Author: -Ainul Yaqin-
•00:17
SEMESRA singkatan bagi nama Sekolah Menenengah Sains Raub, Pahang. Bagi saya, Semesra bumi tandus yang menyambut mesra kedatangan kami pelajar-pelajar yang menerima keputusan Sijil Rendah Pelajaran (PMR sekarang) yang agak baik. Kami sahaja yang tidak menyambut kemesraannya di awal pertemuan. Meminjamkan bumbungnya untuk kami berteduh dan bernaung mentadabur ilmu. Tahun 1983, bulan Mac menyaksikan kami menjejaki bumi Semesra sebagai pelajar tingkatan 4 bersama-sama adik-adik tingkatan 1 sebagai batch pertama generasi pertama dan generasi ke 4 meneruskan impian dan cita-cita sebagai penghuni sebuah sekolah berasrama penuh.
"Ayah ini bukan sekolah tu,rasanya kita tersilap, macam belum siap sekolah ni. Bukan yang ini rasanya. Patah balik semula lah ayah ke pekan Raub kita tanya orang."
Bangunan-bangunan yang terletak di tanah luas, kawasan tandus tanpa rimbunan dan kehijauan benar-benar gersang. Hanya bangunan dan tanah tambun yang kosong dan kering berpasir.
Lalu ayah berpatah semula keluar dari pagar utama kawasan tersebut, berhasrat untuk membelok ke kiri terus nanti akan sampai ke pekan Raub, tempat kami mula -mula singgah untuk berjamu makan tengahari.
"Tu tengok papan tanda tertulis SEKOLAH MENENGAH SAINS RAUB, PAHANG. Betullah kakak." Laung adik saya separuh terjerit.
Papan tanda itu betul-betul terletak di hadapan pagar bertentangan dengan pondok pengawal.
"Biar betul."
Saya saat itu mengharapkan papantanda itu yang silap. Tersilap pasang atau jika boleh biarlah tersilap tulis. Ada rasa kecewa. Saya membayangkan sebuah sekolah yang tersergam cantik, penuh dengan pepohon rendang, padang luas menghijau. Bayangan yang tidak mampu muncul. Gambaran yang diharapkan ala ala Seri Puteri ke, Sekolah Menengah Sains Selangor ke , Kolej Tunku Kursiah atau Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Aduh...
BELAJAR MENERIMA SEADANYA
Mulai saat hari pertama itu hati dipujuk untuk belajar menerima seadanya segala ketentuan. Inilah sekolahku. Cantik atau tidak, selesa mahupun sebaliknya belajarlah untuk berbangga menjadi penghuninya. Dua tahun menyulam kehidupan. Bulan -bulan pertama di situ serentak ke udara hits lagu HUJAN dendangan Allahyarham Sudiman Hj. Arshad.
"hujan yang turun bagaikan mutiara....menyirami ketandusan hati...semesra bumi yang disirami....begitulah.... hati ini....." Ada perkataan 'semesra', itu lah yang mahal.
Mersik alunan suara Sudirman. Macam tahu-tahu sahaja.
"Baik, semua pelajar tolong buat satu barisan panjang dari hujung padang ini ke hujung sana."
Arahan guru pendidikan jasmani kami, Cikgu Sharun Nong.
"Setiap pelajar boleh mengambil surat khabar atau kain buruk itu, selepas buat barisan ,boleh mencangkung. Saya mahu kamu sambil berjalan itik, tolong cabut pokok-pokok semalu yang banyak ini. . Hanya dibaris depan kamu saja jangan peduli kiri kanan kamu. Sambil itu ada batu-batu tolong longgokkan di satu tempat...ada faham?"
Disambut gelak ketawa dan rungutan tidak puas hati. Bising seketika. Aktiviti mencabut semalu dan mengutip batu adalah kenangan manis yang tidak berapa seronok untuk dilakukan 30 tahun dulu.
Adik-adik junior, 29 generasi di bawah kami kecuali generasi ke 4 terlepas peluang mencabut semalu di padang sekolah yang luas. Sekarang padangnya hijau, rata dan saujana. Terbayang-bayang timbunan-timbunan semalu yang kami cabut secara berjemaah. Banyak sungguh! Gambaran padang gersang penuh semalu berbatu kerikil, amat berbaloi tugasan itu sehingga mengorbankan waktu bermain kerana di waktu itu, jika bermainpun, permainan akan menjadi hilang tempo dan sumbang rentak.
SEMESRA bumi yang disirami
Sering saja kami berhadapan dengan masalah terputus bekalan air. "Ma Fii Mouih" kata orang arab. Maka ehsan penduduk Kampung Sungai Ruan yang selalu memberikan harapan. Merasakan kesegaran air perigi membasahi diri. Sekali sehari itupun sudah amat disyukuri. Ramai-ramai membawa gayung dan baldi, ikut pagar belakang sekolah. Belajar menceduk air perigi dengan tali panjang diikat pada timba besi. Belajar dengan Yati, teman dari Bentung sehingga kini dia bangga kerana katanya dia orang kampung...
"Yati, air ni tak masuklah dalam timba. Macam mana ya. " Rungut anak bandar. Sayalah itu yang mencuba berkali-kali menceduk air perigi tetapi gagal.
"Meh tengok sini orang kampung buat. Gerakkan menyenget dengan sentapan, bila senget air akan masuk penuhkan timba. Mesti ada seni dia."
Oh terimakasih sahabat kerana mengajar satu seni yang asing buat orang kota. Selepas selesai kami kembali nanti ke asrama terpaksa menjinjing air satu baldi penuh untuk bekalan sehari.
Semuanya telah kami rasai.
Adakalanya kami tidak dapat ke bandar walaupun minggu tersebut minggu outing akibat perintah berkurung. Masa itu masih ada lagi saki baki pejuang komunis di kawasan solok terpencil seperti Raub. Allahu akbar. Tawakalnya ayah ibu kami melepaskan kami malah kami tetap gembira saja.
Kenapa saya mengatakan Semesra bumi yang disirami, kerana saya percaya di bumi itulah saya dan kebanyakan kami disirami tarbiah. Detik -detik kami disentuh hidayah dari Allah, mengenal tanggungjawab yang hak sebagai hamba allah. Jiwa kami dibasahi dengan kesedaran. Sedar untuk melaksanakan perintah Allah. Rupanya solat wajib ada 5 waktu untuk ditunaikan...Quran wajib dibaca.
Kehadiran Ustazah Khatijah, jubah dan tudungnya yang selabuh telekung, hitam dan berpurdah. Kehadirannya memukul arus gelombang, menghempas pantai damai kami dengan persoalan demi persoalan. Beliau tidak digemari, kehadirannya menjengkelkan.
"Orang perempuan, wajib menutup aurat, pakai tudung yang sempurna. kerana setiap helaian rambut yang kamu dedahkan menjadi saham kamu mendirikan mahligai di neraka untuk ibu dan bapa kamu."
Aduhai...cerita apa ini ustazah.
"Rujuk surah An Nur ayat 31 bagaimana Allah itu berfirman wahai wanita yang beriman, labuhkanlah tudung kamu menutupi dadamu..."
Ramai pelajar wanita terpukul. Alhamdullillah ..saya awal lagi sudah melakukan perubahan. Saya sudah berazam jika dapat memasuki sekolah berasrama, maka tarikh hari lahir saya tahun tersebut saya akan menutup aurat. Mula-mula biarlah pakai skaf menutupi rambut saya diikat kemas dan kain ikatan itu dua juntai boleh menjadi aksesori yang diterima undang-undang sekolah.
"Dan...pada sesiapa yang menutup rambutnya, tetapi lehernya terdedah, dadanya tidak juga dilindungkan maka serupa sahaja seperti wanita yang tidak menutup aurat." sambung Ustazah lagi.
Dum!!
Eh! Itu bukan ditujukan kepada saya kan. Ustazah Khatijah tidak langsung memandang kepada saya pun. Tetapi kenapa saya rasa ada anak panah yang terkeluar dari busar Ustazah dan merodok jantung saya. Kecilnya hati ...rasa kerdilnya diri. Jika boleh bersembunyi di dalam tanah mahu saja saya menghilangkan diri.
Setelah pengorbanan yang besar saya buat untuk melakukan perubahan pada diri, berskarf menghilangkan peluang orang yang bukan ajnabi melihat juntaian rambut saya, hanya leher dan dada saja yang belum dihijab, berani Ustazah mengatakan seolah olah sama dengan orang yang tidak menutup aurat. Apakah!
Menyampaikan kebenaran itu payah kerana yang menerimanya parah. Berhari-hari saya termenung memikirkannya. Allah menunjuk jalan pulang. Hari ini saya mengakui dakwah harus berani, diri mungkin dikasihi malah mungkin ramai yang datang mengeji. Harus diiringi dengan beribu doa. Doa hidayat untuk ummah bukan kerana saya benar mereka salah. Tetapi rupanya kerana jika syurga Allah itu destinasi , saya mahu berpimpinan tangan bersama seramai manusia yang saya kasihi. Semuanya, yang mengaku beriman juga yang belum beriman agar mereka disapa hidayah. Kebenaran tetap kebenaran, pasrah sungguh.
Hari ini, siapa saya adalah bermula pada hari saya merasa seolah-olah dikeji oleh Ustazah Khatijah. Rupanya saya yang sepatutnya berterimakasih padanya, Allah selayaknya Penghibur buat beliau.
SIAPAKAH KITA 20 TAHUN LAGI
"Roki...20 tahun lagi siapalah agaknya kita ya."
Perbualan santai bersama seorang teman di belakang bangunan gimnasium sekolah. Tidak ada pohon rendang di kawasan sekolah maka di celah-celah bangunan yang meredup oleh bayang pun jadilah menjadi tempat berjumpa.
Kami berbual sambil berkongsi cerita. Dia ingin meluahkan sesuatu, rahsia katanya. Rahsia anak-anak menginjak remaja. Masing-masing memegang serpih kayu yang kami jumpa di belakang dewan itu , di coret-coret, dicucuk-cucuk ke tanah sambil bercerita. Hanya kami berdua.
"Ha a ya Ishah...Allah saja yang tahu."
Sahabat saya pasti seseorang yang berjaya. Keterampilannya sebagai pemimpin pelajar terserlah. Dia head girl sekolah. Ramai menghormatinya , mengaguminya sudi pula dia berkawan dengan saya.
" Roki dengar ni yeh...
mengelamun masa depanku ke arah mana kutuju...
dalam perjuangan penuh cabaran adakah tempat untukku..
bila gugup nafas ku hela ..semangatku pun menyala...
Bila ku tanya diriku sendiri apakah sudahnya nanti..
ku rasa puas kerna hayatku ..kuhidupkan sebaiknya..."
Tergelak-gelak kami. Bangunan gimnasium jadi saksi bisu.
"Lagu siapa tu Ishah...kena dengan apa yang kita sebutkan dari tadi."
"Lagu ..Sudirman."
Waktu dan ketika itu, mentaddabur ayat Allah sangat asing bagi kami remaja. Tiada alunan nasyid, mahupun bait liriknya yang ada serta banyak sekali seperti sekarang untuk dijadikan galas motivasi. Pandai sendirilah memilih lagu yang boleh menyuntik jiwa, jika adapun lirik berbau cinta, anggap saja cinta itu untuk Pencipta.
"Ulang, ulang sekali lagi...senikata dia best"
"Tak boleh, akan jadi tak sedap Ishah nyanyi...nanti Ishah tuliskan ok"
SELEPAS 30 TAHUN SEMESRA
27 April 2013 , Hotel Intercontinental, Jalan Ampang Kuala Lumpur berlangsungnya Majlis Perjumpaan 30 tahun Semesra/ Semesta (tahun 1989 nama sekolah ditukarkan ke Sekolah Menengah Tengku Abdullah sempena nama Tengku Mahkota Pahang menjadi Semesta- Semesra tinggal menjadi kenangan).
Sahabat saya benar-benar seorang yang berjaya . Sekarang merupakan orang penting di Jabatan Oftalmologi, seorang pakar mata..
Sahabat saya Yati orang kampung yang mengajar saya menimba air perigi sekarang seorang pensyarah di Politeknik Shah Alam. Menyiapkan tesis doktor falsafahnya di Iowa Amerika Syarikat. Mesti beberapa tahun dia menyimpan rindu pada dinginnya hujan di kampung dalam sejuknya beku salji jauh di negara orang. Imah lulusan ekonomi dari Australia.
Duduk semeja makan malam waktu itu, kami dihimpunkan mengikut Generasi. Kami Gen One. Maryam guru kanan sekolah. Azhar pegawai tinggi MAS, Asgar Ali doktor yang mempunyai kelinik sendiri di Klang. Fauzan juga berjaya. Kanaga juga doktor di Manjung , sepanjang saya tinggal di Venice of Perak, kami tidak pernah berjumpa dan tahu kami pernah berjiran di dalam satu taman. Acutha Rao duduk bersebelahan Jefrizin. Dua insan ini istimewa kerana ingatan saya kepada meraka jauh sebelum kami menghuni Semesra lagi. Kami pernah sekelas rupanya dari darjah dua hingga tiga di Sekolah Rendah Kampung Batu, Kuala Lumpur. Selepas itu saya berpindah ke Sekolah Rendah Convent Sentul.
Selama yang terpahat di ingatan saya adalah minggu orientasi Semesra, kami pelajar baru yang harus membuat persembahan. Acutha dan Jefri antara duta duta kami. Istimewanya mereka kerana peristiwa lupa lirik di atas pentas. Gegak gempita lautan penonton menggelakkan mereka tapi kelihatan mereka bersahaja. Acutha saya boleh mengatakan bahawa 'Shadow Dancing' dari kamu yang tersekat-sekat adalah yang terbaik, yang tidak akan pernah saya lupakan sampai bila-bila. Dan Jefri semoga kehidupan kamu semakin berkerlipan tidak seperti ' Kelip kelip kusangkakan api' yang terputus liriknya di tengah persembahan. Kenang-kenangan zaman kecil kita semua.
Perjumpaan itu juga memberi peluang kepada saya menyaksikan kejayaan ramai kawan-kawan, sekarang sudah berstatus Dato'. Menjawat jawatan yang penting di dalam negara. Tahniah alhamdullillah.
Roslan yang selalu lena di dalam kelas sekarang merupakan CEO kepada banyak syarikat. Tuah ayam menonjol di kaki, tuah manusia benar-benar di dalam genggaman Allah.
Saya ternampak seseorang yang saya kenal walaupun sudah 30 tahun tidak berjumpa. Saya teringatkan pada sajak yang beliau nukilkan betapa beliau bencikan perempuan. Sajak itu ditampalkan di ruang karya di belakang kelasnya kerana kami tidak sekelas. Sekarang saya boleh memahami bahawa pada usia 17 tahun, anak muda yang baik akhlaknya, kelihatan matang dari umur sebenar tentu jengkel melihat gelagat sesetengah kami pelajar perempuan yang juga masih hijau dan keanak-anakan.
Dia meluahkan perasaannya sungguh-sungguh di dalam bait-bait sajaknya. Saya dan teman saya, si budak kampung terasa walaupun tahu bukan kami sajak itu ditujukan tetapi perasaan kami mewakili perempuan-perempuan di dalam sajak tersebut.
Dan mungkin sampai kesudahan persekolahan, dia tidak tahu coretan balas kami ditepi kertas sajaknya
'awak benci perempuan...adik , kakak dan ibu awak bukan ke perempuan?!!' adalah antara kerja kreatif kami melepas geram.
Terharu untuk di kenang. Maafkan kami.
Dan paling menyentuh hati,
"Zarishah saya rasa saya lah yang paling lewat membina keluarga dikalangan kawan-kawan. Umur 44 tahun baru bernikah, saya hampir putus asa. Tengok anak awak yg sulung dah 20 tahun (terbayang wajah kak long), saya yang sulong baru 2 tahun. Tapi saya betul-betul besyukur, anak saya yang kedua baru dua bulan lahir. Ada kawan yang saya jumpa belum lagi dikurniakan zuriat."
"Tak usahlah kita fikir siapa yang paling awal dan siapa yang paling lewat. Ramai lagi kawan yang kita sudah tak jumpa, tidak tahu keadaan mereka. Bila awak bersyukur maka akan Allah tambahkan nikmat, lebih banyak lagi. Saya pun tumpang gembira hidup awak makin sempurna. Allah menyusun yang terbaik untuk awak."
"Awak ustazah ke Zarishah?"
"Oh tak, saya adalah seorang Domestic Personal Assistant dalam sebuah syarikat persendirian iaitu HOME. Jawatan itu saya yang iktiraf sendiri.
Tiba-tiba...
"Kak Zarishah kan? Kakak ingat saya tak, saya Sofea."
Saya mendakap lama dirinya. Dia memang manja dengan saya, kerana saya ketua dorm Musytari bersama junior yang lain. Masih terbayang -bayang wajah comelnya yang 'comot' berumur 13 tahun, sentiasa datang mengadu hal kepada saya. Dia benar-benar berubah, sangat ayu.
"Saya ingat kakak yang jaga saya dulu. Saya ternampak nama akak dalam senarai kehadiran, saya tunggu kakak."
Hampir menitis airmata . Terimakasih kerana masih mengingati dan kakak terharu terasa dihargai. Sofea Aliza seorang anak yang suka cakap berangan rupanya dewasa penuh berseni. Seorang karyawan berjaya, penulis skrip ratusan drama televisyen. Kakak bangga dengan adik.
"Saya Cikgu Fauziah..guru Bahasa Inggeris! Remember me?"
"Cikgu...!"
Seorang wanita sentiasa dengan senyuman, kini sangat keibuan serta bertudung litup. Saya teringat skirt sha na na cikgu ditahun 1984. Kasut cikgu yang keletak keletuk dan talipinggang besar cikgu. Pertuturan cikgu yang tidak ada langsung bahasa melayu, slang cikgu yang berabuk. Aduh cikgu...Alhamdullillah saya bersyukur dapat mendakap cikgu dan mengucapkan terima kasih atas ilmu yang cikgu curahkan.
"Semua alumni Generasi Satu tolong naik pentas bergambar dengan Guru Besar juga Penolong Guru Besar kita dulu." Pengumuman di buat.
Sesudah bergambar, saya mengadap dua orang insan yang menjadi peneraju Semesra itu.
"Cikgu, Cikgu masih sihat, gembira jumpa cikgu..."
"Awak buat apa sekarang?" Pertanyaan bagai seorang ayah.
Saya terhenti sebentar.
"Saya ke cikgu....jawatan saya tinggi cikgu karier saya mencabar, saya adalah seorang surirumah separuh masa."
Tersenyum memandang ke arah Haida yang juga duduk semeja tadinya kerana kami berkongsi karier dan jawatan yang sama. Seronok sahaja Haida berkongsi cerita dengan saya. Dia memang menjiwai kehidupannya, alhamdullillah.
"Wah! Ini mesti hebat...tapi separuh masa lagi tu ke mana perginya."
Ish komen cikgu buat saya malu sendiri. Hebat manalah.
"Separuh lagi tu saya infakkan untuk kerja -kerja modul pembinaan insan."
Orang DnT(Dakwah dan Tarbiah) insyallah faham.
Pinjam kata -kata The Pencil, Hoyeah!
Dan ketika langkah kaki ini menuruni tangga pentas, sempat saya nukilkan di dalam hati. Saya bukanlah seorang yang hebat. Hari ini saya kuat untuk berada di tengah-tengah sahabat-sahabat yang memacu kejayaan hanya kerana saya izzah dengan nikmat Islamnya diri saya, pada perkara -perkara kecil yang mampu saya lakukan sekadar yang sehabis mampu. Hanya kerana satu perkara.
Kerana hayat saya, saya cuba hidupkan dengan sebaiknya. Perkenankan Ya Rabb.
|
Author: -Ainul Yaqin-
•03:18
"Anak dara jangan sampai matahari tegak di kepala, baru terjaga meninggalkan tilam dan bantal!"
KU SANGKA SIANG KIRANYA MALAM
Sering ibubapa dahulu melaungkan sebegitu. Rasanya jika ada yang berani melanggar peraturan yang digariskan oleh orang tua-tua dahulu, alamat lebam cubitan bakal singgah juga di peha. Lalu apakah saranan untuk remaja sekarang yang hidupnya bersengkang mata menghidupkan malam melayari informasi terkini arus perdana dengan internet atau gajet di tangan. Bukan lagi matahari tegak di kepala malah entahkan sehingga suria itu mereng terbenam semula si anak belum tentu tahu untuk bangun. Masyaallah. Siangnya pasti menggantikan waktu tidur memejamkan mata sehingga puas. Ke manakah pergi tuntutan solatnya, ibadatnya, tanggungjawab membantu urusan kehidupan. Urusan rumah tangga ada ibu yang boleh melangsaikan. Jika di rumah ada pembantu bertuahlah lagi badan.
TUGASAN RUMAH
Saya selalu memikirkan senario yang semakin mencengkam rasa yang melibatkan anak-anak remaja yang semakin berpelajaran dan memperolehi pelbagai peluang untuk menikmati kemajuan yang terbentang di depan mata. Anak-anak saya, anak-anak sahabat, anak-anak jiran, anak-anak genarasi hari ini dan akan datang.
"Anak-anak ummi jangan hanya pandai bercakap tentang Islam, dakwah dan tarbiah, usrah dan halaqah tetapi adab dengan orang tua, tanggungjawab mengelolakan rumahtangga lintang pukang. Hebat menuturkan dakwah tetapi rumah macam tongkang pecah. Biar perabut murah malah rumah gersang tidak ada perabut hiasan yang banyak asalkan bersih, teratur dan menyenangkan pandangan. Di situlah kita harus menata seni pada rumah tangga..faham...?"
"Faham..ummi."
"Tahu tidak zaman dulu sebesar sembilan tahun budak perampuan sudah pandai memasak nasi, dewasa sedikit memasak pula lauk pauk bukan dengan periuk elektrik tau sayang...periuk belanga yang ditenggek atas kayu api. Masak banyak untuk adik-beradik yang ramai sekeluarga. Kayu api mesti dinyalakan dulu, dijadikan bara, jika bara hampir padam perlu ditiup marakkan api, periuk harus ditutup kerana jelaganya, abu kayu nanti terbang memasuki periuk." Kenapa mereka boleh, kerana mereka dipaksa dan tidak ada internet melambai mengalihkan fokus mereka.
Adakah dengan adanya internet anak-anak sudah semakin rajin bersimpuh tekun menganyam komputer maka ilmu rumahtangga sudah tidak menjadi utama untuk dipraktikkan. Tambah sebagai orang tua apakah pukau yang terkena sehingga hak untuk mendidik mereka, melatih melakukan kerja rumah tangga seperti terkedu, terencat, tidak lagi mampu mengarah seperti emak-emak dahulu. Memang mereka benar-benar menggunakan sepenuh kuasa yang ada untuk mengarah , untuk memaksa anak-anak menyelesaikan segala kerja yang ada. Kesannya anak-anak menjadi rajin dan pandai bertingkah dan menguruskan rumah tangga, baik di rumah sendiri mahupun di rumah tetangga. Campaklah anak dara dan teruna ke majlis merewang atau gotong royong, lincah sahaja tangan dan kaki mereka bekerja.
"Ini Ustazah bawa daun- daun dan herba untuk ditunjukkan kepada kamu semua. Daun selon, ulam raja , kacang botol, daun pandan, daun lengkuas, daun kari, cekor dan banyak lagi ini , semua ustazah labelkan siap. Kamu kenal tidak dengan daun-daun ini. Ustazah percaya ramai di kalangan kamu sudah pupus pengetahuan tentang daun dan pokok yang digunakan ibu kamu ketika memasak dan sebagainya. Kenal tidak daun kunyit?"
Seorang ustazah yang mengajar subjek ERT menyuarakan kerisauannya.
"Tak...ustazah."
"Masyallah, daun kunyit tidak kenal, apalah hendak jadi dengan zaman kamu dan anak-anak kamu nanti. Ini ambil daun kunyit, tengok dan bau sekali aromanya. Ustazah hendak mulai hari ini kamu ambil berat sedikit tentang benda-benda seperti ini."
Ustazah meneruskan bebelannya, memang wajarpun.
Sekarang mengikut ibubapa ke majlis kenduri atau perkahwinan menjadi taboo, baik duduk di rumah membuka internet, bukan kami kenalpun orang ramai di majlis tu. Jadi orang dungu melangut menunggu ibu dan ayah menghabiskan sembang ramah mesra bersama teman-teman.
Antara alasan mengelak majlis
Saranan untuk diri saya terutamanya dan buat ibu-ibu, suruhlah anak-anak. Suruh! Suruh! Suruh, jangan berhenti! Suruhlah mereka membantu melakukan kerja -kerja di rumah. Bapa juga suruhlah anak-anak remaja dan teruna bekerja membantu nescaya apabila mereka melangkah ke alam rumah tangga pasti mereka akan lebih kreatif. Mereka tidak lagi kekok melakukan bebanan kerja di dalam rumah.
Saya merasakan satu ketika saya sering tidah menyuruh. Saya tidak bekalkan mereka pelajaran tentang peri pentingnya melaksanakan tugasan rumah tangga. Alasannya. Kesian kerana takut anak-anak letih. Tidak sampai hati tentu mereka terganggu hendak belajar. Kerja sekolah mereka berderet. Berpada-padalah.Tidak boleh jadi !
Kerana sayangkan merekalah maka mereka harus dipaksa, dengan segala pujuk rayu yang ada.
JIka tidak mungkin hati akan sakit sekiranya selepas makan mereka boleh saja meninggalkan meja makan tanpa dikemaskan, singki penuh berisi pinggan mangkuk kotor boleh dipandang sahaja. Jika disuruh basuh pinggan, hanya pinggan sendiri yang dicuci , pinggan lain bukan aku yang guna, nasiblah ..Kain baju yang kotor tunggu siapa lagi untuk dicuci. Kena jemur pula. Sampah kumpulkan sekali tentu perlu dibuang ke luar. Rumah perlu disapu, kenapa bilik tidur ditinggalkan berselerak tidak dikemas dahulu.
Senarai tugas yang menanti panjang lagi, panjangnya berjela. Ini tugasan perempuan, lelaki tidak dilibatkan.
Hei! saya mempunyai saudara yang kesemua tujuh anaknya adalah lelaki. Seorang membancuh air, ada yang menggorengkan karipap frozen, yang menatang dulang, dibantu adik-adiknya menyusun cawan dan piring adalah rijal-rijal belaka. Maka siapa kata tugas tersebut khusus untuk perempuan sahaja? Jangan sampai hanya ibu dan bapa melakukan kerja sampai tua. Remaja tidak berminat tetapi apa boleh buat satu hari nanti mereka juga yang akan membuatnya, maka paksa dan suruh sahaja.
Seorang anak bersuara, "Ibu nanti kakak cuti semester, kakak tolong ibu buat semua kerja rumah ya. Ibu rehat saja. Kalau ibu ada tamu kakak akan bancuhkan air dan hidang kueh mueh malah biskut kering sedikit. Ibu dan ayah bolehlah masa tu goyang kaki saja melayan tamu. Semua ditanggung beres!"
"Ni ibu nak cakap, boleh tidak kakak jangan tabur sebarang janji palsu pada ibu. Untuk menyedapkan halwa telinga ibu dicorong telefon buat apa. Apa yang ibu mahu adalah bukti! Jadi cuti semester nanti kakak buktikan dulu ok, barulah namanya cinta berbau syurga bukan kata-kata berbau cuka, hahaha"
"Ibu ni..."
TAMU DAN BERTAMU
"Eh,masing-masing bangunlah salam makcik makcik yang datang rumah kita ini."
Dengan liat dan berat anak-anaknya bangun meninggalkan meja komputer dan PS2 yang terletak di ruang tamu itu untuk menghulurkan salam. Tanpa suara, tiada bahasa bahasi, rona wajah tidak beriak, kemudian kembali menghadap 'tugasan'nya semula. Untunglah juga ditegur ibu atau bapanya, ada yang tidak ditegur langsung maka dari mula tetamu sampai sehinggalah balik, tidakberganjak mereka dari aktiviti penting mereka. Anak-anak robot .
Bagi anak-anak lelaki yang sudah baligh tidak perlulah mereka menyalam kawan-kawan ibunya tetapi memadailah menjemput mereka duduk, tersenyum dan menganggukkan kepala. Duduk sebentar tanda meraikan kemudian mohonlah masuk.
Pandai ke anak-anak kita? Rata-rata anak zaman sekarang sudah tandus budi bahasa. Kerana kerap tidak bersama di majlis bersama orang tua. Atau mungkin pada mereka makcik-makcik ini wanita ajnabi maka tidak wajar untuk bermuamalah. Makcik sudah tua lah anakku.
Pengalaman bercakap, bersms dengan anak-anak remaja lelaki produk DnT, mengesan kekekokan mereka berbahasa bahasi dengan golongan tua. Terlintas di hati betapa perlunya mereka ditamrinkan, khas bab muayasyah dan muamalah sahaja. Pahatkan di dalam benak mereka sehingga terukir kemas. Tidaklah nanti bila makcik tua ni bercakap dengan mereka di telefon balasannya adalah
"Hem", "OK", "Hem", "Hem" berkali-kali bukannya "Baik makcik" atau ayat-ayat menyejukkan hati orang tua dan yang 'sama waktu' dengannya. Terima kasih jauh sekali ....aduh kesiannya. Atau menjawab sms dengan bahasa yang tidak sepatutnya, seolah-olah kita juga hendak diajak rock n roll . Ayuhlah anak-anakku , penatkan lah diri sedikit dalam menyusun kata sekadar meraikan golongan shuyukh(tua) ini. Bagaimana hendak masuk ke dalam dunia dakwah jika perkara sekecil itu masih terlondeh di mana saja.
"Kami semasa belajar di Yamen, amat rapat sehingga pulang ke Malaysia berziarah sesama kami ke kampung kawan-kawan. Maka tidak ada masalah jika dijemput makan oleh keluarga seseorang sahabat maka pada ibu dan bapanya terutama ibunya kami berikan ucap terima kasih. Bukan salahpun, ini konon nak menjaga hijab, perkara-perkara sebegini terabai. " Cerita Ustaz Shazali di dalam sebuah daurah di Pulau Pinang.
"Pakcik makcik terima kasih, masakannya sedap . Nanti boleh jemput lagi".
Mendengar cerita Ustaz Shazali saya tersenyum. Ingatan tumpah kepada serombongan KRS Hidayah JB yang bertamu selepas menjalani latihan sarjan dan staf sarjan di Lumut dan Pangkor. Tetamunya adalah para ustaz, ustazah dan sahabat anak-anak saya. Sebelum pulang menaiki bas, ada upacara tabik dan lafaz terima kasih cara tentera oleh ketua kontingen. Nostalia sekali, yang menerima ucap tersebut adalah diri saya sebagai tuan rumah, yang sememangnya anak seorang bekas perajurit. Fikiran melayang juga teringatkan anak-anak pelajar STAM di Hidayah Ipoh. Baik lelaki juga perempuannya. Yang perempuannya memang teramat mesra , rumah saya menjadi rumah kedua mereka. Pernah juga pelajar lelakinya, datang bertamu berjamu tengahari di Syawal mulia.
"Kami kenyang makcik, sedapnya, terimakasih tak terhingga."
Pandangan kasih saya pada semua mereka bagaikan memandang anak-anak saya sendiri.
"Janganlah puji banyak sangat, nikmat makan semasa perut lapar yang tidak sedap pun terasa sedap, nanti kalian kenyang dek makanan makcik alang kekenyangan dengan pujian."
TRADISI AYAHANDA
Baru sekarang saya menghargai tarbiah yang ayah berikan ketika menginjak remaja. Walau pernah ketika dulu saya memandang sepi perkara ini malah ada rasa tidak puas hati ketika menghadapinya.
Setiap kali kawan-kawan ayah bertamu ke rumah baik yang datangnya seorang atau malah berkeluarga, maka ayah pasti akan memanggil kami anak-anak nya untuk keluar bertemu dengan tetamunya. Di antara kami tiga beradik, sayalah yang akan dipanggil berkali-kali kerana lambat keluar.
Hendak menyarung jubah, tudung mengambil masa dan ayah akan bertalu-talu memanggil sehingga semuanya mengadap tetamu tersebut.
Protes juga saya di dalam hati.
"Aduh ayah ni, tetamu dia, layan ajelah tak payah panggil semua keluar."
Bila sudah keluar terpaksa belajar memaniskan muka, duduk sebentar berbual.
Hari ini saya mengaku itulah pelajaran yang amat mahal hasil didikan ayah. Tradisi itu mungkin sudah semakin hilang. Maafkan ummi ya anak-anak jika Ummi mengambil langkah meneruskan tradisi Tok Ayah terhadap kalian dan memaksa kalian mengiringi tetamu pulang sehingga mereka berkereta hilang dari pandangan baru boleh melangkah masuk semula ke dalam rumah. Penat ya...penat memuliakan insan yang bertamu...apalah salahnya kan.
Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).
|
Author: -Ainul Yaqin-
•21:09
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati pasti nama yang ditinggalkan, disebut meniti bibir. Jasad hilang bersemadi namun pasti pada namanya itulah segala onar mahupun jasa ianya dikenang.
Betapa ramai yang sudah kita temukan, rantai kepada dirinya yang pergi adalah puji-pujian, tidak berkurang malah sentiasa dalam sebutan yang baik-baik tentangnya. Walaupun kehidupan untuknya sudah tiada, sejarah yang ditinggalkan kekal dijadikan pedoman. Indahnya pada sebuah kematian, andai kehidupan yang ditinggalkan terus menjadi sebutan, pelayaran hidup yang berlabuh dengan sebaik-baik pengakhiran. Menjadi impian setiap hamba insan.
"Abah, abah janganlah marah-marah begini....kami anak-anak ingin sekali mengenang abah pada perkara yang menggembirakan sahaja. Jika abah asyik merengus marahkan kami, kami bimbang memori itu lekat terpahat dalam hati kami sedangkan kami pun tidak mahu mengenang Abah sebegitu. Kami ingin mengenang Abah dengan kenangan yang terbaik."
Seorang remaja bersuara berani kepada seorang ayah. Ayah itu terdiam, akur khilaf, mengiyakan. Walaupun dia seorang ayah tetapi namanyakan masih manusia. Tentu sahaja rentetan hidupnya terdahulu melalui susur yang sama, barangkali dia juga mengenang orang tuanya pada sesuatu yang menjadi sandaran kelangsungan hubungan dengan anak-anaknya kini.
TOK WAN
Saya mencungkil kenangan ayah dengan Tok Wan Ishak. Melihat Tok Wan tidak pernah malah Tok Wan dipanggil Ilahi sebelum sempat melihat Ayah bernikah, masih remaja lagi. Dari cerita Ayah saya dapat merasakan Tok Wan sangat dekat dihati saya kerana semangatnya hendak anak-anaknya mengaji agama sealiran dengan impian saya dan suami.
"Tok Wan tak banyak bersuara, bunyi dia berdehem saja di tangga rumah pulang dari masjid ayah dengan Pak Su dah cukup kecut perut. "
"Masa ayah kecil Tok Wan boncengkan ayah dengan basikalnya , bawa ke mana mana masjid untuk mengajar atau menyampaikan kuliah agama. Tok wan ngajar, ayah baring-baringlah di tangga simen masjid, sejuk di situ dan sedap tidur. Kalau ada perbicaraan di pejabat kadhi di pekan Kuah, sebab Tok Wan dulu kadhi pertama Langkawi, Tok Wan suruh ayah tarik tali yang menyambung kayu rentang di sangkut kain tebal. Itulah kipas dulu-dulu, apabila kayu tu bergerak ke belakang ke depan alunannya bersama kain akan menggerakkan angin."
Hanya dengan cerita ayah saya belajar mengenali Tok Wan. Diam-diam saya mengaguminya. Cerita juga boleh mengumpul bahan dan kisah. Pernah di halau bapanya(moyang) kerana menyertai bangsawan. Jika dulu orang bangsawan boleh disamakan seperti artis. Maka Tok Wan merantau hingga ke Pattani mendalami agama kerana sumpahnya bapa, Tok Wan tidak akan diterima sebagai anak selagi tidak pulang sebagai orang agama. Tok Wan melunaskan janji. Di tahun 40an Tok Wan sudah memikul amanah sebagai daie. Penduduk Penarak dan pekan Kuah mengenal Tok Wan sebagai Tok Lebai.
"Tok Wan tidak suka bergambar, cuma satu saja gambar yang sekarang di dalam simpanan Pak Su, itupun sebab Tok Wan sudah tidak boleh mengelak sebab kena bergambar dengan Sultan."
Semoga inspirasi Tok Wan turun meresap ke dalam diri generasi keturunannya kerana itulah jariah. Perniagaan akhiratnya yang tidak akan membawa rugi. Bermanja dan bertukar-tukar cerita dengannya bukan lagi satu peluang. Hanya doa kami untuknya. Moga namanya harum dalam limpahan rahmat Allah.
AYAH
"Ayah, cuti ni kakak kena siapkan esei dalam bahasa Inggeris tentang pemulihan dan pemuliharaan dadah, pertandingan peringkat kebangsaan."
Ayah tidak berkira tenaga, bersama teksinya, satu hari penuh ayah tidak pergi 'menarik' kerana melayan permintaan saya. Ke pejabat PEMADAM , ke perpustakaan, saya mencari bahan ayah menanti sabar di dalam teksinya yang berjasa. Ke Pusat Pemulihan Dadah kami bersama-sama mengumpul bahan dan brosure.
Apabila diumumkan keputusan, esei saya memenangi tempat bersama sembilan esei yang lain dari seluruh Malaysia. Tetapi sayang bukan nama saya yang tercatit sebagai pemenang yang mengharumkan nama Sekolah Menengah Sains Raub, Pahang. Guru Bahasa Inggeris saya menetapkan nama ketua kumpulan masing-masing ditulis di borang pertandingan. Sekadar suka-suka untuk aktiviti set Bahasa Inggeris pada mulanya. Apabila esei tersebut di angkat sebagai antara sepuluh pemenang, maka nama seorang pelajar lelaki harum di sekolah. Esei itu seratus peratus tulisan karangan saya dibantu guru membetulkan nahu dan ejaan dengan selebihnya penat lelah ayah membawa saya ke sana ke mari. Silapnya bukan saya ketua kumpulan yang seramai 4 ahli lelaki dan saya seorang perempuan...biasalah. Itulah titik tolak saya ditarbiah oleh Allah untuk redha apabila kerja yang kita laksanakan sepenuh jiwa dan raga, namun pengiktirafan dan anugerah menjadi milik orang lain. Sebagai remaja peristiwa itu menyakitkan tetapi bagus sekali untukterapi jiwa. Apakah...
Yang terlebih utama, saya mengenang ayah sebagai seorang bapa yang tidak lokek menghulur tenaga dan kebersamaan dalam setiap urusan. Menghantar kawan-kawan saya ke sana ke mari. Memudahkan urusan kami sentiasanya, menuturkan selalu "Mak adalah seri kandi Ayah". So sweet. Itulah ayahanda yang saya kenang. Allah cucurilah RahmatMu atasnya.
SUAMI
"Agak-agak Ishah lah jika ditanya anak-anak, pada apalah agaknya kita dikenang mereka ya."
"Oh banyak tu, kalau abang ya....cuba tanya mereka sendiri. First hand dari mereka."
"Bila dengar bunyi motor ayah pulang dari masjid, along ingat kami adik beradik mesti bertempiaran lari selamatkan diri. Sebab kalau belum tunaikan solat sah kena soal. Soalan pertama ayah mesti 'anak-anak ayah dah solat ke belum?' Lepas tu Ummi mesti jawap, 'Ayah, anak ayah masing-masing dah selamatkan diri, mereka takutkan Allah lebih dari takutkan Ayah...eh terbalik lah ayah' . Kami kunci pintu bilik cepat-cepat solat hehe". Rahsia terbongkar.
"Ayah ketuk tangan Abang sekali tu dengan hanger bila abang nakal, lepas tu ayah macam sedih sapu tangan abang dengan minyak gamat."
Oh ingat juga dia pada peristiwa itu.
"Ada ke bila Nurin tanya apa cita-cita ayah, ayah bukan jawap Engineer, tapi ayah jawap ayah nak masuk syurga tanpa hisab. Nurin kecik manalah faham dengan jawapan ayah, nurin hendak ayah jawap engineer ke, doktor ke, arkitek ke. Sekarang kalau tanya Nurin, Nurinpun teringin pilih macam ayah, hendak masuk syurga tanpa hisab jugak lah..Jom!"
"Angah gelihati bila ayah cium kepala kami adik-beradik seorang demi seorang. Ayah mesti berkata 'dah besar dah anak-anak ayah' sambil mengusap kepala kami. Gelihati sebab tiap -tiap hari ayah tengok kami dan ayah bercakap begitu seolah -olah ayah sudah bertahun-tahun lama tidak melihat kami, tahu-tahu sudah besar, hihihi."
Ummi menjadi saksi bahawa ayah amat merindui anak-anaknya. Sudah 2 tahun ayah merindui untuk mengucup dan mengusap kepala Kak Long, ayah juga merindui suara Kak Long mengejutkan ayah sebelum subuh. Sudah setahun ayah rindu melakukan yang sama pada Kak Ngah. Merindui cerita-cerita kak ngah, dan anak-anak yang lain. Kerinduan yang sama terhadap semua anak-anak ayah, Abang, Kak Yin, Kak Yaya dan Faheem. Malam-malam semasa semuanya nyenyak tidur, selalu ayah berteleku mencium seorang demi seorang anak-anak ayah. Ayah tidak pernah bercerita tetapi ummilah saksinya. Ayah menginfakkan sebahagian belanja yang besar untuk anak-anak agar menjadi insan yang takutkan Allah bukan takutkan Ayah.
Maka anak-anakku kenanglah Ayah pada segalanya yang menjadikan kalian bertambah kasih padanya dan berjanji untuk menjadi sebahagian sahamnya di akhirat sana.
Maka mulaikanlah saat kita memperbanyakkan kebaikan agar kita diingati, dikenang malah didoakan. Sentiasa fikir-fikirkan pada apakah nanti kita bakal akan dikenang.
|
Author: -Ainul Yaqin-
•06:52
Duduk sendirian memikirkan lapuran yang baru saya terima tentang kejadian yang berlaku siangnya di sekolah membuatkan saya pilu sendiri. Cuba memandang setiap yang dilapurkan dari sisi yang paling adil sebagai seorang ibu menjadikan saya bersyukur tidak hilang perhitungan. Malah kasihan saya pecah melimpah terhadap Yaya, yang mungkin bingung berhadapan situasi paginya di dalam perhimpunan sekolahnya itu. Ketika itu dia belum lagi belajar di dalam rangkaian sekolah musleh.
Ketika mengambil ketiga-tiga beradik pulang dari sekolah, Nurin masuk ke kereta dengan air mata bergenang, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku.
"Nurin..?"
Saya merenung anak matanya meminta penjelasan.
"Semua kawan-kawan Nurin kata mereka tak sangka adik Nurin jahat, Yaya kena panggil depan perhimpunan pagi tadi. Cikgu dapat aduan Yaya paksa kawan dia buatkan kerja sekolah. Ada beberapa budak kena panggil, Yaya seorang sahaja yang perempuan. Nurin malu."
Butir-butir peluru memacu membedil dada saya ketika mendengar kata-kata Nurin. Sakitnya rasa, apa benar Yaya yang baru menginjak tahun 3 persekolahan sudah berani memeras kawan demi kepentingan diri sendiri. Apa benar anak yang lembut dan naif ini boleh bertindak sejauh itu. Jika benar Allah sahaja tempat saya mengadu, ujian apakah ini yang sedang mendepani.
PENJELASAN DARI NURIN
Saya terus memberhentikan kereta di hadapan deretan kedai, menoleh kepada Yaya, Berperangnya jiwa untuk memilih jalan penyelesaian mana yang harus saya pilih.
"Baik kak Yin cuba cerita satu persatu dengan betul-betul jelas, ummi hendak tahu apa yang sebenarnya berlaku."
"Semasa perhimpunan tadi Guru Besar kata dia mendapat panggilan telefon dari mak ayah kawan Yaya. Mak dan ayah kawan Yaya tu mengadu mereka nampak kawan Yaya sedang siapkan kerja sekolah untuk Yaya sebab dia bawa balik buku latihan Yaya. Bila mereka tanya kenapa anak mereka buatkan kerja sekolah untuk Yaya anak dia terus kata Yaya yang paksa dia supaya siapkan kerja sekolah tu untuk Yaya.
Sebab tu Yaya kena panggil pagi tadi depan perhimpunan. Nurin rasa mungkin Yaya tak salah tapi bila Guru Besar soal Yaya depan-depan orang semua, Yaya tak keluarkan suara langsung. Banyak kali cikgu tanya, Nurin geram Yaya diam saja."
Saya gundah, lemah terasa lutut, menarik sekuat tenaga menoleh pada Yaya. Tergambar wajahnya suram, bingung dan layu. Sayalah yang perlu merungkai persoalan ini.
"Yaya, Ummi tahu Yaya anak yang baik, cuba Yaya cerita pada Ummi betul ke Yaya buat seperti apa yang Kak Yin ceritakan tadi. Ummi belum penah tengok Yaya meniru tambah paksa kawan buatkan kerja rumah. Jika betul, Ummi tak marah, Yaya mesti ada sebab buat macam tu."
"Semalam masa kelas Bahasa Inggeris cikgu minta kami salin perkataaan perkataan di white board dan cari makna dalam kamus di rumah dan wajib hantar kerja sekolah tu hari ni. Kawan Yaya tu baru salin sikit, cikgu dah padam perkataan tu, jadi dia nak pinjam buku latihan Yaya sebab Yaya salin cepat dan sempat salin semuanya. Yaya kata pada dia kalau dia pinjam macam mana Yaya nak siapkan kerja Yaya sebab hari ni cikgu dah nak pungut. Jadi dia janji akan buatkan sekali untuk Yaya, bukan Yaya yang paksa dia."
Tersedu-sedu dia menangis di dakapan saya, lerainya sebuah kebingungan. Alhamdulillah Ya Allah! Anakku tidak bersalah. Kesian anak Ummi.
"Kenapa Yaya tak jawap macam tu masa Guru Besar tanya dalam perhimpunan ?"
"Yaya takut sangat, Yaya tak tahu macam mana nak cakap."
Subhanallah peristiwa itu mengajar saya tentang banyak perkara. Teramat banyak.
SEPATUTNYA
Saya meletakkan diri saya di semua situasi. Wajarlah si ibu ayah kawan Yaya melapurkan kepada pihak sekolah. Tindakan yang wajar tetapi mungkin cara amarah mereka menyebabkan anak mereka memilih untuk menjadi defensif, menyelamatkan diri dan mencampakkan semua kesalahan kepada kawan yang telah membantunya.
Seorang anak bermur 9 tahun apalah yang mampu mereka fikirkan secara waras, tentu sekali jalan paling mudah adalah berbohong mengatakan kawan yang memaksa dia. Anak saya teraniaya, saya memaafkan khilafnya seorang anak kecil, teman anak saya.
Maka dalam situasi apapun jika anak kita meletakkan kesalahan di pihak lain selidikilah dahulu. Jangan sama sekali diterima bulat-bulat entahkan anak kita sedang menuding orang lain yang jujur menjadi pesalah.
Sepatutnya selepas menerima aduan dari ibu bapa, pihak sekolah panggillah anak yang tertuduh ini dalam suasana bersendiri, di bilik pejabat misalnya gunakanlah kreativiti menyoal bukan tuduhan semberono, maka selidik satu demi persatu. Bukan membuat pertuduhan lantas menyoalnya meminta anak sekecil itu membela diri didalam satu perhimpunan yang semua mata memandang hina padanya dan sejurus selepasnya mengecap dia jahat dan memeras kawannya.
Saya kesal, tetapi saya tetap memaafkan. Mungkin dalam usaha untuk memberi amaran kepada pelajar lain anak saya terpilih untuk menjadi kambing yang ditanda hitam merata.
"Cikgu anak saya dituduh...kenapa di dalam perhimpunan, kenapa tidak disiasat dahulu." Dan saya menjelaskan semuanya, tanpa ada satupun yang tertinggal.
"Oh, Saya akan majukan kepada Guru Besar segera."
Terima kasih, Cikgu tetapi anak saya sudahpun mendapat kesannya. Bagaimana hendak memadamkan anggapan orang bahawa anak saya budak jahat. Satu sekolah menjadi saksi, dia anak kecil yang tidak mampu membela diri.
Teraniaya bukan.
Tidak mudah bukan, oleh itu jadikanlah ini pengajaran.
"Kami pihak sekolah memohon maaf kepada puan dan anak puan, tapi itulah dia tidak berterus terang semasa saya menyoalnya." .
"Dia terkedu. Mungkin akan datang, elok jika mereka disoal dalam ruang yang tertutup." Saya menjelaskan dalam rona wajah yang paling manis. Menelan liur yang pahit lagi kelat.
"Puan, Kami akan membersihkan nama baik Alya dalam perhimpunan yang akan datang, Insyaallah."
Setiap Isnin hari perhimpunan saya merisik khabar, nama Yaya tidak dibersihkan dan ianya luput dari memori mereka tetapi tidak saya.
Sepatutnya saya meminta nombor telefon ibu atau ayah kawan Yaya dan menjelaskan segalanya tetapi saya tidak berbuat demikian. Andaikata di dalam kotak ingatan siapapun mereka, ada terpahat nama anak saya Nur Alya Muhamad Rafiz, maka harapnya gugurlah anggapan bahawa Yaya bersalah dan anaknya juga sama sekali bukan pesalah. Bukankah telah saya katakan bahawa saya adalah ibu yang merakam, maka peristiwa itu saya rakam dalam bingkai kenang-kenangan kehidupan dalam membesarkan anak-anak. Saya redha.
Menyoal anak, jika baunya setengit bau menuding , barangkali anak akan memberikan jawapan yang tidak jujur.
"Eh! Siapa yang pecahkan pinggan ni, adik ya?"
"Mana ada, bukan adik lah. Adik tak tahu siapa pecahkan."
"Cawan Ummi pecah, air sirap ni berlambak atas lantai. Moyang kata air yang tumpah ibarat rezeki yang melimpah. Ummi tak marah jika anak Ummi pecahkan, boleh ganti cawan lain, tapi Ummi sedih jika anak Ummi tak mengaku."
Rasa-rasa tentu yang bersalah tidak teragak-agak untuk mengaku salah kan?
CUCU JIRAN
Menyedari duit Persatuan Kebajikan Pekerja Islam di jabatan tempat kerja suami hilang dari bekas kayu tempat suami meletakkannya sementara, hati berkata-kata. Siapa pula mengambilnya sedangkan Kak long baru pandai berjalan belum lagi pandai memanjat untuk mencapainya di atas televisyen. Kak Ngah jauh sekali merangkakpun belum sempurna.
Tidak mahu menuduh cuma meletakkan syak, ada kemungkinan cucu jiran yang berumur 9 tahun yang setiap petang bertandang untuk belajar mengaji. Sekiranyalah benar kanak-kanak tersebut mengambilnya saya percaya dia mungkin tidak memahami itu satu kesalahan. Tetapi takkan waktu sesingkat membancuh air kordial untuknya didapur, memberi ruang untuk dia memanjat rak yang menempatkan tv dan mengambil wang tersebut. Tetapi siapa lagi jika bukan dia. Toyol?
"Boboy, ada tak boboy terambil duit Makcik Sha diatas tv ni?"
"Tak de, mana ada, boboy tak ambil"
Bingungnya, baru disoal terambil sudah dijawab tidak mengambilnya, agak benar kot ada toyol yang berkeliaran, makhluk ini wujud. Apa mungkin.
Saya mendapat ilham untuk bertanya esoknya lagi jika boboy datang mengaji.
"Boboy, boboy baikkan, duit yang boboy ambil atas tv makcik Sha hari tu ada bakinya tak, sayang."
"Ada, Makcik Sha."
"Berapa bakinya ya sayang." Berdebar-debar degup jantung saya kerana muslihat mengena.
"Ada lagi 28 ringgit..."
Dari rm300 lebih hanya berbaki rm28 ! Sabar...sabar, yang saya cari sekarang adalah kebenaran dan kanak-kanak bersih di hadapan saya ini sedang mengajukan kebenaran. Kerana apa, apabila dikilaskan sedikit soalannya semua yang benar terburai! Masya allah.
"Oh ada baki lagi ya, Boboy belanja beli apa ya dengan duit banyak tu?"
"Kita ajak kawan-kawan kita makan kat Marry Brown depan sana." Ya Allah memang bertuah pemurah.
Petang itu juga kami hati-hati menerangkan kepada datuk dan neneknya. Ibu Boboy menangis memeluk saya memohon maaf. Saya larang mereka memberhentikan Boboy dari mengaji dengan saya. Jika anaknya bukan bersifat kanak-kanak yang polos, semasa saya bertanya penuh muslihat pasti dia akan turut sama licik. Ini tidak, kerana dia merasa selamat untuk menjawap lalu tidak langsung dipersalahkan dan tidak menyedari dia sudah membuka pintal teka -teki. Alhamdulillah.
“Sesungguhnya jujur itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke surga, sesungguhnya orang yang berkata benar maka orang tersebut dicatat sebagai orang yang paling jujur. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu mengantarkan ke neraka dan orang yang dusta maka akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang paling dusta” (Shahih Bukhari, hal: 65 juz: 4)
ITU MENCURI.... ANAKKU
"Ummi nak tanya, gula-gula yang mana anak ummi ambil dari rak kedai ni tapi tak bayar?"
Dia menunjukkan jenis gula-gulanya , bagus pula dia mengingati yang mana satu.
"Ambil duit ni, pergi bayar pada tauke tu. Ambil tanpa bayar takut namanya mencuri, anak ummi berdosa jika mencuri."
Antara peristiwa-peristiwa yang terakam.
"Di madrasah, duit kawan yang abang terambil tu berapa ringgit ya nak?"
"Lima ringgit ummi, duit tu jatuh depan loker dia, abang ambillah."
Mudah dan terus penuh jujur dia yang berusia 10 tahun menjawap.
Rasa sayalah jika saya bertanya, "Abang ada curi duit kawan tak?" pasti jawapan nya ialah "Mana ada.."
"Nanti pulangkan semula ya, jika hendak duit mintalah pada ayah atau ummi. Mengambil hak orang lain nanti Allah marah. bimbang nanti Allah ambil pula hak Abang. Allah ambil nyawa orang-orang yang abang sayang ke. Tentu abang sedihkan. "
"Tapi kawan abang tu dah pindah."
"Ambil rm5 masukkan dalam peti masjid ya. Anak ummi tolong jangan buat lagi."
Dan apabila dia mendapat berita saya kemalangan, kereta remuk melanggar pokok, dia mengongoi menangis menelefon.
"Abang sedih dengar ummi acccident, abang takut Allah ambil orang yang abang sayang..Huuhuu."
“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah bersama-sama orang yang jujur” (At-Taubah:119)
Saya percaya tumbesaran anak -anak kita sejajar dengan harga kepercayaan dan kejujuran yang kita kalungkan buat mereka.
|
Author: -Ainul Yaqin-
•23:06
"Perbanyakkanlah sujud kita kepada Allah kerana sesungguhnya semakin banyak sujud yang kita lakukan itu beserta dengan kefahaman, tahu dan kenal Allah maka semakin bertambah ketinggian frekuensi diri kita. Maka dengan frekuensi yang semakin bertambah itu akan menjadikan ruh kita semakin hampir kepada Allah."
Ustazah Thaniah menyusun bait tazkirah di keheningan pagi ruang Masjid As Soghir, Taman Pekaka, Pulau Pinang. Indahnya. Kata-kata ustazah menyelinap ke segenap ruang hati, menyejukkan dingin lagi damai.
"Kita bersujud kepada Allah sebagai mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhitung. Allah memerintahkan Iblis dan malaikat sujud kepada Nabi Adam, malah Iblis laknatullah engkar, maka bersujudlah kita sebagai tanda ketaatan kita kepada Nya dan sekali gus mengejek keengkaran syaitan yang tidak mahu sama sekali tunduk sujud."
Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis. Ia berkata, "Adakah aku akan sujud kepada apa yang Engkau cipta daripada tanah liat?"
(17:61)
Berkatalah Dia, "Apakah yang halangi kamu daripada sujud ketika Aku perintah kamu?" Berkata, "Aku lebih baik daripada dia. Engkau cipta aku daripada api, dan dia Engkau cipta daripada tanah liat."
(7:12)
Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada kemungkaran, dan orang-orang yang menjaga had-had Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin.(9:112)
Jika boleh biarlah kita tidak lupa untuk merendahkan diri kita dengan posisi sujud setiap kali habis solat wajib. Bersujud syukurlah kita kepada Allah. Lafazkan
"Syukran lillah,"
Kalimah ini basahkan sebagai alunan zikrullah mengiringi sujud tersebut. Terima kasih wahai Allah.
Jika 50 tahun umur kita lafazkan lah 50 kali malah lebih juga apa salahnya. Nombor hanya sekadar angka, selebihnya kita lafaz dengan penuh kefahaman. Mudahnya seorang hamba itu dipujuk untuk mengesakan Allah. Tidak ada jalan yang berliku, sangat mudah dan jelas tamsilan syukur itu.
Rasa bertuah untuk turut berada di situ, berpagi-pagian bersama ibu-ibu sepengajian. Allah pasti tidak menghampakan. Malaikat juga tentu sekali bahagia untuk sudi memayungkan sayapnya malah doanya buat orang yang berangkat untuk menimba ilmu walau dengan perasaan berat mahupun ringan.
"Kak lang, setiap kali menghadiri kuliah ini pasti ada sesuatu yang menyentuh jiwa saya, adakalanya sesuatu yang berbentuk teguran, tunai dari Allah. Selalunya pasti ada yang terkena batang hidung sendiri."
Benar Ana, Kak Nor , Alang akan menjadi semakin kuat dan bersemangat dengan kehadiran kalian berdua mengiringi.
MANUSIA IBARAT GULA MADU DAN KAYU
Sejauh mana juga terletaknya seketul gula, pasti kelak yang datang mengerumuninya nanti adalah semut-semut yang entah dari mana datangnya. Sudah begitu ketentuan kejadian dari Allah, gula yang hadir pasti dicari oleh semut. Begitu kuat tarikan aroma gula, tidak pula menarik perhatian si kucing. Malah pepatah menitipkan sanggup mati si semut dek kerana gula.
Melihat lebah berterbangan, andaikata bunga yang dihinggapinya, maka sah bunya tersebut bersirakan madu. Tidak lelah malah tidak ada istilah jemu buat sang lebah menghisap madu. Cepat sekali deria lebah mengesan manisnya. Rasanya mungkin ada sahaja gelombang aroma yang menggamit pencinta manisan tersebut. Kagum sungguh kita terhadap peraturan yang disusun sebegitu indah oleh Allah ini.
Kayu boleh mereput juga akhirnya disapa anai-anai. Kerjanya sunyi dalam diam, secara perlahan tetapi ukirannya menggambarkan betapalah Allah menyediakan bukan batu anai-anai berumah, tetapi kayu. Malah kertas, buku, perabot asalkan namanya kayu, intai-intailah kehadiran makhluk pencinta kayu ini.
Semua yang di atas merupakan tamsilan, sebuah analogi dari kejadian di sekeliling kita. Maka sedarlah kita manusia, tarikan kita terhadap serangan Iblis dan syaitan adalah pada sangkaan manusia itu sendiri. Sangkaan manusia itu ibarat gula, madu dan kayu untuk menarik syaitan menghujam kita dengan godaannya.
SANGKAAN
"Ishah, saya rasa kawan kita itu memang tidak lagi hormatkan saya. Apa yang saya arahkan atau minta tolong langsung tidak dipedulikan. Saya sudah segan meminta pertolongannya lagi."
Sebuah sangkaan sesama sendiri dalam berorganisasi. Rentetannya mampu menerbitkan rasa kesal, jauh hati dan merajuk.
"Hei sayang, kakak nak tanya sedikit, Kak Li ada suruh order makanan untuk program tu adik dah selesaikan ke? Tumpang akak ingatkan ni jangan lambat ya."
Sekadar membuat counter check, apa berasas ke sangkaan, ataupun berbaloi untuk terasa hati sedangkan tidak diusul selidik secara berterus terang.
"Oh ya ke Kak Li tugaskan saya untuk membuat pesanan, minta maaf kak saya tidak perasan pulak. Kalau macam itu segera saya laksanakan esok, very sorry. Sampaikan sorry saya pada Kak Li apa agaknya dia fikir, kesian dia."
Sebuah sangkaaan yang tidak soleh telah terungkai. Maaf Iblis dan Syaitan, tiada ruang untukmu bercanda di kalangan kami orang yang berbaik sangka.
"Hem, saya memang tidak berapa boleh masuk dengan dia tu, tahulah dia isteri orang penting, bukan macam saya isteri orang bawahan. Tengok stailnya pun macam datin-datin , vogue semacam. Diapun seperti memilih bulu, orang macam kita ini tidak dipandangpun."
"Kak, sudahkah kakak bekerja dengan dia dan berapa lama kakak sudah mengenali dia, Jika semuanya belum, jangan meletakkan sebarang sangkaan dulu, sangkaan selalu tersilap, sangkaan juga boleh mendatangkan dosa. Saya senang dengan dia, mana tahu kakak juga boleh menjadi akrab."
Saya berani suarakan begitu kerana individu yang dikatakan tadi adalah seorang yang sangat dekat dihati saya. Dia memang bergaya, stailo itu kerana dia mampu tetapi saya kira dia sudah cukup bersederhana. Mungkin kerana saya mengenalinya diluar malah mencintainya di dalam. Dan saya mulakan jarum azimat untuk memecahkan tembok sangkaan demi sebuah persaudaraan. Dan ketika berhijrah meninggalkan daerah itu dua hati mereka semakin bertaut, kemanisannya mengalir menyapa hati saya. Ditakdirkan mereka menjadi jiran setaman, mereka akrab sekali. Sakit pening saling menjenguk, susah senang kongsi bersama, sempat ditarbiah di dalam halaqah. Alhamdullillah.
Syukran lillah
"Dolu ado orang tu kato ekau pilih bulu tau, tak borkonan dio nak kawan ngan ekau la kak, Ado ko dio kato ekau sombong lagak mak datin. Cubo ekau maghah balik kek dio.."
(Dulu ada orang tu dia kata kamu pilih bulu tau, tak berkenan dia nak berkawan dengan kamu la kak, Ada ke dia kata kamu sombong lagak seperti mak datin. Cuba kamu marah semula pada dia)
Saya pecahkan rahsia teman yang kini rapat, asalpun dari negeri yang sama. Cantiknya penyusunan Allah.
"Eh itu dolu yo,maso tu eseh bolum kona lai dio, eseh bona bona tobat sangko bughuk kek mak datin, tak mahu lai eseh jadi macam gulo dihurung dek setan. astaghfirullahal azim"
(Eh itu dulu ya, masa tu saya belum kenal dia lagi, saya benar-benar taubat bersangka buruk pada mak datin, tak mahu lagi saya menjadi seperti gula dihurung oleh syaitan, astaghfirullahal azim)
Ketawa kami pecah penuh mesra dan bahagia. Saya terlebih bahagia dan disini ingin kunyatakan bahawa diri ini amat mencintai kalian keranaNya.
|
Author: -Ainul Yaqin-
•21:35
Dari lebuhraya arah ke selatan, isyarat kiri dinyalakan memasuki persimpangan Changkat Jering dan Taiping. Sebelumnya kami terlepas persimpangan Taiping Utara dan Kamunting. Suami selesa dengan laluan tersebut kerana terbiasa dengan exit itu sejak kami tinggal di Manjung dan di Ipoh dahulu.
Taping....daerah kegemaran arwah emak.
"Banyak-banyak tempat tinggal, mak paling seronok tinggal di Taiping."
Banyak agaknya emak mengumpul nostalgia di daerah setenang Taiping. Hanya emak yang menyimpannya. Sesuatu yang saya suka tentang Taiping adalah terdapat banyak kawasannya yang berumput. Dan warna rumputnya saya perhatikan luarbiasa cantik serta hijau.Mungkin dari segi geografi, Taiping kawasan paling banyak mengumpul hujan. Rumputnya subur, susah hendak mencari rumput segar tanpa bercampur lalang dan pokok renik dalam kawasan yang luas. Di Taiping rumputnya sahaja sudah menggamit rindu, melambai rasa. Entah ya, jiwa saya sangat dekat dengan rumput dan daun-daun. Daun hijau malah daun kering yang sering gugur juga adalah sebahagian dari kegembiraan saya.
Ayah dahulu selalu berpesan.
" Andai memandang langit yang biru, rumput di bumi jangan kakak lupa."
Pesan ayah mudah tapi di dalamnya membawa seribu makna.
Kerana itu saya kira apabila merindui ayah mahupun emak semasa menuntut jauh di USM, kerinduan itu saya hilangkan dengan melangut ke langit. Saya tunggang Che Su (panggilan untuk motor kesayangan saya Suzuki PAQ 4068 biru) menuju tempat yang paling saya suka.
"Jom Che Su, kita pergi airport."
Dan di tepi pagar Lapangan Terbang Pulau Pinang itu, yang tidak eksklusif seperti sekarang saya melangut ke langit memerhatikan apa saja yang melintas di atas. Pasti sekali kapal terbang yang berlepas laju dan yang turun mendarat. Ada juga camar dan bangau yang mungkin terbang membawa aura menuai dari sawah bendang di Seberang Perai. Impian saya juga setinggi itu.
"Che Su, tadi kakak dah tuang minyak, jangan meragam lagi ya." Mustahil Che Su mampu bersuara tetapi Che Su sering memahami dan tidak mengecewakan. Pernah terhenti betul-betul di tengah Jambatan Pulau Pinang antara debaran dari ragam Che Su.
"Ya Allah Che Su....takkan nak sorong Che Su sampai Seberang Perai.Tolong Che Su bangun..."
Dengan izin Allah enjinnya boleh dihidupkan semula.
"Jangankan bawa motor kalau kakak nak bawa kapalterbang pun ayah lepaskan...tapi harus tanya mem(mak) dulu." Ayah selalu bergurau, menutur sebegitu.
Taiping tidak banyak berubah walaupun sudah 40 tahun buminya saya tinggalkan. Berhadapan sebuah padang bola, berhampiran Penjara Taiping, dan bangunan mahkamah ada sebuah kawasan kem angkatan tentera. Di situ saya membesar selama 2 tahun. Di rumah yang kini sudah dijadikan mes tentera, bangunan itu tetap tidak berubah, masih kekal dengan pondok pengawalnya di hadapan pagar.
Saya meminta suami memberhentikan kereta betul-betul di pagar berhadapan dengan 'rumah' saya dahulu.
"Kayuh! Kayuh pantas- pantas Zari! Tengok depan ! Tengok depan!"
Riuh mulut Pak Itam, adik mak yang muda belia mengajar saya mengayuh basikal selepas di tanggalkan roda tepi. Ketika itu saya berumur 5 tahun. Di situlah saya belajar untuk berkayuh.
Berapa kali saya terjatuh, bangun dan berkayuh lagi. Namun tidak adapun sebarang luka dengan kehadiran tebalnya rumput hijau di sekeliling rumah itu. Jatuh, bangun , tersembam, hidung tercium bau rumput, aromanya harum apabila baru disabit oleh tukang sabit India yang diupah pihak pengurusan tentera. Saya yang menghantar segelas air sejuk dan sepiring cokodok untuknya selepas melihat dia berehat mengelap peluhnya. Mak mengisi ke dalam dulang kecil, saya yang menatangnya. Ketika itu ayah menjadi jurulatih kawad bagi angkatan Batalion 4 Melayu. Saya anak seorang perajurit, anak tentera.
Apabila kayuhan saya semakin mantap, Pak Andak, adik mak juga mula membawa saya berkayuh disekitar Taman TasikTaiping yang berhampiran dengan rumah , sesekali berkayuh jauh sedikit ke kawasan kaki Bukit Maxwell. Rupanya nama bukit ini telah ditukarkan ke Bukit Larut. Pak Andak adalah rakan berkayuh saya yang terbaik. Apabila kami berdua melintas, saya perasan ramai anak-anak gadis yang tertoleh-toleh. Saya tidak memahami keadaan itu dan bertanya.
"Apa pasal diorang tengok-tengok kita lepas tu bisik-bisik eh, Pak Andak."
Rupanya Pak Andak adik beradik mak yang sama ibu itu mewarisi darah kacukan Sri Lanka arwah Atuk Ibrahim. Wajah Pak Andak dan Pak Itam kacak mirip pelakon Shashi Kapoor. Ehem.
Kini, saya kembali semula ke Taiping tetapi tanpa ayah mahu pun mak bersama. Saya cuba merakam lanskap serta rumah yang pernah menjadi sebahagian hidup kami itu dengan kamera. Sekali shot. kali kedua, tiba-tiba.
"Minta maaf tidak dibenarkan mengambil gambar ,ini kawasan tentera." seorang pengawal tentera siap bersenjata disandang melaung ,wajahnya dimaniskan.
"Ini rumah saya dahulu, Encik!"
Dia melambai-lambaikan tangannya tanda tidak membenarkan tindakan mengambil gambar diteruskan.
"Ini rumah saya, di sini saya membesar, saya belajar mengayuh basikal di sini, sekolah tadika saya dibelakang kem ini di tingkat bawah berek polis. Jika pemandu trak tentera yang mengambil anak-anak tentera pulang sekolah lambat saja, saya yang tidak sabar menunggu akan menapak pulang sendiri ke rumah. Harap pakcik pemandu itu sudah lama memaafkan saya seorang anak kecil yang banyak kerenah. Di belakang rumah, ada berek di tingkat dua saya mengaji dan belajar fardhu ain bersama anak tentera yang lain.
Encik! ditepi pagar kiri ini saya selalu bergayut menunggu mamak roti berkain sarung putih disingkap ke depan menjadi seluar dengan bakul bulat besar berpenutup zink dan hon trompetnya yang melonta-lontakan hati saya setiap petang. Saya tidak berminat dengan rotinya, orang dewasa sahaja yang mahukan rotinya. Kaya sapuan rotinya kata mak yang terbaik di pekan Taiping.Yang saya sukakan ialah kek marble potong segitiganya serta popcorn mahupun keropok durian yang diisi sekali dengan tiub berisi likatan yang ditiup dengan straw halus menjadi belon. Jajan-jajan bergayutan penuh mengelilingi bakul.
Dan di ruang luas kanan kem ini saya menyaksikan dari verandah rumah anggota tentera membuat latihan kawad, sama seiring, bersemangat sekali. Saya masih terdengar terngiang bunyi derapan kasut but mereka melangkah juga bunyi tangan mereka menyentuh senapang mengikut aturan kawad. Selang selinya suara ayah yang terpekik memberi arahan kawad, dengan jam pekak di tangan serta tongkat di bawah ketiaknya. Dan ayah saya adalah Pegawai Waran 1 di sini , RSM Zainol Rashid bin Lebai Ishak."
Kata-kata itu mampu saya tuturkan di dalam hati sahaja, jika saya luahkanpun Encik pasti tidak memahami malah tidak mengenali. Tidak mengapa saya faham Encik menjalankan tugas. Saya sempat merakam gambar rumah kenangan ini sekali, selebihnya semua yang lain sudah sebati terakam kemas di dalam ingatan saya.
Taiping saya kembali..dan akan kembali lagi
|
Author: -Ainul Yaqin-
•00:14
"Pak Usu nak pesan pada Ishah dan adik-beradik, sekiranyalah Allah bentangkan nikmat dan kelebihan di depan mata bagi orang yang menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua, maka Pak Usu percaya kau orang adik-beradik akan 'bergaduh' sesama sendiri."
"Bergaduh?"
"Bergaduhlah, kerana berebutkan nikmat yang melimpah ruah di depan mata."
"Oh faham...faham"
"Namun Allah menghijabkan semuanya di dunia, maka apabila masing-masing faham, rebutkanlah peluang menjaga orang tua , mak ayah yang semakin uzur."
Begitulah Pak Usu, bicaranya selalu berbuahkan isi. Jika ingin lagi mutiara hidup maka rapatlah padanya. Ajaklah berbual, pasti banyak lagi yang bakal dikutip. Dan kata -kata Pak Usu petang itu menjadi azimat untuk menjadi anak yang meletakkan pengharapan untuk bertenang dan berlapang dada meneladani ayah mak yang semakin uzur.
"Memang orang tua adakalanya sudah bersikap kembali seperti budak. Dan selalunya sikap kita semasa tua mencerminkan amalan kita semasa muda.". Saya tekun mendengar.
"Sebab itu, jika orang tua kau berperangai, anggap saja mereka sudah tidak ada daya. Hati hendak berbuat macam-macam tapi kudrat mereka sudah tidak termampu." Saya semakin merasa bertuah dapat berkongsi dengan Pak Usu saat itu.
"Ayah berdoa pada Allah, jangan sampai Allah berikan ayah sakit terbaring, terlantar, nyanyuk dan lupa. Nanti akan memberi susah anak-anak sahaja."
"Ayah jangan sebut macam tu, jika benar memang wajar anak-anak bersusah pun masa itulah anak-anak sepatutnya berkorban. Istilah menyusahkan anak-anak tidak patut wujud."
"Minta dijauhkan Allah, kalaulah boleh itulah doa ayah.."
Perbualan dengan ayah saya pada suatu hari, kembali terbayang. Agaknya memang semua orang tua berimpian begitu. Tidak mahu menyusahkan anak-anak. Tambahan anak-anak yang telah membina keluarga. Maka mereka akan bersikap susah menanggunglah sendiri yang ada ketikanya mengundang geram si anak juga. Kononnya sikap orang tua mereka begitu, adakalanya menambah sukarnya mereka.
Sebenarnya anak-anak lah yang terkurang peka, lebihkanlah perhatian tunjukkan anak-anak sanggup bersusah asal orang tua mereka selesa, asalkan kebajikan orang tua mereka dipedulikan. Perlu sangat menunjukkan yang kita memang beriya-iya sanggup bersusah lepas tu zip mulut jangan diungkit-ungkit kesusahan yang telah kita tempuhi maka barulah ayah dan ibu tua itu nanti akan beralah menerima bantuan si anak.
"Tak apa, ayah rasa ayah kuat memandu bawa mak balik Johor Bahru, rumah kakak. Ayah akan bawa pelan-pelan."
Saya tidak setuju kerana saya tahu ayah memang tidak sihat tambah emak sudah memang sakit. Adik-adik bekerja dan tinggal jauh. Hendak menjenguk mereka selalu akan menyusahkan, jadi keputusan membawa keduanya pulang semula ke Johor Bahru. Itupun dengan alasan tidak mahu menyusahkan anak, ayah ingin gagahkan diri yang tidak segagah dulu membawa emak yang sakit dengan keretanya sendiri.
"Macam mana kakak hendak memandu dengan baby dan Yaya yang tidak duduk diam nanti. Bahaya. Ayah dah sihat, boleh dah pandu sendiri." Sewaktu itu, suami saya menunaikan umrah menemankan ibunya. Maka kata hati saya, saya boleh melakukannya maka saya akan tetap melakukannya selainnya saya berserah kepada Allah.
"Oh itu ada seninya ayah, Faheem perlu disusukan sepanjang jalan. Alya ada macam-macam kaedah hendak minta dia duduk diam selama 5 jam perjalanan nanti. Senang sahaja tu."
Ya ke senang? Tidak senang sebenarnya, namun saya sengaja membayangkan ianya akan menjadi sangat senang. Intonasi terpaksa meyakinkan supaya ego orang tua ayah yang tidak mahu menyusahkan anak itu rebah sendiri.
Ayah masih berkeras dengan plan awalnya, akhirnya cair bila saya ajukan satu persoalan. Dan saya sangat merasakan bahawa soalan itu Allah ilhamkan secara spontan untuk mematahkan hasrat ayah. Akhirnya saya menang.
"Ayah, perjalanan 5 jam ke JB lama. Jika mak hendak ke tandas sepanjang highway, mak perlu dipimpin. Ayah hendak bawa mak ke tandas lelaki atau ke tandas perempuan. Dua-dua tidak kenakan?"
Dan ayah benar-benar terdiam. Memikirkan agaknya. Saya tersenyum sendiri. Dan bila terdengar suara esakan kecil ayah di hujung talian, saya menelan liur sendiri.
"Tok Ayah esok Yaya, Faheem dan Ummi ambil tok ayah dan mak tok di Gombak. Esok juga kita balik JB, Tok Ayah rehat dan jangan sedih, asalamualaikum ."
Nurin, Muhamad minta kak long dan Kak ngah menengokkan sehingga malam. Makan tengahari anak-anak minta tolong jiran yang belikan.
Talian saya matikan. Selepas itu saya mengongoi sayu dalam kemenangan sambil memeluk Yaya dan Faheem yang kehairanan! Kasihannya ayah emak.
SAAT-SAAT AKHIR AYAH
Kami yang menjaga mak yang sakit berulang ke Hospital Kulai saban waktu. Apabila saya menunggu menjaga emak di hospital, ayah membantu suami mengasuh anak-anak di rumah. Pernah suatu hari menu telur dadar cencaluk, menu yang Tok Ayah ambil dari majalah saji menjadi bahan bualan. Sedapnya Tok Ayah masak, nasi panas 3 pot beras habis licin dimakan berkongsi dalam talam! Jimat tidak payah mencuci pinggan banyak kata Tok Ayah.
Suratan Allah, emak yang sakit tetapi Allah menjemput ayah pergi dahulu. Dalam tempoh seminggu ayah jatuh sakit, apabila dilakukan scan, didapati ada ketumbuhan yang besar di salur utama ke jantung. Usia ayah yang sudah lanjut menjadikan pembedahan berisiko tinggi.
Adik ipar saya seorang doktor pakar menuturkan, "Kak Lang layan dia baik-baik, apa yang dia teringin nak makan berikan saja, apa sahaja yang dia berhajat tunaikanlah. Pembedahan tidak boleh, berserah dan berdoalah."
Saya tidak sangka ayat -ayat tersebut menandakan ayah menghidapi diagnosis sudah tidak ada harapan untuk sembuh. Keajaiban hanya dari Allah.
Hari yang ke lima ayah jatuh di bilik air dan saya terpaksa menghenyak pintu bilik air sehingga terbuka dan terpaksa memanggil bantuan jiran-jiran berhati mulia untuk mendudukkan ayah di kerusi roda kemudian disorongkan ke bilik. Hari ke 6 dan ke 7 ayah terpaksa dipakaikan lampin dan sudah mula tidak boleh bertutur, hanya tidur. Menyalin lampin kami terpaksa mengguna kudrat tiga beradik untuk mengalihkan ayah.
"Abang ,adik, macam mana kakak nak buat semua ni sorang-sorang. Mak sakit, anak-anak kakak kecil-kecil, abang Apis kerja," Mak teresak-esak. Oh mak sudah memikirkan sampai ke situ. Malah saya fikir, dengan izin Allah ayah akan sembuh jika tidak pun saya percaya tenaga yang kuat akan hadir dari dalam. Cuma Ya Allah, jangan sakitkan aku buat masa ini.
Ayah pergi menghadap Ilahi tanpa pesan, tanpa sebarang kata-kata pada hari yang ke 8. Rupanya Allah makbulkan impian dan doa ayah agar dia tidak terlantar dan hanya tiga hari penuh kami meladeni dirinya.
Allah mengabulkan pintanya agar dia tidak sampai menyusahkan anak-anak. Tempoh seminggu yang mengejutkan. Sepanjang sakitnya ketika mana ayah masih boleh bersuara, saya kagum dengan akhlaknya. Sememangnya ayah bukan orang tua yang mengherdik, baran dan merengus ketika sakit. He was a very polite old man during his sickness.
"Kakak, kakak free ke lepas ni."
"Free, boleh di free kan, kenapa ayah, suri rumah kerjanya mana pernah habis."
"Kalau boleh, nanti kakak tolong urut ayah kat belakang ya, bisa sikit, kesian kat mak tangan mak dah tak kuat."
"Ayah pesan pada mak jangan beritahu kakak jika dia ada sebut teringin hendak makan apa jika waktu tu sudah malam. Sebab kakak nanti terjah keluar cari apa yang ayah nak makan masa tu juga, malam bahaya kakak keluar bawa kereta." Emak saya mengadu. Sampai begitu sekali mulianya ayah memuliakan saya.
Nurin adalah cucu yang paling hiba dan merana dengan pemergian ayah kerana Nurin hobinya memicit jerawat di hidung Tok Ayah dan rajin memicit badan dan kaki tok Ayah yang lenguh. Suatu pagi Nurin menangis meraung terjaga dari tidurnya turun dari tingkat atas, kami syak dia diusik Muhamad. Dalam esak tangisnya yang hiba dia bersuara.
"Tok Ayah datang pimpin Nurin malam tadi, belikan Nurin jajan banyak, lepas ni Nurin dah tak ada Tok Ayah nak belikan jajan."
Ayah pergi dia berumur 7 tahun, saya memeluknya yang kehilangan.
SAYA DOKTOR PERIBADI MAK
Selepas pemergian ayah, saya kira tentu sekali emak dibaluti kesunyian. Kami bergilir menemankan emak tidur di bilik bawah.
"Tekak ni terasa pahit, makanan ni semua rasa pahit, makan lauk ini pahit, makan nasi rasa pahit, tak tahu lah nak makan apa."
"Mak, ubat yang mak telan pagi tadi tu beri kesan. Mak sabar ya, kalau Rasulullah masih ada nanti tentu Rasullullah tak suka mak merungut pasal makan macam tadi. Tak elok ya mak ."
Dan mak mudah akur sebagaimana dia sangat akur dengan jadual pengambilan ubatnya saban hari. Tepat waktu dan disiplinnya. Matanya sentiasa menjeling jam di dinding. Saya hanya megambil bacaan gula darahnya mengambil tekanan darah mak lalu dicatitkan di buku catitan. Setiap bulan laporan itu perlu dipersembahkan kepada doktor di hospital yang merawatnya. Sehingga sekarang bekas plastik yang asalnya bekas gula-gula anak-anak yang bertanda hari dari Monday sehingga Sunday pada setiap petak bekas tersebut menjadi kenangan mengatur jadual ubat emak. Ada dua bekas ,satu merah untuk pagi dan satu lagi biru untuk malam.
"Jagalah mak Ishah baik-baik sementara dia masih hidup." Pesan mak mertua saya. "Mak redha anak mak, Apis jaga mak Ishah. Belai dia, mak ni rasa menyesal sangat sebab mak ni tak membelai atuk Siah semasa dia sakit."
"Kan mak selalu turun ke Segamat menjaga Atuk Siah."
"Mak jaga sahaja tapi mak tak sempat membelai dia. Menjaga dan membelai ni beza Ishah. Belai ni kita urutkan, picit yang mana badannya lenguh, sapukan krim ke, minyak angin ke. Mandikan, sikatkan rambutnya, bedakkan.Jadi di situ mak kurang. Semuanya bibik yang buat, mak tak boleh angkat berat-berat, makpun dah tua, ada masalah jantung pulak. Allah ampunkanlah mak."
Terpana juga saya mendengar tips dari mak mertua. Sangat terasa mulianya mak mertua untuk menuturkan semua perkataan itu. Ketika itu mak saya masih sihat. Waktu itu mak saya hanya tidak kuat berjalan dan berdiri lama. Maka dengan kerusi roda yang diwakafkan oleh Pak Itam, saya membawa mak membeli-belah di Plaza Angsana mahupun ke Jakel membeli kain.
"Sekarang , atuk Siah dah tak ada mak rasa kalau boleh dipusingkan waktu mak hendak buat apa yang tidak sempat dulu." Azimatnya pesanan mak mertua.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]
Dan terasa kita adalah hamba yang kerdil, anak yang dikasihani semasa kecil bilamana sampai ke satu peringkat kita pula berbakti memandikan, menyabunkan seluruh badan orang tua kita malah mencuci najis mereka. Menyisir rambut, menggunting kemas rambut, membedakkan dan menyarungkan baju dan pakaian malah memakaikan lampin untuk mereka. Sebesar nikmat untuk merasakan apa yang pernah mereka lakukan ke atas kita semasa kita kecil dahulu.
Allahu... kesempatan itu Engkau anugerahkan juga kepada hambaMu ini.
Rupanya nikmat sihat ini membolehkan kita menjalani rutin kehidupan yang pantas dan penuh semangat ini membuatkan manusia tidak akan mampu menyedari setiap pergerakan dan perbuatan itu adalah nikmat yang besar semasa sakit kita.
Bayangkan untuk membawa mak yang sakit ke bilik air rentetan yang berlaku adalah, mencempung mak bangun dan memindahkan ke kerusi roda. Menolak kerusi roda ke dalam tandas, memapahnya ke mangkuk tandas. Selesai membersihkannya memapah kembali ke kerusi roda lalu ditolak masuk ke dalam bilik. Memapahnya semula ke katil. Ianya seolah pergerakan yang di slow motion kan walhal ketika sihat pergerakan itu seperti dilakukan tanpa kita sedari. Masyaallah.
Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat baik (santun) kepada kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sesekali engkau berkata 'ah' terhadap mereka, dan janganlah engkau menengking mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan-santun dan lemah lembut."
(Surah Al-Isra', 24).
Nikmat yang menanti itu sesungguhnya banyak, bukanlah tujuan merebutnya untuk ganjaran yang banyak, tetapi andai kata hidup ini bagaikan roda, what you give you get, maka saya berlindung di bawah lembayung rahmat Allah agar anak -anak saya tidak melupakan saya dan ayah mereka di saat andai kudrat tidak mengalir di dalam tubuh lagi.
Mak meninggalkan kami 29 April 2007 di hening sebelum menjengah subuh. Kuburan mak bersanding sebelah ayah di perkuburan Saleng, Kulai.
"Pakcik Jamal kenapa selepas ayah meninggal dua tahun selama ini pakcik tidak menggali dan tiada dikebumikan sesiapa pun selepas itu di sebelah kubur ayah saya."
"Sebelah kubur ayah puan, tiga langhah ke pokok mangga yang besar ini, selalunya banyak sangat akar yang menyukarkan kubur digali. Maka saya menggali di kawasan yang lapang. Tapi bila ada permintaan untuk dikebumikan disebelah kubur itu saya mengagak mesti ini suami isteri. Di kawasan perkuburan Saleng ini ada tiga pasangan yang bersanding kuburnya suami isteri. Salah satunya ibu bapa saya dan ayah dan emak puan. Saya bertawakkal kepada Allah dan saya memang terkejut , mudah urusan saya apabila tidak ada satupun akar yang menggangu saya semasa menggali. Tanah ini clear, memang rezeki allahyarhamah untuk bersemadi di sebelah suaminya."
Mak dan Ayah kami tinggalkan bersemadi di Saleng manakala anak-anak di Sekolah Menengah Islam Hidayah di Seelong untuk memulakan kehidupan baru berpindah dari Johor yang mengungkap seribu kisah dan cerita kita bersama . AL FATEHAH.
Berbaktilah kepada dua orang tua. Fahamilah kehendak mereka, bukan kehendak kita..
|
Author: -Ainul Yaqin-
•08:14
"Ummi Ustaz Jalal accident terjatuh dari motor, ada di wad B2 Hospital Ampuan Rahimah, Kelang", anak saya Faheem menghantar mesej.
Saya sudah dimaklumkan terdahulu oleh sahabat saya dari Johor Bahru. Anaknya sama-sama berada di madrasah yang sama dengan Faheem. Ustaz Jalal amat berjasa dalam memahatkan pengajian ilmu al Quran kepada Muhamad dan kini diturunkan pula kepada Faheem.
Ceritanya Ustaz terjatuh dan akibat luka di lengannya yang agak teruk dia dimasukkan ke hospital. Dari situ pemeriksaan ke atasnya mengesahkan luka itu bertambah teruk disebabkan ustaz mengalami diabetes.
Kami bergegas menziarahi beliau hujung minggu tersebut. Rasa simpati tidak dapat dibendung. Lebih-lebih lagi mengenangkan anak-anaknya yang masih kecil. Tambahan lagi dengan 25 orang anak didiknya di madrasah Al Quran termasuk Faheem pastinya akan terganggu sedikit pengajian mereka.
Namun sunatullah, orang agama, ujiannya bak ombak menyinggah pantai, sering tidak terduga. Sedikit melegakan adalah ustaz diberitakan semakin stabil dan bukan lagi di wad ICU tetapi telah dipindahkan ke wad biasa lelaki, B2
Waktu lawatan, hospital sedikit meriah, parkir hanya kosong jauh di hujung kawasan. Tidak susah mencari wad, pelawat berpusu -pusu pulang dan pergi. Melangkahkan kaki sahaja ke dalam wad tersebut, hati saya turut sama sesak seperti mana sesaknya pelawat yang datang menziarahi kenalan dan saudara. Bau ubat-ubatan kuat menyinggah hidung, masih boleh ditahankan sahaja.
Perasaan dihimpit pilu dan sayu, katil-katil pesakit disusun teramat rapat untuk menampung pesakit yang teramat ramai. Sungguh keadaan itu benar-benar tidak selesa tetapi apakan daya, ruang yang sempit itulah peluang mereka untuk mendapatkan rawatan secara teratur berbanding jika duduk di rumah. Sebaris yang sepatutnya hanya diisi dengan dua buah katil, bersesak sehingga empat katil disusun rapat-rapat.
Betullah, kata seorang sahabat yang selalu mengikuti program Hospital Visit, selain menziarahi kuburan melawat ke hospital-hospital besar milik kerajaan, meninjau kepayahan dan ketidakselesaan yang terpaksa dilalui pesakit mampu melahirkan rasa keinsafan yang luar biasa. Ada peluang untuk turut serta program seperti itu maka pergilah. Nescaya hati yang keras bakal disapa keinsafan ,melihat nikmat yang tidak terhitung kurniaan Allah terhadap diri.
Kita berdiri di sisi mereka, sihat dan walafiat. Mereka terlantar, terbaring kesakitan. Sebentar nanti kita akan pulang ke rumah selesa dan tidak menyesakkan, mereka di situ bersesak-sesakkan, keselesaan sudah jatuh ke nombor entah ke berapa. Memang tabik diberikan kepada jururawat dan doktor yang menghadapi tugasan seharian dalam suasana sebegitu.
Dari jauh sudah kelihatan Ustaz Jalal. Kami berselisih dengan pelawat yang pulang dari menziarahinya. Pasti tadinya, mereka yang ramai berjubah putih berserban adalah sahabat-sahabatnya. Tersentuh hati melihat dia sedang terkial-kial menyorong troli makan dengan tangan kanannya yang merah membengkak agar tray yang berisi bubur untuk makan petang dapat berada betul di hadapannya. Kerana sempitnya ruang, roda troli tersebut tersekat untuk digerakkan.
Beliau yang sangat kami muliakan kerana ilmu AlQurannya terpaksa berhimpit di wad kelas 3 ,kerana beliau bukanlah seorang yang berjawatan di dalam jabatan kerajaan. Hanya seorang ustaz di sebuah madrasah tahfiz biasa. Kemuliaan ilmunya sangat wajar untuk mendapat peluang dirawat di wad kelas pertama tetapi apa boleh buat sudah peraturannya begitu. Mudahan kesempitannya di wad B2 tersebut menjadi tamsil kafarahnya untuk menikmati keluasan dan kenikmatan syurga di akhirat nanti.
Sebelum turun melalui lif, kami melencong terus ke hadapan tertulis WAD KELAS 1. Suasananya tenang, tidak hingar bingar seperti di ruang sana . Ada bilik untuk seorang, dua orang, empat orang dalam bilik-bilik tertentu.
"Abang ,wad untuk orang berpangkat dalam jabatan kerajaan."
Ketika menuju ke kawasan letak kereta suami berbisik, "Ishah, jauhnya berbeza dengan hospital yang Ishah duduk".
Saya tersenyum pahit, memang benar, terasa kerdil diri untuk mengecapi segenap kemudahan penuh selesa di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Pekerja dan keluarga Tenaga Nasional berada di bawah naungan PM Care maka sebarang rawatan adalah dibiayai oleh syarikat. Perbezaannya sungguh ketara.
Baru sebulan yang lalu saya terpaksa melalui pembedahan sinus, setelah batuk dan sesak nafas selama sebulan lebih.
"Wah! Alang ini bilik hospital atau bilik hotel?"
"Dua-dua pun boleh kak". Sahabat yag datang melawat teruja. Saya segan sendiri dibaluti kemewahan dalam kesakitan yang ditenggelami keselesaan.
Bilik untuk seorang siap dengan katil 'declining bed' boleh ubah turun naik katil bahagian kepala dan kaki hanya menekan tombol remote di tepi katil. Bilik air juga khas di dalam bilik .Kemasan dinding dan perabut berwarna oak memang cantik. Disediakan sofa selesa dan meja kopi. Sebuah meja tulis dengan lampu meja berada di bawah televisyen skrin leper. Setiap pagi ada petugas dewan makan akan datang mengambil pesanan menu sarapan ,tengahari dan malam.Namun hospital tetap hospital, takkan hendak memesan menu nasi kandar atau char kue teaw kerang!
Makanan untuk diet hospital sekadar untuk mengisi perut, procedure sebelum mengambil ubat. Jururawat penuh kelembutan melayan, menatang pesakit bagai minyak yang penuh. Apa sahaja keperluan yang diingini tidak perlu bergerak atau menjerit, tekan sahaja tombol kedua,sebentar nanti muncullah jururawat dengan senyuman manis. .
Pasti mottonya 'at your service,maam'.
Malamnya jika ingin mengangkut satu keluarga untuk meneman juga boleh.
Insan yang seperti Ustaz Jalal sewajarnya ditempatkan di wad sebegini. Barulah rehatnya berbaloi mengatasi lelahnya yang panjang selama ini. Tetapi keadaan tidak terjadi begitu.Maka dua keadaan yang ketara itu meletakkan saya diruang berfikir yang mendalam.
Beruntungnya diri,terfikir layakkah saya yang mendapat segala kemudahan rawatan kelas pertama untuk menerima layanan begitu dari Allah di akhirat kelak.
Biarlah pasrah.
|
Author: -Ainul Yaqin-
•21:46
Menjelang peperiksaan, semua yang terlibat bagaikan diserang wabak. Murid, sah mereka yang akan mendudukinya, guru kesibukan bermula sebelumnya bagi menyiapkan soalan, membawa ke minggu peperiksaan dan menerus ke minggu selepasnya untuk menyemak.
Ibu bapa juga tidak betah mengurus jadual harian menyiapkan diri menjadi supir. Keluar dan masuk rumah menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Itu ibu bapa sekarang, ibu bapa dulu tenang dan 'rileks'. Tuntutan dan peredaran masa benar-benar merubah suasana kehidupan. Tetapi dulu pandai pula anak-anak mengurus hal dan diri sendiri. Apakah kesusahan yang dilalui menjadikan mereka berdiri diatas kaki sendiri. Semua seperti di serang simptom yang boleh diistilahkan demam peperiksaan, demam 'exam'. Jika yang belajar di timur tengah boleh disebut demam imtihan.
Bagusnya demam ini antibiotiknya adalah rajin melebihi paras biasa untuk bersolat cukup lima waktu, diawalkan waktunya dan diserikan dengan bunga-bunga sunat terutama sunat hajat. Sangat positif impaknya.Di sekolah digantung sepanduk-sepanduk menyulam kata-kata semangat, direntang bendera -bendera kecil bertulis impian dan target. Strive 5As UPSR, PMR the best batch, Go!Go!SPM.
Kem-kem gerak gempur peperiksaan, tidak usah disebut. Bagi pelajar tahun-tahun peperiksaan ini, bermula dari seawal tahun telah diprogramkan minda mereka, 'tahun ini kamu periksa besar'. Sekolah juga turut mengadakan kelas tambahan percuma,kem motivasi, guru berkorban lebih masa, anak murid wajar memberikan pengorbanan demi sebuah kecemerlangan akademik untuk diri sendiri juga untuk kecemerlangan sekolah.
Suasana berlumba dengan masa yang agak sihat, jika tidak remaja nanti fokusnya ke facebook, twitter,PSP,PS2 dan banyak lagi.Selama seminggu hanya hari jumaat sahaja pelajar dapat menjengah pintu rumah sewaktu tengahari, hari lain tunggu petang sahaja. Ibu ayah yang terlebih rajin akan menghantar bekal ke sekolah kerana anak-anak tidak sempat makan di rumah, kelas tambahan bermula setengah jam selepas jadual sekolah tamat. Jika tidak, dengan duit belanja yag dibekal mereka berkejar ke restoran berdekatan untuk mengisi perut. Petang rehat sebentar, dengan sisa-sisa tenaga yang berbaki malam nanti ada tuisyen khas di kawasan perumahan . Tenaga pengajarnya yang menyusun soalan peperiksaan atau pemeriksa peperiksaan,spot questions guru tersebut pasti tidak menghampakan. Soalan soalan percubaan dari sekolah-sekolah negeri yang lain difotostat, diadakan sesi drilling dan perbincangan jawapan. Dulu, kami tidak berpeluang melalui semua ini.
Demam berterusan , suhu kepanasannya meningkat dari sehari ke sehari. Saya teringat dengan kata-kata Cikgu Mohd Amin, guru tuisyen saya di Ming Institution, Jalan Tuanku Abdul Rahman semasa di tingkatan tiga.
"Kamu berhempas pulas dari awal tahun, dua atau tiga hari lagi hendak periksa ,ajak mak ayah kamu pergi tengok wayang". Jenakanya disambut gelak kami satu kelas .
"Beritahu mak ayah kamu, mak, ayah, saya tidak mahu tekanan, maka izinkan saya tekan suis televisyen." bergegar lagi ketawa kami.
Sehari menjelang peperiksaan kami sudah diajar pasrah. Segala yang perlu telah dipindahkan maka guru-guru hanya menuturkan penembak semangat dan ucap selamat. Jika pelajar fokus segala yang dicurahkan pasti takungan mindanya penuh, cukup menjadi bekal untuk ditumpahkan kembali di dewan peperiksaan. Itu dulu. Zaman untuk mendapat straight A's bagaikan satu anugerah !
"Boleh jawap periksa tadi Kak Yin?" Melihat wajah murungnya ,hati sendiri yang tidak sedap rasa.
Dia senyap.
"Insyallah boleh tu, Kak Yin dah tuisyun di sekolah dari bulan Februari, usaha dah banyak selepas ini tawakkal saja ya", saya sendiri yang menjawab untuk memujuk.
SOALAN BOCOR
"Bukan, pagi tadi sebelum periksa, cikgu-cikgu kuarantinkan kami. Cikgu tuliskan dipapan hitam dari no 1 sehinggga 40 dan setiap nombor jawapannya A ,B, C atau D. Kami kena hafal semuanya. Cikgu kata wajib hafal betul -betul, karangkan cerita daripada susunan huruf jawapan kalau nak dapat A subjek itu. Contoh 1. A, 2.A, 3.D, 4.C 5.B, 6.B, 7. A maka susunlah cerita contohnya Abang Ali Datang Cuci Buah Buah Apple dan seterusnya. Sampai 40 soalan. Masa tu lagi setengah jam nak mula periksa. Kak Yin tidak ingat semua ,serabut sangat berdebar-debar sebab rasa macam tak mampu hafal." Dia mengadu.
Terkejut saya mendengarnya. Kuarantin pelajar untuk mengagih jawapan dan bukan lagi soalan bocor! Saat dan ketika itu saya rasa seperti hendak meletup! Niat agar pelajar score, kecemerlangan sekolah mencanak tinggi, tapi caranya sudah mengganggu ketenangan pelajar. Hampir setahun berhempas pulas, bersengkang masa, wang dan tenaga memberi kemahiran dan input kepada pelajar ,namun di hari peperiksaan, pelajar tidak berpeluang memberikan output sebenar yang mereka terima malah dihidang jawapan bocor. Mungkin bukan semua pelajar tetapi mangsanya anak saya sangat terganggu! Kak Yin berhak untuk masuk dewan peperiksaan dengan tenang tetapi ketenangannya tercalar.Di calar oleh guru-guru yang obses untuk mencapai status cemerlang dan gemilang . Itu hak mereka saya berlepas tangan.
"Sabar Kak Yin. Apapun keputusan Kak Yin nanti itu adalah di atas usaha Kak Yin yang sebenar ". Bergenang airmata saya, menahan geram dan kecewa.
"Semalam kawan Yaya kata ada guru yang telefon ke rumahnya memberitahu soalan-soalan yang mungkin keluar."
"Bila tu?Kenapa Yaya tidak mendapat panggilan?"
"Malam tadi. Yaya tak dapat, yang dapat pelajar-pelajar yang sekolah target bakal dapat 5 A"
"Oh bagus la tu , ummi bersyukur yaya tidak dapat, alhamdullillah jadi keputusan yaya nanti adalah seratus peratus usaha yaya dan kerja keras guru selama ni, pertolongan Allah dan bukan dari soalan yang bocor, Yaya faham tidak tu?"
MENGIMBAS KENANGAN
Terbayang ketika Kak ngah dulu semasa beratur di luar kelas yang dijadikan dewan peperiksaan untuk menduduki UPSR.Di tahun kak long saya sibuk mengurus sanak saudara yang ramai di rumah kerana almarhum ayahanda tercinta meninggalkan kami dan kak long cucu pertama serta cucu-cucu yang lain yang dikasihinya serta seisi dunia ini sehari sebelum Kak long menduduki UPSR, 4 September 2005.
Di hadapan kelas SRIH. Betapa hening damai dan tawaduknya suasana ketika itu. Ustaz dan ustazah berhimpun ramai menghadap barisan pelajar. Pengetua ketika itu Ustaz Jelani memberikan kata kata semangat dan tazkirah, pesan-pesanan agar menjaga adab dan nama baik SRIH supaya latihan masuk dan keluar dewan penuh tertib yang telah diajar sehari sebelumnya dipegang kemas dalam ingatan. Mengucapkan terima kasih kepada penjaga peperiksaan, guru-guru dari sekolah lain kebanyakan nya sekolah kebangsaan. Bangun jangan menyeret kerusi malah dengan perlahan kerusi diangkat maka riuh bunyi seretan yang menggaggu tidak ada langsung. Akhlak menjadi keutamaan.
Doa dibacakan mengiringi perjuangan pelajar sebentar nanti, dan kami semua mengaminkan. Kebetulan hanya saya ibu yang turut berada di situ, merai dan meminjam semangat ustaz ustazah menghantar anak ke dewan peperiksaan dan saya suka suasana itu. Arahan agar pelajar bergerak ke dewan bermula, pelajar lelaki mengambil laluan, pelajar perempuan begitu juga. Ustaz beratur sebaris dan pelajar lelaki mencium tangan guru mohon restu. Ustazah sebaris juga menghulur tangan dicium anak-anak perempuan .
"Doakan kami ustaz, Doakan kami ustaz"
"Doakan Kami Ustazah, doakan kami ustazah, "
"Doakan kami makcik, doakan kami makcik" terasa dihargai.
''Doakan angah,ummi"
Anak saya dan kawan-kawan anak saya sedang melangkah ke dewan. Keharuan mengasak rasa. Selesai dan memohon diri ,sepanjang kaki mengatur langkah ke kereta, berjujus-jujus airmata. Anak-anak ini menduduki peperiksaan penuh dengan restu! Siapapun akan terharu....
RESULT KELUAR
Selepas kelas mengaji di surau taman, beberapa orang teman kelihatan berpelukan melonjak-lonjak riang.
"Wah seronok sangat ni boleh kongsi,"
"Alhamdullillah anak-anak kami dapat 5A !"
" Oh tahniah!, emak-emak terlebih suka mesti pagi tadi emak-emak yang terlebih kecut perut," Saya bergurau.
"Sha, anak Sha ambil keputusankan, dapat berapa"
"Alhamdullillah , kakak nya dulu 3A yang memberangsangkan, adiknya tahun ini 4A"
"Baguslah...tapi kesian anak si anu tu,sekolah target anak dia 5A, tetapi anak tu hanya mendapat 4A dah kira bagus tetapi maknya sampai hati tidak mahu melihatpun slip keputusan anaknya."
Malang saya rasakan keadaan itu. Patutlah ada pelajar sanggup lari dari rumah kerana tidak mencapai target, malah ada yang sanggup mengambil nyawanya sendiri. Gara-gara tekanan dari sekolah dan ibu bapa yang terlebih menekan. Itu cara kalian tetapi bukan cara saya!
Panjang hikayat, 1001 malam tidak habis berkisah perihal demam terima keputusan ini.
"Nurin.....kenapa kamu tidak ada satupun A. Ish, ish..kenapa Nurin, 5B ?"
Jikalau saya ada kuasa menghilangkan manusia nescaya satu persatu guru tersebut saya sembunyikan atau hilangkan. Tidak langsung ada kata semangat memujuk malah mempertikaikan keputusan Nurin.Apakah kecemerlangan hanya pada A, saya puas memikirkannya.
Seperti biasa, "Oh alhamdullillah UPSR baru satu permulaan, 5B juga keputusan yang baik untuk dia, terima kasih ustazah." Terbalik, saya patut duduk di tempat mereka.
Seorang pelajar kelihatan mengejar-ngejar anak berlari mendapatkan gurunya penuh gembira Guru tersebut mengajar subjek matematik tambahan, dan sepanjang tempoh dua tahun pelajar tersebut tidak penah lulus subjek tersebut. Dua bulan sebelum peperiksaan dia bertungkus-lumus pelbagai cara memahami subjek tersebut dan akhirnya dia berjaya.
"Cikgu akhirnya saya lulus, Saya berjaya mendapat B subjek cikgu". Tahu apa komen gurunya, "Cikgu tidak mahu B cikgu hendak A!"
Seramai 36 orang pelajar mendapat 5A, Kak Ngah tidak termasuk di dalam senarai tersebut. Sedangkan ketika itu dia memegang amanah ketua pelajar banat. Dan minggu berikutnya semasa perhimpunan dia dan ketua pelajar banin perlu menyampaikan kata-kata motivasi kepada adik-adik .
"Ummi pernah tidak doakan angah, along dan adik -adik mendapat straight A's dalam pepriksaan."
"Never, Ummi doa pada Allah apa yang paling terbaik di sisiNya, itu lah keputusan anak ummi".
"Apalah yang patut angah cakapkan dalam perhimpunan nanti, 4A orang bukan pandangpun. Tidak dapat 5A tetapi hendak nasihat orang..."
"Eh ummi pandang, Allah lagi pandang. Jangan banding dengan sesuatu yang di atas, fikirkan dan bandingkan dengan orang yang di bawah kita akan rasa kita jauh beruntung"
"Angah redha tidak dan bersyukur dengan keputusan?"
"Mula-mula sedih juga tapi sekarang ok dah". Diapun seorang anak 12 tahun yang pasti punya impian, untuk sebaris bersama 36 pelajar lain yang sangat cemerlang. Tetapi takdirnya bukan begitu.
"Ibubapa mana yang tidak gembira anak mendapat 5A, tetapi ummi ayah akan lagi sedih jika solat anak ummi bukan 5A, lima waktunya bukan A. Kak Longpun ummi sebut macam tu." Ada sebab saya bicara begitu, membuka jalan sebenarnya.
"Love you, love you, love you", bertubi-tubi pipi saya diciumnya.
"Itu ceramah pendek angah dalam perhimpunan pagi Isnin minggu depan, jazakillahu khairan ummi", Dia kelihatan bersemangat semula.
LEPAS RESULT KITA ADALAH SAMِA
Selepas menerima keputusan peperiksaan, kita kembali ke sekolah maka kita adalah sama seperti para pelajar yang lain. Selepas PMR, keputusan bagaimana sekalipun, tinggalkan di pagar sekolah, melangkah lah kita masuk sebagai pelajar baru tingkatan empat, maka kita berhak belajar , menerima ilmu , berusaha dan mencapai kecerlangan yang sama dengan mereka yang lain.Itu pesan saya kepada Kak Long, Kak Ngah dan Muhammad.
30 tahun dahulu, saya menerima sepucuk surat dari adik yang amat saya kasihi Qairel Akma bin Zainol Rashid. Surat beralamat Politeknik Kok Lanas, Kelantan.
"Arel berasa sangat rendah diri, dalam kesemua pelajar di tahun satu di sini, Arel seorang sahaja gred 3 SPM, yang lainnya hebat gred 1 atau gred 2".
Bagaimana dia berjaya di dalam permohonannya mendapat tempat di politeknik itu berbekalkan gred 3 nya memang itu suatu di luar jagkaan. Namun itu kehendak Ilahi.
Dalam balasan surat saya padanya, "Setelah melangkah sahaja memasuki pagar Politeknik Kok Lanas ini Arel dan semua pelajar di situ adalah pelajar baru dan kalian akan mendapat peluang yang sama. SPM adalah suatu sejarah dan tinggalkan sejarah itu di pagarnya . Bukan untuk dibuang tetapi ianya untuk direnung buat dijadikan pedoman, siapakah kita dahulu. Kini kita adalah pelajar yang penuh semangat dan Arel buktikan kelak menjelang tamatnya pengajian di bumi Kelantan ini Arel adalah di kalangan yang terbaik di antara mereka!"
Dia membaca surat saya di dalam kelambu sebelum tidur sebab ceritanya, hanya kelambunya seorang jenis kelambu kain kapas, maka tidak tranparent. Kawan kawannya berkata kelambunya kelambu pengantin , cannot see trough. "Jika menangis semasa membaca surat kakak tidak ada siapa yang tahu". Alahai adikku.
Dia berjaya membuktikannya! Sebelum keputusan akhir keluar dia adalah diantara pelajar yang paling banyak ditawarkan menghadiri temuduga pekerjaan dan akhirnya terpaksa memilih di antara beberapa tawaran yang diterima . Rezekinya berlabuh di INFINEON Melaka.
Sekarang kakak kongsikan kisah pamannya kepada anak-anak kakak. Mabruk paman.Kakak mahu anak-anak kakak juga mewarisi semangat kental seperti paman mereka.
|