Author: -Ainul Yaqin-
•00:17


SEMESRA singkatan bagi nama Sekolah Menenengah Sains Raub, Pahang. Bagi saya, Semesra bumi tandus yang menyambut mesra kedatangan kami pelajar-pelajar yang menerima keputusan  Sijil Rendah Pelajaran (PMR sekarang) yang agak baik. Kami sahaja yang tidak menyambut kemesraannya di awal pertemuan. Meminjamkan bumbungnya  untuk kami berteduh dan bernaung mentadabur ilmu. Tahun 1983, bulan Mac menyaksikan kami menjejaki bumi Semesra sebagai pelajar tingkatan 4 bersama-sama adik-adik tingkatan 1 sebagai batch pertama generasi pertama dan generasi ke 4  meneruskan impian dan cita-cita sebagai penghuni sebuah sekolah berasrama penuh.

"Ayah ini bukan sekolah tu,rasanya kita tersilap, macam belum siap sekolah ni. Bukan yang ini rasanya. Patah balik semula lah ayah ke pekan Raub kita tanya orang."

Bangunan-bangunan yang terletak di tanah luas, kawasan tandus tanpa rimbunan dan kehijauan benar-benar gersang. Hanya bangunan dan tanah tambun yang kosong dan kering berpasir.
Lalu ayah berpatah semula keluar dari pagar utama kawasan tersebut, berhasrat untuk membelok ke kiri terus nanti akan sampai ke pekan Raub, tempat kami mula -mula singgah untuk berjamu makan tengahari.

"Tu tengok papan tanda tertulis SEKOLAH MENENGAH SAINS RAUB, PAHANG. Betullah kakak."  Laung adik saya separuh terjerit.

Papan tanda itu betul-betul terletak di hadapan pagar bertentangan dengan pondok pengawal.

"Biar betul."
Saya saat itu mengharapkan papantanda itu yang silap. Tersilap pasang atau jika boleh biarlah tersilap tulis. Ada rasa kecewa. Saya membayangkan sebuah sekolah yang tersergam cantik, penuh dengan pepohon rendang, padang luas menghijau. Bayangan yang tidak mampu muncul. Gambaran yang diharapkan ala ala Seri Puteri ke, Sekolah Menengah Sains Selangor ke , Kolej Tunku Kursiah atau Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Aduh...


BELAJAR MENERIMA SEADANYA

Mulai saat hari pertama itu hati dipujuk untuk belajar menerima seadanya segala ketentuan. Inilah sekolahku. Cantik atau tidak, selesa mahupun sebaliknya belajarlah untuk berbangga menjadi penghuninya. Dua tahun menyulam kehidupan. Bulan -bulan pertama di situ serentak ke udara hits  lagu HUJAN dendangan Allahyarham Sudiman Hj. Arshad.

"hujan yang turun bagaikan mutiara....menyirami ketandusan hati...semesra bumi yang disirami....begitulah.... hati ini....." Ada perkataan 'semesra', itu lah yang mahal.

Mersik alunan suara Sudirman. Macam tahu-tahu sahaja.

"Baik, semua pelajar tolong buat satu barisan panjang dari hujung padang ini ke hujung sana."

Arahan guru pendidikan jasmani kami, Cikgu Sharun Nong.

"Setiap pelajar boleh mengambil surat khabar atau kain buruk itu, selepas buat barisan ,boleh mencangkung. Saya mahu kamu sambil berjalan itik, tolong cabut pokok-pokok semalu yang banyak ini. . Hanya dibaris depan kamu saja jangan peduli kiri kanan kamu. Sambil itu ada batu-batu tolong longgokkan di satu tempat...ada faham?"

Disambut gelak ketawa dan rungutan tidak puas hati. Bising seketika. Aktiviti mencabut semalu dan mengutip batu adalah kenangan manis yang tidak berapa seronok untuk dilakukan 30 tahun dulu.

Adik-adik junior, 29 generasi di bawah kami kecuali generasi ke 4 terlepas peluang mencabut semalu di padang sekolah yang luas. Sekarang padangnya hijau, rata dan saujana. Terbayang-bayang timbunan-timbunan semalu yang kami cabut secara berjemaah. Banyak sungguh! Gambaran padang gersang penuh semalu berbatu kerikil, amat berbaloi tugasan itu sehingga mengorbankan waktu bermain kerana di waktu itu, jika bermainpun, permainan akan menjadi hilang tempo dan sumbang  rentak.


SEMESRA bumi yang disirami

Sering saja kami berhadapan dengan masalah terputus bekalan air. "Ma Fii Mouih" kata orang arab. Maka ehsan penduduk Kampung Sungai Ruan yang selalu memberikan harapan. Merasakan kesegaran air perigi membasahi diri. Sekali sehari itupun sudah amat disyukuri. Ramai-ramai membawa gayung dan baldi, ikut pagar belakang sekolah. Belajar menceduk air perigi dengan tali panjang diikat pada timba besi. Belajar dengan Yati, teman dari Bentung sehingga kini dia bangga kerana katanya dia orang kampung...

"Yati, air ni tak masuklah dalam timba. Macam mana ya. " Rungut anak bandar. Sayalah itu yang mencuba berkali-kali menceduk air perigi tetapi gagal.

"Meh tengok sini orang kampung buat. Gerakkan menyenget dengan sentapan, bila senget air akan masuk penuhkan timba. Mesti ada seni dia."

Oh terimakasih sahabat kerana mengajar satu seni yang asing buat orang kota. Selepas selesai kami kembali nanti ke asrama terpaksa menjinjing air satu baldi penuh untuk bekalan sehari.
Semuanya telah kami rasai.

Adakalanya kami tidak dapat ke bandar walaupun minggu tersebut minggu outing akibat perintah berkurung. Masa itu masih ada lagi saki baki pejuang komunis di kawasan solok terpencil seperti Raub. Allahu akbar. Tawakalnya ayah ibu kami melepaskan kami malah kami tetap gembira saja.

Kenapa saya mengatakan Semesra bumi yang disirami, kerana saya percaya di bumi itulah saya dan kebanyakan kami disirami tarbiah. Detik -detik kami disentuh hidayah dari Allah, mengenal tanggungjawab yang hak sebagai hamba allah. Jiwa kami dibasahi dengan kesedaran. Sedar untuk melaksanakan perintah Allah. Rupanya solat wajib ada 5 waktu untuk ditunaikan...Quran wajib dibaca.

Kehadiran Ustazah Khatijah, jubah dan tudungnya yang selabuh telekung, hitam dan berpurdah. Kehadirannya memukul arus gelombang, menghempas pantai damai kami dengan persoalan demi persoalan. Beliau tidak digemari, kehadirannya menjengkelkan.

"Orang perempuan, wajib menutup aurat, pakai tudung yang sempurna. kerana setiap helaian rambut yang kamu dedahkan  menjadi saham kamu mendirikan mahligai di neraka untuk ibu dan bapa kamu."

Aduhai...cerita apa ini ustazah.

"Rujuk surah An Nur ayat 31 bagaimana Allah itu berfirman wahai wanita yang beriman, labuhkanlah tudung kamu menutupi dadamu..."

Ramai pelajar wanita terpukul. Alhamdullillah ..saya awal lagi sudah melakukan perubahan. Saya sudah berazam jika dapat memasuki sekolah berasrama, maka tarikh hari lahir saya tahun tersebut saya akan menutup aurat. Mula-mula biarlah pakai skaf menutupi rambut saya diikat kemas dan kain ikatan itu dua juntai boleh menjadi aksesori yang diterima undang-undang sekolah.

"Dan...pada sesiapa yang menutup rambutnya, tetapi lehernya terdedah, dadanya tidak juga dilindungkan maka serupa sahaja seperti wanita yang tidak menutup aurat." sambung Ustazah lagi.

Dum!!

Eh! Itu bukan ditujukan kepada saya kan. Ustazah Khatijah tidak langsung memandang kepada saya pun. Tetapi kenapa saya rasa ada anak panah yang terkeluar dari busar Ustazah dan merodok jantung saya. Kecilnya hati ...rasa kerdilnya diri. Jika boleh bersembunyi di dalam tanah mahu saja saya menghilangkan diri.
Setelah pengorbanan yang besar saya buat untuk melakukan perubahan pada diri, berskarf menghilangkan peluang orang yang bukan ajnabi melihat juntaian rambut saya, hanya leher dan dada saja yang belum dihijab, berani Ustazah mengatakan seolah olah sama dengan orang yang tidak menutup aurat. Apakah!

Menyampaikan kebenaran itu payah kerana yang menerimanya parah. Berhari-hari saya termenung memikirkannya. Allah menunjuk jalan pulang. Hari ini saya mengakui dakwah harus berani, diri mungkin dikasihi malah mungkin ramai yang datang mengeji. Harus diiringi dengan beribu doa. Doa hidayat untuk ummah bukan kerana saya benar mereka salah. Tetapi rupanya kerana jika syurga Allah itu destinasi , saya mahu berpimpinan tangan bersama seramai manusia yang saya kasihi. Semuanya, yang mengaku beriman juga yang belum beriman agar mereka disapa hidayah. Kebenaran tetap kebenaran, pasrah sungguh.
Hari ini, siapa saya adalah bermula pada hari saya merasa seolah-olah dikeji oleh Ustazah Khatijah. Rupanya saya yang sepatutnya berterimakasih padanya, Allah selayaknya Penghibur buat beliau.


SIAPAKAH KITA 20 TAHUN LAGI

"Roki...20 tahun lagi siapalah agaknya kita ya."

Perbualan santai bersama seorang teman di belakang bangunan gimnasium sekolah. Tidak ada pohon rendang di kawasan sekolah maka di celah-celah bangunan yang meredup oleh bayang pun jadilah menjadi tempat berjumpa.
Kami berbual sambil berkongsi cerita. Dia ingin meluahkan sesuatu, rahsia katanya. Rahsia anak-anak menginjak remaja. Masing-masing memegang serpih kayu yang kami jumpa di belakang dewan itu , di coret-coret, dicucuk-cucuk ke tanah sambil bercerita. Hanya kami berdua.

"Ha a ya Ishah...Allah saja yang tahu."

Sahabat saya pasti seseorang yang berjaya. Keterampilannya sebagai pemimpin pelajar terserlah. Dia head girl sekolah. Ramai menghormatinya , mengaguminya sudi pula dia berkawan dengan saya.

" Roki dengar ni yeh...
 mengelamun masa depanku ke arah mana kutuju...
dalam perjuangan penuh cabaran adakah tempat untukku..
bila gugup nafas ku hela ..semangatku pun menyala...

Bila ku tanya diriku sendiri apakah sudahnya nanti..
ku rasa puas kerna hayatku ..kuhidupkan sebaiknya..."


Tergelak-gelak kami. Bangunan gimnasium jadi saksi bisu.

"Lagu siapa tu Ishah...kena dengan apa yang kita sebutkan dari tadi."

"Lagu ..Sudirman."

Waktu dan ketika itu, mentaddabur ayat Allah sangat asing bagi kami remaja. Tiada alunan nasyid, mahupun bait liriknya yang ada serta banyak sekali seperti sekarang untuk dijadikan galas motivasi. Pandai sendirilah memilih lagu yang boleh menyuntik jiwa, jika adapun lirik berbau cinta, anggap saja cinta itu untuk Pencipta.

"Ulang, ulang sekali lagi...senikata dia best"

"Tak boleh, akan jadi tak sedap Ishah nyanyi...nanti Ishah tuliskan ok"


SELEPAS 30 TAHUN SEMESRA

27 April 2013 , Hotel Intercontinental, Jalan Ampang Kuala Lumpur berlangsungnya Majlis Perjumpaan 30 tahun Semesra/ Semesta (tahun 1989 nama sekolah ditukarkan ke Sekolah Menengah Tengku Abdullah sempena nama Tengku Mahkota Pahang menjadi Semesta- Semesra tinggal menjadi kenangan).

Sahabat saya benar-benar seorang yang berjaya . Sekarang merupakan orang penting di Jabatan Oftalmologi, seorang pakar mata..

Sahabat saya Yati orang kampung yang mengajar saya menimba air perigi sekarang seorang pensyarah di Politeknik Shah Alam. Menyiapkan tesis doktor falsafahnya di Iowa Amerika Syarikat. Mesti beberapa tahun dia menyimpan rindu pada dinginnya  hujan di kampung dalam sejuknya beku salji jauh di negara orang. Imah lulusan ekonomi dari Australia.

Duduk semeja makan malam waktu itu, kami dihimpunkan mengikut Generasi. Kami Gen One.    Maryam guru kanan sekolah. Azhar pegawai tinggi MAS, Asgar Ali doktor yang mempunyai kelinik sendiri di Klang. Fauzan juga berjaya. Kanaga juga doktor di Manjung , sepanjang saya tinggal di Venice of Perak, kami tidak pernah berjumpa dan tahu kami pernah berjiran di dalam satu taman. Acutha Rao duduk bersebelahan Jefrizin. Dua insan ini istimewa kerana ingatan saya kepada meraka jauh sebelum kami menghuni Semesra lagi. Kami pernah sekelas rupanya dari darjah dua hingga tiga di Sekolah Rendah Kampung Batu, Kuala Lumpur. Selepas itu saya berpindah ke Sekolah Rendah Convent Sentul.

Selama yang terpahat di ingatan saya adalah minggu orientasi Semesra, kami pelajar baru yang harus membuat persembahan. Acutha dan Jefri antara duta duta kami. Istimewanya mereka kerana peristiwa lupa lirik di atas pentas. Gegak gempita lautan penonton menggelakkan mereka tapi kelihatan mereka bersahaja. Acutha saya boleh mengatakan bahawa 'Shadow Dancing' dari kamu yang tersekat-sekat adalah yang terbaik, yang tidak akan pernah saya lupakan sampai bila-bila. Dan Jefri semoga kehidupan kamu semakin berkerlipan tidak seperti ' Kelip kelip kusangkakan api' yang terputus liriknya di tengah persembahan. Kenang-kenangan zaman kecil kita semua.

Perjumpaan itu juga memberi peluang kepada saya menyaksikan kejayaan ramai kawan-kawan, sekarang sudah berstatus Dato'. Menjawat jawatan yang penting di dalam negara. Tahniah alhamdullillah.
Roslan yang selalu lena di dalam kelas sekarang merupakan CEO kepada banyak syarikat. Tuah ayam menonjol di kaki, tuah manusia benar-benar di dalam genggaman Allah.

Saya ternampak seseorang yang saya kenal walaupun sudah 30 tahun tidak berjumpa. Saya teringatkan pada sajak yang beliau nukilkan betapa beliau bencikan perempuan. Sajak itu ditampalkan di ruang karya di belakang kelasnya kerana kami tidak sekelas. Sekarang saya boleh memahami bahawa pada usia 17 tahun, anak muda yang baik akhlaknya, kelihatan matang dari umur sebenar tentu jengkel melihat gelagat sesetengah kami pelajar perempuan yang juga masih hijau dan keanak-anakan.
Dia meluahkan perasaannya sungguh-sungguh di dalam bait-bait sajaknya. Saya dan teman saya, si budak kampung terasa walaupun tahu bukan kami sajak itu ditujukan tetapi perasaan kami mewakili perempuan-perempuan di dalam sajak tersebut.
Dan mungkin sampai kesudahan persekolahan, dia tidak tahu coretan balas kami ditepi kertas sajaknya  

'awak benci perempuan...adik , kakak dan ibu awak bukan ke perempuan?!!' adalah antara kerja kreatif kami melepas geram.

Terharu untuk di kenang. Maafkan kami.

Dan paling menyentuh hati,
"Zarishah saya rasa saya lah yang paling lewat membina keluarga dikalangan kawan-kawan. Umur 44 tahun baru bernikah, saya hampir putus asa. Tengok anak awak yg sulung dah 20 tahun (terbayang wajah kak long), saya yang sulong baru 2 tahun. Tapi saya betul-betul besyukur, anak saya yang kedua baru dua bulan lahir. Ada kawan yang saya jumpa belum lagi dikurniakan zuriat."

"Tak usahlah kita fikir siapa yang paling awal dan siapa yang paling lewat. Ramai lagi kawan yang kita sudah tak jumpa, tidak tahu keadaan mereka. Bila awak bersyukur maka akan Allah tambahkan nikmat, lebih banyak lagi. Saya pun tumpang gembira hidup awak makin sempurna. Allah menyusun yang terbaik untuk awak."

"Awak ustazah ke Zarishah?"

"Oh tak, saya adalah seorang Domestic Personal Assistant dalam sebuah syarikat persendirian iaitu HOME. Jawatan itu saya yang iktiraf sendiri.

Tiba-tiba...

"Kak Zarishah kan? Kakak ingat saya tak, saya Sofea."

Saya mendakap lama dirinya. Dia memang manja dengan saya, kerana saya ketua dorm Musytari bersama junior yang lain. Masih terbayang -bayang wajah comelnya yang 'comot' berumur 13 tahun, sentiasa datang mengadu hal kepada saya. Dia benar-benar berubah, sangat ayu.

"Saya ingat kakak yang jaga saya dulu. Saya ternampak nama akak dalam senarai kehadiran, saya tunggu kakak."
Hampir menitis airmata . Terimakasih kerana masih mengingati dan kakak terharu terasa dihargai. Sofea Aliza seorang anak yang suka cakap berangan rupanya dewasa penuh berseni. Seorang karyawan berjaya, penulis skrip ratusan drama televisyen. Kakak bangga dengan adik.

"Saya Cikgu Fauziah..guru Bahasa Inggeris! Remember me?"

"Cikgu...!"
Seorang wanita sentiasa dengan senyuman, kini sangat keibuan serta bertudung litup. Saya teringat skirt sha na na cikgu ditahun 1984. Kasut cikgu yang keletak keletuk dan talipinggang besar cikgu. Pertuturan cikgu yang tidak ada langsung bahasa melayu, slang cikgu yang berabuk. Aduh cikgu...Alhamdullillah saya bersyukur dapat mendakap cikgu dan mengucapkan terima kasih atas ilmu yang cikgu curahkan.

"Semua alumni Generasi Satu tolong naik pentas bergambar dengan Guru Besar juga Penolong Guru Besar kita dulu."  Pengumuman di buat.

Sesudah bergambar, saya mengadap dua orang insan yang menjadi peneraju Semesra itu.

"Cikgu, Cikgu masih sihat, gembira jumpa cikgu..."

"Awak buat apa sekarang?" Pertanyaan bagai seorang ayah.

Saya terhenti sebentar.

"Saya ke cikgu....jawatan saya tinggi cikgu karier saya mencabar, saya adalah seorang surirumah separuh masa."

Tersenyum memandang ke arah Haida yang juga duduk semeja tadinya kerana kami berkongsi karier dan jawatan yang sama. Seronok sahaja Haida berkongsi cerita dengan saya. Dia memang menjiwai kehidupannya, alhamdullillah.

"Wah! Ini mesti hebat...tapi separuh masa lagi tu ke mana perginya."

 Ish komen cikgu buat saya malu sendiri. Hebat manalah.

"Separuh lagi tu saya infakkan untuk kerja -kerja modul pembinaan insan."

Orang DnT(Dakwah dan Tarbiah) insyallah faham.
Pinjam kata -kata The Pencil, Hoyeah!

Dan ketika langkah kaki ini menuruni tangga pentas, sempat saya nukilkan di dalam hati. Saya bukanlah seorang yang hebat. Hari ini saya kuat untuk berada di tengah-tengah sahabat-sahabat yang memacu kejayaan hanya kerana saya izzah dengan nikmat Islamnya diri saya, pada perkara -perkara kecil yang mampu saya lakukan sekadar yang sehabis mampu. Hanya kerana satu perkara.

Kerana hayat saya, saya cuba hidupkan dengan sebaiknya. Perkenankan Ya Rabb.





|
This entry was posted on 00:17 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

2 comments:

On 14 May 2013 at 10:33 , nahmri. said...

wah.. bagaimana angah 20 tahun akan datang?
Harap jodoh yang terbaik untuk anak2 ummi juga cepat. eh? hehe.

Doakan anak ummi berjaya dunia akhirat..^^

 
On 14 May 2013 at 17:19 , -Ainul Yaqin- said...

angah..angah...bukan cepat....tetapi pada waktu yg tepat!
cuba the pencil dan mawar putih sebut serentak..HOYEAH