Author: -Ainul Yaqin-
•09:16


"Faheem, boleh tidak duduk baik di belakang tu, ummi sedang bawa kereta ni. Lompat sana, lompat sini boleh terhantuk, sakit".
 Cuba menenangkan bujang yang seorang ni. Dia melompat dari kerusi tengah kereta unser dan menggulungkan badannya ke kerusi belakang . Dan perbuatannya betul-betul menggangu konsentrasi saya memandu.

"Sorry Ummi! Faheem tak kacau Ummi, Faheem buat sendiri-sendiri, yeaahh sayalah spiderman beraksi!"

Tu tidak lain tidak bukan tempias aksi di televisyen yang ditirunya hingga hendak pecah rasanya suasana di dalam kereta. Hujan di luar maka jalan agak licin, saya terpaksa memperlahankan pemanduan,dan aksi Faheem sebentar tadi benar-benar menggegarkan seluruh kereta.

Tiba di satu persimpangan lampu isyarat, memperlahankan kereta dan berhenti menunggu isyarat lampu hijau menyala semula. 3 minit dirasakan lama. Saya tiba-tiba terpandangkan sepasang suami -isteri yang menunggang motosikal di sebelah kiri kami, juga sedang berhenti. Cuma apa yang meruntun hati adalah di antara ruang mereka berdua ada dua orang anak mereka yang masih kecil.
Dalam kehujanan yang semakin melebat itu, anak-anak itu kelihatan mendakap dikepit kesejukan, bahagian kepala hanya ditutup dengan sehelai plastik mengganti payung melindung hujan oleh ibunya.

Ketika itu, terlintas di hati, besarnya nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami , wahai Allah.

Saya yang ketika itu berada di dalam kereta, diatas kerusi yang empuk tanpa ditimpa walau setitispun air hujan di luar sana bersama Faheem yang selesa untuk duduk, baring mahupun melompat riang seolah  rasa bersalah untuk berada di situ melihat ibu ayah juga dua anak mereka kesejukan diatas motosikal.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".
[Ar Rahman: ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali]

Di luar, hujan terus membasahi Unser kami, di dalam, hati saya yang basah disapa kesayuan.

"Faheem cuba tengok di sebelah kiri, budak-budak yang di atas motor tu"

"Kesian mereka basah, Faheem"

Terhenti aksi lagak superheronya, diam melekapkan mukanya ke cermin kereta.

"Kenapa ayah dia tak beli kereta, bila hujan kesian anak dia basah."

"Ayah dia tak ada duit, eh bukan, ayah dia mungkin belum cukup duit. Motor saja yang ayah dia mampu beli. Nampak tak Faheem, budak-budak tu basah, tapi Faheem tidak. Faheem harus banyak-banyak bersyukur pada Allah. Faheem boleh naik kereta besar, boleh lompat sana-sini walaupun ummi suruh duduk baik-baik. Budak -budak tadi, sempit, kena kepit tentu sejuk kena timpa hujan."

"Faheem nampak, Ummi", matanya tidak lepas meleret ke pandangan kirinya.
"Apa yang patut Faheem rasa?"
"Bersyukur pada Allah...." Suaranya antara dengar dan tidak kerana fokus pandangannya masih di situ sehinggalah 180 saat berlalu apabila kami dan motosikal tersebut bergerak menghala laluan berbeza.

Itu hanya sebuah kisah sketsa biasa yang adakalanya kerana sudah terlalu biasa tidak mampu mengetuk jiwa untuk mengambil ibrah darinya..
Kami Allah berikan nikmat tinggal di rumah selesa, ada insan yang mungkin rumahnya berbumbung tetapi lantainya bumi retak seribu. Kami Allah kurniakan cukup makan pakai, ada insan andai tidak dikais pagi maka petang nya belum tentu perut dapat diisi. Kami yang segala barang yang tidak berguna malah bersisa maka ditempat pembuangan sampah segalanya dicampakkan, ada insan tempat seperti itu dituju barangkali disitu ada punca yang boleh mendatangkan rezeki buatnya hari itu. Kami yang Allah kurniakan sihat seluruh tubuh badan, ada insan sakitnya ubatpun tidak mampu dibeli. Kami yang Allah kurniakan nikmat berkenderaan, ada insan yang sekadar mampu memandang, kenderaannya adalah sepasang kaki dipinjamkan dari Maha Pencipta. Kami yang Allah limpahkan untuk mengecap segenap kasih sayang, berkeluarga, ada insan kasih untuknya tandus, sayang darinya gersang. Kami yang Allah kurniakan nikmat melihat, mendengar dan berkata-kata, ada insan dipilih untuk menjadi buta, tuli dan bisu. Namun tidak akan pernah dari pemberian Allah itu ada yang sia-sia. Andainya syukur adalah mutiara yang kita genggam.

Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[Ibrahim:34]


"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan".


"Akak saksikan sahabat kita itu longlai menghadapi musibah, suaminya pergi menghadap Ilahi kemalangan. Suaminya terjatuh dilanggar mat rempit, bas Rapid Penang itu tidak sempat mengelak, suaminya menjadi mangsa sedangkan anak-anaknya masih kecil dan bersekolah. Dia kehilangan suami, dengan cara yang amat tragis, namun akak masih ada suami yang boleh menanggung kami. Suami akak bukanlah manusia yang sempurna,tetapi akak harus bersyukur untuk menerima segala kekurangan dan juga kelebihan dirinya."

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
[Ibrahim:7]

Saya tekun mendengar ceritanya.

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

[Al Baqarah: 152]

"Dari situ terdetik di dalam hati akak seharusnya kita patut belajar menghimpun syukur. Agaknya kita digerakkan Allah untuk melihat sesuatu, baru terbit rasa untuk bersyukur. Adakala kita membanding dan mengharap akan sesuatu yang lebih, sedangkan apa yang sedang Allah beri itu sudah cukup untuk kita rasa bersyukur, tetapi seperti ada jurang untuk kita bersyukur. Dan alang, apabila akak lahirkan sahaja rasa syukur tu, banyak nikmat-nikmat yang selama ini tidak kita sedari rupanya memang sudah lama terbentang di hadapan kita. Malah apa yang selama ini tidak kita rasai, Allah tambahkan secara spontan lagi dan lagi, Alang. "


Diriwayatkan daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA bahawa nabi SAW bersabda:
Menakjubkan bagi urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua perkara baginya adalah baik. Ia tidak berlaku kepada seseorang selain mukmin. Jika seorang mukmin  menerima kegembiraan dia akan bersyukur, perkara itu baik baginya. Jika ditimpakan dengan kemudharatan dia akan bersabar, perkara itu baik baginya. (Riwayat Muslim)


Mata saya berkaca, matanya juga begitu. Ziarahnya dibilik 134  pagi hari itu meninggalkan kesan yang amat mendalam .Saya bawa bersama luahannya sebagai bekal azimat  ke dewan pembedahan.
Terima kasih kanda.
Author: -Ainul Yaqin-
•17:00

"Boleh tidak Yaya tahu Ummi sayangkan siapa lebih dalam semua anak-anak Ummi?" Suatu hari 'puteri bongsu' saya cuba mengorek rahsia hati.
"Macamana Ummi hendak jawab sebab jawapannya, semua Ummi sayang lebih, tidak ada yang sayangnya kurang".

"Takkan tak ada, Yaya tahu Ummi lebih sayang siapa". Wah! belum puas hatinya ,isi hati kita selagi mungkin ingin digali.
"Ha cuba sebut, siapa kalau ada", saya main tembak-tembak.
"Kak ngah kan?"
"Aik , kenapa pula kak ngah,"
"Sebab Kak ngah banyak cerita, ummi selalu ketawa-ketawa bila kak ngah cerita". Dia meluahkan spekulasinya.
"Yaya  tak pernah ke buat Ummi ketawa-ketawa? "

"Alang, ada tidak alang rasa alang lebihkan anak-anak yang tertentu, rasa kasihkan dia lebih sikit dari yang lain?", soalan spontan seorang sahabat pada suatu hari.

"Kenapa, Mas ada ke rasa begitu?"
"Mas kahwin 8 tahun baru dapat yang sulung, jadi perasaan Mas pada dia memang lebih dibanding anak yang lain. Tambah lagi dia pandai ambil hati Mas, taat waktu disuruh."

Oh, begitu ceritanya.Seorang ibu itu berhak sahaja menetapkan tumpah kasihnya lebih kepada anak yang mana.  Saya dikurniakan 6+ 1 , 6 orang cahaya mata kandung dan seorang anak susuan, tunggu sebentar beri saya masa untuk memerah otak dan mengumpul ingatan agar dapat memberikan jawapan siapa di kalangan anak-anak ini yang paling saya kasihi.


KAK LONG NADIA , 24 OGOS 1993

Kelahirannya tentu saja menggembirakan kerana apabila dia lahir kami berpeluang menyandang gelaran Ummi dan Ayah. Cucu sulung tumpah kasih pertama  Tok Ayah dan maktok.  Mula berjalan pada 30 Ogos 1994 sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 47, 16 hari selepas mendapat seorang adik malah 6 hari setelah menyambut hari lahirnya yang pertama. Panggilannya berubah bermula dengan Nadia, kakak selepas adik lahir dan apabila anak yang ketiga lahir kami mula memanggilnya Along atau Kak Long.

Kak Long tidak pernah jatuh dari katil jika saya tidak sempat menidurkannya di dalam kod bayi. Kerana apabila terjaga ,merangkak dan menghampiri tubir katil, dia akan menjenguk ke bawah, mengundur semula dan mendiamkan diri di situ sehinggalah saya datang,barulah akan merengek minta didukung. Biasalah kerja mengintainya di celah pintu , maka sempat menyudahkan masakan di dapur, insyallah dia tidak akan berganjak ke mana-mana.
Saya tidak akan boleh lupa pada peristiwa terkunci di dalam bilik air di rumah kuarters di Stulang Laut, Johor gara-gara Kak Long bermain dengan selak pintu yang terdapat di bahagian luar pintu bilik air yang mampu dicapai tangannya semasa sudah mula berjalan. Semudah membuka selak pintupun dia belum reti, alamat beberapa jam saya terkurung. Yang menyelamatkan keadaan ialah sebilah gunting besi lama yang besar dan berus dawai pemegangnya kayu keras Dengan dua alat itulah saya mengetuk memahat lubang di pintu plywood . Dua lubang terpaksa dipahat bagi memboloskan jari membuka selak.Bunyi ketukan bertalu-talu menyebabkan adiknya menjerit menangis, tetapi apakan daya saya terkurung di dalam.
 Urut dada saya dibuatnya. Saya terdengar suara dia memujuk adiknya, "adik...adik pa..pa".
"Kakak buka pintu ya.." mengharapkan keajaiban jarinya boleh memulas engsel dan membuka pintu.
"Haa..pa pa ..pa" Dia bersuara sambil mengetuk kembali pintu. Aduhai anak.
Kemudian senyap,adiknya yang kaku menangis juga tersenyap. Cemas, saya memahat lebih laju.Selamatkan Ya Allah .

 Bebas dari bilik air rupanya dia sudah tersembam menidurkan diri sendiri di atas katil besar,siap memeluk bantal, begitu juga adiknya seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun bunyi ketukan memahat lubang riuh menjangkau ke rumah jiran.

Di sekolah Kak Long banyak berdiam tetapi segala apa yang dipelajarinya di tadika semua diajarkan pada adik. Kesannya adik boleh membaca di umur 4 tahun. Uztaz Anuar Musyaddad guru kelas nya di sekolah rendah sentiasa risaukan sikapnya yang teramat pendiam dan mencadang namanya sebagai calon pengawas.

"Ustaz, tak mengapa cuba melantik Nadia menjadi pengawas, namun emas di mulutnya tetap akan  tersimpan , disuruh membuat kerja ,tangan kakinya sahaja lah yang bergerak"

"Ya tak ya lah kak, saya kesan sifat kepimpinannya , cuma tidak tahu cara hendak diserlahkan bagaimana. Saya percaya suatu hari nanti dia akan memimpin juga"

Terima kasih Ustaz, ustaz tidak sempat melihatnya di sekolah rendah,namun doa ustaz itu moga diperpanjangkan Allah. Berhijrah sekolah di As Saidiah Senawang, menumpang sebentar ilmu hafazan di sebuah madrasah Turki di Pasir Gudang . Kepalanya pernah dihentak dengan Al Quran semata-mata mudir di situ mengetahui bicaranya untuk pulang semula ke Sekolah Menengah Islam Hidayah(SMIH) kepada seorang pelajar di situ. Dan dia benar-benar pulang ke SMIH bersama rasa 'cinta' yang mendalam terhadap sekolah itu.
Semasa mendukungnya ketika bayi kami pernah mengejar seorang ustaz yang baru habis berceramah untuk mendapatkan surah dan ayat berapa yang minta diamalkan oleh ibubapa agar anak-anak taat mendirikan solat.


SURAH IBRAHIM (14) AYAT 40
رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآء

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Dan ketika Kaklong terpaksa kami tinggalkan di asrama SMIH bermula di tingkatan 3 untuk berpindah dari Johor, saya dan ayahnya  amat merindui suara lembutnya mengejutkan kami bangun adakalanya seawal 4.30 pagi.

KAK NGAH, NABILA 14 OGOS 1994

Kak Ngah memang kuat menangis  Nyaring  sungguh tangisannya semasa bayi, dan tangisannya akan berselang dengan batuk -batuk kecil..Paling kerap terjatuh dari katil kerana sikap selambanya yang akan merangkak meredah birai katil bila sahaja terjaga dari tidur. Mula berjalan seawal 8 bulan lebih umurnya.

Maaf angah tak adil betul ummi kerana terlupa tarikh angah mula berjalan.Kerana terlalu kecil ummi selalu tersepak angah semasa mendukung kak long. Ketika mengandungkannya 4 bulan saya sempat mengerjakan umrah Ramadhan bersama suami.

"Ustazah semasa ana 4 bulan dalam perut, mak ana pergi Mekah, agaknya roh ana masuk ke jasad masa di Mekah kot, tu sebab ana minat bahasa arab"

Dan mendengarkan itu,  entah di mana mencuit lucunya, Ustazah Zuraidah  yang mengajarnya subjek bahasa arab ketawa sehingga terjatuh dari kerusi.
Kak Ngah boleh membaca seawal 4 tahun berkat rajin menyelongkar beg sekolah Kak Long setiap hari. Juga berkat hubungan yang akrab dengan Kak Long. Mereka ibarat satu jiwa dua rasa. Eheh.

Semasa tadika apabila pulang saja dari sekolah, bermula dia meletak beg sekolahnya di hadapan pintu membuka kasut dia akan bercerita, rasa saya semua insiden atau peristiwa  di tadika ibarat di rewind kembali tanpa ada satupun yang tercicir. Sikap itu kekal hingga kini namun pelik juga telianga saya tidak pernah jemu menadah ceritanya.Masalah besarnya ketika kecil adalah tidak boleh menulis huruf S, aduh...ubatnya menangis, apa lagi.

Selalunya Kak Ngah tertidur awal melangkau waktu Isyak, maka malam nanti adalah orang yang meleleh di tepi katil kami,minta temankan berwudhu dan solat Isyak. "Angah takut gelap".
Rupanya Allah menyusun begitu sebagai persiapan dirinya untuk melangkah ke alam dewasa penuh tanggungjawap di usia seawal 10 tahun lebih!

Angah semarakkan lagi pertautan tarbiah dan kehidupannya bersama SMIH. Singgah setahun menyulam ilmu di Hira' Jeram Selangor, berpatah semula ke SMIH kerana Kak Long mahu tetap kekal di sana.Katanya dan kata anak-anak saya yang lain ," balik ke asrama  SMIH macam balik ke rumah kedua".
Hingga terlahir menifestonya 'SMIH Menjulang Taqwa, Sinergi Iman dan Ukhuwwah'.

Kini, Kak Long dan Kak Ngah nafar jauh ke bumi Syam, menyelusuri ruang dan jalan di Irbid mudahan dapat mengutip sedaya yang termampu ilmu pengajian Fiqh Usuluh buat bekal untuk  amanah kehidupan.


MUHAMAD AYRAAF, 16 Mei 1997

Putera yang pertama. Dia putera di tengah diantara 4 orang anak perempuan kami. Lahirnya tidak terus menangis, mata putihnya semua telah bertukar merah kesan lemas dibelit tali pusat. Lahirnya berkalung kata Pak Yanto sahabat berketurunan Jawa kepada Tok Ayah. Lahirnya bersama lahirnya album pertama kumpulan nasyid RAIHAN. Tidurnya perlu dibuai, sambil dibuai didendangkan nasyid. Tok Ayah , Mak tok malah saya perlu menghenjut buai sambil bernasyid untuk menidurkannya.Nasyid dulu-dulu, nasyid baru janji nasyid. Jika berhenti kakinya di dalam buaian akan digoyang-goyangkan hingga terjulur. Henjut dan tepuk lagi.

  Kami lebih risau jika dia akan berkarekter lembut atau feminin kesan persekitaran adik beradik perempuan. Oh tidak rupanya , dominannya dia apabila kelasakan dan kenakalannya sebagai anak lelaki turut diwariskan kebawah terhadap dua adik perempuannya.
Muhamamad panjat pagar , adik -adik pun  ikut sama . Muhamad buat aksi tae kwando, pengikutnya lebih galak lagi. Muhamad cari  belalang di belakang rumah, ada pembantu yang menyediakan botol menghimpun belalang.

Jika saya mengacah untuk merotannya setelah berbuat salah , agak payah untuk ditangkap kerana dia laju berlari menyelamatkan diri ,saya pasti tidak terkejar malah dia cekap menggelicik sekeliling meja! Saya terngiang-ngiang perkataan   'ampun ummi'. Dan saban hari perkataan yang selalu keluar dari bibirnya     'ummi doakan abang'.

Gigi susunya sangat cantik tanpa ada sebarang karis hitam, putih  tersusun rapi.Jika ditanya mungkin dia tak mampu mengingat , dia suka menyelongkar dapur mencari kuali dan sudip. Menjadi kesukaannya mendengar bunyi sudip bergesel kuali seoah -olah gaya ingin memasak ketika berumur setahun lebih. Gajah sangat dekat dihatinya tempias aksi Mowgli di dalam animasi The Jungle Book.Saya menjadi mangsa melukis gambar gajah untuknya berpuluh-puluh kali dalam sehari!

 Dan dia berkelana seawal usia 9 tahun lebih, berpisah dari kami untuk dihantar ke madrasah madrasah di Muar, Maahad Al Quran Al Islahi di Shah Alam, hingga di kejauhan Al Mannar daerah Selising, Cik Siti Wan Kembang. Kembali menyambung tradisi menghuni asrama SMIH bermula di tingkatan dua. Bermulalah proses pembentukan warna-warna tarbiah agar dia  turut terbina. Bukan senang , satu proses yang sangat menduga. Namun Allah menghantar orang yang layak untuk mendampinginya selain kami ,Ummi dan Ayah.

" Pemuda Islam wajib ditarbiyyah dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kepada waqi’ untuk membolehkan mereka melaksanakan perubahan Islam yang dicita-citakan. "-FATHI YAKAN

( Petikan Buku Syabab Wa Taghyir)

"Ummi ,doakan abang"


NURIN ASYURA, 7 Mei 1998

Nulinna Asyulalo, panggilan manja dari Tok Ayah.Anak dengan dua kali azan, sekali oleh seorang doktor dan kali kedua oleh suami. Kerap merengek dan satu-satunya anak kami yang akan mengguling-gulingkan diri di khalayak ramai apabila keinginannya tidak dipenuhi. Diceritakan kepadanya dia pasti mengeleng kepala, "Ee teruknya,kesian ummi ayah  mengadap dan bersabar dengan perangai Nurin". Seringkali terjadi di kaunter-kaunter pasaraya, saya menggaru kepala yang tidak gatal apabila semua mata tertumpu kepada kami.
Apabila malam, selalu merengek meminta roti cicah susu pekat, adakalanya dikeheningan pukul dua atau tiga pagi. Dapat merasa sekerat dua jadilah lalu minta didukung kembali tidur. Boleh dikatakan setiap malam begitu. 
Sangat mencintai kucing malah pernah bercita-cita menjadi doktor haiwan. Saya pun tidak pasti masihkah cita-citanya sama separti satu ketika itu. Pernah menjadi bidan membantu Kiara kucing peliharaan dan kesayangan maktok melahirkan 6 ekor anaknya. Maka dia tahu dikalangan enam ekor anak-anak kucing tersebut yang mana satu lahir dahulu serta turutannya sehingga yang ke enam.

Nurin membesar bersama suasana kami yang kerap berpindah randah. dari SRIH ke At Taalim di Manjung tumpang menduduki UPSR di SRAH Ipoh dan sekarang penghuni damai SMIH. Banyak kisah kenangan yang saya lalui bersamanya, dan tag line Nurin ialah "Hati-hati ummi...hati-hati ayah...jaga diri baik-baik tau,  luv you...saranghae".

Saranghae Nurin, luv you too!

NUR ALYA , 27 Jun 2000.

Anak milineum, lahir bersama sahut -sahutan azan subuh. Tidak banyak kerenahnya asalkan dapat melekap di dada dipeluk boleh diam berjam-jam. Kami memanggilnya Yaya. Dan semasa kecil dimana saja dia duduk di situ akan bersepah dan berkelecah orang Melaka kata. Semasa kecilnya paling sabar untuk berada di dalam kod bayi tanpa merengek. 

"Air masak, air masak" memang dia penggemar air putih malah semua makanan disebutnya sebagai ayam.Yaya juga mendewasa bersama berbagai suasana persekolahan. SRIH ke At Taalim,menghuni SRAH di Ipoh dan menamatkan persekolahan rendah di Al Itqan,Pulau Pinang. Kini juga bersama Abang
 dan Kak Yin di SMIH. Kelihatannya seperti murung sebulan dua di awal perpindahan tetapi setelah mengenali kawan-kawannya tidak cukup mulut dibuatnya.

Penggemar cokelat dan sangat attached dengan gajet-gajet seperti komputer dan handphone. Bila yaya dan kak yin masuk asrama ummi kehilangan mc Gyver.Ummi boleh skype dengan Kak long dan Kak ngah   tetapi mereka tidak boleh nampak ummi dan mendengar suara ummi hanya membaca apa yang ummi taipkan." Macam orang tak betul cakap sorang-sorang" kata Kak Ngah. Apa boleh buat tunggu Mc Gyver  ummi balik bercuti.

Wajah Yaya yang mirip kak Long mengembalikan nostalgia senior-seniornya terhadap Kak Long.
"Ummi, Yaya rindu nak balik". Masih ingin tidur memeluk saya seperti masa bayi. 

Yaya.....


MUHAMMAD FAHEEM, 15 Ogos 2002

 Lahirnya sebagai si bongsu apa lagi gelaran yang disandangnya selain manja dan memanjakan diri sendiri.Suaranya yang lembut boleh mencairkan hati terutama apabila minta dibelikan sesuatu. Hobinya adalah membuat origami, melukis dan menghimpun alat permainan.

Faheem pernah meminta agar saya sahaja yang mengajarnya supaya dia tidak perlu pergi ke sekolah dan dia tidak suka  ke sekolah kerana katanya sekolah sangat bising .

Kerana suka bermain dan melayan budak  maka Faheem disenangi oleh sepupu-sepupunya yang kecil. Nampaklah karekter abang pada dirinya walaupun dia tidak mempunyai adik.

Teramat sukakan lazania macam karekter 'Gaffield' oleh itu saya mengingatkankan dia selalu ,"Faheem tidak boleh malas macam si Gaffield tau"


Dan kami menghantarnya ke madrasah untuk melalui proses yag pernah dilalui oleh Muhamad. Agar Quran sebati dengannya sedari kecil.(baca : Suatu Hari Dia akan Memahami). Dengan sedikit kepayahan yang bakal dilaluinya nanti bakal membentuk jati dirinya agar lebih memahami erti dunia kehidupan. Dan yang paling utama dia belajar muamalah dengan teman -teman seusianya sambil menggenggam Al Quran.

Ummi, Faheeem rindu....
                     
MUHAMAD EMIR ALIF, 29 OKTOBER 1995

Dia menjadi anak susuan dan semestinya kasih sayang kami terhadapnya juga melimpah ruah. Anak sulong kepada adik perempuan suami saya , merupakan anak saudara kami juga dan kelahirannya setahun selepas Kak Ngah menjadikannya sangat rapat, segala kemusykilan akan dikongsi bersama Kak Long juga Kak Ngah.Dari masalah kecil sehinggalah menyentuh masalah perasaan juga pentarbiahan setelah dia menginjak remaja. Kami memanggilnya Abang Alif.
Seorang anak yang bijak kerana menelaah ensaiklopedia adalah kegemarannya sejak di sekolah rendah.

"Ummi cuba ummi sebut daerah-daerah di negeri Johor"

"Muar, Batu Pahat, Kluang , Johor Bahru, er..err..apa lagi ya abang alif"

Dan dia mampu menyebut kesemuanya tanpa teragak-agak. "Wah! Terror lah abang alif...mana abang baca, ensaiklopedia Malaysia ke?"
"Ada dalam buku georafi ibu"

"Ummi ,ummi kata anak ummi ada 7 orangkan macam anak-anak nabi, abang rasa abanglah anak yang ke 7 tu"
"3 laki-laki 4 perempuan, memang dah lama ummi anggap Abang alif macam anak ummi juga".

Selepas menduduki SPM akhir 2012 yang lalu.
"Abang,jomlah belajar kat Irbid nanti boleh menjadi muroqib kami setiap masa", uja Kak Ngah

"Ey, takkan semua nak berkumpul kat situ, ummi cadang Abang teroka lah benua lain pula, memasang tapak di sana ."
"Kalau bagus sains, tak semestinya medic abang tak minat. Abang nak teroka bidang sains yang lain", Semangat orang muda , baguslah ada cita-cita.

"Alahai ,Abang alif tak minat jadi doktorlah angah, pesakit tengok muka hensem abang belum rawat lagi dah sembuh separuh. " Saya galak menyakatnya.
Dan Abang Aliff terus mentel dengan Kak long dan Kak Ngah.

Memang Abang Alif pun anak ummi juga.
            _____________________________________________________________
                                     
Setelah memerah ingatan dan memaksa perasaan, saya tidak juga mampu menemukan jawapan kepada siapakah kasih saya terlebih sedikit tumpahnya. Tumpahnya kepada semua mereka tidak mampu diukur namun sama tara sama limpahannya.Moga kesemuanya dikasihi  penuh rahmat oleh Allah SWT.
 Maaf ya Yaya, Ummi tiada jawapan, kalau tak percaya Yaya boleh teropong hati Ummi.......ke Yaya nak Ummi jawap jawapannya ialah Yaya.! Mana aci
Author: -Ainul Yaqin-
•03:27

"Sama ke mengajar dengan mendidik, Kak Midah," terluncur saja pertanyaan itu kepada seorang sahabat, sejiran malah seusrah. Rasanya jawapannya sudah diketahui , namun sahaja ingin memanjangkan perbualan dengannya.

Baru sebentar sebelumnya beliau berkongsi kisah-kisah sekitar dunia pendidikan yang amat dicintainya.

"Kak Midah memang salute habis wanita yang boleh menjadi surirumah sepenuh masa ni. Kak Midah memang tidak ada kemampuan  menjadi seperti mereka, macam Chah. Kak Midah tak bolehlah duk kat rumah saja, boleh beku otak Kak Midah. Respect sungguhlah kat hangpa, duk ghumah cek tidoq ja la..hahaha".
 Beliau berasal dari utara maka dengan spontan nama saya yang biasa dipanggil Shah menjadi timangan Chah .Saya merasa seperti dimanjakan. Ermm

"Beza...mengajar tidak sama dengan mendidik. Kalau Kak Midah mengajar murid, ianya hanya melibatkan kefahaman terhadap apa yang kita ajar tetapi mendidik ini skopnya meluas...melibatkan perubahan sikap ,kefahaman dan semestinya identiti anak murid kita.Mendidik kepada kebaikan bakal merubah fizikal, mental dan spiritual murid kearah yang baik dan positif maka mendidik kearah keburukan boleh Chah bayangkanlah bagaimanakan?".

Patut benarlah beliau menumpahkan seluruh kudrat, jiwa raganya dalam dunia pendidikan. Dan beliau benar-benar menghayati dunianya,

Beliau menceritakan pengalamannya dihantar untuk menjadi pensyarah penilai ke sebuah sekolah yang terletak di sebuah pulau.

"Sebuah sekolah rendah, dengan tiga orang guru dan lima orang pelajar. Sedihnya ialah 3 dari 5 orang pelajar tu tidak tahu membaca."

Memang diperkampungan nelayan tersebut ibu-bapa tidak ada hati menghantar anak-anak ke sekolah disebabkan telah teracuan fikiran bahawa ke sekolahpun anak -anak itu akan tetap turun ke laut menjadi nelayan suatu hari kelak,malah yang perempuan bakal duduk di rumah mewarisi dapur bunda . Yang lelaki asal boleh mengemudi bot, memeluk pukat dan jala sudah wajar saja mewarisi karier si ayah. Bukan untuk merendahkan  status seorang nelayan tetapi minda biarlah menjadi nelayan berilmu, ada pelajaran dan bakal nanti menguasai teknologi perikananan.Pasti pendapatan akan lebih menjamin dan memberangsangkan.

"Hang tau Chah , Kak Midah  kesian dengan murid-murid yang tak boleh membaca ,ada yang sudah di  tahap dua. Kak Midah cempung depa , letak atas peha Kak Midah, Kak Midah pangku ,sambil peluk depa Kak Midah ajar membaca.Seminggu semua depa dah boleh membaca, alhamdullillah!"

Aduhai...ramai manalah hendak dicari guru yang mendidik bukan sekadar mengajar. Yang boleh memeluk, mencempung,dan meriba semata-mata untuk menyalurkan ilmu agar belaian luar biasa itu berhasil memahat ilmu.Untuk berkongsi rasa dunia pendidikan ,,dialah orangnya.


AJARKAN CHAH, KAK MIDAH

Saya memang agak fobia dengan komputer. Di antara sebab saya lambat memulakan penulisan saya adalah kerana tidak mesra komputer. Semasa memegang jawatan sebagai ahli PIBG sekolah, saya selalu diamanahkan mengelolakan program-program maka perlulah membuat flyers dan brosure program. Pecah tempayan rahsia saya bilamana AJK yang lain mendapat tahu semuanya berjaya dihasilkan dengan cara mengupah insan lain, memberi job kepada yang mahir.

Untuk membuat perkara sesenang FOLDER dan mengklik di sana sini untuk menghasilkan File juga saya jauh dari celik, mengaku sungguh saya memang buta IT. Kak Midah lah yang menawarkan diri mengajar saya.

"Chah, hang pegang mouse ni gini, ha klik di butang kanan...tengok kak midah buat"

Satu persatu langkah diajarkan pada saya ,rasanya anak-anak kecil pun boleh ketawakan saya.

"Sekarang Kak Midah patah balik ,Chah cuba buat sendiri dari step mula tadi"

"Oh sesenang ini je Kak Midah? malunya tak reti-reti"

"Takpa-takpa, lama-lama nanti akan pandai"

Untuk perkara sesenang itu Kak Midah sudi mengajar saya tanpa meremehkan saya, penuh sabar ,terang dan jelas. Siap di ulang ulang, saya menjadi kagum dengan keperibadian sahabat saya itu. Patut dia bergelar seorang pendidik.
Dari sebuah hadith ,Rasullullah bersabda

 Apabila anak Adam (manusia) mati maka terputuslah amalnya kecuali 3 hal; bersedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak sholeh yang selalu mendoakan kedua orang tuanya. (HR. Muslim)


TAKUT DAN MALAS KE SEKOLAH

Pernah saya berurusan di sebuah tadika dan tersentap jantung apabila gurunya menjerkah murid seawal umur 5 dan 6 tahun dengan pic suara yang paling tinggi dan garang. Menggetarkan gegendang telinga, mahu saja saya berikan upah penampar untuk guru lagak singa betina sebegitu. Dan pernah terjadi ada di kalangan anak-anak yang tidak mahu ke tadika, malas atau lebih kepada takutkan lagak guru yang mengaum ini .Bila diselidiki rupanya anak-anak tadika yang tidak menghabiskan kerja yang sepatutnya disiapkan itu dihukum keluar dari kelas.Bayangkan. Hukuman sebegitu untuk anak-anak yang baru belajar mencintai sekolah dan ilmu.
Saya memang panas dengan isu sebegini.

 Tentulah jalan pilihan keesokannya ialah protes tidak mahu ke sekolah.Begitulah apabila tugas mendidik dan mengajar dipikulkan kepada orang yang jiwanya kosong zero dengan dunia pendidikan.Hancur jiwa anak-anak!

MENGAMBIL TELADAN

'Anak-anak yang ibu guru kasihi, jangan rebut-rebutan, Ibu guru mohon ya walau kita ditimpa musibah,tetapi kita jangan sampai merendahkan akhlak kita. Malu nanti dilihat ibu-ibu ini dari Malaysia kita rebut-rebutan . Ibu guru percaya anak-anak bisa tenang menanti giliran nanti dikasi ,pasti setiap orang akan menerima. Boleh ngak janjinya sama ibu guru?"

Kata-kata yang dituturkan oleh beberapa orang guru di sebuah tadika Islam di Acheh, menyayat hati saya, Betapa beliau memuliakan martabat anak-anak yang masih kecil dengan meletakkan unsur kedewasaan dalam memberi didikan.Malah saya melihat anak-anak ini sangat matang dibanding usia mereka.


Bersabda RasulullahSAW

العلم خازائن، ومفتا حها السؤال، فاسألوا يرحمكما الله، فانه يؤجر فيه اربعة – السا ئل، والمستمع، والمحب لهم (رواه ابو نعيم عن على
Ilmu adalah gudang dan kunci pembuka gudang tersebut adalah pertanyaan/ permintaan. Maka kalian bertanyalah (pada guru / ulama) maka kalian akan di rahmat Allah, sesungguhnya ada empat orang yang akan  diberi pahala iaitu, orang yang bertanya, yang mengajarkan, yang mendengarkan, dan yang mencintai pada orang-orang tersebut. (H.R. Abu Nua’im dari Ali)


Benar bukan jika saya menyatakan kuasa mendidik itu melangkaui sempadan ilmu. Kuasanya infiniti.
Kenapa jarang benar saya menemuinya di tempat saya, di negara saya sendiri.....Namun ada..
Author: -Ainul Yaqin-
•01:48


Hendak mengetahui pakaian kita itu sudah sempurna mahupun tidak dari segi syariat penutupan auratnya, senang sahaja. Bolehkah pakaian yang membaluti tubuh kita itu praktikal untuk dibawa bersolat.Jika dengan apa yang sedang kita sarung  sebagai baju dan tudung itu ,kita gunakan untuk mendirikan solat, maka sah ianya lulus piawaian etika menutup aurat.


ATAS NAMA KETRAMPILAN

"Sudah sampai masanya wanita kita mengikut arus perdana dalam menentukan fesyen. Biarlah kelihatan elegan dan berketrampilan. Busana muslimah janganlah masih di takuk lama, profil trendy mestilah diambil kira"
Saya boleh terima jika ianya dituturkan oleh seorang wanita yang baru bertatih-tatih mengenal syariat, tetapi jika ianya dituturkan oleh seseorang yang berada di jalan DnT,.agak berdesing, gatal tanpa boleh digaru cuping telinga mendengarnya.

"Saya sudah lama tidak berkunjung ke kedai busana tersebut, maaf cakap jubah-jubah di situ termasuk tudung-tudungnya agak old fashion, veteran-veteran sesuailah"

Masyallah

Suatu hari dalam mencari produk-produk baru untuk menambah stok di kedai  AMLand, saya sempat menelefon pengusaha tudung dengan jenama yang agak mula mendapat tempat ketika itu.

"Untuk tudung-tudung ringkas dan cantik milik jenama puan, adakah jenis yang bersaiz agak labuh?"

"Oh minta maaf setakat ini  saya belum lagi mengeluarkan saiz yang labuh-labuh. Sebab apa puan niat saya satu sahaja, saya mahu ramai wanita di luar sana rasa selesa untuk menutup aurat. Produk saya ini ramai selebriti stesyen tv yang pakai tau. Saya berniat agar wanita yang tidak lagi menutup aurat, tidak rasa terbeban untuk berhijab. Bayangkan jika labuh, pasti ada yang rasa belum bersedia, mereka ingin lebih ringkas,sambil tutup aurat sambil nampak cantik."

Nanti dulu, oh beliau ingin menyambung lagi

"Itupun niat ikhlas saya di salah anggapkan. Baru-baru ni saya menerima beberapa sms dari individu yang tidak dikenali. Sms nya mengutuk saya sampai saya rasa down lah, puan. Menuduh saya menyalah gunakan kemahiran yang allah anugerahkanpada saya lalu saya mencipta tudung tidak mengikut syariat. Pendek menampakkan dada.Mereka tidak faham niat ikhlas  saya."

Alangkah baiknya andai niat itu boleh diselaraskan dengan syariat.
Syariat menyatakan dalam surah yang indah.


"Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”.
(surah An-Nur: 31)

Huraian:
Jelas sekali tuntutan dalam menutup aurat itu adalah salah satunya melabuhkan tudung hingga melepasi dada.. Namun, sebaik-baiknya tudung itu labuh hingga ke paras pusat dan seimbang depan dan belakang.. Maksudnya, kalau depan dah labuh, belakang juga haruslah labuh dan pendapat para ulama', sebaik-baiknya labuh di belakang melebihi paras punggung, serta labuh sedikit di bahagian bahu..

Analoginya begini.
 Tuntutan syariat dalam menunaikan ibadah solat mesti zohor 4 rakaat, asar 4 rakaat. Ibarat oleh kerana dengan niat ingin menggalakkan muda -mudi agar tidak terbeban dalam melaksanakan tuntutan solat maka bolehlah jika zohor itu dipendekkan menjadi 2 rakaat.  Maka syariat tergadai.


Satu perkara lagi ialah tentang serkup yang dijual masa kini siap berbonggol untuk tujuan fesyen.


Sanggul dan bonggol pada skaf – Tidak dinafikan, kewujudan sanggul di belakang kepala membuatkan tudung beralun cantik, tetapi kita perlu ingat dosa yang perlu ditanggung. Sanggul yang terlalu tinggi bukan mengikut ajaran Islam.

Tegahan gaya ini telah diriwayatkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
 “Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: Suatu kaum yang memiliki cemeti ekor lembu untuk memukul manusia dan para wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, kepala mereka seperti bonggol unta yang bergoyang-goyang. Wanita seperti ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan baunya dapat dicium selama perjalanan sekian dan sekian. (Hadis Riwayat Muslim)

Elok juga jika hadis ini boleh difotokopi sebanyak-banyaknya,lalu di agih-agihkan di mana saja butik tudung atau kedai skaf yang berleluasa sekarang ini. Sekurang-kurangnya kita masih berperanan mendakwahkan mereka. Kerana mungkin mereka tidak tahu.

PESAN MAMA
"Mama tidak tahu apa hendak jadi dengan keadaan sekarang. Mama terus terang tidak sanggup melihat kawan kawan kita  menyarung tudung fesyen sekarang yang licin-licin. Kalau badan sekeping-sekeping boleh dimaafkan, Ini jelas menampakkan lekuk-lekuk yang tidak sepatutnya , aib mama rasa. Memang tudung itu labuh-labuh tetapi tolonglah ambil kisah jenis kainnya. Walaupun labuh jikalau melekap ke tubuh, mama tidak sanggup membayangkan.
Zarishah, kalau boleh tolonglah mama, sampai-sampaikan pada kawan -kawan. Jangan kerana hendak menjaga ketrampilan, kita lupa banyak perkara. Sampai mama malu hendak tengok tudung-tudung yang disarung sekarang ni. Mama dah terima 3 surat dari pihak muslimin, meluahkan kebimbangan mereka dan mama tidak larat hendak mengadap isu ini seorang diri"
Kata -kata seorang aktivis DnT (Dakwah dan Tarbiah).
Hijab itu indah lagi mengindahkan. Hendak seribu daya, seribu alasan hanya layak untuk mereka yang tidak mahu melaksanakannya berlandaskan indahnya syariat. 
Author: -Ainul Yaqin-
•22:31


     "Hari ini hari mengambil Buku Rekod Kemajuan di sekolah, boleh abang seorang yang pergi?Dan kalau boleh abang amati apa yang diperkatakan oleh guru, balik cerita semula pada saya, especially komen tentang our boy."

Suami mengangkat kening, "Ishah tidak  teringin ke pergi sekali?"

Bukan apa , sentiasanya suami tidak mendapat kesempatan bersama-sama saya mengambil  buku kemajuan anak-anak atas tuntutan yang berbagai selalunya kerana berada di luar daerah. Dan saya sentiasa menerima komen yang sama, pun saya cuba berlapang dada. Dan hari itu saya ingin sekali membuktikan telahan saya adalah seperti yang dijangkakan.

Balik sahaja suami dari sekolah, saya mengadapnya, "Boleh tuan berikan lapuran lengkap dari sekolah?"
Dalam gurau, saya sabar menanti.

"Kak long  dan kak ngah juga Abang pelajarannya baik-baik aje. Kak long dan Kak ngah pelajar yang bertanggungjawab, cuma Kak long tidak banyak bercakap . Kata gurunya macam ada emas dalam mulutnya.
Cuma..."

"Ha ha yang cuma itulah yang saya nantikan.Saya sedang bereksperimen ni, jika abang hendak tahu."

"Tiba pada Abang, guru-gurunya bertanya, 'Anak Encik yang ketiga ini rupanya adik kepada Nadia dan Nabila ya'. Lain lah, tidak seperti kakak-kakaknya. Nakal betul dia dalam bilik darjah. Tidak juga macam sepupunya yang sekelas, sepupunya baik, tiap tiap tahun naik ke pentas mendapat anugerah akhlak mulia"

"Eksperimen saya berjaya, telahan saya tepat, komennya sama setiap kali saya mengadap gurunya. sebab itu saya suruh abang sahaja yang pergi , manalah tahu pada ayah mungkin ada kelainan di mana -mana sudut. Rupanya anak kita Abang tetap menjadi mangsa perbandingan. Saya redha.Dan saya bersangka baik komen itu menunjukkan keprihatinan guru-gurunya yang mengharapkan dia juga mewarisi ciri-ciri kakak-kakaknya" Ada sesalan di dalam hati. Tetapi mungkin ianya mengandung kebaikan dalam proses mengenal kekuatan seorang anak. Asalkan ibu mahupun bapa teguh mempertahankan proses yang terhijab.

"Sah-sah Abang tu lelaki, mana nak sama dengan perempuan", tingkah pula suami.

"Benar, cuma ada sesuatu yang membuat saya tercari-cari, apakah pegangan atau prinsip yang seharusnya saya berpaut perihal anak-anak, bukan anak kita tetapi melibatkan anak, tidak kira milik siapa anak itu.. Saya masih belum menemukan jawapan."


MANGSA PERBANDINGAN ITU BIASA

"Semalam Oji mengambil report card anak-anak di sekolah. Geram betul Oji dengan guru kelas Hanif."Jiran saya mengadu hal.

Hanif anaknya belajar di tahun 4 dan adiknya Ikmal di tahun 3. Ikmal dilantik pengawas, pelajar pintar kelas A. Hanif abangnya masuk ke kelas paling corot, kerja rumah selalu tidak disiapkan.Dia merupakan pelajar lembam di sekolah.Namun ibunya redha dengan ketentuan Ilahi.

"Depan-depan Oji cikgu dia banding-bandingkan dua beradik ni"

"Hanif ,kenapa baju kamu kotor sangat, cuba tengok adik kamu Ikmal, dia boleh kemas saja datang sekolah, kenapa kamu tidak jadi macam dia"

"Berdesing telinga Oji, Oji sound cukup-cukup cikgu tu tapi dengan cara baik lah"

"Cikgu,terima kasih, saya appreciate cikgu tegur Hanif, menunjukkan yang cikgu prihatin kepada anak saya. Tetapi boleh tidak cikgu jangan bandingkan dia dengan Ikmal. Sebagai ibu, sayapun tidak mahu anak saya terasa."
Oh hebat adikku mempertahankan maruah si anak walau mungkin anak itu sendiri belum memahami jati dirinya dicalar secara halus. Kakak tidak seberani kamu, dik.


DI SEBUAH MADRASAH TAHFIZ

"Anak kakak yang besar tu memang tidak boleh menghafal, tidak seperti adiknya boleh. Memang dia tak boleh kami tengok.Kami fikir sampai hujung bulan ini sajalah kami terima  dia di madrasah ini, lepas itu kami terpaksa keluarkan dia. Adiknya boleh terus di sini",  beritahu seorang ustazah tahfiz kepada seorang sahabat saya sambil berdiri. Tanpa ada kata maaf berlapik beralas,atau mohon si ibu duduk bersama laludiajak berbincang.

Apakah semasa menuturkan bait-bait kata itu tidak hadir bersama perasaan? Atau bila memperkatakan tentang anak orang lain ,main tangkap muat sahaja. Fikirkan tidak perasaan ibu bapa yang menerima , hikmahnya di mana.Berilah harapan atau barangkali pujukan. Quran di dada seharusnya mengalirkan perkataan yang lebih mulus atau memang bukan itu jaminan dunia.

Anak-anak, kamu wajar mendapat pembelaan dan sangkaan  yang selayaknya.


BERTAHUN MENCARI JAWAPAN

Saya berkelana, berhijrah ke beberapa negeri dan daerah.

"Puan, dah tahu result anak puan? Teruk tau keputusan dia, saya tidak tahu lah macamana bila peperiksaan betul nanti. Dia seperti tidak ada masa belajar",kata seorang guru apabila terserempak dengan saya.

"Anak puan tu geram saya mengajarnya. Namanya membawa maksud 'Yang faham' tapi menjawap peperiksaan macam budak tidak faham. Entah apa-apa yang di jawabnya.Kalau di soal tidak akan dapat mendengar suaranya, orang berkawan dianya tidak."

Di tengah khalayak,bukan dalam sebuah bilik yang privacy ,seorang ayah menerima info-info tentang anaknya dari seorang mualimah.

"Anak tuan keputusannya yang paling teruk, ranking dia yang paling last. Dia seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Dengar juga ada masalah -masalah disiplin yang lain. Kami tidak tahu hendak dibuat macamana lagi dengan dia."

Andai saya yang terpaksa menerima itu semua,saya tetap redha dan berterima kasih. Tanpa guru anak saya tidak juga akan ke mana.Anak -anak siapa saja bakal tidak maju ke mana, berkembang terkehadapan Keberkatan guru membawa bersama kejayaan.Tetapi apa ya , ada sesuatu yang lompong tanpa kelihatan puncanya.Sesuatu yang hadir ibarat tanpa suara.

Saya adalah ibu yang merakam, setiap patah bilah kata yang dituturkan,akan saya terjemahkan lalu membentuk emosi, maka saya harus terus mencari jawapan.


Sesungguhnya hati orang yang khilaf itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya


AKHIRNYA SAYA MENEMUKAN SESUATU YANG PASTI

Apabila berdepan dengan komen -komen daripada sesiapa sahaja, mahupun individu tentang anak saya mahupun anak mereka saya akan penuh yakin menuturkan,

"Saya yakin Allah sedang menyusun sesuatu yang baik untuk dia "

"Dia sedang diacu dalam pentarbiahan Allah, maka pasti sesuatu yang amat baik sedang menanti dia"

Kerana saya seorang ibu, siapa lagi yang akan bersangka baik terhadap perancangan Allah untuk anak sendiri. Maka seharusnya kata kata penuh hikmah itu dituturkan oleh saya kerana saya juga pendidik, walaupun bukan khusus di sekolah, Jika tidak ada sifat semulajadi yang sebegitu, maka belajarlah, belajarlah menuturkan dengan.penuh hikmah.
Belajarlah bersangka baik dengan anak-anak didik kita , anak jiran kita ,anak-anak sahabat kita.


Berbual dengan dua orang individu ini, saya semakin yakin sudah hampir menemukan jawapan pasti , apa yang saya cari selama ini.

Ustazah Kartini dan Ustaz Adnan, dua jiwa yang berjaya menerobos meneropong jauh ke dalam sukma anak-anak.  Ramai lagi guru-guru SMIH yang seperti mereka,warden asrama sekolah,Ustaz Iswan yang selalu menuturkan "Acap, Acap anak Ustazkan..." dan ustazah Zuraidah adalah di antara PERMATA SMIH. Dengan mereka saya sentiasa  berkongsi rasa, dan di antara  kesempatan yang Allah beri juga adalah ketika bermuamalah dengan insan- insan ini.

"Enti, Ana yakin anak-anak enti adalah anak-anak yang diserap tarbiah.Walaupun keputusann peperiksaannya tidak memberangsangkan sekarang tetapi ana yakin anak-anak yang membantu agama Allah walau di sekolah , akan dipermudahkan kehidupan mereka oleh Allah.Ana nampak dia bersungguh-sungguh belajar dan cuba mengatasi keputusan yang lepas. Mereka anak-anak yang membanggakan Ana. Enti , ibunya sangat-sangat  bertuah dan beruntung, bersyukur di kurniakan anak sebegitu.".Sambil menggenggam tangan saya , ustazah seolah memeluk erat hati saya. Saya yang rasa.

Masyallah, dari mana Ustazah memetik kata-kata tersebut, adakah dari ranting-ranting pohon di syurga. Saya bukan mahu dipuji jauh sekali untuk disanjung, cukuplah sekadar meraikan jiwa lelah seorang ibu mahupun jerih seorang ayah. Ianya bagai pesona mata air dingin yang menghilangkan dahaga resah.
Jazakillahu khairan Ustazah

Dan saya belajar dari situ

 Keagungan peribadi anda terletak pada kesedian anda untuk memberi bila beruntung, untuk memimpin bila berilmu dan untuk membela bila kuat

"Sayang pada Ustaz Adnan ,ummi. Kata -kata dia membuatkan kita percaya kita istimewa. Kita memang boleh berjaya, jika kita betul-betul berusaha", beritahu seorang anak.

Alhamdullillah

"Ustaz , saya meletakkan anak saya di sekolah ini bukan untuk berlepas tangan. Saya percaya dia sedang mencari dirinya dan allah sedang menyusun sesuatu untuk mentarbiah jiwanya. Dia melakukan sesuatu yang berbeza dari apa yang kakak-kakaknya pernah lakukan,dia dibandingkan pun saya bersangka baik pada Allah."

"Insyallah Puan, kita akan mencari di mana kekuatan anak ini, dari situ kita bimbing dia"

"Anak saya menganggotai kumpulan nasyid sekolah, Allah kurnia dia ada suara dan boleh melantunkan nasyid. Cuma dari dulu saya hanya mendengar anak-anak yang menganggotai kumpulan ini adalah anak-anak yang akhirnya akan membawa masalah kepada diri mereka dan pihak sekolah .
Ini kerana glamour yang menyerang dunia mereka. Mereka tenggelam dalam kemasyuran barangkali. Tergelincir, tersungkur mungkin tidak ada yang menghulur tangan, membimbing nasihat  Sedangkan saya amat yakin anak-ank ini adalah anak-anak yang banyak menggunakan otak kanan mereka.
Kekuatan mereka adalah pada bakat yang ada. Saya amat -amat berharap perhatian yang sewajarnya diberikan pada  kumpulan ini. Suntikkanlah ruh Islam pada mereka supaya mereka faham ada amanah yang mereka bawa walaupun pada sekadar menyanyi dan menyampaikan nasyid. Ada ibadah yang menanti."

Ustaz Adnan mengangguk-angguk, dan melalui anakanda yang dikasihi saya merisik khabar menghargai perhatian dan prihatinnya beliau. Beliau benar-benar menyelusuri liku ,mentarbiah ,menghargai dan memberi ruh dan kasih kepada anak-anak yang pernah dianggap pelajar bermasalah.
Jazakallahu khairan Ustaz

Dan, saya semakin bertambah belajar dari situ

Rupanya kita hanya perlu percaya setiap anak punya jiwa,jika bersalah boleh menghukum itu memang wajar. Tetapi andaikata kita menunjukkan kepada mereka bahawa mereka selayaknya dihargai, mereka mempunyai kekuatan tersendiri...dengan sendiri kita telah melahirkan  kembali ramai rijal sejati!

Jangan biarkan saya berjuang sendiri!

Author: -Ainul Yaqin-
•05:47



     "Tentu Kak Lang fikir mesti Ikin ada something lah tu yang nak dikongsikan, sebab tu menelefon Kak lang ni"
. Lama saya tidak mendengar suaranya dan hari itu dia menelefon mengubat juga rasa kerinduan terhadapnya sejak saya berpindah ke Ipoh.

"Alhamdullillah, apa salahnya kalau ingin berkongsi, lama juga tidak mendengar suara Ikin. Kiranya rezeki orang ingat kan kita, Kak Lang kenalah bersyukur", saya membalas gembira.

"Mana tahu jika Allah izin boleh bantu atau entah-entah Ikin nak beri Kak Lang tazkirah ke". Saya menembak.

"Ikin teringatkan Kak lang ni sudah beberapa hari, baru ini ada kesempatan menelefon. Sebenarnya memang ada sesuatu yang terbuku dalam hati, 2 bulan Ikin simpan. Ini dah tidak boleh tahan, tapi minta maaf bila ada masalah baru telefon Kak lang. Tidak patut betul". Dia terus membuka ruang memulakan cerita.

"Terima kasih masih sudi ingat pada Kak Lang, semuanya Allah yang susun,hati manusia Allah juga yang pegang, ceritalah mungkin Kak lang boleh membantu, mana tahu."

"Sebenarnya, dua bulan sudah suami Ikin pergi umrah, Kak Lang. MUla-mula dia merayu pada Ikin supaya Ikin dapat pergi bersama. Katanya dia terlalu rindukan Mekah dan Madinah. Tidak boleh menepis bayangan  kerinduan tu. Tetapi Ikin berat hati, Ikin berikan alasan kami sedang mengumpul belanja untuk menunaikan haji biarlah bersabar. Elok jika kami menunaikan haji dulu sebab umrah kami pernah pergi sudah beberapa tahun yang lalu. "

"Akhirnya Ikin ikutlah juga ya?" saya mencelah sambil mencari punca keterbukuan hati adinda yang seoraqng ini.

"Inilah yang berperang dalam jiwa Ikin . Kak lang tahu yang membuatkan Ikin sangat-sangat terkilan bila dia tidak berjaya memujuk Ikin agar ikut sekali, tanpa pengetahuan Ikin suami Ikin mengajak emak dia menggantikan tempat Ikin. Dah dua bulan suami pulang. Masyaallah Ikin nampak mabrurnya umrah suami . Ketara dia sekarang tidak tinggal berjemaah di masjid,subuhpun ke masjid"

"Subhanallah , Ikin kecil hati ke dia tidak berjemaah di rumah"

"Eh ,Ikin gembira dengan perubahan suami. Masalahnya Kak Lang, Ikin masih tak redha dia ajak mak mertua Ikin, maknya dan tak sanggup korban tidak pergi umrah walaupun Ikin tidak ikut sama. Sampai sekarang Ikin pujuk hati ini tapi rasa marahkan suami bila mengingatkan perkara ini masih ada. Ikin tidak tahu lah Kak Lang macamana hendak menghilangkan perasaan yang tidak tentu rasa ini. Ikin tahu tidak sepatutnya Ikin rasa begini tapi Ikin gagal untuk tenteramkan ."

"Selepas menunaikan haji bersama suami,mak dan bapa mertua pada tahun 1996, bapa mertua Kak lang sakit dan manghadap ilahi pada tahun1997. Suami Kak Lang menunaikan umrah sebanyak tiga kali dengan membawa emaknya,sekali menemankan emaknya menunaikan haji, bererti membawa emaknya sebanyak empat kali.." saya cuba mengumpul ingatan.

"Oh suami Kak lang pun bawa maknya, empat kali?"
"Masa tu anak-anak siapa hendak menjaga jika Kak Lang pergi, tambahan mak dan ayah Kak Lang sudah semakin uzur. Mak mertua Kak Lang sampai bercerita "

Kawan-kawan ibu mertua saya berkali-kali bertanya, "Cikgu pergi dengan anak, menantu tidak ikut, tidak jealous ke menantu Cikgu . Hish kalau saya jadi menantu cikgu mahu cemburu saya dibuatnya"

"Dari situ Kak Lang tahu biasalah perasaan itu menyerang pada manusia kita-kita ini. Kak Lang terfikir ha a ya kenapa aku tidak mengambil hati saja, bukan sekali dua suami pergi membawa emaknya,tetapi empat kali. Wajar sangat kak lang merajuk dan mengambil hati. Dan Kak Lang bersyukur perasaan itu tidak hadir, sesekali ia terlintas, hanya satu yang Kak lang sebut di dalam hati. "

"Apa yang kak Lang sebut dalam hati?" Ikin terus ingin merungkai resah.

"Sebelum itu, boleh tidak Kak lang hendak bertanya Ikin. Anak lelaki Ikin dua orang, Shahir dan Shamirkan. Ditakdirkan anak-anak ini suatu waktu nanti dewasa dan mengajak Ikin menemankan mereka menunaikan umrah ,lalu Ikin mendapat tahu isteri-isteri mereka tidak redha mereka membawa Ikin, rasa-rasanya apa perasaan Ikin?" saya menghujah

Terima kasih Allah, entah dari mana ilham itu saya perolehi, pasti dariMu ya Allah

Diam seketika di hujung talian, kemudian terdengar perlahan esak tangisnya.

"Ya Allah patutlah Allah ingatkan Ikin pada Kak Lang, ada sesuatu yang menunggu Ikin rupanya. Kenapalah Ikin tidak meletakkan situasi tu pada diri sendiri . Sombongnya Ikin Kak lang...kenapalah Ikin tak terfikirkan seperti itu," Tangisnya lirih.

"Tidak mengapa dik, kita biasa khilaf dan kekhilafan itu pasti tidak juga sia-sia. Supaya Ikin lebih bersyukur lebih mengerti agar nanti akan Allah tambahkan lagi nikmat, melimpah ruah. Alhamdullillah. dan satu perkara yang Kak Lang sebut di dalam hati ialah biarlah suami kita melebihkan ibunya, sebelum dia menjadi suami kita, dia adalah bayi yang lemah. Suami kita bukan sesiapa jika tanpa ibunya. Kita mendapatkan suami kita setelah dia tegap berjawatan, berkemampuan,namun yang berkorban segalanya adalah ibunya. Hari ini dia membawa ibunya ,esok lusa anak-ank kak lang malah menantu-menantu Kak Lang pula akan meraikan Kak lang. Berfikir begitu hati akan menjadi tenang lantas mengundang bahagia."

"Sudah sampai masanya Ikin lepaskan perasaan yang terbuku, redhakan tindakan suami dan bersyukur atas kehendak Allah ini"

"Ikin insaf Kak Lang.."
"Terima kasih atas perkongsian ini.Kak Lang tidak mencari malah tidak mahu melihatnya sebagai kelemahan Ikin malah Kak Lang yakin Allah sedang merencanakan sesuatu untuk menaikkan darjat kita."


MERTUA MENANTU

Kesempatan mengenali seorang ibu tua yang tidak dimuliakan kehadirannya oleh si menantu turut meruntun hati saya. Entah kenapa terlancar sahaja ceritanya meluahkan rasa terkilan di hati.

"Jika makcik rindukan anak makcik, makcik datang ke rumahnya tanpa memberitahu terlebih dulu, alamat menantu makcik akan tidak bertegur sapa dengan anak makcik. Dia tidak boleh orang datang ke rumahnya tanpa ada perancangan."

"Subhanallah..tapi makcikkan ibu suami dia, bukan pendatang asing yang datang menceroboh rumah tangga dia atau bibik yang lari dikutip di tepi jalan", saya beremosi mendengar cerita sedihnya.

"Entahlah nak, pernah dia tidak keluar-keluar berjumpa makcik kerana marah makcik datang secara terpa -terpa begitu. Makcik panjatlah tangga mencari bilik mana makcik hendak tidur. Anak makcikpun tidak mampu berbuat apa. Tambah masa kejadian tu anak makcik bekerja syif malam, sampai keesokannya dia tidak keluar berjumpa makcik. Konfrontasi pula dengan anak makcik"

"Susah saya hendak menerima  dek akal biasa cerita makcik ni .Masakan manusia cerdik pandai boleh bertindak tidak memuliakan makcik. Saya insaf makcik."
 Namun saya akur kebenaran ujian yang menimpa makcik itu kerana perkara yang sama berlaku berkali-kali. Dan saya pernah meminta kepastian dari anak makcik itu sendiri akan perangai luarbiasa isterinya kerana anak makcik itu adalah kenalan rapat saya juga.

Dan kemuliaan seorang ibu yang tidak dimuliakan menantu ketara pada bicara yang dituturkan.

"Sudah makcik ampunkan menantu dan anak makcik. Makcik tak mahu anak makcik tersangkut semata-mata hati makcik terluka. Makcik dah redha, sudah nasib anak makcik diuji dengan isteri. "

Dan yang mengilukan perasaan saya.

"Hidup ini kan macam roda , masing-masing ada anak, suatu hari tidak mustahil anak akan melakukan apa yang kita pernah buat pada ibubapa kita. Tidak anak, menantu. Jangan dia lupa itu."

Itu bukan doa, bukan juga suatu sumpahan hanya luahan hati ibu yang terluka. Namun kata-kata ibu bukan kah suatu doa.

Maka muliakanlah insan , mudah-mudahan kamu bakal dimuliakan ,semoga kamu dimuliakan.
Author: -Ainul Yaqin-
•02:01
 


  "Minggu depan Syifa'(bukan nama sebenar) bakal melahirkan. Akak mengajak kita bertiga berkumpul untuk membincangkan apa yang boleh kita, sahabat seusrah bantu.Sekadar kemampuan kita. Dia akan melahirkan di hospital Kulai, akan balik sekejap ke rumah emaknya. Syifa beritahu akak dia akan berpantang di rumahnya di bantu suami. Bayangkan dengan anak kecil-kecil apalah sangat yang termampu dia buat" . Naqibah kami memula bicara.

"Rasanya kita perlu berbahagi-bahagi tugas, ya kan kak"

"Nak libatkan yang lain kita perlu ambil kira yang lain tinggalnya jauh. Akak, Sha dan Ros rasanya memadai kut. Rasa-rasa sanggup ke?"

Kami mengangguk walaupun masih samar akan kemampuan diri. Jika fikir boleh, pasti boleh saja segala masalah dihadapi bersama .Bukanlah ini suatu misi yang besar, malu sebenarnya untuk menceritakan tetapi atas nama cinta Allah ukhuwwah ini menyelusuri jalan yang sungguh istimewa. Jalan yang biasa-biasa namun bila diterjemahkan atas nama cinta Allah, masyaallah hati-hati kami bagaikan dirantai kemas untuk memercikkan sinaran ukhuwwah yang amat luar biasa. Barangkali bibir dan lidah tidah mampu menutur lalu menterjemahkan tetapi hati yang merasa ,manisnya tidak terperi.

 Terima kasih Kak Dib, naqibah sederhana kami yang penuh sifat keibuan. Bersama kakak saya belajar untuk mengenepikan urusan diri sendiri dan memperuntukkan sela masa yang amat sedikit untuk sahabat atas nama cinta Allah.

Bermula hari Syifa' pulang ke rumah, maka kami mengambil giliran memasak agar sarapan, makan tengahari dan malam Syifa' ada diberikan sedikit perhatian. Tanda kasih kami , itupun sebenarnya jika diikutkan jauh dari mencukupi buat seorang sahabat yang amat memerlukan.Kak Ros yang tidak pandai memandu turut sama melibatkan jasa baik suaminya menghantar bekal ke rumah Syifa'. Selainnya Syifa dan suaminya yang menguruskan sendiri urusan rumah. Kuatnya semangat sahabat ini, umurnya jauh lebih muda dari saya tetapi semangat dalamannya mengalahkan faktor usia.

"Syifa', Kak Sha pinjam semangat Syifa' hari ini ya", saya sering menuturkan begitu bila ingin pulang ke rumah setelah berpeluang menjenguk diri dan anak-anaknya.


PENGORBANAN

Saya sempat menyaksikan bagaimana teman teman seusrah seorang akh yang diserang strok bergilir-gilir mengambil masa menjaganya di wad hospital selama berminggu-minggu. Dengan itu isterinya boleh menguruskan anak-anak dan persekolahan.Mereka sanggup mengelap tubuhnya penuh kasih sayang,menyikat rambutnya malah sampai menyalin lampin pakai buang. Apakah semua ini boleh terlaksana hanya dengan hubungan dan kenalan biasa. Saya fikir ini semua boleh melangkaui sempadan biasa atas nama cintakan Allah. Mengasihi dan mencintai sahabat atas nama cinta ALLAH.

"Maaf Sha, Kak Fah tak sempat nak call ,leka dan terlupa. Kak Fah ke rumah sister tadi tolong cucikan tandas-tandas di rumahnya"

Suami sister tersebut juga mengalami strok sebelumnya dan sahabat saya menziarahinya untuk meminjamkan secebis keringatnya.

"Orang biasa mesti segankan ,Sha. Tapi kami sudah terbiasa dari zaman belajar di UK dulu. "

Saya juga pernah mendengar seorang sahabat menuturkan bahawa sekiranya kita ke rumah seorang sahabat dan kita tidak mampu memperlakukan dapurnya seperti rumah kita, membuka peti ais dengan selamba, memunggah periuk kuali membantunya memasak di rumahnya maka perlulah diketahui ukhuwwah dengannya belum sampai ke peringkat ithar.

Sungguh, seseorang yang mempunyai al-itsar, akan mendapatkan keutamaan-keutamaan yang sangat banyak.
Ini adalah suatu keutamaan yang sangat agung dan besar, sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadits, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

Orang yang paling dicintai oleh Allah ‘Azza wa jalla adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kesenangan yang diberikan kepada sesama muslim, menghilangkan kesusahannya, membayarkan hutangnya, atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh, aku berjalan bersama salah seorang saudaraku untuk menunaikan keperluannya lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) sebulan lamanya. Barangsiapa berjalan bersama salah seorang saudaranya dalam rangka memenuhi kebutuhannya sampai selesai, maka Allah akan meneguhkan tapak kakinya pada hari ketika semua tapak kaki tergelincir. Sesungguhnya akhlak yang buruk akan merusak amal sebagaimana cuka yang merusak madu.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya dengan sanad hasan)

Sungguh ajaib kuasa ukhhuwwah atas nama cintakan Allah ini. Dan saya sentiasa tercari-cari peluang untuk menjadi sebahagian dari mereka yang dianugerahkan perasaan itu.

Ada juga yang itharnya subhanallah, jika berniaga seringnya jualannya bertukar menjadi pemberian, barang bertukar tangan namun harganya percuma!

"Kak Dib, Syifa' pesan kalau asyik beri percuma kami terpaksa membeli dari orang lain. Macam ni mana untung akak berniaga, asyik kami dapat free aje, mana aci," sengaja saya mengugut dengan gurauan kepada sahabat seorang itu.

"Aci ada dekat kedai mamak. Beri lah can akak meraih pahala menghadiah, nak sedekah Sha tak layak"

Aduh...
Kak, apa mungkin jiwa kakak sudah dibajai dengan haruman hadits dari Kecintaan Rasulullah SAW


Saling menghadiahilah kalian niscaya kalian akan saling mencintai.”

 (HR. Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 594, dihasankan Al-Albani rahimahullah dalam Irwa`ul Ghalil no. 1601)
Dan kemudian di kuatkan dengan hadits

 “Saling menghadiahilah kalian karena sesungguhnya hadiah itu akan mencabut/menghilangkan kedengkian.”

Hadits yang mulia di atas menunjukkan bahwa pemberian hadiah akan menarik rasa cinta di antara sesama manusia kerana tabiat jiwa memang senang terhadap orang yang berbuat baik kepadanya. Inilah sebab disyariatkan memberi hadiah. Dengannya akan mewujudkan kebaikan dan kemesraan. Sementara agama Islam adalah agama yang mementingkan kedekatan hati dan rasa cinta. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (yang ertinya), 

Ingatlah nikmat Allah kepada kalian, ketika di masa jahiliyah kalian saling bermusuhan lalu ia mempersaudarakan hati-hati kalian maka kalian pun dengan nikmat-Nya menjadi orang-orang yang bersaudara.”
 (QS. Ali ‘Imran: 103) (Taudhihul Ahkam Min Bulughul Maram, Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Basam, Maktabah Al-Asadi, Makkah, V/126-128)




TUMPAHNYA AIR MATA SEORANG AYAH

Tahun 2004, 45 hari selepas malapetaka yang memperlihatkan kekuasaan Allah, Ghaffarnya Allah bilamana Acheh dilanda tsunami. Saya bersama 2 orang sahabat bersama kerendahan diri menginfakkan diri, jiwa dan sekelumit tenaga yang tidak seberapa ini menuju Lambaro sebuah daerah di Banda Acheh sebagai petugas sukarelawan untuk misi membantu wanita dan kanak-kanak disana.

Tarikh pemergian selama 10 hari jatuh  bersamaan cuti Tahun Baru Cina. Saya tinggalkan anak-anak bersama suami dan emak juga ayah yang banyak memudahkan urusan .  Pemergian yang membawa bersama tumpah banyaknya airmata. Dan kepulangan saya juga menumpahkan lagi airmata terhadap kisah yang mematerikan sebuah pengorbanan. Saya kira bukan hanya pengorbanan yang biasa tetapi pengorbanan yang datangnya bersama rasa kasih dan cinta atas nama Allah.

Ketika menceritakan perkara ini, ianya  meruntun hati saya sebagai sahabatnya. Dan ayah saya yang menceritakannya tidak henti-henti mengalirkan airmata. Kerana pengorbanan  sahabat saya yang dianggapnya kecil mampu menghibakan dua orang tua yang merasakan diri mereka amat-amat dihargai.
 Sahabat saya tentu sedar pemergian saya akan membuatkan kedua -dua emak dan ayah bimbang.Apa boleh buat saya telah bertekad,azam untuk menjejak Acheh tanah keturunan nenek moyang sudah saya bulatkan. Saya juga pasti di saat cuti , sahabat saya tahu boleh saja lauk pauk dibeli di kedai oleh suami saya, tidak sedikitpun  mengundang masalah.

"Dia berkata mungkin ayah dan mak rasa masakan dia tidaklah sesedap mana tetapi lauk pauk itu dia masakkan sebab adakala bila sudah  di usia tua begini selera sudah tidak sejalan dengan masakan kedai.Selalunya kakak yang masak untuk mak ayah. Tambah mak ada kencing manis dan darah tinggi. Lauk tu dia masak seperti masakkan untuk maknya". Ayah membuka cerita.

"Tiap-tiap hari dia menghantar lauk. Jauh lagi ayah nampak dia berjalan kaki. Sebelah tangan pimpin anak, sebelah lagi kendong anak yang kecil sambil menjinjing mangkuk tingkat.Ayah mak tidak boleh lupalah apa yang Syifa' buat, kakak.Dia gantikan kakak"

 Di situ hiba ayah runtuh dengan tangisan. Itulah kenangan-kenangan Almarhum dan almarhumah ayahanda dan bonda bersama tulusnya sebuah pengorbanan. Saya tidak akan melupakannya sampai bila -bila. Kekal tersemat indah di ruang jiwa yang paling dalam.

Saya yakin semua ini diukir demi harga  sebuah ukhuwwah atas nama cinta Allah. Maka Allah juga yang menjadi saksi kecintaan saya terhadap mereka. Berbahagialah kalian....doa saya buat mereka

UHIBBUKIFILLAH