Author: -Ainul Yaqin-
•03:18


"Anak dara jangan sampai matahari tegak di kepala, baru terjaga meninggalkan tilam dan bantal!"


KU SANGKA SIANG KIRANYA MALAM

Sering ibubapa dahulu melaungkan sebegitu. Rasanya jika ada yang berani melanggar peraturan yang digariskan oleh orang tua-tua dahulu, alamat lebam cubitan bakal singgah juga di peha. Lalu apakah saranan untuk remaja sekarang yang hidupnya bersengkang mata menghidupkan malam melayari informasi terkini arus perdana dengan internet atau gajet di tangan. Bukan lagi matahari tegak di kepala malah entahkan sehingga suria itu mereng terbenam semula si anak belum tentu tahu untuk bangun. Masyaallah. Siangnya pasti menggantikan waktu tidur memejamkan mata sehingga puas. Ke manakah pergi tuntutan solatnya, ibadatnya, tanggungjawab  membantu urusan kehidupan.  Urusan rumah tangga ada ibu yang boleh melangsaikan. Jika di rumah ada pembantu bertuahlah lagi badan.


TUGASAN RUMAH

Saya selalu memikirkan senario yang semakin mencengkam rasa yang melibatkan anak-anak remaja yang semakin berpelajaran dan memperolehi pelbagai peluang untuk menikmati kemajuan yang terbentang di depan mata. Anak-anak saya, anak-anak sahabat, anak-anak jiran, anak-anak genarasi hari ini dan akan datang.

"Anak-anak ummi jangan hanya pandai bercakap tentang Islam, dakwah dan tarbiah, usrah dan halaqah tetapi adab dengan orang tua, tanggungjawab mengelolakan rumahtangga lintang pukang. Hebat menuturkan dakwah tetapi rumah macam tongkang pecah. Biar perabut murah malah rumah gersang tidak ada perabut hiasan yang banyak asalkan bersih, teratur dan menyenangkan pandangan. Di situlah kita harus menata seni pada rumah tangga..faham...?"

"Faham..ummi."

"Tahu tidak zaman dulu sebesar sembilan tahun budak perampuan sudah pandai memasak nasi, dewasa sedikit memasak pula lauk pauk bukan dengan periuk elektrik tau sayang...periuk belanga yang ditenggek atas kayu api. Masak banyak untuk adik-beradik yang ramai sekeluarga. Kayu api mesti dinyalakan dulu, dijadikan bara, jika bara hampir padam perlu ditiup marakkan api, periuk harus ditutup kerana jelaganya, abu kayu nanti terbang memasuki periuk." Kenapa mereka boleh, kerana mereka dipaksa dan tidak ada internet melambai mengalihkan fokus mereka.

Adakah dengan adanya internet anak-anak sudah semakin rajin bersimpuh tekun menganyam komputer maka ilmu rumahtangga sudah tidak menjadi utama untuk dipraktikkan. Tambah sebagai orang tua apakah pukau yang terkena sehingga hak untuk mendidik mereka, melatih melakukan kerja rumah tangga seperti terkedu, terencat, tidak lagi mampu mengarah seperti emak-emak dahulu. Memang mereka benar-benar menggunakan sepenuh kuasa yang ada untuk mengarah , untuk memaksa anak-anak menyelesaikan segala kerja yang ada. Kesannya anak-anak menjadi rajin dan pandai bertingkah dan menguruskan rumah tangga, baik di rumah sendiri mahupun di rumah tetangga. Campaklah anak dara dan teruna  ke majlis merewang atau gotong royong, lincah sahaja tangan dan kaki mereka bekerja.

"Ini Ustazah bawa daun- daun dan herba untuk ditunjukkan kepada kamu semua. Daun selon, ulam raja , kacang botol, daun pandan, daun lengkuas, daun kari, cekor dan banyak lagi ini , semua ustazah labelkan siap. Kamu kenal tidak dengan daun-daun ini. Ustazah percaya ramai di kalangan kamu sudah pupus pengetahuan tentang daun dan pokok yang digunakan ibu kamu ketika memasak dan sebagainya. Kenal tidak daun kunyit?"
 Seorang ustazah yang mengajar subjek ERT menyuarakan kerisauannya.

"Tak...ustazah."

"Masyallah, daun kunyit tidak kenal, apalah hendak jadi dengan zaman kamu dan anak-anak kamu nanti. Ini ambil daun kunyit, tengok dan bau sekali aromanya. Ustazah hendak mulai hari ini kamu ambil berat sedikit tentang benda-benda seperti ini."
Ustazah meneruskan bebelannya, memang wajarpun.

Sekarang mengikut ibubapa ke majlis  kenduri atau perkahwinan menjadi taboo, baik duduk di rumah membuka internet, bukan kami kenalpun orang ramai di majlis tu. Jadi orang dungu melangut menunggu ibu dan ayah menghabiskan sembang ramah mesra bersama teman-teman.
 Antara alasan mengelak majlis

Saranan untuk diri saya terutamanya dan buat ibu-ibu, suruhlah anak-anak. Suruh! Suruh! Suruh, jangan berhenti! Suruhlah mereka membantu melakukan kerja -kerja di rumah. Bapa juga suruhlah anak-anak remaja dan teruna bekerja membantu nescaya apabila mereka melangkah ke alam rumah tangga pasti mereka akan lebih kreatif. Mereka tidak lagi kekok melakukan bebanan kerja di dalam rumah.

Saya merasakan satu ketika saya sering tidah menyuruh. Saya tidak bekalkan mereka pelajaran tentang peri pentingnya melaksanakan tugasan rumah tangga. Alasannya. Kesian kerana takut anak-anak letih. Tidak sampai hati tentu mereka terganggu hendak belajar. Kerja sekolah mereka berderet. Berpada-padalah.Tidak boleh jadi !

Kerana sayangkan merekalah maka mereka harus dipaksa, dengan segala pujuk rayu yang ada.
 JIka tidak mungkin hati akan sakit sekiranya selepas makan mereka boleh saja meninggalkan meja makan tanpa dikemaskan, singki penuh berisi pinggan mangkuk kotor boleh dipandang sahaja. Jika disuruh basuh pinggan, hanya pinggan sendiri yang dicuci , pinggan lain bukan aku yang guna, nasiblah ..Kain baju yang kotor tunggu siapa lagi untuk dicuci. Kena jemur pula. Sampah kumpulkan sekali tentu perlu dibuang ke luar. Rumah perlu disapu, kenapa bilik tidur ditinggalkan berselerak tidak dikemas dahulu.
 Senarai tugas yang menanti panjang lagi, panjangnya berjela. Ini tugasan perempuan, lelaki tidak dilibatkan.

 Hei! saya mempunyai saudara yang kesemua tujuh anaknya adalah lelaki. Seorang membancuh air,  ada yang menggorengkan karipap frozen, yang menatang dulang, dibantu adik-adiknya menyusun cawan dan piring adalah rijal-rijal belaka. Maka siapa kata tugas tersebut khusus untuk perempuan sahaja? Jangan sampai hanya ibu dan bapa melakukan kerja sampai tua. Remaja tidak berminat tetapi apa boleh buat satu hari nanti mereka juga yang akan membuatnya, maka paksa dan suruh sahaja.

Seorang anak bersuara, "Ibu nanti kakak cuti semester, kakak tolong ibu buat semua kerja rumah ya. Ibu rehat saja. Kalau ibu ada tamu kakak akan bancuhkan air dan hidang kueh mueh malah biskut kering sedikit. Ibu dan ayah bolehlah masa tu goyang kaki saja melayan tamu. Semua ditanggung beres!"

"Ni ibu nak cakap, boleh tidak kakak jangan tabur sebarang janji palsu pada ibu. Untuk menyedapkan halwa telinga ibu  dicorong telefon buat apa. Apa yang ibu mahu adalah bukti! Jadi cuti semester nanti kakak buktikan dulu ok, barulah namanya cinta berbau syurga bukan kata-kata berbau cuka, hahaha"

"Ibu ni..."

TAMU DAN BERTAMU

"Eh,masing-masing bangunlah salam makcik makcik yang datang rumah kita ini."

Dengan liat dan berat anak-anaknya bangun meninggalkan meja komputer dan PS2 yang terletak di ruang tamu itu untuk menghulurkan salam. Tanpa suara, tiada bahasa bahasi, rona wajah tidak beriak, kemudian kembali menghadap 'tugasan'nya semula. Untunglah juga ditegur ibu atau bapanya, ada yang tidak ditegur langsung maka dari mula tetamu sampai sehinggalah balik, tidakberganjak mereka dari aktiviti penting mereka. Anak-anak robot .
 Bagi anak-anak lelaki yang sudah baligh tidak perlulah mereka menyalam kawan-kawan ibunya tetapi memadailah menjemput mereka duduk, tersenyum dan menganggukkan kepala. Duduk sebentar tanda meraikan kemudian mohonlah masuk.
Pandai ke anak-anak kita? Rata-rata anak zaman sekarang sudah tandus budi bahasa. Kerana kerap tidak bersama di majlis bersama orang tua. Atau mungkin pada mereka makcik-makcik ini wanita ajnabi maka tidak wajar untuk bermuamalah.  Makcik sudah tua lah anakku.

Pengalaman bercakap, bersms dengan anak-anak remaja  lelaki produk DnT, mengesan kekekokan mereka berbahasa bahasi dengan golongan tua. Terlintas di hati betapa perlunya mereka ditamrinkan, khas bab muayasyah dan muamalah sahaja. Pahatkan di dalam benak mereka sehingga terukir kemas. Tidaklah nanti bila makcik tua ni bercakap dengan mereka di telefon balasannya adalah

"Hem", "OK", "Hem", "Hem" berkali-kali bukannya "Baik makcik" atau ayat-ayat menyejukkan hati orang tua dan yang 'sama waktu' dengannya. Terima kasih jauh sekali  ....aduh kesiannya. Atau menjawab sms dengan bahasa yang tidak sepatutnya, seolah-olah kita juga hendak diajak rock n roll . Ayuhlah anak-anakku , penatkan lah diri sedikit dalam menyusun kata sekadar meraikan golongan shuyukh(tua) ini. Bagaimana hendak masuk ke dalam dunia dakwah jika perkara sekecil itu masih terlondeh di mana saja.

"Kami semasa belajar di Yamen, amat rapat sehingga pulang ke Malaysia berziarah sesama kami ke kampung kawan-kawan. Maka tidak ada masalah jika dijemput makan oleh keluarga seseorang sahabat maka pada ibu dan bapanya terutama ibunya kami berikan ucap terima kasih. Bukan salahpun, ini konon nak menjaga hijab, perkara-perkara sebegini terabai. " Cerita Ustaz Shazali di dalam sebuah daurah di Pulau Pinang.

"Pakcik makcik  terima kasih, masakannya sedap . Nanti boleh jemput lagi".

Mendengar cerita Ustaz Shazali saya tersenyum. Ingatan tumpah kepada serombongan KRS Hidayah JB yang bertamu selepas menjalani latihan sarjan dan staf sarjan di Lumut dan Pangkor. Tetamunya adalah para ustaz, ustazah dan sahabat anak-anak saya. Sebelum pulang menaiki bas, ada upacara tabik dan lafaz terima kasih cara tentera oleh ketua kontingen. Nostalia sekali, yang menerima ucap tersebut adalah diri saya sebagai  tuan rumah, yang sememangnya anak seorang bekas perajurit. Fikiran melayang juga teringatkan anak-anak pelajar STAM di Hidayah Ipoh. Baik lelaki juga perempuannya. Yang perempuannya memang teramat mesra , rumah saya menjadi rumah kedua mereka. Pernah juga pelajar lelakinya, datang bertamu berjamu tengahari di Syawal mulia.

"Kami kenyang makcik, sedapnya, terimakasih tak terhingga."
Pandangan kasih saya pada semua mereka bagaikan memandang anak-anak saya sendiri.

"Janganlah puji banyak sangat, nikmat makan semasa perut lapar yang tidak sedap pun terasa sedap, nanti kalian kenyang dek makanan makcik alang kekenyangan dengan pujian."



TRADISI AYAHANDA

Baru sekarang saya menghargai tarbiah yang ayah berikan ketika menginjak remaja. Walau pernah ketika dulu saya memandang sepi perkara ini malah ada rasa tidak puas hati ketika menghadapinya.

Setiap kali kawan-kawan ayah bertamu ke rumah baik yang datangnya seorang atau malah berkeluarga, maka ayah pasti akan memanggil kami anak-anak nya untuk keluar bertemu dengan tetamunya. Di antara kami tiga beradik, sayalah yang akan dipanggil berkali-kali kerana lambat keluar.
Hendak menyarung jubah, tudung mengambil masa dan ayah akan bertalu-talu memanggil sehingga semuanya mengadap tetamu tersebut.

Protes juga saya di dalam hati.
"Aduh ayah ni, tetamu dia, layan ajelah tak payah panggil semua keluar."

Bila sudah keluar terpaksa belajar memaniskan muka, duduk sebentar berbual.
Hari ini saya mengaku itulah pelajaran yang amat mahal hasil didikan ayah. Tradisi itu mungkin sudah semakin hilang. Maafkan ummi ya anak-anak jika Ummi mengambil langkah meneruskan tradisi Tok Ayah terhadap kalian dan memaksa kalian mengiringi tetamu pulang sehingga mereka berkereta hilang dari pandangan baru boleh melangkah masuk semula ke dalam rumah. Penat ya...penat memuliakan insan yang bertamu...apalah salahnya kan.


Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27). 
Author: -Ainul Yaqin-
•21:09
    Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati pasti nama yang ditinggalkan, disebut meniti bibir. Jasad hilang bersemadi namun pasti pada namanya itulah segala onar mahupun jasa ianya dikenang.

Betapa ramai yang sudah kita temukan, rantai kepada dirinya yang pergi adalah puji-pujian, tidak berkurang malah sentiasa dalam sebutan yang baik-baik tentangnya. Walaupun kehidupan untuknya sudah tiada, sejarah yang ditinggalkan kekal dijadikan pedoman. Indahnya pada sebuah kematian, andai kehidupan yang ditinggalkan terus menjadi sebutan, pelayaran hidup yang berlabuh dengan sebaik-baik pengakhiran. Menjadi impian setiap hamba insan.

"Abah, abah janganlah marah-marah begini....kami anak-anak ingin sekali mengenang abah pada perkara yang menggembirakan sahaja. Jika abah asyik merengus marahkan kami, kami bimbang memori itu lekat terpahat dalam hati kami sedangkan kami pun tidak mahu mengenang Abah sebegitu. Kami ingin mengenang Abah dengan kenangan yang terbaik."
Seorang remaja bersuara  berani kepada seorang ayah. Ayah itu terdiam, akur khilaf,  mengiyakan. Walaupun dia seorang ayah tetapi namanyakan masih manusia. Tentu sahaja rentetan hidupnya terdahulu melalui susur yang sama, barangkali dia juga mengenang orang tuanya pada sesuatu yang menjadi sandaran kelangsungan hubungan dengan anak-anaknya kini.


TOK WAN

Saya mencungkil kenangan ayah dengan Tok Wan Ishak. Melihat Tok Wan tidak pernah malah Tok Wan dipanggil Ilahi sebelum sempat melihat Ayah bernikah, masih remaja lagi. Dari cerita Ayah saya dapat merasakan Tok Wan sangat dekat dihati saya kerana semangatnya hendak anak-anaknya mengaji agama sealiran dengan impian saya dan suami.

"Tok Wan tak banyak bersuara, bunyi dia berdehem saja di tangga rumah pulang dari masjid ayah dengan Pak Su dah cukup kecut perut. "

"Masa ayah kecil Tok Wan boncengkan ayah dengan basikalnya , bawa ke mana mana masjid untuk mengajar atau menyampaikan kuliah agama. Tok wan ngajar,  ayah baring-baringlah di tangga simen masjid,  sejuk di situ dan sedap tidur. Kalau  ada perbicaraan di pejabat kadhi di pekan Kuah, sebab Tok  Wan dulu kadhi pertama Langkawi, Tok Wan suruh ayah tarik tali yang menyambung kayu rentang di sangkut kain tebal. Itulah kipas dulu-dulu, apabila kayu tu bergerak ke belakang ke depan alunannya bersama kain akan menggerakkan angin."

Hanya dengan cerita ayah saya belajar mengenali Tok Wan. Diam-diam saya mengaguminya. Cerita juga boleh mengumpul bahan dan kisah. Pernah di halau bapanya(moyang) kerana menyertai bangsawan. Jika dulu orang bangsawan boleh disamakan seperti artis. Maka Tok Wan merantau hingga ke Pattani mendalami agama kerana sumpahnya bapa, Tok Wan tidak akan diterima sebagai anak selagi tidak pulang sebagai orang agama. Tok Wan melunaskan janji. Di tahun 40an Tok Wan sudah memikul amanah sebagai daie. Penduduk Penarak dan pekan Kuah mengenal Tok Wan sebagai Tok Lebai.

"Tok Wan tidak suka bergambar, cuma  satu saja gambar yang sekarang di dalam simpanan Pak Su, itupun sebab Tok Wan sudah tidak boleh mengelak sebab kena bergambar dengan Sultan."

Semoga inspirasi Tok Wan turun meresap ke dalam diri generasi keturunannya kerana itulah jariah. Perniagaan akhiratnya yang tidak akan membawa rugi. Bermanja dan bertukar-tukar cerita dengannya bukan lagi satu peluang. Hanya doa kami untuknya. Moga namanya harum dalam limpahan rahmat Allah.


AYAH 

 "Ayah, cuti ni kakak kena siapkan esei dalam bahasa Inggeris tentang pemulihan dan pemuliharaan dadah, pertandingan peringkat kebangsaan."

Ayah tidak berkira tenaga, bersama teksinya, satu hari penuh ayah tidak pergi 'menarik' kerana melayan permintaan saya. Ke pejabat PEMADAM , ke perpustakaan, saya mencari bahan ayah menanti sabar di dalam teksinya  yang berjasa. Ke Pusat Pemulihan Dadah kami bersama-sama mengumpul bahan dan brosure.

Apabila diumumkan keputusan, esei saya memenangi tempat bersama sembilan esei yang lain dari seluruh Malaysia. Tetapi sayang bukan nama saya yang tercatit sebagai pemenang yang mengharumkan nama Sekolah Menengah Sains Raub, Pahang. Guru Bahasa Inggeris saya menetapkan nama ketua kumpulan masing-masing ditulis di borang pertandingan. Sekadar suka-suka untuk aktiviti set Bahasa Inggeris pada mulanya. Apabila esei tersebut di angkat sebagai antara sepuluh pemenang, maka nama seorang pelajar lelaki harum di sekolah. Esei itu seratus peratus tulisan karangan saya dibantu guru membetulkan nahu dan ejaan dengan selebihnya penat lelah ayah membawa saya ke sana ke mari. Silapnya bukan saya ketua kumpulan yang seramai 4 ahli lelaki dan saya seorang perempuan...biasalah. Itulah titik tolak saya ditarbiah oleh Allah untuk redha apabila kerja yang kita laksanakan sepenuh jiwa dan raga, namun pengiktirafan dan anugerah menjadi milik orang lain. Sebagai remaja peristiwa itu menyakitkan tetapi bagus sekali untukterapi jiwa. Apakah...

Yang terlebih utama, saya mengenang ayah sebagai seorang bapa yang tidak lokek menghulur tenaga dan kebersamaan dalam setiap urusan. Menghantar kawan-kawan saya ke sana ke mari. Memudahkan urusan kami sentiasanya, menuturkan selalu "Mak adalah seri kandi Ayah". So sweet. Itulah ayahanda yang saya kenang. Allah cucurilah RahmatMu atasnya.


SUAMI

"Agak-agak Ishah lah jika ditanya anak-anak, pada apalah agaknya kita dikenang mereka ya."

"Oh banyak tu, kalau abang ya....cuba tanya mereka sendiri. First hand dari mereka."

"Bila dengar bunyi motor ayah pulang dari masjid, along ingat kami adik beradik mesti bertempiaran lari selamatkan diri. Sebab kalau belum tunaikan solat sah kena soal. Soalan pertama ayah mesti 'anak-anak ayah dah solat ke belum?' Lepas tu Ummi mesti jawap, 'Ayah, anak ayah masing-masing dah selamatkan diri, mereka takutkan Allah lebih dari takutkan Ayah...eh terbalik lah ayah' . Kami kunci pintu bilik cepat-cepat solat hehe". Rahsia terbongkar.

"Ayah ketuk tangan Abang sekali tu dengan hanger bila abang nakal, lepas tu ayah macam sedih sapu tangan abang dengan minyak gamat."

Oh ingat juga dia pada peristiwa itu.

"Ada ke bila Nurin tanya apa cita-cita ayah, ayah bukan jawap Engineer, tapi ayah jawap ayah nak masuk syurga tanpa hisab. Nurin kecik manalah faham dengan jawapan ayah, nurin hendak ayah jawap engineer ke, doktor ke, arkitek ke. Sekarang kalau  tanya Nurin, Nurinpun teringin pilih macam ayah, hendak masuk syurga tanpa hisab jugak lah..Jom!"

"Angah gelihati bila ayah cium kepala kami adik-beradik seorang demi seorang. Ayah mesti berkata 'dah besar dah anak-anak ayah' sambil mengusap kepala kami. Gelihati sebab tiap -tiap hari ayah tengok kami dan ayah bercakap begitu seolah -olah ayah sudah bertahun-tahun lama tidak melihat kami, tahu-tahu sudah besar, hihihi."

Ummi menjadi saksi bahawa ayah amat merindui anak-anaknya. Sudah 2 tahun ayah merindui untuk mengucup dan mengusap kepala Kak Long, ayah juga merindui suara Kak Long mengejutkan ayah sebelum subuh. Sudah setahun ayah rindu melakukan yang sama pada Kak Ngah. Merindui cerita-cerita kak ngah,  dan anak-anak yang lain.  Kerinduan yang sama terhadap semua anak-anak ayah, Abang, Kak Yin, Kak Yaya dan Faheem. Malam-malam semasa semuanya nyenyak tidur, selalu ayah berteleku mencium seorang demi seorang anak-anak ayah. Ayah tidak pernah bercerita tetapi ummilah saksinya. Ayah menginfakkan sebahagian belanja yang besar untuk anak-anak agar menjadi insan yang takutkan Allah bukan takutkan Ayah.

Maka anak-anakku kenanglah Ayah pada segalanya yang menjadikan kalian bertambah kasih padanya dan berjanji untuk menjadi sebahagian sahamnya di akhirat sana.

Maka mulaikanlah saat kita memperbanyakkan kebaikan agar kita diingati, dikenang malah didoakan. Sentiasa fikir-fikirkan pada apakah nanti kita bakal akan dikenang.
Author: -Ainul Yaqin-
•06:52

     Duduk sendirian memikirkan lapuran yang baru saya terima tentang kejadian yang berlaku siangnya di sekolah membuatkan saya pilu sendiri. Cuba memandang setiap yang dilapurkan dari sisi yang paling adil sebagai seorang ibu menjadikan saya bersyukur tidak hilang perhitungan. Malah kasihan saya pecah melimpah terhadap Yaya, yang mungkin bingung berhadapan situasi paginya di dalam perhimpunan sekolahnya itu. Ketika itu dia belum lagi belajar di dalam rangkaian sekolah musleh.

Ketika mengambil ketiga-tiga beradik pulang dari sekolah, Nurin masuk ke kereta dengan air mata bergenang, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku.

"Nurin..?"

Saya merenung anak matanya meminta penjelasan.

"Semua kawan-kawan Nurin kata mereka tak sangka adik Nurin jahat, Yaya kena panggil depan perhimpunan pagi tadi. Cikgu dapat aduan Yaya paksa kawan dia buatkan kerja sekolah. Ada beberapa budak kena panggil, Yaya seorang sahaja yang perempuan. Nurin malu."

Butir-butir peluru memacu membedil dada saya ketika mendengar kata-kata Nurin. Sakitnya rasa, apa benar Yaya yang baru menginjak tahun 3 persekolahan sudah berani memeras kawan demi kepentingan diri sendiri. Apa benar anak yang lembut dan naif ini boleh bertindak sejauh itu. Jika benar Allah sahaja tempat saya mengadu, ujian apakah ini yang sedang mendepani.


PENJELASAN DARI NURIN

     Saya terus memberhentikan kereta di hadapan deretan kedai, menoleh kepada Yaya, Berperangnya jiwa untuk memilih jalan penyelesaian mana yang harus saya pilih.

"Baik kak Yin cuba cerita satu persatu dengan betul-betul jelas, ummi hendak tahu apa yang sebenarnya berlaku."

"Semasa perhimpunan tadi Guru Besar kata dia mendapat panggilan telefon dari  mak ayah kawan Yaya. Mak dan ayah kawan Yaya tu mengadu mereka nampak kawan Yaya sedang siapkan kerja sekolah untuk Yaya sebab dia bawa balik buku latihan Yaya. Bila mereka tanya kenapa anak mereka buatkan kerja sekolah untuk Yaya anak dia terus kata Yaya yang paksa dia  supaya siapkan kerja sekolah tu untuk Yaya.

Sebab tu Yaya kena panggil pagi tadi depan perhimpunan. Nurin rasa mungkin Yaya tak salah tapi bila Guru Besar soal Yaya depan-depan orang semua, Yaya tak keluarkan suara langsung. Banyak kali cikgu tanya, Nurin geram Yaya diam saja."

Saya gundah, lemah terasa lutut, menarik sekuat tenaga menoleh pada Yaya. Tergambar wajahnya suram, bingung dan layu. Sayalah yang perlu merungkai persoalan ini.

"Yaya, Ummi tahu Yaya anak yang baik, cuba Yaya cerita pada Ummi betul ke Yaya buat seperti apa yang Kak Yin ceritakan tadi. Ummi belum penah tengok Yaya meniru tambah paksa kawan buatkan kerja rumah. Jika betul, Ummi tak marah, Yaya mesti ada sebab buat macam tu."

"Semalam masa kelas Bahasa Inggeris cikgu minta kami salin perkataaan perkataan  di white board dan cari makna dalam kamus di rumah dan wajib hantar kerja sekolah tu hari ni. Kawan Yaya tu baru salin sikit, cikgu dah padam perkataan tu, jadi dia nak pinjam buku latihan Yaya sebab Yaya salin cepat dan sempat salin semuanya. Yaya kata pada dia kalau dia pinjam macam mana Yaya nak siapkan kerja Yaya sebab hari ni cikgu dah nak pungut. Jadi dia janji akan buatkan sekali untuk Yaya, bukan Yaya yang paksa dia."

Tersedu-sedu dia menangis di dakapan saya, lerainya sebuah kebingungan. Alhamdulillah Ya Allah! Anakku tidak bersalah. Kesian anak Ummi.

"Kenapa Yaya tak jawap macam tu masa Guru Besar tanya dalam perhimpunan ?"

"Yaya takut sangat, Yaya tak tahu macam mana nak cakap."

Subhanallah peristiwa itu mengajar saya tentang banyak perkara. Teramat banyak.


SEPATUTNYA

Saya meletakkan diri saya di semua situasi. Wajarlah si ibu ayah kawan Yaya melapurkan kepada pihak sekolah. Tindakan yang wajar tetapi mungkin cara amarah mereka menyebabkan anak mereka memilih untuk menjadi defensif, menyelamatkan diri dan mencampakkan semua kesalahan kepada kawan yang telah membantunya.
 Seorang anak bermur 9 tahun apalah yang mampu mereka fikirkan secara waras, tentu sekali jalan paling mudah adalah berbohong mengatakan kawan yang memaksa dia. Anak saya teraniaya, saya memaafkan khilafnya seorang anak kecil, teman anak saya.

Maka dalam situasi apapun jika anak kita meletakkan kesalahan di pihak lain selidikilah dahulu. Jangan sama sekali diterima bulat-bulat entahkan anak kita sedang menuding orang lain yang jujur menjadi pesalah.

Sepatutnya selepas menerima aduan dari ibu bapa, pihak sekolah panggillah anak yang tertuduh ini dalam suasana bersendiri, di bilik pejabat misalnya gunakanlah kreativiti menyoal bukan tuduhan semberono, maka selidik satu demi persatu. Bukan membuat pertuduhan lantas menyoalnya meminta anak sekecil itu membela diri didalam satu perhimpunan yang semua mata memandang hina padanya dan sejurus selepasnya mengecap dia jahat dan memeras kawannya.

Saya kesal, tetapi saya tetap memaafkan. Mungkin dalam usaha untuk memberi amaran kepada pelajar lain anak saya terpilih untuk menjadi kambing yang ditanda hitam merata.

"Cikgu anak saya dituduh...kenapa di dalam perhimpunan, kenapa tidak disiasat dahulu." Dan saya menjelaskan semuanya, tanpa ada satupun yang tertinggal.

"Oh, Saya akan majukan kepada Guru Besar segera."

Terima kasih, Cikgu tetapi anak saya sudahpun mendapat kesannya. Bagaimana hendak memadamkan anggapan orang bahawa anak saya budak jahat. Satu sekolah menjadi saksi, dia anak kecil yang tidak mampu membela diri.
 Teraniaya bukan.
Tidak mudah bukan, oleh itu jadikanlah ini pengajaran.

"Kami pihak sekolah memohon maaf kepada puan dan anak puan, tapi itulah dia tidak berterus terang semasa saya menyoalnya." .

"Dia terkedu. Mungkin akan datang, elok jika mereka disoal dalam ruang yang tertutup." Saya menjelaskan dalam rona wajah yang paling manis. Menelan liur yang pahit lagi kelat.

"Puan, Kami akan membersihkan nama baik Alya dalam perhimpunan yang akan datang, Insyaallah."

Setiap Isnin hari perhimpunan saya merisik khabar, nama Yaya tidak dibersihkan dan ianya luput dari memori mereka tetapi tidak saya.
Sepatutnya saya meminta nombor telefon ibu atau ayah kawan Yaya dan menjelaskan segalanya tetapi saya tidak berbuat demikian. Andaikata di dalam kotak ingatan siapapun  mereka, ada terpahat nama anak saya Nur Alya Muhamad Rafiz, maka harapnya gugurlah  anggapan bahawa Yaya bersalah dan anaknya juga sama sekali bukan pesalah. Bukankah telah saya katakan bahawa saya adalah ibu yang merakam, maka peristiwa itu saya rakam dalam bingkai kenang-kenangan kehidupan dalam membesarkan anak-anak. Saya redha.

Menyoal anak, jika baunya setengit bau menuding , barangkali anak akan memberikan jawapan yang tidak jujur.

"Eh! Siapa yang pecahkan pinggan ni, adik ya?"

"Mana ada, bukan adik lah. Adik tak tahu siapa pecahkan."

"Cawan Ummi pecah, air sirap ni berlambak atas lantai. Moyang kata air yang tumpah ibarat rezeki yang melimpah. Ummi tak marah jika anak Ummi pecahkan, boleh ganti cawan lain, tapi Ummi sedih jika anak Ummi tak mengaku."
 Rasa-rasa tentu yang bersalah tidak teragak-agak untuk mengaku salah kan?


CUCU JIRAN

Menyedari  duit Persatuan Kebajikan Pekerja Islam di jabatan tempat kerja suami hilang dari bekas kayu tempat suami meletakkannya sementara, hati berkata-kata. Siapa pula mengambilnya sedangkan Kak long baru pandai berjalan belum lagi pandai memanjat untuk mencapainya di atas televisyen. Kak Ngah jauh sekali merangkakpun belum sempurna.

Tidak mahu menuduh cuma meletakkan syak, ada kemungkinan cucu jiran yang berumur 9 tahun yang setiap petang bertandang untuk belajar mengaji. Sekiranyalah benar kanak-kanak tersebut mengambilnya saya percaya dia mungkin tidak memahami itu satu kesalahan. Tetapi takkan waktu sesingkat membancuh air kordial untuknya didapur, memberi ruang untuk dia memanjat rak yang menempatkan tv dan mengambil wang tersebut. Tetapi siapa lagi jika bukan dia. Toyol?

"Boboy, ada tak boboy terambil duit Makcik Sha diatas tv ni?"
"Tak de, mana ada, boboy tak ambil"

Bingungnya, baru disoal terambil sudah dijawab tidak mengambilnya, agak benar kot ada toyol yang berkeliaran, makhluk ini wujud. Apa mungkin.

Saya mendapat ilham untuk bertanya esoknya lagi jika boboy datang mengaji.

"Boboy, boboy baikkan, duit yang boboy ambil atas tv makcik Sha hari tu ada bakinya tak, sayang."

"Ada, Makcik Sha."

"Berapa bakinya ya sayang." Berdebar-debar degup jantung saya kerana muslihat mengena.

"Ada lagi 28 ringgit..."

Dari rm300 lebih hanya berbaki rm28 ! Sabar...sabar, yang saya cari sekarang adalah kebenaran dan kanak-kanak bersih di hadapan saya ini sedang mengajukan kebenaran. Kerana apa, apabila dikilaskan sedikit soalannya semua yang benar terburai! Masya allah.

"Oh ada baki lagi ya, Boboy belanja beli apa ya dengan duit banyak tu?"

"Kita ajak kawan-kawan kita makan kat Marry Brown depan sana." Ya Allah memang bertuah pemurah.

Petang itu juga kami hati-hati menerangkan kepada datuk dan neneknya. Ibu Boboy menangis memeluk saya memohon maaf. Saya larang mereka memberhentikan Boboy dari mengaji dengan saya. Jika anaknya bukan bersifat kanak-kanak yang polos, semasa saya bertanya penuh muslihat pasti dia akan turut sama licik. Ini tidak, kerana dia merasa selamat untuk menjawap lalu tidak langsung dipersalahkan dan tidak menyedari dia sudah membuka pintal teka -teki. Alhamdulillah.

“Sesungguhnya jujur itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke surga, sesungguhnya orang yang berkata benar maka orang tersebut dicatat sebagai orang yang paling jujur. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu mengantarkan ke neraka dan orang yang dusta maka akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang paling dusta” (Shahih Bukhari, hal: 65 juz: 4)


ITU MENCURI.... ANAKKU

"Ummi nak tanya, gula-gula yang mana anak ummi ambil dari rak kedai ni tapi tak bayar?"

Dia menunjukkan jenis gula-gulanya , bagus pula dia mengingati yang mana satu.

"Ambil duit ni, pergi bayar pada tauke tu. Ambil tanpa bayar takut namanya mencuri, anak ummi berdosa jika mencuri."

Antara peristiwa-peristiwa yang terakam.

"Di madrasah, duit kawan yang abang terambil tu berapa ringgit ya nak?"
"Lima ringgit ummi, duit tu jatuh depan loker dia, abang ambillah."

Mudah dan terus penuh jujur dia yang berusia 10 tahun menjawap.
Rasa sayalah jika saya bertanya, "Abang ada curi duit kawan tak?" pasti jawapan nya ialah "Mana ada.."

"Nanti pulangkan semula ya, jika hendak duit  mintalah pada ayah atau ummi. Mengambil hak orang lain nanti Allah marah. bimbang nanti Allah ambil pula hak Abang. Allah ambil nyawa orang-orang yang abang sayang ke. Tentu abang sedihkan. "

"Tapi kawan abang tu dah pindah."

"Ambil rm5 masukkan dalam peti masjid ya. Anak ummi tolong jangan buat lagi."

Dan apabila dia mendapat berita saya kemalangan, kereta remuk melanggar pokok, dia mengongoi menangis menelefon.

"Abang sedih dengar ummi acccident, abang takut Allah ambil orang yang abang sayang..Huuhuu."

“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah bersama-sama orang yang jujur” (At-Taubah:119)

Saya percaya tumbesaran anak -anak kita sejajar dengan harga kepercayaan dan kejujuran yang kita kalungkan buat mereka.
Author: -Ainul Yaqin-
•23:06
"Perbanyakkanlah sujud kita kepada Allah kerana sesungguhnya semakin banyak sujud yang kita lakukan itu beserta dengan kefahaman, tahu dan kenal Allah maka semakin bertambah ketinggian frekuensi diri kita. Maka dengan frekuensi yang semakin bertambah itu  akan menjadikan ruh kita semakin hampir kepada Allah."

Ustazah Thaniah menyusun bait tazkirah di keheningan pagi ruang Masjid As Soghir, Taman Pekaka, Pulau Pinang. Indahnya. Kata-kata ustazah menyelinap ke segenap ruang hati, menyejukkan dingin lagi damai.

"Kita bersujud kepada Allah sebagai mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhitung. Allah memerintahkan Iblis dan malaikat sujud kepada Nabi Adam, malah Iblis laknatullah engkar, maka bersujudlah kita sebagai tanda ketaatan kita kepada Nya dan sekali gus mengejek keengkaran syaitan yang tidak mahu sama sekali tunduk sujud."

 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis. Ia berkata, "Adakah aku akan sujud kepada apa yang Engkau cipta daripada tanah liat?"
(17:61)

 Berkatalah Dia, "Apakah yang halangi kamu daripada sujud ketika Aku perintah kamu?" Berkata, "Aku lebih baik daripada dia. Engkau cipta aku daripada api, dan dia Engkau cipta daripada tanah liat."
(7:12)

 Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada kemungkaran, dan orang-orang yang menjaga had-had Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin.(9:112)

Jika boleh biarlah kita tidak lupa untuk merendahkan diri kita dengan posisi sujud setiap kali habis solat wajib. Bersujud syukurlah kita kepada Allah. Lafazkan

"Syukran lillah,"

 Kalimah ini basahkan sebagai alunan zikrullah mengiringi sujud tersebut. Terima kasih wahai Allah.

Jika 50 tahun umur kita lafazkan lah 50 kali malah lebih juga apa salahnya. Nombor hanya sekadar angka, selebihnya kita lafaz dengan penuh kefahaman.  Mudahnya seorang hamba itu dipujuk untuk mengesakan Allah. Tidak ada jalan yang berliku, sangat mudah dan jelas tamsilan syukur itu.
Rasa bertuah untuk turut berada di situ, berpagi-pagian bersama ibu-ibu sepengajian. Allah pasti tidak menghampakan. Malaikat juga tentu sekali bahagia untuk sudi memayungkan sayapnya malah doanya buat orang yang berangkat untuk menimba ilmu walau dengan perasaan berat mahupun ringan.

"Kak lang, setiap kali menghadiri kuliah ini pasti ada sesuatu yang menyentuh jiwa saya, adakalanya sesuatu yang berbentuk teguran, tunai dari Allah. Selalunya pasti ada yang terkena batang hidung sendiri."
 Benar Ana, Kak Nor , Alang akan menjadi semakin kuat  dan bersemangat dengan kehadiran kalian berdua mengiringi.


MANUSIA IBARAT GULA MADU DAN KAYU

Sejauh mana juga terletaknya seketul gula, pasti kelak yang datang mengerumuninya nanti adalah semut-semut yang entah dari mana datangnya. Sudah begitu ketentuan kejadian dari Allah, gula yang hadir pasti dicari oleh semut. Begitu kuat tarikan aroma gula, tidak pula menarik perhatian si kucing. Malah pepatah menitipkan sanggup mati si semut dek kerana gula.

Melihat lebah berterbangan, andaikata bunga yang dihinggapinya, maka sah bunya tersebut bersirakan madu. Tidak lelah malah tidak ada istilah jemu buat sang lebah menghisap madu. Cepat sekali deria lebah mengesan manisnya. Rasanya mungkin ada sahaja gelombang aroma yang menggamit pencinta manisan tersebut. Kagum sungguh kita terhadap peraturan yang disusun sebegitu indah oleh Allah ini.

Kayu boleh mereput juga akhirnya disapa anai-anai. Kerjanya sunyi dalam diam, secara perlahan tetapi ukirannya menggambarkan betapalah Allah menyediakan bukan batu anai-anai berumah, tetapi kayu. Malah kertas, buku, perabot asalkan namanya kayu, intai-intailah kehadiran makhluk pencinta kayu ini.

Semua yang di atas merupakan tamsilan, sebuah analogi dari kejadian di sekeliling kita. Maka sedarlah kita manusia, tarikan kita terhadap serangan Iblis dan syaitan adalah pada sangkaan manusia itu sendiri. Sangkaan manusia itu ibarat gula, madu dan kayu untuk menarik syaitan menghujam kita dengan godaannya.

SANGKAAN

"Ishah, saya rasa kawan kita itu memang tidak lagi hormatkan saya. Apa yang saya arahkan atau minta tolong langsung tidak dipedulikan. Saya sudah segan meminta pertolongannya lagi."

 Sebuah sangkaan sesama sendiri dalam berorganisasi. Rentetannya mampu menerbitkan rasa kesal, jauh hati dan merajuk.

"Hei sayang, kakak nak tanya sedikit, Kak Li ada suruh order makanan untuk program tu adik dah selesaikan ke? Tumpang akak ingatkan ni jangan lambat ya."

Sekadar membuat counter check, apa berasas ke sangkaan, ataupun berbaloi untuk terasa hati sedangkan tidak diusul selidik secara berterus terang.

"Oh ya ke Kak Li tugaskan saya untuk membuat pesanan, minta maaf kak saya tidak perasan pulak. Kalau macam itu segera saya laksanakan esok, very sorry. Sampaikan sorry saya pada Kak Li apa agaknya dia fikir, kesian dia."

 Sebuah sangkaaan yang tidak soleh telah terungkai. Maaf Iblis dan Syaitan, tiada ruang untukmu bercanda di kalangan kami orang yang berbaik sangka.

"Hem, saya memang tidak berapa boleh masuk dengan dia tu, tahulah dia isteri orang penting, bukan macam saya isteri orang bawahan. Tengok stailnya pun macam datin-datin , vogue semacam. Diapun seperti memilih bulu, orang macam kita ini tidak dipandangpun."

"Kak, sudahkah kakak bekerja dengan dia dan berapa lama kakak sudah mengenali dia, Jika semuanya belum, jangan meletakkan sebarang sangkaan dulu, sangkaan selalu tersilap, sangkaan juga boleh mendatangkan dosa. Saya senang dengan dia, mana tahu kakak juga boleh menjadi akrab."

Saya berani suarakan begitu kerana individu yang dikatakan tadi adalah seorang yang sangat dekat dihati saya. Dia memang bergaya, stailo itu kerana dia mampu tetapi saya kira dia sudah cukup bersederhana. Mungkin kerana saya  mengenalinya diluar malah mencintainya di dalam. Dan saya mulakan jarum azimat  untuk memecahkan tembok sangkaan demi sebuah persaudaraan. Dan ketika berhijrah meninggalkan daerah itu dua hati mereka semakin bertaut, kemanisannya mengalir menyapa hati saya. Ditakdirkan mereka menjadi jiran setaman, mereka akrab sekali. Sakit pening saling menjenguk, susah senang kongsi bersama, sempat ditarbiah di dalam halaqah. Alhamdullillah.

Syukran lillah

"Dolu ado orang tu kato ekau pilih bulu tau, tak borkonan dio nak kawan ngan ekau la kak, Ado ko dio kato ekau sombong lagak mak datin. Cubo ekau maghah balik  kek dio.."
(Dulu ada orang tu dia kata kamu pilih bulu tau, tak berkenan dia nak berkawan dengan kamu la kak, Ada ke dia kata kamu sombong lagak seperti mak datin. Cuba kamu marah semula pada dia)

Saya pecahkan rahsia teman yang kini rapat, asalpun dari negeri yang sama. Cantiknya penyusunan Allah.

"Eh itu dolu yo,maso tu eseh bolum kona lai dio, eseh bona bona tobat sangko bughuk kek mak datin,  tak mahu lai eseh jadi macam gulo dihurung dek setan. astaghfirullahal azim"
(Eh itu dulu ya, masa tu saya belum kenal dia lagi, saya benar-benar taubat bersangka buruk pada mak datin, tak mahu lagi saya menjadi seperti gula dihurung oleh syaitan, astaghfirullahal azim)

Ketawa kami pecah penuh mesra dan bahagia. Saya terlebih bahagia dan disini ingin kunyatakan bahawa diri ini amat mencintai kalian keranaNya.
Author: -Ainul Yaqin-
•21:35

     Dari lebuhraya arah ke selatan, isyarat kiri dinyalakan memasuki persimpangan Changkat Jering dan Taiping.  Sebelumnya kami terlepas persimpangan Taiping Utara dan Kamunting. Suami selesa dengan laluan tersebut kerana terbiasa dengan exit itu sejak kami tinggal di Manjung dan di Ipoh dahulu.

Taping....daerah kegemaran arwah emak.
"Banyak-banyak tempat tinggal, mak paling seronok tinggal di Taiping."

Banyak agaknya emak mengumpul nostalgia di daerah setenang Taiping. Hanya emak yang menyimpannya. Sesuatu yang saya suka tentang Taiping adalah terdapat banyak kawasannya yang berumput. Dan warna rumputnya saya perhatikan luarbiasa cantik serta hijau.Mungkin dari segi geografi, Taiping kawasan paling banyak mengumpul hujan. Rumputnya subur, susah hendak mencari rumput segar tanpa bercampur lalang dan pokok renik dalam kawasan yang luas. Di Taiping rumputnya sahaja sudah menggamit rindu, melambai rasa. Entah ya, jiwa saya sangat dekat dengan rumput dan daun-daun. Daun hijau malah daun kering yang sering gugur juga adalah sebahagian dari kegembiraan saya.

Ayah dahulu selalu berpesan.
 " Andai memandang langit yang biru, rumput di bumi jangan kakak lupa."

Pesan ayah mudah tapi di dalamnya membawa seribu makna.
Kerana itu saya kira apabila merindui ayah mahupun emak semasa menuntut jauh di USM, kerinduan itu saya hilangkan dengan melangut ke langit. Saya tunggang Che Su (panggilan untuk motor kesayangan saya Suzuki PAQ 4068 biru) menuju  tempat yang paling saya suka.

"Jom Che Su, kita pergi airport."
Dan di tepi pagar Lapangan Terbang Pulau Pinang itu, yang tidak eksklusif seperti sekarang saya melangut ke langit memerhatikan apa saja yang melintas di atas. Pasti sekali kapal terbang yang berlepas laju dan yang turun mendarat. Ada juga camar dan bangau yang mungkin terbang membawa aura menuai dari sawah bendang di Seberang Perai. Impian saya  juga setinggi itu.

"Che Su, tadi kakak dah tuang minyak, jangan meragam lagi ya." Mustahil Che Su mampu bersuara tetapi Che Su sering memahami dan tidak mengecewakan. Pernah terhenti betul-betul di tengah Jambatan Pulau Pinang antara debaran dari ragam Che Su.

"Ya Allah Che Su....takkan nak sorong Che Su sampai Seberang Perai.Tolong Che Su bangun..."
Dengan izin Allah enjinnya boleh dihidupkan semula.

"Jangankan bawa motor kalau kakak nak bawa kapalterbang pun ayah lepaskan...tapi harus tanya mem(mak) dulu." Ayah selalu bergurau, menutur sebegitu.

Taiping tidak banyak berubah walaupun sudah 40 tahun buminya saya tinggalkan. Berhadapan  sebuah padang bola, berhampiran Penjara Taiping, dan bangunan mahkamah ada sebuah kawasan kem angkatan tentera. Di situ saya membesar selama 2 tahun. Di rumah yang kini sudah dijadikan mes tentera, bangunan itu tetap tidak berubah, masih kekal dengan pondok pengawalnya di hadapan pagar.

Saya meminta suami memberhentikan kereta betul-betul di pagar berhadapan dengan 'rumah' saya dahulu.

"Kayuh! Kayuh pantas- pantas Zari! Tengok depan ! Tengok depan!"

Riuh mulut Pak Itam, adik mak yang muda belia mengajar saya mengayuh basikal selepas di tanggalkan roda tepi. Ketika itu saya berumur 5 tahun. Di situlah saya belajar untuk berkayuh.
Berapa kali saya terjatuh, bangun dan berkayuh lagi. Namun tidak adapun sebarang luka dengan kehadiran tebalnya rumput hijau di sekeliling rumah itu. Jatuh, bangun , tersembam, hidung tercium bau rumput, aromanya harum apabila baru disabit oleh tukang sabit India yang diupah  pihak pengurusan tentera. Saya yang menghantar segelas air sejuk dan sepiring cokodok untuknya selepas melihat dia berehat mengelap peluhnya. Mak mengisi ke dalam dulang kecil, saya yang menatangnya. Ketika itu ayah menjadi jurulatih kawad bagi angkatan Batalion 4 Melayu. Saya anak seorang perajurit, anak tentera.

Apabila kayuhan saya semakin mantap, Pak Andak, adik mak juga mula membawa saya berkayuh disekitar Taman TasikTaiping yang berhampiran dengan rumah , sesekali berkayuh jauh sedikit ke kawasan kaki Bukit Maxwell. Rupanya nama bukit ini telah ditukarkan ke Bukit Larut. Pak Andak adalah rakan berkayuh saya yang terbaik. Apabila kami berdua melintas, saya perasan ramai anak-anak gadis yang tertoleh-toleh. Saya tidak memahami keadaan itu dan bertanya.

"Apa pasal diorang tengok-tengok kita lepas tu bisik-bisik eh, Pak Andak."
Rupanya Pak Andak adik beradik mak yang sama ibu itu mewarisi darah kacukan Sri Lanka arwah Atuk Ibrahim. Wajah Pak Andak dan Pak Itam kacak mirip pelakon Shashi Kapoor. Ehem.

Kini, saya kembali semula ke Taiping tetapi tanpa ayah mahu pun mak bersama. Saya cuba merakam lanskap serta rumah yang pernah menjadi sebahagian hidup kami itu dengan kamera. Sekali shot. kali kedua, tiba-tiba.

"Minta maaf tidak dibenarkan mengambil gambar ,ini kawasan tentera." seorang pengawal tentera siap bersenjata disandang melaung ,wajahnya dimaniskan.

"Ini rumah saya dahulu, Encik!"
Dia melambai-lambaikan tangannya tanda tidak membenarkan tindakan mengambil gambar diteruskan.

"Ini rumah saya, di sini saya membesar, saya belajar mengayuh basikal di sini, sekolah tadika saya dibelakang kem ini di tingkat bawah berek polis. Jika pemandu trak tentera yang mengambil anak-anak tentera pulang sekolah lambat saja, saya yang tidak sabar menunggu akan menapak pulang sendiri ke rumah. Harap pakcik pemandu itu sudah lama memaafkan saya seorang anak kecil yang banyak kerenah. Di belakang rumah, ada berek di tingkat dua saya mengaji dan belajar fardhu ain bersama anak tentera yang lain.      
Encik! ditepi pagar kiri ini saya selalu bergayut menunggu mamak roti berkain sarung putih disingkap ke depan menjadi seluar  dengan bakul bulat besar berpenutup zink dan hon trompetnya yang melonta-lontakan hati saya setiap petang. Saya tidak berminat dengan rotinya, orang dewasa sahaja yang mahukan rotinya. Kaya sapuan rotinya kata mak yang terbaik di pekan Taiping.Yang saya sukakan ialah kek marble potong segitiganya serta popcorn mahupun keropok durian yang diisi sekali dengan tiub berisi likatan yang ditiup dengan straw halus menjadi belon. Jajan-jajan bergayutan penuh mengelilingi bakul.
 Dan di ruang luas kanan kem ini saya menyaksikan dari verandah rumah anggota tentera  membuat latihan kawad, sama seiring, bersemangat sekali. Saya masih terdengar terngiang bunyi derapan kasut but mereka melangkah juga bunyi tangan mereka menyentuh senapang mengikut aturan kawad. Selang selinya suara ayah yang terpekik memberi arahan kawad, dengan jam pekak di tangan serta tongkat di bawah ketiaknya. Dan ayah saya adalah  Pegawai Waran 1 di sini , RSM Zainol Rashid bin Lebai Ishak."

Kata-kata itu mampu saya tuturkan di dalam hati sahaja, jika saya luahkanpun Encik pasti tidak memahami malah tidak mengenali. Tidak mengapa saya faham Encik menjalankan tugas. Saya sempat merakam gambar rumah kenangan ini sekali, selebihnya semua yang lain sudah sebati terakam kemas di dalam ingatan saya.

Taiping saya kembali..dan akan kembali lagi