Author: -Ainul Yaqin-
•23:09
                  


                                                                               


     Astaghfirullah.
Masakan sampai tidak mengaku anak. Mesti serius punca kemarahannya. Sehinggakan memercikkan lahar yang membakar beberapa hati dan meninggalkan keadaan tandus hitam dalam perhubungan.

"Betul kak, Roha (bukan nama sebenar) hanya sampaikan apa yang benar. Mak dan Abah tak boleh terima . Kami dianggap derhaka,tak mengaku anak dah. Ilmu tak sampai sejengkal sudah mahu mengajar mereka"

     Bukannya saya asing dengan ibunya Roha, dia mesra,sangat peramah, kelihatannya penyayang dengan anak-anak terutama Roha, anaknya yang ke dua. Saya mengenali Roha yang periang, peramah tidak tumpah ibunya. Mereka berasal dari Utara, pekat dengan loghat utara , suka bergurau. Orang utara kata 'candi'

     Petang itu saya terpempan dengan apa yang Roha sampaikan. Lama saya merenung dia mencari makna benar pada berita yang saya dengar dan saya cukup pasti  bakal ibu itu tidak berbohong.

''Orang tua marahnya sekejap, beberapa hari sejuk la, Roha yang ambil hati sangat ni.."

"Kakak tak kenal mak Roha macam-mana, jika ada yang cuba menasihatkan dia, alamat malang lah. Nampak aje dia lembut tapi hati mak Roha keras macam batu".

 Setiap kali dia cuba mendapatkan emak dan ayahnya ,emaknya akan mengarahkan adik -adik lelakinya yang bujang untuk mengunci pintu pagar, setapakpun tidak diizinkan anaknya memijak laman rumah.

Waduh, berat ni.

"Begini, jika tak bersalahan boleh tak ceritakan sedikit sebanyak"

 Saya mencelah ,jika tidak nanti panjang lagi keburukan ibunya yang saya terpaksa dengar nanti, sedangkan menceritakan buruk sesuatu tidak akan  menjernihkan masalah agar jelas jalan selesainya.

     Petang itu Roha menziarahi saya mengkhabarkan berita,  Dua berita katanya.

"Satu berita buruk dan satu lagi tentu berita baik, akak nak dengar yang mana dulu"

  HAMIL

     Berita baiknya dia hamil setelah hampir 3 tahun berkahwin dengan seorang 'revert' cina muslim dan berusaha bermacam ikhtiar untuk mendapatkan zuriat. Saya bersyukur untuknya dan teruja dengan keadaannya itu. Dan kerana kehamilannya itu dia amat-amat merindui belaian seorang ibu.Dia mahu ibunya tahu yang dia bakal menghadiahkan emaknya seorang cucu kerana itu memang idaman ibunya. Barang kali boleh menjadi penyejuk suasana dan mengendur malah menghilangkan segala ketegangan yang timbul

Jika ibunya berkehendakkan dia mencium  kaki sanggup saja Roha lakukan asalkan boleh diterima menjadi sebahagian keluarga itu kembali. Dia tidak rela mengandungkan bayinya selama 9 bulan dengan keadaan di mandatori sebagai pesalah derhaka.

Sedu bicaranya, kelihatan terseksa jiwa dan raganya. 
Tentu sekali berita buruknya ialah tentang dirinya sudah tidak dianggap anak lagi.

"Roha rindu sangat-sangat mak Roha. Roha yang paling manja dengan mak, mak sanggup buang Roha. Roha pergi rumah mak nak minta ampun,paut kaki mak, mak tendang Roha. Halau keluar laman dengan penyapu".

"Kak long pun mak buang juga , dah 5 tahun kak long bawa haluan sendiri, macam Roha, bukan tak pernah cuba balik ,kami kena halau"


Haa..2 orang anak dibuang begitu saja...bukan lagi cerita Ibu mertuaku, menghalau Kassim Selamat si ahli musik yang mencuri hati 'intan payung'nya Sabariah. Bukan lakonan Mak Dara tetapi secebis kisah ibu terluka.
Yang hujungnya menyulusuri pangkal dalam mencari nilai untuk meletakkan makna pada  pandangan ,sebagai pasak buat tapak menongkah berdiri.


PUNCA MUSIBAH

   Saya tekun mendengar, mencari makna disebalik apa yang terjadi. Rupa rupanya adik perempuan Roha dikatakan terkena sihir dan buatan orang. Telah dibawa oleh ibu dan ayah Roha untuk berubat kepada seorang bomoh kononnya yang hebat menangkis musibah.

Pengerasnya sesuatu yang tidak masuk dek akal, untuk penyakit sembuh seratus peratus perlu dinikahkan dengan bomoh tersebut agar rawatan menjadi lancar.Sekarang mengikut ceritanya, bomoh tersebut sudah meninggalkan adiknya. Habis madu sepah disepahkan.

    Di situ Roha dan suaminya keras menentang, dan suaminya dituduh mualaf bajingan, Baru kenal Alif, Ba, Ta urusan syirik yang dipertegaskan dianggap bangkangan.

Baru saya jelas.



JALAN PENYELESAIAN

"Roha bawa hajat besar pada akak, Roha tak nampak orang lain , Roha yakin akak orang paling tepat "

Apa maksud dia.
Saya yang paling tepat

"Boleh tak akak pujuk mak. Mak selalu sebut akak dulu, akak boleh masuk dalam keluarga Roha. Dah tak nampak orang lain kak". 

Hibanya. Saya menelan liur di kerongkongan yang kering. 
Menggunungnya sebuah hajat, bagaimana hendak diukur kemampuan sendiri. Tidakkah nanti dihukum mencampuri rumah tangga orang lain. Sangkaan bergelut dengan rasional. Akhirnya keputusan diambil.

"Rasa- rasa mak halau akak tak dengan penyapu?"

Saya benar-benar bertanya tetapi kelihatannya seperti cuba bergurau. Mampukah..



HARI ITU

"Assalamualaikum, assalamualaikum makcik"

Berdebarnya ,telinga ini seperti mendengar bunyi paluan jantung saya sendiri yang tidak keruan.
Betullah saya sudahpun berada di depan pagar rumah orang tuanya. Satu misi yang tidak pasti. Semalam sebelum pulang Roha ada minta saya bertanyakan beberapa perkara begitu dan begini pada ibunya.

"Roha kalau percayakan akak, biar akak gunakan cara akak sendiri ya. Soalan-soalan provokasi itu takkan boleh membantu. Sabar dan berdoa . Insyaallah akak bantu yang termampu".

Saya ikut naluri sendiri, saya tidak boleh mengadap ibunya seperti membawa belantan, menghempok lagi kesalahan  kepada ibunya. Walaupun dari cerita terang- terang orang tua Roha silap mengambil langkah.

"Eh Ishah ya. Masuk-masuk nak"

Saya kira Allah merestui tindakan saya, halangan pertama berjaya!

Saya peluk erat wanita tua itu seolah- olah mewakilkan pelukan anaknya dan memindahkan seluruh aura kerinduan anaknya, Roha. 
Kami berbual, berbahasa-bahasi, banyak saya tanyakan tentang dia, kesihatannya, memuji pokok-pokok segar yang memenuhi lamannya, masakan-masakan utara. Dan dia bercerita, bergelak ketawa ,berkongsi resepi dan dia benar-benar meraikan saya. Bagaimana saya harus menguak pintu kepada hajat yang sebenar!
Tolonglah Allah anugerahkan hikmat kesaktian pada lidah yang kelu ini.


AKHIRNYA

"Makcik, Roha dah mengandung" memancing ehsan pada kenyataan tersebut.

Dia diam bila nama Roha disebut.

"Roha minta Ishah sampaikan dia minta ampun, dan dia rindu sangat pada makcik"

Tidak ada riakkah. Saya tahu dia berperang dengan naluri keibuan dan egonya tidak mengaku silap yang lepas.

"Roha dan suaminya mengaku mereka banyak melukakan hati makcik dan pakcik. Mereka sedar sekarang memang tak sepatutnya mereka membantah makcik"

Harapan saya untuk memecahkan tembok kemarahannya . Itu saya karang sendiri jika Roha tahu pasti dia juga tidak bersetuju kesalahan diletakkan di pihaknya. Nasiblah Roha, janji mak boleh terima semula

"Dia memang derhaka! Sanggup membelakangkan mak ayah sendiri ikut kata suami mualaf dia tu"

Saya bersedia dengan pemadam 'api'.

"Ishah tahu tak makcik memang sedih sungguh Roha boleh sampai buat macam tu pada kami. Sekarang ni memang makcik tak boleh terima dia ,makcik tak mahu lagi mengaku anak. Mak cik tak sudi dah tengok muka dia lagi.Biarlah apa orang nak kata,makcik dah tekad"

Ngilunya saya. Makcik andaikata makcik tahu tindakan makcik mengikut panas penunu, jangan sampai anak hendak dibuang begitu. Cepat Ya Allah datangkan segera ilham untuk berkata-kata,mengayat.
Rupanya nilai yang berbeza dan prasangka telah menjayakan syaitan laknatunullah.Siap kau syaitan!

'Biar depa tahu langit tinggi rendah hilang orang tua, makcik takkan terima Roha, makcik tak mahu pisang berbuah dua kali"

"Makcik tak rindu Roha ke. Rohakan yang selalu manja dengan makcik"

Disitu tangisnya pecah. Dan tahulah saya separuh tembok egonya  roboh.Dan dia masih ada sekeping hati bagaikan ibu-ibu yang lain. Kasihkan anak.

"Ibu, Ishah..kita yang lahirkan dia, tapi dia pilih juga jalan derhaka,nak buat macamana".Sungguh lirih esakannya

Saya rapat padanya, mengusap jari-jemarinya, mengusap bahunya. Dia perlu ditolong untuk tidak menjadi ibubapa derhaka yang menghukum anaknya derhaka .

"Makcik, sebenarnya makcik beruntung sangat dapat anak yang sebaik Roha, memang dia dan suami ada buat silap buat makcik marah tapi Ishah percaya makcik tentu dapat maafkan dia,ingat kebaikan-kebaikan dia tambah dia sekarang mengandung. Makcik untuk anak yang sangat baik macam Roha,ibarat pisang , biarlah berbuah dua kalipun tak apa. Biarlah pisang tu berbuah dua kali ya makcik. Kalau Ishah pun tengok makcik rasa sayang sangat tentu Roha lagi kasih pada makcik.
Makcik boleh tak janji pada Ishah makcik akan terima dia?"

"Dia sorang aje boleh balik rumah makcik,Ishah pesan kat dia jangan bawa sekali suami dia. Makcik tak suka"

Tersangkut lagi rupanya

'Makcik, suami Rohalah yang  bersungguh-sungguh suruh Roha minta maaf pada pakcik dan makcik. Diapun ibarat yatim piatu ,makcik dan pakcik lah pengganti orangtua dia dunia dan akhirat.Kesian pada depa ya makcik"

Indahnya saya mengayat,hampir melelehkan airmata sendiri. Suami Roha pun mendapat pujian percuma.Sesungguh saya ikhlas bermuslihat.



SEBUAH KESUDAHAN

Al-Quran menyebut bahawa amalan silaturahim merupakan perintah kedua setelah perintah takwa. Allah berfirman yang bermaksud:

Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturahim kaum kerabat. (An-Nisa:1)

Sebenarnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertengkar itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al Hujuraat: 10)

Takwa dan silaturahim bagai digandingkan di dalam Al-Quran dan merupakan dua hal yang tidak mungkin mencapah dipisahkan. Maksudnya jika seseorang itu bertakwa kepada Allah, pasti  dia akan bersikap menyambungkan silaturahim dan jikalau dia tidak bertakwa kepada Allah tentu dia cenderung memutuskan hubungan silaturahim.
Dalam surah al-Ra`d ayat 21 disebut bahawa salah satu tanda orang yang beruntung di akhirat ialah di dunia dia senang menyambungkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat atau membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan. - (Surah al-Ra`d, ayat 21).

Oleh kerana di dunia mereka senang menyambungkan tali kekeluargaan, maka Allah sambungkan tali kekeluargaan mereka nanti pada hari akhirat. Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti.

Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan, menolak bala dan menangguhkan kematian.Banyaknya ganjaran yang luas terbentang, moga jalan menghalang, menutup rapat pintu dan ruang persaudaraan adalah jalan yang tidak pernah difikirkan untuk menjadi jalan pilihan.

Ketika saya bertemu dengan ibu ini yang akhirnya pasrah kepada sunatullah bahawa kecintaan ibu adalah pada anaknya itu adalah pada bulan Ramadhan . Maka menjelang Syawal saya dikhabarkan Roha pulang ke rumah orang tuanya , dalam dakapan kasih ibu dan ayah  serta adik-adiknya dalam suasana penuh syahdu. Dia pulang bersama suaminya. Suaminya juga diterima baik kembali.Pulang bersama dendam yang hilang.

Maafkan saya makcik, saya tidak menyampaikan amanat makcik agar Roha balik seorang diri tanpa membawa suami.Itu strategi saya......

Syawal itu juga menyaksikan Kak long Roha bertaut semula bersama keluarga setelah 5 tahun terbuang. Buy one free one.
ALHAMDULILLAH...terima lah cabaran yang telah kusempurnakan ini Ya Allah sebagai amalan solehku
.Dengan caraku tersendiri. Ameen
|
This entry was posted on 23:09 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: