Malam itu kesempatan membelah kota Kuala Lumpur menuju Petaling Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan. Lama juga saya tidak menikmati simbahan cahaya kota ....cantik. Terlupa sebentar pada arus trafik yang agak perlahan membawa wargakota ke destinasi masing-masing.
Mata tertancap pada bangunan Angkasapuri tersergam gah di atas bukit di kiri laluan. Yang menarik di situ tertulis motto berlampu yang terang seterang terangnya yang berbunyi
'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'
Pandangan itu agak mesra saya rasakan kerana sejak lebih 20 tahun dulu laluan itu kerap saya lalui. Ayah rajin membawa kami ke tempat kerjanya , Hujung minggu jika ayah ada urusan atau 'duty' kami mengambil peluang mengikut. Pejabat ayah di lot parkir Hotel Jaya Puri kini dikenali PJ HILTON. Motto yang tertulis di atas bukit itu juga sebati dengan saya.
Cuma saya rasa masa yang berlalu dan menginjak pergi, membawa pergi budi dan bahasa , seperti bukan lagi menjadi amalan. Rata -rata mempertahankan budi bahasa ibarat mengemis sesuap nasi.Kalaulah boleh,hendak rasanya pada motto tersebut saya tambahkan satu perkataan lagi menjadi
'KEMBALIKAN BUDI BAHASA BUDAYA KITA'
Kenapa agaknya. Kerana terlalu banyak insiden yang saya alami membuat saya selalu memikirkan perkara ini.
BAYAR DAN JALAN SAHAJALAH
Kebanyakan kaunter -kaunter bayaran seperti mengupah 'robotic cashier' tanpa perasaan. Cubalah berbahasa basi untung sabut dilayan baik kerapkalinya mengecewakan. Pasaraya besar malah kedai runcit, kaunter depan dan pembayaran bukan fokus utama menyantuni pelanggan. Wajah mencuka ditarik 14 muka pun pelanggan tetap juga datang ,jadi mengapa perlu dikisahkan sekiranya perkhidmatan di kaunter langsung tidak dihiaskan dengan budi bahasa . Belum lagi pembantu kedai yang bersikap'jika pelanggan hendak,sila ambil, tak hendak, tinggalkan'.
Satu ketika kami sekumpulan sukarelawan ke Acheh melawat sebuah pasar. Berkeliling mencari kedai keropok milik muslim, akhirnya berkerumun di sebuah kedai. Beri salam ,dijawab bagai hendak bagaikan tidak. Tidak menjadi kudis. Kami ramai dengan berbagai permintaan, minta ditimbang,dibungkus keropok pilihan hendak dibawa sebagai ole ole. Seorang teman tiba tiba ternampak keropok yang lebik menarik, maka membatalkan dua bungkus terdahulu yang sudah siap ditimbang. Terperanjat kami apabila pembantu kedai tu dengan muka tidak puas hati masam mencuka mencampakkan penyedok kemudian menuang keropok keropok yang dibatalkan itu ke dalam bekas semula .Tanpa suara, bahasa badannya menjengkelkan. Sudahlah kami masuk beramai ramai seperti tidak diraikan malah kami pulak yang rasa bersalah membeli itu dan ini.
Kami semua menyaksikannya, hilang kata kata sebentar.
'Nanti...nanti dulu. Kamu ini apa masalah ya. Kamu tahu tidak, kami berkeliling pasar mencari kedai muslim tapi begitu caranya kamu melayan pelanggan!'
Suara sayalah itu. Memang kepantangan saya melihat sikap biadap, belum sampai mencemar jari menghadiahkan penampar aje sebagai 'buah tangan'. Masih berhemah , nafas ditarik dalam dalam.
'Kalau gitu,kami pelanggan mendatangkan masalah, kamu lagi penat dan capek....kamu simpan aje keropok keropok ini. Ada rezeki kamu adalah nanti orang lain yang beli..itupun jika muka kamu boleh dimaniskan. Dah jom tinggalkan...kita cari kedai lain' Saya melangkah keluar .seperti anak anak ayam mengejar ibu, teman teman yang lain terpinga pinga mengikut.
'Alang...habis tu nak beli kat mana alang?'
''Ada.insyallah..jom cari jangan risau. Kalau tak beradap,miskin budi bahasa,akibat sempitlah rezeki'
Kami menemui sebuah kedai kecil milik seorang lelaki tua. Kontranya keadaan di situ,barang yang dibeli siap dibungkus, diikat kemas, senang masukkan aje ke perut kapal terbang. Terima kasihnya berkali kali. Siap beritahu mana yang berkualiti agak tinggi harganya ,yang sederhana lebih murah,yang tidak elok dan kurang sedap tidak dicadangkan. Susah sangat ke hendak berbudi bahasa.
ENTAH TAK TAHU
Pernah ketika anak anak masih di peringkat sekolah dulu, rumah kami dikunjungi seorang kawan mereka. Ketika saya cuba memecah suasana , perasaaan ingin meraikannya walaupun seorang kanak kanak, saya lalu bertanya padanya.
"Mak ada pesan ke balik nanti nak tunggu mak ambil atau makcik yang hantar?"
Spontan dijawabnya "entah tak tahu"
Dia masih kanak -kanak maka saya memaksa diri memahami, andaikata anak-anak saya ditempat itu mungkin jawapan seumpama itu juga yang diberikan.
Cuma jawapan polos terus begitu mendatangkan rasa kurang enak gegendang telinga menerimanya langsung menerbitkan rasa ngilu andai datang dari mulut nadia atau nabila. Maka saya belajar dari tindak tanduk tetamu kanak -kanak ini buat sempadan dan tunjuk ajar apa yang patut kepada anak-anak sendiri. Sebab itu saya suka jika anak -anak ini membawa pulang kawan kerana ada banyak nilai-nilai samada baik atau sebaliknya yang boleh di aplikasikan terhadap anak sendiri.
"Lain kali jika makcik tanya, jawaplah saya tak tahu,makcik atau maaflah makcik tak pasti pulak". "jangan lah jawab ENTAH TAK TAHU ya".Pengajaran tu harapnya lekat diukir dalam fikiran anak -anak ini sehingga sekarang.
"Budak tu cari saya sampai ke dapur, menyalam,siap cium tangan..beritahu maknya berkirim salam dan berterima kasih izinkan dia datang ke rumah. Anak saya sendiri tak sampai ke tahap tu". Cerita seorang teman.
Sememangnya anak kita sendiri belum mencapai ke tahap itu tapi percaya lah, proses pembelajaran mereka pasti membekas dengan cara melihat lalu meniru.Yang menyaringnya tugas kitalah sentiasa.
SAYA NAK CAKAP DENGAN......
"hello, Alya ada?" satu panggilan saya terima . Aduhai anak, gersangnya budi bahasa . Adakala mati akal saya hendak menegur spontan
"Yaya ..kalau menelefon kawan , mak dia yang angkat telefon yaya cakap macamana ya" saja saya mengujinya, selepas menerima beberapa panggilan dari kawan kawan anak saya itu.
"cakaplah nak bercakap dengan kawan yaya tu"
"Ya lah macamana cara yaya bercakap ....cuba sebut ummi teringin nak dengar"
"ala ummi ni...cakap je la ....."
"OK katalah ummi ni mak kawan yaya.....hello assalamualaikum nak bercakap dengan siapa?"
"Tina ada?..."
"Yaya GAGAL...". melekek lekek dia ketawa.
"Assalamualaikum...boleh saya tahu.siapa bercakap ni"
"Ni datuk Nabila dan Nadia....nak bercakap dengan siapa?
"Oh maaf ya atuk, saya kawan Nabila." Siap disebutnya sekali nama." Maaf ya ganggu atuk..boleh bercakap ke dengan Nabila"
Berbakul -bakul pujian ayah pada kawan anak saya, Tertawan dengan kemulusan budi bahasa walaupun sekadar bicara pendek di hujung talian
5S MENCONTOHI RASULULLAH
Rasulullah sendiri membawa peribadinya dengan secantik cantik hiasan akhlak , Qudwah(contoh) dan budi bahasa dan pekerti. Andai ingin penampilan dan diri diterima bawalah peribadi penuh kesederhanaan.
SENYUM - Rasulullah tidak akan sekali kali bersuara sebelum baginda mengukirkan senyuman.
SALAM - Ucapan penuh doa ini sepatutnya menjadi ulam di bibir kita. Ucapan meraikan pagi, petang atau malam terhadap yang bukan Islam tanda hormat bukan juga sesuatu yang asing.
SAPA - . Dalam menyapa ini raikan dengan bertanya tentang diri yang disapa bukan hanya menceritakan tentang kita, kita dan kita.
SOPAN - Dizahirkan melalui bahasa badan. 'first impression' menentukan diri kita terbilang atau terbuang.
SANTUN - menefestasi melalui tingkah laku dan tutur bicara
Andaikata kita selalu menongkat kepala memandang birunya langit, biarlah kita tidak sama sekali melupakan rumput hijau yang melata di bumi. Bawalah khazanah budi dan bahasa di pundak kita, tidak ada siapa yang layak memikulnya melainkan dari dalam sanubari kita sendiri.
Ingat pesan ummi ayah...wahai anak anakku