalan derhaka,nak buat macamana".Sungguh lirih esakannya

Saya rapat padanya, mengusap jari-jemarinya, mengusap bahunya. Dia perlu ditolong untuk tidak menjadi ibubapa derhaka yang menghukum anaknya derhaka .

"Makcik, sebenarnya makcik beruntung sangat dapat anak yang sebaik Roha, memang dia dan suami ada buat silap buat makcik marah tapi Ishah percaya makcik tentu dapat maafkan dia,ingat kebaikan-kebaikan dia tambah dia sekarang mengandung. Makcik untuk anak yang sangat baik macam Roha,ibarat pisang , biarlah berbuah dua kalipun tak apa. Biarlah pisang tu berbuah dua kali ya makcik. Kalau Ishah pun tengok makcik rasa sayang sangat tentu Roha lagi kasih pada makcik.
Makcik boleh tak janji pada Ishah makcik akan terima dia?"

"Dia sorang aje boleh balik rumah makcik,Ishah pesan kat dia jangan bawa sekali suami dia. Makcik tak suka"

Tersangkut lagi rupanya

'Makcik, suami Rohalah yang  bersungguh-sungguh suruh Roha minta maaf pada pakcik dan makcik. Diapun ibarat yatim piatu ,makcik dan pakcik lah pengganti orangtua dia dunia dan akhirat.Kesian pada depa ya makcik"

Indahnya saya mengayat,hampir melelehkan airmata sendiri. Suami Roha pun mendapat pujian percuma.Sesungguh saya ikhlas bermuslihat.



SEBUAH KESUDAHAN

Al-Quran menyebut bahawa amalan silaturahim merupakan perintah kedua setelah perintah takwa. Allah berfirman yang bermaksud:

Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat. (An-Nisa:1)

Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al Hujuraat: 10)

Takwa dan silaturahim bagai digandingkan di dalam Al-Quran dan merupakan dua hal yang tidak mungkin mencapah dipisahkan. Maksudnya jika seseorang itu bertakwa kepada Allah, pasti  dia akan bersikap menyambungkan silaturahim dan jikalau dia tidak bertakwa kepada Allah tentu dia cenderung memutuskan hubungan silaturahim.
Dalam surah al-Ra`d ayat 21 disebut bahawa salah satu tanda orang yang beruntung di akhirat ialah di dunia dia senang menyambungkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat atau membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan. - (Surah al-Ra`d, ayat 21).

Oleh kerana di dunia mereka senang menyambungkan tali kekeluargaan, maka Allah sambungkan tali kekeluargaan mereka nanti pada hari akhirat. Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti.

Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan, menolak bala dan menangguhkan kematian.Banyaknya ganjaran yang luas terbentang, moga jalan menghalang, menutup rapat pintu dan ruang persaudaraan adalah jalan yang tidak pernah difikirkan untuk menjadi jalan pilihan.

Ketika saya bertemu dengan ibu ini yang akhirnya pasrah kepada sunatullah bahawa kecintaan ibu adalah pada anaknya itu adalah pada bulan Ramadhan . Maka menjelang Syawal saya dikhabarkan Roha pulang ke rumah orang tuanya , dalam dakapan kasih ibu dan ayah  serta adik-adiknya dalam suasana penuh syahdu. Dia pulang bersama suaminya. Suaminya juga diterima baik kembali.Pulang bersama dendam yang hilang.

Maafkan saya makcik, saya tidak menyampaikan amanat makcik agar Roha balik seorang diri tanpa membawa suami.Itu strategi saya......

Syawal itu juga menyaksikan Kak long Roha bertaut semula bersama keluarga setelah 5 tahun terbuang. Buy one free one.
ALHAMDULILLAH...terima lah cabaran yang telah kusempurnakan ini Ya Allah sebagai amalan solehku
.Dengan caraku tersendiri. Ameen
Author: -Ainul Yaqin-
•01:55
       


   

    Kereta kami parkir biar betul-betul dihadapan madrasah dan masjid. Jika pun kawan-kawan nya yang nampak kami akan cepat sampaikan berita.

Betul juga, belumpun lama sudah ternampak kelibatnya berjalan laju ke kereta.


"Handsomenya anak ummi ayah.....wah!!"

Dengan berjubah putih bersih, siap berkupiah, Faheem saya lihat sangat berseri-seri. Rambutnya kelihatan sudah selamat di 'korban'kan Ustaz Jalal. 

Tapi wajahnya.
Wajahnya seperti mahu menanagis. Pujian kami tidakpun mengundang sebarispun senyum. Ada kecamuk perang atau mungkin ribut resah tergambar pada wajah mulus si bongsu yang satu ini.

"Jom lah ummi kita bincang....Faheem nak berhenti belajar kat sini"

Aduh, ada masalah ni. Sangkakan bayu berjujur sepoi, rupanya ada badai menghempas pantai. Memang saya mahupun suami telah bersedia dengan dua kemungkinan ini. Maklumlah, pengalaman sebelum ini mencatat sejarah dan nostalgia.


"Jomlah ummi.....kita bincang.." Gelihati pula apa yang ditangkap oleh telinga. Saya iyakan sahaja.

"Boleh...tapi biar selepas Faheem ikut ayah sembahyang Jumaaat kat masjid ya. Ni dah nak masuk waktu".

Sepanjang waktu solat itu saya berdoa, Ya Allah berikan lah petunjukMu

Saya mencongak-congak apa-apa saja perkara yang boleh terjadi. Tiba tiba teringat seseorang. 

"Ina....apa khabar....rindunya, harap dah terima jeruk Penang dan ikan pekasam ya"

Saya ke rumahnya di Indahpura ,Kulai sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Malangnya Dia sudah  tidur keletihan dan saya titipkan pada bibik tanpa minta dikejutkan sahabat tersebut.
Waktu itupun sudah agak lewat, dan seminggu saya tidak menziarahinya kerana faham kekalutan berdepan hari hari awal tadika diuruskannya membawa kepada langsung tiada kesempatan langsung untuk berjumpa.

"Alang kat mana ni...."

"Kat madrasah anak-anak kita , Asyraaf dan Hidayat dulu"

"Ok Faheem?"

"Dia nak ajak bincang berhenti madrasah hari ni juga.Alang minta dia solat dulu"

Hahaha ,melekek lekek suara sahabat saya di hujung talian.

"Takde kes lari ya Alang"

"Tak cukup korum..Mc Gyver nya, pendua Hidayat tak de kat sini". Pecah lagi ketawa kami.

"Alang, alang kena kuatkan semangat tau, lagipun baru seminggukan ...kawan -kawan pun belum kenal lagi.

                                 Memang itupun yang saya fikirkan, Elok juga saya perkentalkan tugu pertahanan jiwa. Bila selepas solat Jumaat nanti, Faheem bakal mengalun-alun kan senandungnya, saya akan bersedia menadah telinga biar dia meluah habis -habisan. Kemudianya baru memikirkan tindakan seterusnya. 

"Ya Allah Ilhamkan aku dengan sesuatu yang menenangkan, dan sesuatu yang menjadi penyelesai"


                  "cukuplah Allah bagiku. Tidak ada tuhan selainNya. Hanya kepadaNya
                    aku bertawakal"

"                          surah At Taubah : 129                     



     Selepas selesai solat, kami meminta izin membawa Faheem keluar dari ustaz.

"Kita makan nasi arab..jom!!" memang itu kegemarannya

"Tak nak!! Faheem tak selera...faheem nak balik, ummi"

"Ok ok..cuba cerita kat ummi ayah apa yang Faheem tak suka kat sini.
"
 Suami saya biarlah memandu ke kedai D'Arab Cafe di seksyen 7 . Sempat saya isyaratkan pada suami belikan saja 2 bungkus. Mood untuk makan -makan sambil bersantai dengannya hilang.

Ayahnya menghilang ke kedai, saya pun bertubi menyoal.

"Faheem takut ya . Cuba cerita"

"Faheem gatal-gatal...tak tahan."


Saya terus menyingkapkan baju, mencari kesan gatal tersebut. Aish terjangkit scabbies sepupu- sepupu waktu cuti hari tu ke.

"Tak de..tanda merah memang takde...tapi gatal"

Oh itu modalnya kot. Merasakan alasannya kurang menyengat simpati saya dia mula menangis teresak-esak.

Dia beralih pindah duduk di kerusi paling belakang Unser. Mengongoi-ngongoi.

"Faheem sayang sekolah Itqan, mualim mualimah Itqan baik-baik, kat sini ustaz guna rotan. Faheem rindu Ummi, Ayah,Kak Yin, rindu Yaya. Suruh la abang datang sini jaga Faheem"

Aik tadi katanya nak balik rumah,tiba-tiba ada pula disebutnya minta abangnya untuk menemankan dia di situ. Sah semua perasaan bercampur mana satu yang hendak diluahkan dahulu.

Suaranya berselang  tangis yang bersungguh-sungguh. Mana tidak sayunya.

'Di Itqan Faheem kata Faheem tak suka pergi sekolah, ada muqayyam ,ada qiam. Mualim Azlan pujuk Faheem pergi muqayyam(perkhemahan), Fahem tak pergi juga sudahnya. Ummi malu lah nak jawab apa, anak ummi bukannya malaspun.

Jadi di madrasah Faheem akan lebih seronok, ramai kawan. Dekat dengan Quran, bukan TV atau PS2"


"Faheem nak menghafal dengan Ummi...bolehlah ummi...Faheem nak balik..Faheem sayang Ummi."

Eh...ayat ini benar benar sama dengan ayat yang dituturkan seseorang ketika peristiwa Disember 2006



Suami saya sampai dan bayangkan bau nasi arab yang menyelerakan memenuhi segenap ruang. Sambil saya membuka tudung bekas pek tersebut, Faheem mula berganjak ke kerusi sebelah saya.

Saya tidak bertanya samada dia mahu tapi saya suruh dia bercerita lagi.

Sambil itu saya menyuap ke mulutnya ...lapar nya kelihatan tak berkata apa. Bertalu-talu suapan. Berselera, agaknya beban yang menggunung sudah terpongkah satu persatu.


Saya mulalah mengayat.

"Abang faham sebab apa ummi dan ayah masukkan dia ke madrasah, tengok abang sekarang baca quran sedap....."

"Abang dulu nangis tak macam Faheem, dia ada nak balik tak?" Dia bertanya.

"Ada....samalah apa yang Faheem rasa tapi abang faham ummi ayah bukan tak sayang dia letak jauh jauh dari rumah. tapi sebab ayah dah solat minta Allah beri petunjuk apa yang paling baik untuk anak-anak Ayah.
Barulah Ummi sedar betapa hebatnya Abang sebab kuat semangat dan hafal banyak surah. Jadi biasanya yang bongsu mesti sama hebat macam abang. Abang kata ustaz rotan budak budak yang tak dengar kata dan tidak menghafal.Faheem baik kenapa pula kena rotan, Faheem kena ke rotan?"

Dia menggeleng.

"Sesiapa yang baik ,rajin ustaz suka, sayang. Ada pelajar yang lebih kecil dari Faheem, tapi mereka ok. Tentu mereka rindu jugak tapi mereka cari kawan, kongsi sama-sama, menghafal sama-sama"





KERANA DIA BEGITU


Faheem di sekolah tidak akan bercampur, bermain dengan pelajar lain. Di kelas agak sukar mendengar suaranya, di soal tidak pernah melontar jelas suaranya menjawap. Katanya sekolah amat bising dan dia tidak boleh faham apa yang diajarkan guru. Jika ada pendidikan jasmani giliran bolasepak dia mula malas,malah pernah menangis enggan ke sekolah. Katanya kawan-kawan mengejeknya tidak pandai bermain bola dan dia tidak gemar ejekan tersebut.

Ketika bersama kami cenderung mengikut Yaya dan Kak Yin ke surau perempuan, ke tandas juga tandas perempuan. Saya kira dia tidak  membesar bersama abangnya dan berjauhan dengan suami yang ketika dulu berkhidmat jauh .


MACAM AYAT ABANG.....

Muhamad ada menelefon bertanyakan keadaan adiknya. Panjang lebar saya bercerita, bila tiba bab hendak menghafal dengan ummi,

"Tu macam ayat abang je , ummi...hehe"

"Tak apa ummi , nanti ok je tu...adik manja lah katakan".

Muhamad dulu ketika pulang bercuti memancing manja yang terlompong dimana-mana. 

"Ummi mandikan abang ummi"

"Ummi...suapkan abang". Wah dengan rela hati saya mandi dan suapkan.

Sampai sekarang sudah di tingkatan empat masih sudi makan dari suapan jari -jemari umminya ini. 

Abang, kasihnya Ummi pada abang sebagaimana sama kasih ummi pada yang lain.


KISAH ABANG

4 Disember 2006, Muhamad Asyraaf memulakan kehidupan berjauhan di madrasah di sebuah daerah di negeri Johor

Masih tersemat diingatan,tiga hari selepasnya 6 Disember 2006 saya menerima panggilan dari sahabat saya Helena ,yang anaknya Hidayat juga bersama Muhamad pada hari yang sama mendaftar diri sebagai pelajar madrasah tersebut.

"Alang...alang ada sakit jantung tak"

Lain macam sahaja soalan cepumas Helena
Tergagap-gagap saya menjawapnya.

"Kenapa ina?"

"Anak-anak kita lari dari madrasah pukul 3 pagi tadi! Dah selamat dihantar balik ke madrasah.Nasib baik tak kena cekup dengan pencolek pagi-pagi buta tu"

Impak berita itu bergegar juga jantung dibuatnya. 

Laporan yang saya terima selepas kami sama-sama berkejar ke sana ialah dua orang anak yang terlebih hebat ini menunggu pukul 2.30 pagi menyelinap keluar melalui pintu belakang. Sebelum tu beberapa keping papan lapis lama direntang dijadikan titi untuk merentas anak parit, becak-becah. Melalui jalan kampung yang gelap gulita menghala jalanraya besar. Mereka ditemui oleh petugas-petugas Rela yang bersiap ke tempat kerja jam 3 pagi, berselimpang kain serban. Di kiri dan kanan menggenggam beg pakaian dan baldi!

Pendek kata kesemua barangan yang menjadi milik peribadi hatta sekalipun baldi tidak ditinggalkan, semua dibawa lari bersama!

Menggeletek juga hati mengenangkannya.

Bila ditanya kenapa ada di tepi jalan gelap-gelap begitu, jawapnya hendak menunggu bas untuk bertamu ke rumah nenek Hidayat di Sungai Udang. Juga takutkan rotan yang singgah dikaki pelajar lama yang membuat salah. Sebelum rotan menyinggah ke diri mereka ,lari adalah jalan yang paling boleh difikirkan.

Maka ketika saya bertemu wajah dengan Muhamad banyak ayat yang dituturkan sama seperti apa yang Faheem tuturkan
Cuma Muhamad terus berbaring di riba saya . jika Faheem buat begitu kebas-kebaslah saya. Rupa -rupanya Muhamad ada membawa bersamanya  jubah saya yang diambil tanpa pengetahuan saya. Bila rindu dia akan mencium jubah tersebut. Begitulah anak




PENYUDAHNYA

 Nasi Arab hampir habis.

"Minggu depan kalau ummi datang jangan lambat ya"


Petanda jiwa tenang.

"Mari sini peluk ummi...sedih Faheem tak pelukpun ummi tadi"

"Kalau Faheem menghafal habis satu tahun boleh balik?"

"Boleh....tapi kenalah jadi baik ,berkawan, berbual, bacaan kenalah betul, ok. Dengar cakap ustaz. Dengar cakap abang Imran. Kalau Faheem tak berkawan nanti rugi, abang Imran nanti susah"

Kepalanya melentok ke dada saya seperti selalu.

Dan kami pulang ke Pulau Pinang hari itu juga. Bersama lambaian Faheem dan ketenangan yang baru sedikit dibekalkan untuk kami.


Esoknya, hari Sabtu dia menelefon

"Ummi......"

"Suara Faheem happy ummi dengar."

"Ha a.....Faheem dah ada kawan. Nanti jangan lupa datang ambil Faheem 26 Januari tau. Ustaz kata cuti balik kampung, Faheem nak balik Penang, Faheem rindu rumah"

Saya seakan melayang kegembiraan!




                                         "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesudah      
                                           kesulitan itu ada kesenangan"
                                          
                                                                                                  surah Al Insyirah: 5-6



              "