Author: -Ainul Yaqin-
•10:52
    

Malam itu kesempatan membelah kota Kuala Lumpur menuju Petaling Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan. Lama juga saya tidak menikmati simbahan cahaya kota ....cantik. Terlupa sebentar pada arus trafik yang agak perlahan membawa wargakota ke destinasi masing-masing.

Mata tertancap pada bangunan Angkasapuri tersergam gah di atas bukit  di kiri laluan. Yang menarik di situ  tertulis motto berlampu yang terang seterang terangnya yang berbunyi

                                             'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'

Pandangan itu agak mesra saya rasakan kerana sejak lebih 20 tahun dulu laluan itu kerap saya lalui. Ayah rajin membawa kami ke tempat kerjanya , Hujung minggu jika ayah ada urusan atau 'duty' kami mengambil peluang mengikut. Pejabat ayah di lot parkir Hotel Jaya Puri kini dikenali PJ HILTON. Motto yang tertulis di atas bukit itu juga sebati dengan saya.


Cuma saya rasa masa yang berlalu dan menginjak pergi, membawa pergi budi dan bahasa , seperti bukan lagi menjadi amalan. Rata -rata mempertahankan budi bahasa ibarat mengemis sesuap nasi.Kalaulah boleh,hendak rasanya pada motto tersebut saya tambahkan satu perkataan lagi menjadi


                                    'KEMBALIKAN BUDI BAHASA BUDAYA KITA'


Kenapa agaknya. Kerana terlalu banyak insiden yang saya alami membuat saya selalu memikirkan perkara ini.


BAYAR DAN JALAN SAHAJALAH

     Kebanyakan kaunter -kaunter bayaran seperti mengupah 'robotic cashier' tanpa perasaan. Cubalah berbahasa basi untung sabut dilayan baik kerapkalinya mengecewakan. Pasaraya besar malah kedai runcit, kaunter depan dan pembayaran bukan fokus utama menyantuni pelanggan. Wajah mencuka ditarik 14 muka pun pelanggan tetap juga datang ,jadi mengapa perlu dikisahkan sekiranya perkhidmatan di kaunter langsung tidak dihiaskan dengan budi bahasa . Belum lagi pembantu kedai yang bersikap'jika pelanggan hendak,sila ambil, tak hendak, tinggalkan'.

Satu ketika kami sekumpulan sukarelawan ke Acheh melawat sebuah pasar. Berkeliling mencari kedai keropok milik muslim, akhirnya berkerumun di sebuah kedai. Beri salam ,dijawab bagai hendak bagaikan tidak. Tidak menjadi kudis. Kami ramai dengan berbagai permintaan, minta ditimbang,dibungkus keropok pilihan hendak dibawa sebagai ole ole. Seorang teman tiba tiba ternampak keropok yang lebik menarik, maka membatalkan dua bungkus terdahulu yang sudah siap ditimbang. Terperanjat kami apabila pembantu kedai tu dengan muka tidak puas hati masam mencuka mencampakkan penyedok kemudian menuang keropok keropok yang dibatalkan itu ke dalam bekas semula .Tanpa suara, bahasa badannya menjengkelkan. Sudahlah kami masuk beramai ramai seperti tidak diraikan malah kami pulak yang rasa bersalah membeli itu dan ini.


Kami semua menyaksikannya, hilang kata kata sebentar.

 'Nanti...nanti dulu. Kamu ini apa masalah ya. Kamu tahu tidak, kami berkeliling pasar mencari kedai muslim tapi begitu caranya kamu melayan pelanggan!'

Suara sayalah itu. Memang kepantangan saya melihat sikap biadap, belum sampai mencemar jari menghadiahkan penampar aje sebagai 'buah tangan'. Masih berhemah , nafas ditarik dalam dalam.


'Kalau gitu,kami pelanggan mendatangkan masalah, kamu lagi penat dan capek....kamu simpan aje keropok keropok ini. Ada rezeki kamu adalah nanti orang lain yang beli..itupun jika muka kamu boleh dimaniskan. Dah jom tinggalkan...kita cari kedai lain' Saya melangkah keluar .seperti anak anak ayam mengejar ibu, teman teman yang lain terpinga pinga mengikut.


 'Alang...habis tu nak beli kat mana alang?'


''Ada.insyallah..jom cari jangan risau. Kalau tak beradap,miskin budi bahasa,akibat sempitlah rezeki'


Kami menemui sebuah kedai kecil milik seorang lelaki tua. Kontranya keadaan di situ,barang yang dibeli siap dibungkus, diikat kemas, senang masukkan aje ke perut kapal terbang. Terima kasihnya berkali kali.  Siap beritahu mana yang berkualiti agak tinggi harganya ,yang sederhana lebih murah,yang tidak elok dan kurang sedap tidak dicadangkan. Susah sangat ke hendak berbudi bahasa.


ENTAH TAK TAHU


Pernah ketika anak anak masih di peringkat sekolah  dulu, rumah kami dikunjungi seorang kawan mereka. Ketika saya cuba memecah suasana , perasaaan ingin meraikannya walaupun seorang kanak kanak, saya lalu bertanya padanya.

"Mak ada pesan ke balik nanti nak tunggu mak ambil atau makcik yang hantar?"
Spontan dijawabnya  "entah tak tahu"

Dia masih kanak -kanak maka saya memaksa diri memahami, andaikata anak-anak saya ditempat itu mungkin jawapan seumpama itu juga yang diberikan.

Cuma jawapan polos terus begitu mendatangkan rasa kurang enak gegendang telinga menerimanya langsung menerbitkan rasa ngilu andai datang dari mulut nadia atau nabila. Maka saya belajar dari tindak tanduk tetamu kanak -kanak ini buat sempadan dan tunjuk ajar apa yang patut kepada anak-anak sendiri. Sebab itu saya suka jika anak -anak ini membawa pulang kawan kerana ada banyak nilai-nilai samada baik atau sebaliknya yang boleh di aplikasikan terhadap anak sendiri.

"Lain kali jika makcik tanya, jawaplah saya tak tahu,makcik atau maaflah makcik tak pasti pulak". "jangan lah jawab ENTAH TAK TAHU ya".Pengajaran tu harapnya lekat diukir dalam fikiran anak -anak ini sehingga sekarang.

"Budak tu cari saya sampai ke dapur, menyalam,siap cium tangan..beritahu maknya berkirim salam dan berterima kasih izinkan dia datang ke rumah. Anak saya sendiri tak sampai ke tahap tu". Cerita seorang teman.

Sememangnya anak kita sendiri belum mencapai ke tahap itu tapi percaya lah, proses pembelajaran mereka pasti membekas dengan cara melihat lalu meniru.Yang menyaringnya tugas kitalah sentiasa.


SAYA NAK CAKAP DENGAN......


"hello, Alya ada?" satu panggilan saya terima . Aduhai anak, gersangnya budi bahasa . Adakala mati akal saya hendak menegur spontan


"Yaya ..kalau menelefon kawan , mak dia yang angkat telefon yaya cakap macamana ya" saja saya mengujinya, selepas menerima beberapa panggilan dari kawan kawan anak saya itu.

"cakaplah nak bercakap dengan kawan yaya tu"
"Ya lah macamana cara yaya bercakap ....cuba sebut ummi teringin nak dengar"
"ala ummi ni...cakap je la ....."
"OK katalah ummi ni mak kawan yaya.....hello assalamualaikum nak bercakap dengan siapa?"
"Tina ada?..."
"Yaya GAGAL...". melekek lekek dia ketawa.

"Assalamualaikum...boleh saya tahu.siapa bercakap ni"

"Ni datuk Nabila dan Nadia....nak bercakap dengan siapa?
"Oh maaf ya atuk, saya kawan Nabila." Siap disebutnya sekali nama." Maaf ya ganggu atuk..boleh bercakap ke dengan Nabila"

Berbakul -bakul pujian ayah pada kawan anak saya, Tertawan dengan kemulusan budi bahasa walaupun sekadar bicara pendek di hujung talian


5S MENCONTOHI RASULULLAH


Rasulullah sendiri membawa peribadinya dengan secantik cantik hiasan akhlak , Qudwah(contoh) dan budi bahasa dan pekerti. Andai ingin penampilan dan diri diterima bawalah peribadi penuh kesederhanaan.


SENYUM - Rasulullah tidak akan sekali kali bersuara sebelum baginda mengukirkan senyuman.

SALAM    - Ucapan penuh doa ini sepatutnya menjadi ulam di bibir kita. Ucapan meraikan pagi, petang atau malam terhadap yang bukan Islam tanda hormat bukan juga sesuatu yang asing.
SAPA    - . Dalam menyapa ini raikan dengan bertanya tentang diri yang disapa bukan hanya menceritakan tentang kita, kita dan kita.
SOPAN  - Dizahirkan melalui bahasa badan. 'first impression' menentukan diri kita terbilang atau terbuang.
SANTUN - menefestasi melalui tingkah laku dan tutur bicara

Andaikata kita selalu menongkat kepala memandang birunya langit, biarlah kita tidak sama sekali melupakan rumput hijau yang melata di bumi. Bawalah khazanah budi dan bahasa di pundak kita, tidak ada siapa yang layak memikulnya melainkan dari dalam sanubari kita sendiri.


 Ingat pesan ummi ayah...wahai anak anakku


Author: -Ainul Yaqin-
•01:39
         
Rasanya seperti baru semalam saya menghadap emak, menadah telinga mendengar kisah-kisah lama darinya. Emak bagaikan hidup di dalam semangat kenangan tersebut, sebab itu walaupun dikisahkan berulang kali saya tidak akan pernah disapa jemu, begitulah diri emak.
          Rasanya bagaikan baru sebentar tadi saya melalui detik detik manis mendengar cerita lama dari emak , kisah di zaman ketika tidak punya harta benda malah duit ringgit jauh sekali dari mencukupi. Kehidupan serba kekurangan, namun kepayahan itu membentuk jati diri,untuk terus  kuat lalu bangkit meneruskan kehidupan. 

"Kakak tahu tak....moyang Adam (datuk pada emak, emak memang dibesarkan oleh nenek dan datuknya) dulu selalu cakap pada emak...kita ini jika di alam barzakh, alam kubur...rasanya seperti orang menunggu posmen. Kalau menerima surat....hati tu gembira sangat.....ibarat tu lah juga kita menunggu doa dari anak cucu...ternanti nanti kita. Ada atau tidak ingatan mereka  pada kita . Kirimkan doa untuk kita"

         Mengenang perbualan ini hati saya jadi sebak. Kini emak dan juga moyang sudah kembali ke rahmatullah ,sudah menjadi orang orang yang setia berharap menunggu ketibaan kiriman surat-surat dari posmen. Saya dan anak cucu mereka lah pengirim yang di harap harapkan itu.

            Saya berterimakasih pada emak kerana sempat berkongsi kata kata dari moyang. Kata kata tersebut terpahat dalam sanubari bagaikan tidak mampu dipinggirkan dari ingatan. Dan saya bersyukur untuk menerima peringatan seperti ini. Ianya seperti rakaman yang berulang dalam kenangan yang menggamit rindu yang tidak berkesudahan lalu mudah mudahan dizahirkan dengan menjadi pegirim setia kepada emak, ayah,abah, moyang ,keturunan terdahulu  serta muslimin muslimat. Redha lah Allah pada menggembirakan mereka  yang tidak jemu menanti kiriman.


ANAK SOLEH SOLEHAH

"Jika berazam untuk menjadi anak  soleh olehah, setiap kali selepas solat wajibkan diri kirimkan doa untuk ayah dan emak", pesan Pak Dam bapa saudara saya.

 "Apalah lagi kebajikan yang mampu kita beri pada mereka di alam sana. Jika masih hidup boleh juga tengokkan makan pakai mereka. Al Fatihah tu dah sebesar besar hadiah untuk mereka"
" Pak Usu nak pesan, menjaga ibu bapa uzur ini, andaikatalah  Allah lambakkan nikmat nya di depan mata maka kau adik-beradik boleh bergaduh. Tahu tak apa sebabnya? Kerana berebutkan nikmat yang banyak itu. Hakikatnya nikmat itu Allah simpan dulu untuk diserah di akhirat maka kau rebutlah peluang berbakti pada emak dan ayah engkau".

Apabila meninggal sahaja ibu dan bapa maka tertutuplah antara pintu pintu untuk melaksanakan kebajikan untuk mereka melainkan dengan jalan mendoakan mereka.
Peringatan peringatan sebegini terasa kecil tapi besar maknanya andai suatu ketika nanti kita lah pula menjadi penanti itu pada sebuah kiriman dari alam yang lain.....


SAYA TIDAK MENDAPAT DOA KHUSUS

 "Kak saya ni terasa macam rugi. Dalam hidup saya, saya rasa  selalu tidak mendapat doa doa khusus dari ibu bapa"

Perbualan petang itu mengundang ingin tahu saya


"Boleh akak tahu apa maksud adik?. Ayah ibu masih adakan?" cuba merungkai persoalan.


"Ibu bapa saya bukanlah jenis yang solat taat  lima waktu...ada masa jika nak solat mereka solat . Bilamana mereka rasa berat nak buat maka tinggallah solat. Doa ibu kan mustajab. Akak bayangkan ibu saya tak mampu doakan saya setiap waktu solat...kalau akak kat tempat saya tentu akak pun rasa rugi..yakan?


Allahu Akbar

"Kalaulah adik tanyakan soalan ini semasa akak berstatus anak dara....akakpun tak mampu menjawabnya..malah mungkin angguk terus"
 Dia tergelak kecil pada status yang saya utarakan.

          "Tapi setelah akak sekarang melalui pengalaman menjadi ibu...memegang status ibu maka akak ada sisi pandangan yang agak berbeza"


Dia nampak teruja....menagih harapan pada sebuah jawapan barangkali suatu pandangan, saya kira.


Seorang ibu itu doanya  bersandarkan ingatan terhadap anak anaknya. Ada ketika dalam baring, teringatkan anak..."selamat hendaknya anakku pergi sekolah...selamat sampai petang nanti"

Ada masanya ketika memasak teringatkan si anak maka terpancar pengharapannya 

."Kenyang anak aku ,bila makan masakan ni nanti...lauk lemak tempoyak ikan patin"


Maka  suara hati ibu yang taat kebergantungannya kepada Allah barangkali lain pula nadanya 


"Tetapkan anak ku dalam iman Ya Allah...jauhkan sebarang kemaksiatan darinya...." 


 Namun redha ibu tetap mengundang redha allah. Tolak lah sebarang anggapan ibu dan bapa kita itu yang bagaimana....sekalipun ahli maksiat ,mereka tetap ibu dan bapa kita sejak azali.. 


Bukan kita yang menentukan, boleh memilih siapakah ibu dan siapa pula ayah kita. Kita ingin lahir dari rahim siapa juga bukan dari kudrat atau pilihan kita.Maka sebagai anak jangan ada sebarang pertikaian terhadap mereka, mana perginya doa khusus buat kita.


Doa itu ada cuma bukanlah dilafazkan ketika berteleku di hamparan sejadah.

            
Author: -Ainul Yaqin-
•10:31
“Islam membebaskan akal, menggalakkan supaya memerhati (mengkaji) alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama serta mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. ‘Al-Hikmah’ adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapatinya maka dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya”(Usul 18 
Ringkasnya, dalam usul ini Imam Hasan al-Banna telah menegaskan pendirian Islam terhadap akal dan ilmu, ketika mana akal telah ditawan atau dikongkong dan ilmu telah dihadkan kepada ilmu-ilmu tertentu sahaja

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها  (رواه  الترمذي) 
Maksudnya: Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).
Sebagai kesimpulan, al-Hikmah adalah merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah apa jua bidang ilmu yang membawa kesejahteraan hidup manusia.
Telinga ini menangkap kata kata seorang ustaz yang memberikan tazkirah dari corong radio bersiaran pada  frekuensi 102.7, IKIM .FM pada suatu petang
"oleh itu pesan Rasulullah saw andai hikmah itu bisa dicari mampu dikumpulkan maka usahakanlah agar kita dapat mencari sebanyaknya dan mampu mengumpulkan sebanyak mungkin hikmah tersebut di dalam diri kita" sambung lagi ustaz  tersebut
Allahu Akbar..benarlah akhir zaman mukmin akan semakin hilang hikmahnya. Pada kata kata, pada tingkah laku, pada segala rutin kehidupan yang menjadikan mukmin semakin hilang kehebatan ibarat buih yang banyak dipermukaan lautan. Banyak...banyak sekali tetapi lemah dan hilang upaya sebelum masa.
Pulangkan kembali hikmah pada diri yang wajar..yang berhak, siapa lagi jika bukan..diri kita iaitu diri yang mengaku umat islam. Bukan semestinya hikmah itu diperolehi hanya daripada orang islam, bahkan ambil juga sinar hikmah itu dari orang kafir.Rebutlah peluang menghimpun hikmah...andai hikmah itu melantun kan cahaya kebaikan untuk memperolehi redha ilahi
HIKMAH juga bukan semata mata kata-kata yang diucap penuh kelembutan,mendayu memujuk.....adakalanya berupa ucapan penuh tegas asal mengundang kebijaksanaan menegakkan yang hak. Bijak melontar bicara , bijak juga menangkis prasangka maka dengan bijaksana juga bertindak menyambut lafaz kata
Ayuh!!  Kembalikan hikmah .......tugas kita lah itu
Author: -Ainul Yaqin-
•15:40
Betapa Allah itu mentarbiah hambanya agar dekat hampir padaNya melalui titipan doa. Ketika kita masih di dalam dakapan rahim ibunda alunan  doa menjadi dendangan, mersik mengelus jiwa. Maka kita tumbuh berpaksikan janji kepada Allah. 
'Aku adalah hambaMu, YaRobbi. Sesungguhnya aku naik saksi bahawasanya tiada tuhan yang layak kusembah melainkan Allah dan Nabi Muhamad itu pesuruh Allah'
Dari di bangku tadika antara didikan pertama yang diterapkan adalah doa. Doa yang berirama. dialun nasyidkan. Bahkan sampai kini masih terpahat kekal diingatan, menjadi bekal menginjak remaja membawa ke dewasa.Moga moga doa itu berterusan menjadi amalan,bukankah dinyatakan doa itu merupakan senjata mukmin. Doakan ibubapa, yang masih hidup mendamping diri mahupun yang telah dipanggil mengadap ilahi. Doakan anak anak dari ketulusan hati ayah ibu, agar terpelihara membina sempadan dari kemaksiatan meraih rahmat Ilahi.
Doakan para guru, pendidik yang selama ilmunya kita manfaatkan berbahagia hidup mereka. Dari mengenal alif ba ta juga satu,dua tiga insan guru mencurah ilmu kepada falsafah kehidupan, 'degree', 'master' membawa 'phd' bertunjang tunjuk ajar insan insan istimewa ini.
Doa melimpah dari bibir buat junjungan tercinta, ahli baginda, para sahabat, ulamak,tabiin, muslimin dan muslimat seluruhnya. Kuasa doa itu tak terperi.

BELI SATU PERCUMA SATU
'Jika kita berdoa hanya untuk kita maka doa itu menjurus kepada diri kita sahaja. Andai kita berdoa untuk insan lain, mendoakannya lebih lebih lagi penuh rahsia kita menyebut-nyebut dia di dalam doa kita, sebagaimana doa kita untuknya maka allah akan mengurniakan yang sama terhadap kita, tanpa terkurang sedikitpun.'
Saya kongsikan bersama anak anak perempuan pelajar STAM di Hidayah Ipoh. 
'Makcik...saya akan ingat..buy one free one', betullah tu beli satu percuma satu. Tidak sia sia tazkirah pendek itu. Maka sibukkanlah juga memperbanyakkan doa buat orang orang keliling,doa untuk ummah. Buat menggantikan caci keji yang tidak akan langsung menambah iman.Saya insafi diri kerdil ini.Bukan kata kata yang tinggi pun yang mampu diucapkan, sekadar nasihat nasihat biasa menyentuh soal soal kecil yang berligar keliling kelalang kita.

BETAPA BERUNTUNGNYA ANAK ANAK ITU

Selepas mengajar anak anak jiran setaman mengaji di surau Taman Senai Utama , Senai pada satu petang saya berhasrat menunaikan asar terus di situ tambahan masih berwuduk. Biasa, fenomena surau ketika itu tiada jemaah menjelang waktu asar. Barangkali pengunjung setianya masih ditempat kerja atau dalam perjalanan pulang ke taman ,belum sempat sampai untuk mengimarahkan asar di situ.

 Ketika itu sepasang  suami isteri tiba. Isterinya menyarung telekung, sempat bertegur sapa , katanya mereka dari Pontian datang berziarah ke taman tersebut. Memikirkan kemungkinan dapat berjemaah di surau tersebut maka mereka singgah. Akhirnya suami mengambil tempat mengimamkan isteri, saya mohon izin turut bermakmum.
Selesai solat, suaminya berdoa kuat dan jelas bersulam doa doa biasa selepas solat di dalam bahasa arab dan yang menyentuh hati saya ialah doa doa yang beliau lafazkan dalam nada yang sayu saya boleh faham.

"Wahai Allah..engkau peliharalah anak anak kami, kukuhkan iman mereka ,soleh dan solehahkan mereka sebagai hambaMu yang taat. Pimpinlah mereka ke jalan yang lurus, curahkan rezeki untuk mereka dari sumber sumber yang halal.Jadikan lah mereka anak anak yang berbakti kepada kami..........."

 Panjang lagi doa dari seorang ayah pada asar yang hening itu untuk anak anaknya. Saya yang mengaminkan ,terdetik di hati masyaalah hebatnya ayah ini. Beruntungnya anak anak mereka jika curahan doa itu saja boleh menjadi tauladan betapa perlu sya manfaatkan keistimewaan menjadi ibu dan ayah ,melafazkan sebanyak mungkin doa buat anak anak. Bertuahnya saya untuk turut bereda di situ pada saat dan ketika itu.Ayah tersebut mungkin tidak akan pernah menyangka petang itu saya mengutip satu ibrah dari pengalaman berimamkan beliau.Mereka berlalu tapi sendu saya dek tempias doa doa tersebut berbekas ke hari ini.

DALAM PELUKAN SAYA MENDOAKAN MUHAMAD

Nadia berumur 9 tahun, Nabila 8 dan Muhamad 5 tahun ketika itu. Kami tinggal di Taman Munsyi Ibrahim. Pulang dari mengambil kakak kakaknya dari sekolah kami singgah ke kedai. Masing masing berkehendakkan air menghilang haus . Saya tidak pula perasan Muhamad mengambil botol Pepsi dan memang bukan kesukaan saya membenarkan anak anak meminum minuman berkarbonat. Waktu itu musim durian  sedang memuncak,saya turut singgah membeli beberapa biji.

Sampai di rumah saya kopekkan untuk mereka menjamu durian adik beradik. Menjelang maghrib Muhamad mula muntah, menangis berguling guling. Saya panik bermacam tekaan dan andaian singgah di kepala, kenapa sampai begitu sekali Muhamad sakit. Kemudian Nadia dihinggapi simptom yang sama tapi tidak seteruk Muhamad.

Baru saya teringat mereka minum pepsi dan sejurus selepasnya makan pula durian. Ya allah apa yang dah saya buat pada anak anak saya, Macamana saya boleh alpa dan cuai, melihat Muhamad berguling meruntun hati saya. Cemasnya hanya Allah saja yang tahu. Kejarkan mereka terus ke klinik, benarlah menurut doktor , penangan dua benda bergas menjadi racun di perut...masyaallah...
Diberikan ubat nadia kelihatan reda ..tapi Muhamad masih berguling guling. Saya sedar pepsi itu hampir sebotol dia habiskan seorang.

"Ya Allah....aku mengharapkan penyembuhan dari Mu...." Hati ibu saya pasrah menyerah .
"Doakan abang Ummi...doakan abang.." dalam nada lolongan dia merintih. Setiap kali kesakitan itu menyerang saya rangkul dia maka dengan kuat saya goyangkan badannya sambil mengucapkan
"Allah ..tolong Muhamad ya allah. Muhamad anak yang baik, Muhamad anak yang soleh, dia sakit perut ya Allah, baikkan sakit muhamad. Dia anak yang rajin solat ,rajin mengaji(walau ketika itu dia agak liat terhadap dua aktiviti tersebut).." Macam macam lagi saya karang kan spontan sehingga akhirnya dia terlena.

Sakit lagi dia terjaga.."doa lagi ummi...abang sakit"
"Allah ....kesian lah pada Muhamad, janganlah panjangkan lagi sakit dia. Sembuhkan ya allah. Nanti dia janji nak rajin solat nak rajin ngaji, nak dengar kata ayah dan ummi. Muhamad tak mahu nakal lagi..dia akan rajin gosok gigi ...tak main dalam semak..." Doa saya dah mula masuk ke bab bab menyentuh perkara perkara yang selama ini menjadi isu saya selalu menegurnya. Dia diam menerima akhirnya terlena. Bagus juga terapi mengarang doa sambil memeluk eret ini. Macam macam perkataan dan impian saya sebutkan, mengarang doa spontan mendodoi lenakan dia .
Sehingga selepas kejadian itu anak anak demam itu saja cara yang saya buat....Muhamad masih lagi tetap.."ummi...doakan abang..."

Begitulah dalam senang, derita, suka dan duka kenangan itu saya bawa dan laksana hinggalah ke hari ini untuk anak anak yang masih tinggal dua orang di rumah Yaya juga Faheem. Along dan angah jauh di Irbid, Muhamad dan Nurin sesekali bercuti masih mampu ummi peluk kasih, gembira masih mampu mendoakan.



Author: -Ainul Yaqin-
•17:47

Memulakan sebuah daerah blog yang dihadiahkan oleh anaknda. 4 bulan blog ini sepi tanpa sebarang entri.

Barangkali menunggu  si penciptanya jauh merantau melangkau benua, menjadikan ingatan dan kerinduan itu bakal ditampung dengan melayari blog ini sekerapnya.

AINUL YAQIN ...pemilihan nama adalah tribut buat diri sendiri, yang menggunakannya buat pertama kalinya ketika cerpen pertama, DAUN KERING GUGUR LAGI tersiar di majalah UMMI  pada Mei 1991. Ketika itu di tahun akhir USM

Ada nostalgia di situ.

 Biar lah ianya terus menjadi nama pena , maknanya indah bersirat penuh pengertian. Adapun saya ini sederhana saja dalam semua perkara, mudah mudahan nama pena ini pencetus pada semangat untuk memperbaiki diri luar dan dalam.
Lebih menjadi impian untuk mencapai tingkatan jiwa yang bertambah baik..bertambah baik dan bertambah hampir padaNya.

Tribut juga buat almarhum ayahnda ZR bin Lebai Ishak, bakat menulisnya allah izinkan tumpah meruah ke dalam diri. Kini mengalir kepada dua anakanda srikandi Irbid.

 Saya tidak sehebat mana tapi saya ingin penulisan itu menjadikan saya semakin cinta padaNya, terhadap kekasihNYa, kepada diri juga apalah salahnya sekira selautan kasih itu dapat dikongsi sama rata. Jika jalannya adalah dengan tinta penulisan.

Tidak seharipun yang berlalu tanpa saya tidak mendoakan dan mengenang kasih sayangnya dan bonda ,almarhummah KAMISAH PARMAN. Soalan ayahanda yang selalu membekas, menerbit rasa halus bersalah adalah bila saya akan memulakan penulisan.

Sekalung tribut buat anaknda THE PENCIL dan MAWAR PUTIH, ummi meraih kecintaan terhadap blog melalui NOKTAH BIDAYAH dan MIRACLEMUKMIN. Kalian adalah sebahagian nikmat Ilahi yang tak ternilai dalam kembara ummi di dunia ini.

Selaut kasih buat teman setia,  my bestfriend forever, MR bin Ibrahim menjadikan kehidupan singkat ini sangat bermakna, penuh keikhlasan, warna warna ketulusan, sangka baik segala yang indah alhamdullillah.

Juga pada Muhamad, Nurin, Alya dan Faheem...... lengkapnya 8/8 hati keluarga.

Author: -Ainul Yaqin-
•02:46

Bismillah..

Bermula dengan seorang pembaca 
yang membaca karya seorang penulis,

ke arah

Seorang penulis 
yang melakar tinta karya buat para pembaca

InsyaAllah..